KEHILANGAN seorang ayah menjadi pencetus kepada minat melukis seorang seniman yang bukan sahaja berkebolehan bermain gitar malahan bijak bermain dengan warna di atas kanvas.
Pengerusi Persatuan Penggiat Seni Lukis Kelantan (PELUKIS), Ramlee Hamzah berkata , walaupun hampir lima tahun ayahnya ‘pergi’ namun rasa sedih masih mencengkam di jiwa.
“Segala kesedihan dan kerinduan terhadap ayah terubat setiap kali saya melukis potret pemimpin negeri dan negara.
“Tumpuan 100 peratus terhadap hasil seni yang saya hasilkan, ibarat amanah yang perlu dilunaskan oleh pemimpin kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di Bukit Changgang, Banting baru-baru ini.
Ramlee, 54, yang berasal dari Kampung Padang Bonggor, Kota Bharu, Kelantan berkata, sebelum ini beliau bekerja sebagai Pelukis Pelan dan Penyelia Tapak projek pembinaan setelah tamat belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kira-kira 30 tahun lalu.
Membahasakan dirinya sebagai Pak Lee, Ramlee di Kelantan amat terkenal sebagai pelukis potret Allahyarham bekas Menteri Besar, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Sudah banyak gambar Tuan Guru Nik Aziz saya hasilkan dan dibeli pelbagai pihak. Kini permintaan untuk potret Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin meningkat. Ibarat tidak menang tangan saya sejak beliau menjadi Perdana Menteri ke-10,” katanya.
Suami kepada Norzariah Mohd. Azmi, 41, dan juga bapa kepada lima anak itu memaklumkan lukisan paling mahal pernah dihasilkan hanya berharga RM2,500.
Lukisan itu, jelasnya, adalah potret ibu bapa kepada seorang usahawan kayu dari Rantau Panjang, Kelantan.
“Lukisan itu dekat di hati saya dan ia dihasilkan dengan rasa penuh kasih sayang seolah-olah saya melukis wajah ibu bapa saya. Apabila melukis dengan hati yang sarat memori maka mudah untuk ia dihasilkan,” terangnya.
Ramlee memberitahu, pelbagai medium digunakan untuk melukis wajah pemimpin negara seperti arang, warna air dan cat minyak.
Tambahnya, harga lukisan pemimpin negara bersaiz A3, medium arang adalah antara RM400 hingga RM600.
“Soal harga, biasanya boleh dibincangkan bagi mewujudkan situasi menang-menang. Kita pun tahu, pada saat ini ramai terkesan dengan ekonomi dunia,” terangnya.
Ramlee yang pernah menjadi pemain gitar kumpulan rock, Zodiak di zaman remajanya berkata, buat masa ini dia mengawal selia empat lokasi galeri menjual lukisan karyanya dan ahli PELUKIS.
Lokasi itu terletak di Kota Bharu di rumahnya di Jalan Long Yunus, Galeri D Aras 4 Hotel H Elite, Tune Hotel dan Port Pelukis di Bazar Tengku Anis.
Ceritanya lagi, dia meminati pelukis tempatan seperti Jaafar Taib, Aris Aziz dan Datuk Azman Yusof.
“Saya juga meminati hasil karya pelukis Barat, Rembrandt Van Rijn dan menggunakan teknik beliau untuk menghasilkan karya.
“Saya kagum dengan penguasaannya menerapkan seni pencahayaan dan bayang-bayang dalam karya-karya hebat beliau,”ujarnya.
Sebagai seorang pelukis sepenuh masa Ramlee berkata, dia sering berhubung dengan pelukis terkenal seperti Ismail Embong untuk bertukar fikiran tentang dunia seni lukis yang dicintainya.
“Kepada generasi muda yang ingin menjadi pelukis saya sarankan kutiplah ilmu dan timbalah banyak pengalaman. Ia akan memberi impak kepada karya-karya kita,”jelasnya.
Katanya lagi, walaupun dunia seni lukis dilihat eksklusif, karya seni sebenarnya mampu dimiliki oleh semua golongan.
Harga sebuah karya, katanya, sememangnya tidak ternilai tetapi jika peminat seni lukis menghargai karya yang dihasilkan ia turut memberi motivasi pelukis untuk terus berkarya.
“Rezeki kita telah tertulis. Kadangkala hasil seni yang dihasilkan mengambil masa untuk dijual. Namun apabila ia dibeli oleh individu atau jabatan kerajaan ia bukan sahaja memberi sumber kewangan tetapi kepuasan berkarya dalam diri,”jelasnya. – Mingguan Malaysia
Dulu petik gitar, kini lakar potret pemimpin negara
- Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
- 19 Mac 2023, 3:31 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am