DALAM keluarga kami seramai empat orang itu, hanya Yusri yang ‘cengil’ tentang masakan. Abang kami, Jemi dan Jeman tidak kisah apa jua emak hidangkan. Yusri setahun lebih muda daripada saya.
Musim hujan datang berterusan dan ayah tidak dapat ke ladang getah untuk menoreh. Pokok getah tidak boleh ditoreh kerana perdunya basah. Susu getah tidak mengalir masuk ke dalam mangkuk getah. Emak yang di rumah pening kepala kerana tidak tahu nak masak apa. Emak akan mengawal perbelanjaan keluarga dengan berhemah. Emak mengawal perbelanjaan di dapur berdasarkan congak mengutamakan wang keluar masuk. Saya sedar bukannya emak tak tahu nak masak apa, tapi kedudukan kewangan meruncing.
Emak memandang ke luar rumah ke arah pokok durian yang sedang berbunga. Bunga-bunga durian itu sedang berputik. Di tanah terdapat bunga-bunga durian gugur ke tanah.
“Kamu pernah makan sayur bunga durian,Sen?” tanya emak. Saya menggeleng-gelengkan kepala. Tapi, tentu sedap kalau masakan sayur bunga durian itu dari ‘air tangan’ emak sendiri.
“Kalau mak masak sayur bunga durian, Sen suka tak?” soal emak lagi.
“Suka,” balas saya.
“Emak tak tanya Yusri?” soal saya.
“Kenapa mak nak tanya Yusri?” balas emak.
“Manalah tahu, Yusri tak suka dengan sayur bunga durian tu?” ujar saya.
Emak tidak memanjangkan pertanyaan saya itu. Emak tidak kisah kalau Yusri tidak suka masakan sayur bunga durian itu. Kalau dibuat undian, emak masih menang.
Emak ada Bapak,Jemi, Jeman dan saya. Emak sudah ada empat undi manakala Yusri tiada undi kerana kami semua berpihak kepada emak.
“Jom ikut mak ke pohon durian tu,” terang emak yang mematikan khayalan saya.
“Mak pun dah tak reti nak masak sayur apa, Sen. Inilah saja pilihan ada,” ujar emak.
Memang setiap masakan emak akan disertai sayur sekali. Sebenarnya, itu kehendak Bapak yang sukakan apa jua sayur ada dalam menu makanan kami.
“Emak nak masak apa bunga durian ni?” soal saya.
“Kita masak rebus air sajalah,” balas emak.
Saya terfikir lain daripada cadangan emak. Saya lebih suka kalau emak masak lemak cili padi. Kalau ada ikan darat seperti haruan, sembilang atau keli goreng lagi sedap.
“Mak masaklah lemak cili padi,tentu sedap,” ujar saya.
“Betul juga cadangan kamu tu, Sen. Lebih sedap kalau ada ikan darat,” balas emak.
“Kalau Mohsen suka mak masak lemak, Mohsen kena cari kelapa,” ujar emak.
Saya selalu mengutip kelapa tua yang gugur dari di halaman rumah. Saya akan membantu emak membelah kelapa dan memarutnya.
“Kau tahu ke mana pergi Jemi dan Jeman?” soal emak.
“Kata mereka nak memancing di sungai tu. Nak cari ikan untuk dijadikan lauk,” ujar saya. Saya tahu mereka memancing kerana saya menolong mereka mencari umpan cacing dan telur kerengga pagi itu. Saya bercadang mengikut mereka memancing tetapi Jemi menegahnya.
“Kamu jaga emak di rumah tu. Kasihan mak sorang-sorang di rumah,” ujar Jemi.
Bapak telah keluar ke pekan Jasin menggantikan tayar motosikalnya yang telah botak itu. Bapak hampir terjatuh dari motosikal di laman rumah apabila cuba membrek dan tayar motosikal yang tidak lagi ‘berbunga’ itu tidak lagi ‘menggigit’ ke tanah. Motosikal Bapak menjajar ke depan. Nasib baik Bapak sempat mengelak tiang kayu bangsal motosikal itu.
Yusri biasalah dalam waktu hujung minggu begini akan ke rumah Mak Cik Tukijah. Yusri nak berbincang dengan Markonah masalah pelajaran kerja rumah matematik. Markonah anak dara sunti Mak Cik Tukijah itu.
Disebabkan Yusri pelajar pandai di Sekolah Menengah Iskandar Syah dalam bidang matematik, Mak Cik Tukijah tidak menghalang Markonah berkawan dengan anak gadisnya itu. Sesekali emak ada menasihatkan Yusri supaya berhati-hati berkawan dengan Markonah itu.
“Kalau belajar tu buatlah faham belajar, jangan menyimpang perkara lain,” ujar emak. Teguran emak mendapat tentangan Yusri. Bapak jarang menegur Yusri berkawan dengan Markonah. Ini kerana mereka tidak menimbulkan apa-apa masalah dan tiada rungutan daripada penduduk kampung.
“Yus dah besarlah, mak. Mak tak cakap pun Yus tahu.Mak Cik Tukijah tu kalau tahu Yus datang tentu masak ‘ungkep’ makanan orang Jawa yang Yus suka,” jelas Yusri.
“Hari ni mak nak masak sayur bunga durian,” ujar emak.
“Tak ada sayur lain nak dijadikan sayur, selain bunga durian tu?” soal Yusri.
“Kenapa, Yusri tak makan ke masakan mak sayur bunga durian?” soal emak.
“Tak. Yus nak makan ke rumah Mak Cik Tukijah,” balas Yusri dan menuruni tangga mendapatkan basikalnya.
Emak hanya tersenyum. Sejak berkawan dengan Markonah, Yusri sudah mula menggemari masakan orang Jawa. Markonah akan menduduk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.Saya pernah bertanyakan kepada emak tentang masakan ‘ungkep’ itu.
“Masakan ayam kampung. Tapi ayam tu dimasak kering untuk mudah disimpan beberapa hari,” terang emak.
“Tak basi ke mak, bila ayam tu disimpan beberapa hari?” soal saya. Emak menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kalau kamu nak rasa, temankan Yus tu ke rumah Markonah tu,” sindir emak.
Kata emak, masakan ayam ‘ungkep’ ini rasanya lemak, manis, pedas termasuk sekali dengan bau wangi serai. Saya menjilat bibir saya apabila mendengar cerita emak itu,
Setelah usai mengutip bunga durian itu, mata emak beralih ke reban ayam. Telor ayam boleh digoreng untuk dibuat telur dadar. Emak akan meracik-racik bawang dalam membuat telur dadar itu.
Telur ayam juga boleh dibuat gulai yang berkuah.Setelah mencongak dalam kepalanya, emak semakin nekad dengan keputusan yang dibuat. Ketika emak sibuk memasak, Jemi dan Jeman pulang membawa ikan dipancingnya. Mereka berjaya memancing ikan sembilang.
“Ini saja ikan yang singgah di mata kail pancing kami,” balas Jeman.
“Kamu duduk rumah, ‘siang’kan ikan tu, mudah kerja mak nak memasaknya,” ujar Jemi.
“Aku dengan ikan sembilang ni, aku alah nak ‘siang’,” balas saya.
“Apa yang kau alahkan?” soal Jemi. Sebelum sempat saya menjawab pertanyaan Jemi, Jeman menyampuk.
“Biarlah ‘thrill’ sikit ‘siang’ ikan sembilang tu. Takkan hanya pandai makan je,” perli Jeman. Saya rasa tercabar. Saya membawa baldi berisi lima ekor ikan sembilang ke dapur untuk menyiangkannya.
Saya merenung ikan sembilang terkodek-kodek itu. Untuk melemahkan ikan sembilang yang aktif itu, saya perlu mengetuk kepala ikan sembilang itu dengan kayu. Saya mendengar emak membebel di dapur.
“Kenapa kamu mendera Mohsen tu, Jemi, Jeman. Bukankah Mohsen tak biasa ‘siang’ ikan tu. Sengat ikan sembilang bisa,” ujar emak.
“Sampai bila Mohsen nak takutkan sengat ikan sembilang tu,mak. Mohsen kena biasakanlah,” ujar Jemi. Tiba-tiba saya menjerit kesakitan.
“Tolong Mohsen,mak. Mohsen dah kena sengat ikan sembilang. Adui, bisanya,” rintih saya. Saya mengangkat jari telunjuk yang berdarah.
“Kita bawa Mohsen ke Klinik…bunuh bisa sengat ikan sembilang tu…jangan sampai racunnya tu sampai ke jantung,” tingkah Jemi.
“Jom, naik motosikal aku, bawa Mohsen ke klinik,” ujar Jeman.
“Barulah puas hati kamu berdua, aku dah terkena sengat,” gerutu saya.
“Agh, jangan salah menyalahkan, Mohsen. Kau sendiri tak cermat. Semasa kami keluarkan ikan dari pancing tadi, tak pula kami terkena sengat ikan sembilang tu,” tingkah Jemi.
“Ikan tu dah kenal muka kamu berdua, sebab tu ikan tu tak sengat tangan kamu,” balas saya.
“Sudah, sudah…jangan nak bergaduh,” jerit emak yang di tangannya ada mangkuk kecil yang berisi asam jawa.
“Mak nak buat apa dengan asam jawa tu?” tanya Jeman.
“Bawa ke sini tangan kamu tu, Mohsen…mak nak letakkan dengan asam jawa ni..nak matikan racun bisa ikan sembilang tu,” balas emak. Jeman menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu.Jeman keliru mana satu yang mahu diikut.
“Nak ke klinik atau tidak ni?” sergah Jemi dari laman rumah. Injin motosikal sedang dihidupkan. Saya tiba-tiba memandang benci pada Jemi dan Jeman. Angkara mereka berdualah, jari saya terkena sengat ikan sembilang.
“Tak payah. Mak dah ada penawarnya. Perut aku pun sedang lapar ni,” balas saya. Jemi mematikan injin motosikalnya. Tengah hari itu, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Daun-daun sekitar pohon pada laman rumah melambai-lambai ditiup angin. Emak ke dapur memasak sayur bunga durian. Jemi dan Jeman mengambil alih tugas saya menyiang ikan sembilang itu.
Bapak tidak cerewet apa yang emak masak. Prinsip Bapak, kalau sedap makan banyak. Kalau masakan emak tak sedap, makanlah sedikit. Tapi, Bapak selalu makan banyak masakan emak. Perut Bapak semakin boroi. Kata emak, bagi menegah suami mencari perempuan lain, jaga perutnya. Entah benar entah tidak nasihat emak itu.
Sikap Bapak bukanlah memudahkan kepala emak, tetapi memeningkan kepala. Ini kerana emak kena memikirkan lauk yang ingin dimasak pada setiap hari.
Makanan tengah hari telah siap. Emak sudah menggoreng ikan sembilang dan me memasak sayur bunga durian masak lemak cili padi.Tidak beberapa lama kemudian kedengaran motosikal Bapak masuk ke dalam rumah.
“Dah masak, Ina?” soal Bapak. “Dah,” balas emak singkat. Bapak ke bilik air membersihkan dirinya. Makanan sudah terhidang menunggu Bapak.
Tiba-tiba kedengaran suara Yusri memberi salam. Mata Yusri mengerling ke arah kami. Tangannya meraba perutnya. Harapannya untuk makan ‘ungkep’ Mak Cik Tukijah kecundang.
“Daging ayamnya basi. Markonah simpan lauk tu ketika panas dan bertutup menyebab wap air terperangkap,” ujar Yusri.
“Pergilah ke dapur ambil nasi. Mak masak ikan sembilang goreng dan sayur lemak bunga durian,” balas emak.
“Sayur lemak bunga durian?” tanya Yusri sambil ke dapur menceduk nasi. Perutnya berbunyi minta diisi. Emak tersenyum memandang Bapak, Jemi, Jeman dan saya dengan seribu makna. – Mingguan Malaysia
Sayur lemak bunga durian
- Oleh ISMAIL HASHIM
- 26 Februari 2023, 4:11 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selamat hari lahir Kartini
14 Januari 2024, 5:37 pm
Tentang harapan penggiat tulisan khat
14 Januari 2024, 4:01 pm
Tengkujuh di hati Jusuh
7 Januari 2024, 6:07 pm