Madani bermaksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan (bukan masyarakat, generasi dan sebagainya) dalam usaha untuk membentuk masyarakat – dengan menyemaikan nilai-nilai murni kekeluargaan. Manhaj itu terarah kepada pembinaan masyarakat.
Apabila filem Duan Nago Bogho (DNB) menemui penonton di pawagam pada 19 Januari lalu, sebenarnya Sabri Yunus telah memasukkan kerangka dasar Malaysia Madani dalam filem DNB.
Ini dapat diihat dengan watak-watak yang dibina dalam DNB yang terdiri daripada tiga kaum besar yang ada di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.
Watak pelbagai kaum ini menjadi kekuatan filem DNB sebagai subjek merealisasikan enam rukun Malaysia Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Nilai-nilai murni kekeluargaan dalam DNB jelas tergambar seperti yang ingin disampaikan oleh Sabri bahawa hubungan keluarga dan setiakawan merupakan nilai yang amat mahal dalam kehidupan manusia.
Watak Duan yang dipertemukan dengan dua wanita berbeza bangsa walaupun pada awalnya Duan tidak mahu menerimanya, namun rasa hormat Duan menjadikan dirinya ada keyakinan untuk terus berkawan dengan dua wanita tersebut dan menjadi setiakawan kepada kedua-dua wanita itu. Malahan secara diam-diam, ada bibit-bibit cinta timbul dalam perasaan Duan.
Begitu juga dengan sikap setiakawan yang ditunjukkan oleh Awi kepada Duan apabila Duan hendak menyelamatkan Nancy. Awi turut sama terlibat dalam misi itu dan terlibat bergaduh dengan samseng.
Sebenarnya banyak pemikiran yang ingin disampaikan oleh Sabri dalam DNB. Bertepatan dengan konsep Malaysia Madani, filem DNB mampu menjadikan pemikiran rakyat Malaysia berfikir di luar kotak bahawa filem DNB bukan setakat hiburan semata-mata tetapi menjadi manhaj pembinaan masyarakat yang lebih realistik dan bertamadun.Meskipun filem DNB memaparkan dendam dan pergaduhan, namun Sabri turut memasukkan sifat kerohanian yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan. Biarpun Duan digambarkan sebagai seorang yang cepat panas baran dan bengkeng, namun dia tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Islam menunaikan solat di rumah dan di surau. Inilah mesej kerohanian yang ingin disampaikan Sabri kepada penonton.
Di samping sebuah filem aksi, Sabri turut mengangkat subjek warisan kesenian tradisional sebagai bahan yang harus dipertahankan oleh pihak yang bertanggungjawab khususnya pemerintah.
Mak Yong merupakan seni tradisional Kelantan yang mesti diangkat sebagai warisan budaya bangsa dan menjadi khazanah berharga. Kesungguhan dua wanita berbangsa India (Salmi) dan Cina (Nancy) ingin menyelidik dan mempelajari Mak Yong dengan lebih mendalam, jelas menggambarkan sesiapa sahaja bangsa di negara ini berhak mempelajari seni warisan tradisional ini asalkan ada minat dan kemahuan.
Secara tidak langsung, ciri-ciri kekeluargaan yang dihuraikan dalam Malaysia Madani jelas terpancar bahawa kita memiliki satu keluarga besar yang hidup dalam suasana harmoni. Ini dapat digambarkan ketika Salmi berbangsa India boleh diterima oleh semua pemain Mak Yong walaupun pada mulanya Duan berasa jengkel hendak mengajar Salmi.
Begitu juga Nancy yang boleh diterima oleh Duan walaupun pada mulanya dia begitu berat hendak menerima tanggungjawab sebagai guru Mak Yong.
Biarpun Duan seorang yang suka sangat bergaduh, namun dalam hatinya masih ada rasa ihsan. Malah Duan melindungi Nancy daripada diculik oleh penjahat kerana rasa bertanggungjawab menjaga Nancy.
Mak Yong dijadikan Sabri subjek penyatuan dalam persahabatan apabila kumpulan Mak Yong bersungguh-sungguh berlatih bagi menjayakan persembahan yang disaksikan oleh pelancong dari Jepun.
Biarpun pada hari persembahan, Duan terpaksa menyelamatkan Nancy yang diculik dan nyawa Duan hampir terkorban, namun semangat setiakawan Awi dan Nulik turut membantu Duan berdepan dengan orang Fendi Bukit Bintang yang akhirnya Fendi BB ditumpaskan oleh Nyonya Ang dan Jimmy Ang.
Kenapa Sabri meletakkan watak Cina dan India yang ingin menyelidik dan mempelajari Mak Yong? Kenapa tidak meletakkan watak bangsa Melayu yang ingin mempelajari Mak Yong? Sedangkan kesenian Mak Yong itu warisan bangsa Melayu? Inilah wacana pemikiran yang ingin disampaikan Sabri.
Kesimpulannya, filem DNB sarat dengan pemikiran yang mengajak penonton menghayati konsep Malaysia Madani yang jelas terpancar dalam isi cerita DNB. DNB bukan setakat filem untuk menghibur semata-mata tetapi ceritanya dibina oleh Sabri bukan sekadar kisah dendam dan pergaduhan, tetapi ada mesej yang lebih mendalam maksudnya.
Sebagai negara berbilang bangsa, dalam setiap diri manusia itu perlu ada rasa ihsan yang akan menjadikan kehidupan lebih sejahtera tanpa persengketaan dan pergaduhan. Inilah yang dimahukan Malaysia Madani. – Mingguan Malaysia
Penyatuan bangsa dalam Duan Nago Bogho
- Oleh ZAINAL ABDUL KADIR
- 12 Februari 2023, 5:43 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am