MELIHAT kartun yang memaparkan kepelbagaian kehidupan masyarakat di negara ini sudah cukup membuatkan kita tersenyum. Apatah lagi lakaran tersebut menjadi cerminan pada diri setiap orang yang pernah melalui kehidupan sebagaimana dalam karya berkenaan.
Bukan sekadar itu, lukisan kartun turut memainkan peranan sebagai medium penyatuan dan keharmonian masyarakat di negara ini. Contoh terbaik boleh dilihat pada karya kartunis Lat yang menceritakan kehidupan dengan berlatar belakangkan elemen-elemen yang ada di negara ini.
Selain itu, ada lagi beberapa nama yang agak sinonim sebelum ini seperti Ujang yang begitu terkenal dengan karya Usop Sontorian.
Namun, di sebalik nama-nama besar itu, saya tertanya masih ada lagikah pelukis terutama dalam kalangan orang muda yang berminat menghasilkan karya berunsurkan elemen kehidupan masyarakat Malaysia?
Jawapan ada dan salah seorangnya pelukis muda yang berasal dari Kelantan.
Kamal Nawie yang berumur 30 tahun ini banyak menghasilkan kartun rakyat dengan lukisan yang cukup kemas dengan penyampaian menarik.
Menurutnya, dia menjadikan persekitaran di sekelilingnya sebagai idea untuk menghasilkan karya sedemikian.
“Saya tinggal di kawasan kampung iaitu di Pantai Sabak. Persekitaran saya banyak membantu dan keadaan bertambah mudah sebab saya sememangnya dibesarkan dalam suasana kampung.
“Mungkin kalau saya tinggal di tempat lain ia sukar dan menjadi cabaran. Tambahan pula saya hanya melukis tanpa perlu memerah idea untuk buat lawak. Saya hanya menggambarkan situasi di sesebuah kawasan,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Ketika ditanya tentang pembabitan awalnya dalam dunia seni, Kamal berkata, dia meminati bidang ini sejak kecil.
“Saya melukis sebab saya minat. Saya tidak menghiraukan bagaimana penerimaan orang terhadap karya yang saya hasilkan.
“Lagipun, pada asalnya saya banyak melukis di tempat-tempat yang saya suka. Saya buat lukisan-lukisan berkenaan sebagai catatan tempat yang saya tengok dan disimpan untuk diri sendiri,” jelasnya.
Dalam pada itu Kamal berkata, dia turut bercita-cita untuk membawa kepelbagaian elemen kehidupan Malaysia ke luar negara menerusi lukisan pada satu masa nanti selepas melihat potensi dalam bidang tersebut.
Menurutnya, lukisan antara media penyampaian umum yang mempunyai keunikan dan kecantikan sendiri terutama berkaitan aspek budaya serta warisan.
“Ia mudah difahami dan diingati selain disifatkan sebagai kuasa untuk pembaca dalam penyampaian wadah yang mampu memberi kesedaran terhadap isu tertentu.
“Ini termasuklah sebarang mesej yang ingin disampaikan oleh pelukis tersebut termasuk perkara berkaitan seni, budaya dan warisan,” terangnya. – Mingguan Malaysia
Martabat kartun rakyat ketengah budaya Malaysia
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 19 Februari 2023, 3:33 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am