SETIAP lima tahun seperti termaktub dalam kalendar akan diadakan pemilihan dan persidangan tahunan segala koloni-koloni ketam dari usia anak hinggalah hampir putus sepit di suatu tempat terkenal untuk memberitahu kepada seisi alam bahawa koloni ketam masih ada kekuatan dan sokongan dari habitat lain untuk meneruskan perjuangan hidup kepada para pengemar makanan laut dan nelayan di luar sana.
Pada persidangan kali ini akan diadakan pemilihan jawatan pengerusi dan barisan ahli kepimpinan tertinggi koloni ketam yang baru setelah tamat penggal penyandang jawatan sekarang.
Sebelum persidangan dan pengundian, satu perjumpaan tertutup bersama ketua-ketua dan barisan kepimpinan setiap koloni telah diadakan di bawah penyelaras ketua Bakau.
Koloni Nipah, Lumpur, Batu dan Bakau telah lama berada dalam satu komponen berbincang untuk mengenal pasti koloni mana yang bakal menjadi pengerusi pada pemilihan kali ini.
Ketua Bakau mencadangkan akan mengangkat dan memilih ketua Nipah sebagai pengerusi koloni baru. Ketua-ketua koloni ketam tidak bersetuju dengan cadangan tersebut malah koloni Biru dan Bunga telah sekian lama berikrar taat setia berada dalam pakatan koloni telah membantah. Ketua Biru beranggapan Nipah tidak sesuai dipilih sebagai pengerusi asbab statusnya yang berada di sekitar pokok nipah dan sudah semestinya hanya tertumpu kepada persekitaran yang terbatas.
Ketua Bunga pula menempelak ketua Nipah mengamalkan sikap pentingkan diri sendiri dan menanam rasa prejudis kepada koloni lain yang lebih maju.
Nipah juga tidak memiliki perilaku yang baik, tidak bertanggung jawab dan adil serta suka mencari aib ketua-ketua koloni dari terus berfikir untuk maju ke hadapan. Ini telah mengikis nilai-nilai murni sekaligus meruntuhkan perpaduan yang telah dibina dalam pakatan koloni.
Bantahan ketua Biru dan Bunga tidak diterima malah ketua Nipah telah berdebat atas kejayaan-kejayaan yang dicapai sepanjang memimpin koloni Nipah dan pakatan koloni. Nipah beranggapan ini merupakan asbab dan tanda aras untuknya menawarkan diri bertanding pengerusi koloni. Ketua Biru dan Bunga mengugut akan menarik diri keluar dari pakatan koloni sekiranya budaya angguk, takut dan yes man masih diamalkan pada pemilihan kali ini.
Ketua Lumpur dan Batu juga mendesak agar ada koloni lain selain koloni Nipah untuk diketengahkan menjadi pengerusi. Setiap koloni mempunyai ketua dan pemimpin yang berkarisma untuk dicadangkan sebagai pengerusi dan barisan ahli kepimpinan tertinggi.
Malangnya, mereka di dingin beku malah dicantas di dalam koloni itu sendiri kerana bimbang segala usaha dan pengaruh dimiliki akan menjadikannya popular di suatu hari nanti dan memberikan impak kepada pemimpin-pemimpin veteran yang masih lagi ingin berkuasa.
Merasa jelak dengan barisan kepemimpinan sedia ada yang rata-ratanya berstatus veteran, semua bersetuju pada pemilihan kali ini akan memilih dan mengetengahkan pengerusi dari kalangan pemimpin muda untuk diketengahkan sebagai seorang pemimpin berwibawa.
Beberapa ahli koloni mencelah dan memberikan pendapatnya berdasarkan apa yang didengari melalui perbualan dua nelayan tempoh hari.
Katanya, untuk menjadi pengerusi dan memimpin koloni ketam yang bertaburan di sepanjang perairan laut, sungai, tasik, paya dan lembah, ada beberapa ciri-ciri khusus yang boleh difikirkan bersama untuk memilih pemimpin. Jika tiada ciri-ciri ini jangan bermimpi untuk menjadi pemimpin.
Pengerusi koloni hendaklah sentiasa segar, matanya aktif bergerak keluar masuk, penuh jari dan sepit, gemuk dan sihat.
Selepas bulan mengambang, pengerusi akan keluar berjumpa dengan ahli-ahli koloni serta sentiasa bermegah menunjukkan isi yang padat dan banyak.
Pemimpin yang akan diundi semestinya mempunyai cengkerang serta sepit yang kuat, beratnya berbaloi dan dalam keadaan segar-bugar dengan melihat tiga segi di belakang masih kuat melekap malah bila ditekan masih keras dan susah untuk ditekan. Sudah tentu masih berair bila ditekan, cukup sifat kaki dan sepit masih kuat melekat pada badan serta kedua-dua mata ketam jelas kelihatan.
Di bahagian bawah hendaklah sentiasa berwarna putih dan tiada tompok-tompok hitam menunjukkan sudah berusia dan tidak relevan lagi untuk dipilih sebagai pemimpin diibarat kata, rumah kata pergi kubur kata mari.
Sesiapa sahaja ahli-ahli koloni ketam yang akan dinobatkan sebagai pemimpin mesti bijak memimpin bukannya dipimpin. Sentiasa mendengar masalah, mengambil berat dan berusaha sedaya upaya bagi memastikan koloni ketam tidak pupus di mana-mana perairan tanah air. Sentiasa berprinsip teguh dan tidak mudah leka dengan kemasyhuran yang diperoleh. Bijak mentadbir bersama habitat dan alam semula jadi kerana mereka semua adalah penyumbang kepada kehidupan koloni ketam sehingga ke hari ini.
Ahli-ahli koloni menyuarakan kekecewaan dengan pengerusi sekarang dari koloni Lumpur kerana tidak bijak mentadbir urus tatakelola koloni dengan baik. Tidak sepatutnya berasa megah dengan kedua-dua sepit yang boleh menghancurkan mangsa dan dibawa masuk ke dalam lubang untuk dijadikan habuan.
Jangan terlalu jumud dan sombong dengan keindahan cengkerang pelbagai warna kerana akhirnya akan dibuang ke dalam tong sampah usai dimakan. Bila bermesyuarat pengerusi selalu berpesan jalan menegak, jika ada halangan di hadapan sepit semahu hati tetapi sehingga kini pengerusi masih lagi jalan mengiring.
Ketua Bakau merasa tertekan dengan pendirian ketua Biru dan Bunga. Jika ini berlaku akan musnahlah harapan ketua Bakau untuk dilantik menjadi orang kanan Nipah jika terpilih dan menang pemilihan jawatan pengerusi.
Koloni Nipah yang mempunyai keanggotaan paling ramai di antara koloni-koloni lain merasa tercabar. Kata sepakat diambil untuk tidak mengganggu-gugat proses pemilihan. Ketua Nipah memecat ketua koloni Biru dan Bunga serta mendapat sokongan dari koloni Bakau, Lumpur dan Batu.
Dengan penjelasan dan tindakan melulu diambil, koloni-koloni ketam mula berpecah. Semua ketua koloni ingin mencalonkan diri menjadi pengerusi kerana percaya ia adalah proses demokrasi dan cuba melonjakkan nama koloni masing-masing.
Perpecahan induk di antara pakatan asal dengan ketua dan pemimpin-pemimpin koloni semakin ketara. Masing-masing menggunakan pengaruh kerana mahu menaikkan diri sendiri dengan alasan untuk kepentingan koloni sehingga ada yang sanggup menyalahgunakan kedudukan, kuasa dan pangkat.
Ketua Biru dan Bunga keluar dari pakatan asal dan menubuhkan sebuah pakatan baru yang dianggotai oleh semua ahli-ahli koloni Biru dan Bunga. Ada ahli koloni meluaskan ikhtiar dengan mengadakan satu langkah perjumpaan untuk memujuk ahli-ahli koloni lain menganggotai pakatan baru.
Langkah yang dinamakan Langkah Jaya telah berjaya mempengaruhi sebilangan besar ahli untuk sama-sama berjuang menegakkan keadilan.
Tujuan Langkah Jaya ini untuk memberi kesedaran kepada kepimpinan sedia ada dan akan datang bahawa jawatan-jawatan yang dipertandingkan bukan hak mutlak sesuatu koloni dan individu.
Ia mestilah dipertandingkan secara terbuka dan sesiapa sahaja ahli yang bernaung di bawah pakatan baru layak untuk bertanding bagi terus mengamalkan proses demokrasi yang subur dan matang.
Dalam koloni terbit bibit-bibit perpecahan. Ada di kalangan ahli-ahli koloni yang sudah bertompok hitam, sepit patah serta kaki tidak sempurna merajuk kerana nama tidak dicalonkan untuk jawatan pengerusi malah nama tidak terselit dalam barisan ahli kepimpinan tertinggi lantas meninggalkan koloni asal dan bergabung dengan ahli-ahli koloni lain yang sama senasib menjadi ahli pakatan baru yang diasaskan oleh ketua Biru dan Bunga.
Mereka semua bersetuju dengan manifesto pakatan baru yang ditubuhkan semata-mata sebagai semak dan imbang kepada isu-isu koloni yang sejajar dengan tujuan berpolitik, mengimbangi autonomi pemimpin, aspirasi dan hala tuju koloni.
Kini komponen pakatan baru mampu mencabar dan bersaing serta mempunyai kekuatan dari segi jumlah ahli dan akan membariskan pemimpin yang jauh lebih dinamik, berkekuatan dan mampu diterima oleh ahli-ahli koloni untuk berkhidmat demi koloni yang tercinta.
Pengerusi sedia ada merasa gusar melihat perpecahan yang sedang berlaku. Malah ketaasuban pengikut selain keegoan calon-calon menawarkan diri bertanding untuk jawatan pengerusi yang sentiasa beranggapan dirinya betul dan sempurna.
Tekaan pengerusi tepat bila melihat dan mendengar ada pemimpin yang tidak dicalonkan dan dipecat telah menawarkan diri bertanding dibawah bendera dan lambang pakatan baru.
Mempertahankan jawatan pengerusi disandang sejak bermula sepit serta kaki yang kukuh dan kini telah banyak tidak berfungsi tetapi jiwa besarnya masih lagi ingin berkuasa bertujuan untuk menutup lubang-lubang kemungkaran yang dilakukan bersama beberapa ahli kepimpinan tertinggi.
Sekiranya terpilih lagi maka onar yang dilakukan akan terhenti dan diam dari diperkatakan malah balaci-balaci setia akan sentiasa menyokong dan mengiakan apa yang dilakukan.
Dalam hati pengerusi mengandaikan ketua dan pemimpin-pemimpin setiap koloni yang menawarkan diri bertanding jawatan pada kali ini sebagai satu politik caca merba. Ingin berkuasa memegang jawatan tetapi dalam masa sama dalam satu pakatan terdapat dua dan tiga pemimpin yang bertanding atas tiket sama dan secara tidak langsung akan berlaku tikam-menikam sesama mereka.
Barisan kepimpinan sekarang melihat situasi ini dalam keadaan gembira kerana akan memberikan nilai tambah dan dapat mengukuhkan kedudukan mereka. Bila ahli-ahli koloni berpecah belah, mereka lebih senang untuk terus bermuslihat dan mengambil kesempatan untuk terus dominan.
Selama ini semua mendakwa sudah bertungkus lumus membawa teks politik ke semua koloni bahkan telah melaksanakan praktik-praktik politik dengan kaedah merakyat koloni tetapi tidak berjaya.
Masih banyak kelemahan yang tidak diperbaiki, kata-kata manis ketika musim pemilihan dan selepas itu batang hidung tidak kelihatan. Masih berpuas hati khidmat yang dicurah tetapi tidak memberikan sebarang kesan pada sebahagian koloni. Semua koloni ketam merasa muak dibuai janji-janji yang diberi dan pemilihan kali ini dapat memberi pengajaran dan tunjuk ajar pada mereka.
Dalam pemilihan kali ini akan terus berkempen supaya memilih pakatan asal yang mengangkat politik sebagai autentik walaupun mereka sedia maklum bukan satu perkara mudah untuk melaksanakannya.
Semua berikrar akan sehabis daya mengungkit dan meluaskan aib-aib yang ada pada celana pakatan baru koloni lawan semata-mata untuk memenangi hati sekalian pengundi-pengundi koloni.
Sudah pasti semua akan berbalas-balas air liur kerana siapa yang bijak berpidato, mengadu domba dan janji-janji padu dalam manifesto akan mendapat ranking yang tinggi dalam kalangan pengundi. Akan bertempik dan bersorak ria kempen-kempen fitnah, sentimen dan perkauman yang telah menjadi resipi asli dan rempah ratus setiap kali musim pemilihan.
Akhirnya pengundi-pengundi koloni yang apolitikal akan termakan hasutan dengan sihir-sihir politik lalu memenangkan pakatan asal.
Sedang asyik ketua dan barisan kepimpinan koloni berbincang, tiba-tiba keadaan menjadi kelam kabut. Air mula bergelombang dan lumpur-lumpur naik ke permukaan air.
Nasib malang menimpa apabila seorang nelayan menebar jala di tempat koloni berkumpul. Semua terhimpit dan tertindih antara satu sama lain sehinggakan tidak ada ruang untuk bernafas. Semua rasa terkurung. Barisan kepimpinan terperangkap. Hasrat untuk dominan terus lenyap. – Mingguan Malaysia
Koloni memilih
- Oleh RAJA ABDUL RAHMAN RAJA BASOK
- 19 Februari 2023, 5:33 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selamat hari lahir Kartini
14 Januari 2024, 5:37 pm
Tentang harapan penggiat tulisan khat
14 Januari 2024, 4:01 pm
Tengkujuh di hati Jusuh
7 Januari 2024, 6:07 pm