KALAU sebut pasal ghazal dan zapin, tidak boleh tidak mesti dikaitkan dengan gambus.
Malah, gambus menjadi lambang seni warisan Johor yang secara tidak langsung turut mengangkat industri kraf dan pelancongan negeri itu.
Namun, kini sejauh mana alat muzik gambus mampu kekal dan terus dikenali ketika zaman yang penuh kecanggihan teknologi dan moden ini terutama di negeri lain.
Ditambah pula pemahaman banyak pihak yang melihat gambus lebih kepada elemen dalam ghazal dan zapin menyebabkan ia tersisih sedangkan gambus turut dikategorikan sebagai genre muzik.
Sebenarnya kebimbangan terhadap alat muzik ini bukan sahaja melibatkan bakat atau pemainnya tetapi turut melibatkan pembuatnya yang semakin pupus.
Perkara tersebut diceritakan oleh Presiden Persatuan Gambus Malaysia, Raja Zulkarnain Raja Yusof yang melihat kekurangan sambutan genre dan alat muzik ini daripada satu sudut lain.
Menurutnya, gambus tidak akan ketandusan pemainnya walaupun jumlah semakin berkurangan terutama dalam kalangan golongan muda.
Sebaliknya, apa yang sangat dibimbangkan adalah kepupusan pembuat alat muzik gambus sentuhan tempatan.
“Sebelum ini kita anjurkan satu festival di Johor dan selitkan pameran pembuatan alat gambus. Kita buat sebegini kerana mahu membuka mata kepada semua rakyat tentang alat ini.
“Kalau boleh kita mahu ketengahkan dan mengangkat pembuat gambus kerana yang ada sekarang di Johor hanya seorang sahaja. Itu pun tidak sihat. Kalau tiada lagi maka habislah pembuat gambus di negeri tersebut,” jelasnya.
Tambah Raja Zulkarnain, dia memberi fokus terhadap pembuatan gambus selepas melakukan kajian di Istanbul, Turki pada 2018 dan berjumpa dengan pakar pembuat alat muzik berkenaan.
Sehingga kini, Sabah antara negeri yang masih memartabatkan muzik dan alat permainan ini terutama sebagai instrumen perpaduan.
Dalam pada itu, Raja Zulkarnain berkata, walaupun terdapat institusi pengajian tinggi menawarkan pengajian dalam bidang berkaitan permainan alat muzik ini, usaha dalam mengetengahkan keseluruhan alat muzik gambus masih kurang daripada agensi kerajaan.
“Festival, bengkel dan majlis seumpamanya banyak yang kita anjurkan tanpa pembabitan daripada agensi berkaitan. Penatlah kalau begini.
“Kita selalu mengusulkan untuk buat festival, pemeran dan konsert berkaitan gambus kerana platform untuk gambus kurang. Setakat ini sekali dua sahaja bantuan dan sokongan daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN),” jelasnya.
Sementara itu, ditanya tentang sejarah gambus di Johor, beliau memberitahu, terdapat pelbagai kebarangkalian dan persoalan berhubung kesahihannya.
“Ada pendapat kata gambus masuk menerusi beberapa kepulauan Indonesia dan kemudian dibawa ke Singapura dan seterusnya ke Johor. Namun alat ini berasal dari Timur Tengah.
“Gambus ini boleh dikatakan alat muzik pertama yang wujud sejak zaman nabi. Fungsi utama untuk berdakwah dan melodi yang dimainkan sama dengan bacaan al-Quran.
“Bila dimasuk ke negara kita pada abad ke-15, permainan gambus sudah menjadi sebagai salah satu bentuk hiburan. Dakwah daripada isi kandungan lagunya sahaja,” jelasnya. – Mingguan Malaysia
Gambus: Siapa terlepas pandang?
- Oleh Mohamad Hafiz Yusoff Bakri
- 5 Februari 2023, 5:13 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am