“Mereka tidak suka aku. Memang aku syak mereka akan menolak aku kali ini. Sudah dua penggal. Sudah memadai. Alasan penolakan sangat tidak munasabah. Dengki mendaki dalam diri dia. Dia mahu mengambil tempat aku. Dia mencetak musuh, Sahak. Nahas! ”
Datuk Manaf sedar dan tahu, hanya angin yang menyambar luahannya itu selepas Sahak, tukang kebun sambilan di rumahnya. Tetapi angin boleh bertukar menjadi ribut. Mampu menerbangkan bumbung dan meranapkan pokok. Inilah angin baru yang bersedia melakukan apa sahaja. Angin dari Jalan Serindik. Datuk Manaf bangkit dari sofa, bergerak ke tingkap. Teringat kepada Shahril, Jalal dan Muin yang memegang dan menggoyangkan tangan kanannya petang semalam, menyampaikan ucapan tahniah. Rupanya ucapan tahniah atas kejatuhan kawan. Huh, Pengkhianat!
“Aku tidak sangka mereka permainkan Datuk ini. Usia enam puluh lima dikatakan orang lama. Dikatakan sampah. Laknat kamu!”
Hamid dan Mat Dahan muncul di tangga. Kontraktor kelas F itu dijemput masuk. Sekarang baru ada manusia yang akan mendengar kemarahannya, bukan lagi Sahak, bukan juga angin, bukan lagi orang bunian. Biar mereka sampaikan kepada ketua yang berniat jahat itu.
Datuk Manaf mengadap Hamid dan Mat Dahan yang baru meletakkan punggung di sofa. Kenyang makan nasi dagang dengan segelas teh tarik di kedaI Mak Jah belum jatuh ke perut, terperanjat melihat sikap Yang Berhormat ‘BerJuntai Patah’ yang tiba-tiba macam harimau luka.
“Kenapa YB?” tanya Hamid yang tidak tahu hujung pangkal kemarahan Datuk Manaf yang dilihatnya bagai kucing lapar itu.
“Ohhhh, kamu berdua belum tahu? Aku ini tidak mahu dipakai lagi. Aku ini surat khabar lama. Mereka nak guna orang muda yang celik komputer,” Datuk Manaf bergerak dari tingkap ke sofa.
“ Bukankah Datuk memang serba lengkap? ” sambung Mat Dahan, masih memancing emosi. Mudah-mudahan mendapat satu dua projek kecil yang masih berbaki.
“Lengkap kata kamu, sopek kata mereka!” Mat Dahan diam bagai tikus dalam beras. Hamid mengunci mulut juga. Tidak berani menyampuk. Dari dalam kereta, dia sudah mengumpul beberapa ungkapan penjinakan, akhirnya lebur di dalam kegementaran.
“Apa hal kamu berdua ke rumah aku? Aku ingat nak sokong aku?”
“ Laa…dari dulu sampai sekarang, bila pula kami berbelah-bagi. Hidup mati tetap bersama YB.” Sambut Hamid. Datuk Manaf kembali ke sofa. Lega mendengar luahan Hamid. Dia mengurut-urut dadanya. Terasa sedikit gangguan di sebelah dada kirinya. Mengah-mengah dan dua telapak tangannya berpeluh sejuk.
Datuk Manaf berkejar ke simpanan ubat-ubatnya. Mengambil sebiji dan mendatangi semula dua tetamunya itu. Hamid dan Mat Dahan saling berpandangan. Macam ada kecemasan melingkari wajah ketuanya itu. Mat Dahan berasakan kehadiran mereka kali ini sukar, pulang dengan karung kosong.
Datuk Manaf kembali berbaring di sofa, menutup matanya dengan tuala kecil. Meminta Mat Dahan mengambil segelas air suam di dapur. Hamid mendekatinya dan mengurut-urut tangan YB itu dengan harapan darah kembali berjalan lancar sehingga hujung jari.
“Nasib baik kamu ada. Aku nak gelap mata tadi.” Ucap Datuk Manaf selepas terasa dadanya tidak sesesak. “Nyaris-nyaris nak minta kamu hantar aku ke hospital.”
“Datuk nak diam begitu saja?” Hamid membuka mulut sebaik melihat mata Datuk Manaf kembali cerah.
Datuk Manaf melihat anak mata Hamid selepas meneguk air suam yang dibawa Mat Dahan itu. Sudah difikirkan.Sudah dihitung baik dan buruk. Hampir semuanya menjurus kepada desakan bahawa dia tidak boleh membiarkan begitu sahaja.
Pilihan utama, Ahmad Basir, peguam muda yang baru kenal politik setahun jagung ini tidak boleh dibiarkan naik mendadak. Kononnya, Ahmad Basir, ketua orang muda dan untuk mengambil hati orang muda yang menjadi sebahagian besar pengundi maka budak mentah itu dipilih. Macam-macam alasan yang menjadi dalil Datuk Ketua yang tidak mahu mencalonkan orang lama yang banyak berjasa ini.
“Mereka belum kenal siapa Datuk Manaf. Ini buaya yang sudah tajam taringnya!”
Mat Dahan menoleh kepada Hamid. Mendongak ke dinding, kepada foto Datin Sakinah bersama Datuk Manaf berlatarkan istana istana.
“Datin sudah tahu?” tanya Mat Dahan.
“Aku sudah telefon supaya dia balik segera. Tak payah ikut mesyuarat mereka. Membazir masa.”
“Mahukah Datin?”
“Dia kan isteri aku. Kenapa pula dia nak bantah?”
Datuk Manaf melihat jam pemberian Husin Lebai Dolah, kontraktor yang bermula dengan lesen kelas F, diserahkan membina parit di Gugusan Rambai. Itu hadiah pertamanya dan kini sudah berjaya sebagai kontraktor kelas B, tak sampai-sampai. Dia boleh diharap lebih daripada sahabat-sahabatnya lain.
“Husin Lebai Dolah tak nampak muka. Kamu tahu di mana dia sekarang?”
Mat Dahan terpinga-pinga. Dia bukan rapat sangat pun dengan kontraktor yang sudah menjadi orang kaya baru itu. Khabarnya bini pun sudah bertambah, dari dua kepada tiga. Yang ketiga ini khabarnya anak dara, anak tokeh ladang udang harimau.
“Aku tanya, kamu nampak tak kontraktor Husin? “
“Maaf Datuk, sudah lama saya tak jumpa dia,” jawab Mat Dahan tergagap-gagap.
“Datuk, menurut Tajul kawannya, Husin bawa bini barunya makan angin ke Bali.”
“Heh, tak boleh senang sikit, asyik tambah bini aje.”
“Ketiga ini kelaslah Yang Berhormat Datuk. Muda jetik. Comelnya kalah heroin drama kita,” tambah Hamid.
“Apa salahnya kalau nafsu ada, pitis tak habis makan,” sampuk Mat Dahan, mengurut kaki Datuk Manaf. Datuk Manaf kenal sangat anak dara melencun itu. Terbayang muka anak dara itu, wajahnya macam anak Tuk sheikh. Pernah jumpanya melamar kerja di pejabatnya.. Memang dia berhasrat hendak masukkan budak comel itu ke pejabatnya. Rupanya lelaki buaya itu yang menyambar.
Pernah sekali dua diajaknya makan tengah hari. Tetapi ceritanya sampai kepada Datin Sakinah bersekali dengan foto makan di restoran. Seminggu juga Datin Sakinah merajuk sakan.
“Kamu buat apa sekarang?’ Datuk Manaf mula bersuara, memandang Hamid dan Mat Dahan. Hamid cepat-cepat bercerita tentang kesulitannya. Mendapat sub buat pagar klinik. Sudah lama siap, tetapi bayaran daripada kepala projek macam kura-kura berjalan. Mat Dahan berterus terang. Sudah lama dia jadi penganggur selepas menyiapkan projek baik pulih rumah guru di hulu Cengal.
“Sedih, mendengarnya,” kata Datuk Manaf. Menepuk bahu Mat Dahan.
“Beginilah, aku masih ada peruntukan beberapa projek. Aku bagi dua projek tiap seorang. Lusa aku jumpa D.O. Tulat tahulah jenis projek itu.”
“Kami tak lupa bahagian YB, “ kata Mat Dahan.
“Aku tak minta apa-apa. Tapi kamu berdua kena tolong aku,” tingkah Datuk Manaf.
“Datuk tolong kami, takkan kami tak boleh tolong Datuk. Nak minta kami terjah mereka, lebih daripada itu kami boleh,“ kata Hamid.
“Tahu pun.”
“Beres Datuk,” balas Hamid.
“Aku ini masih Yang Berhormat. Bukan Datuk sahaja. Selagi tak bubar aku Yang Berhormat.”
“Beres Yang Berhomat, Datuk,” ulang Hamid, menjeling Mat Dahan yang sedang menahan gelak.
“Aku nak kamu belikan 10 kodi kain batik Terengganu dan 10 kodi pelekat Indonesia benang lima ribu. Aku nak bagi pada penyokong tegar aku. Aku nak minta mereka jangan keluar mengundi. Jangan pangkah sesiapa. Biar padan budak mentah tu.”
“Cantik idea Datuk,” Mat Dahan menunjukkan ibu jari.
“Belum cukup itu YB,” Hamid mencelah.
“Aku tahu. Sebagai permulaan. Pakai duit kamu dulu. Aku bayar kemudian.”
“Tapi tak salah ke Datuk? ” Mat Dahan, sedikit gugup.
“Jangan banyak tanya. Baru sekejap tunjuk jari setuju. Kata nakkan projek. Ikut sahaja cakap aku. Faham? ”
Mat Dahan tunduk. Dia bergerak ke tingkap. Matanya tiba-tiba terarah kepada sebuah kereta yang meluru masuk menuju garaj.
“Siapa?” tanya Datuk Manaf. “Datin,” katanya.
Mata Dahan menerpa keluar. Cepat-cepat membuka pintu dan melaporkan kesihatan suaminya. Datin Sakinah terus ke sofa. “Tidak serius kan?” Datin Sakinah merasa nadi suaminya. “Mesti asyik marah-marah.”
“Abang kena akui ada penyakit. Saya dah dengar kisah abang akan digantikan dengan orang lebih muda. Dalam meeting tadi ramai nasihatkan saya supaya tidak melenting macam bini YB Khamis. Kena terima ketentuan Allah. Lagipun abang dah dua penggal. Bakal ganti abang itu peguam muda. Elok sangat tu.”
Datuk Manaf membuka mata, memberikan isyarat kepada dua kontraktor itu berundur dari rumahnya. Lebih lama di situ, lebih banyak terdedah kepada leteran isterinya.
“Saya tak suka abang main cah keting macam Datuk Dolah buat pada Samad. Tak berbekas langsung. Samad menang besar. Tengok nasib Datuk Dolah, ada orang peduli? Macam anjing buruk kepala. Nak jadi macam itu kah? ”
“Kami balik dulu YB,” ucap Hamid. Kami pulang Datin,” kata Mat Dahan. Datin Sakinah duduk di hujung kaki Datuk Manaf. Mengurut-urut jari-jemari kaki suaminya.
“Nak jadi macam dulu,” kata Datin Sakinah. Sekali lagi dicapai tangan kiri suaminya. Dirasa nadi pergelangan tangan pula.
“ Nak minta anak-anak balikkah? “
“Buat apa? Saya masih segar-bugar”
“Jenguk ayahnya terkena renjatan elektrik politik.” Kata Datin Sakinah.
“Mereka cuba bunuh politik abang. Politik seorang pemimpin.”
“Abang kena sedar, abang jadi pemimpin atas kehendak parti politik abang. Pemimpin tidak selamanya duduk di atas. Ada masa kena turun. Abang kena terima hakikat percaturan Allah. ”
“ Cara mereka itu tidak kena.” Datuk Manaf membalikkan badan. Sendawa beberapa kali.
“ Jadi abang akan balas dendam kerana kejatuhan abang. Abang akan cah keting? Abang dah bagi upah kepada mereka berdua tu ? “
Datuk Manaf memegang dada kiri. Ada gangguan lagi.
“Sebelum Mat Dahan pulang, dia ada beritahu saya niat abang. Saya dah minta hantar kain batik dan pelekat yang abang suruh beli tu untuk saya hantar ke sekolah tahfiz, rumah anak yatim dan orang tua.”
“Sakinah, bawa abang ke hospital. Dada ini macam menikam-nikam!” – Mingguan Malaysia
Cah Keting
- Oleh SHARIF PUTERA
- 12 Februari 2023, 5:03 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am