Masa bekerja sudah tamat. Aku keluar dari pejabat. Cuaca di luar mendung. Langit biru dilitupi awan kelabu. Petanda hujan bakal turun. Teringat barang dapur yang semakin susut. Terus memecut kereta menuju ke sebuah pasar raya berdekatan.
Suasana di pasar raya masih sibuk. Orang ramai memenuhi setiap ruang. Masing-masing kelihatan memberi tumpuan kepada barangan yang dikehendaki.
Mataku melilau mencari barang-barang yang tersenarai di kotak fikiran. Sedang asyik memilih barang, aku perasan ada seseorang yang asyik memerhatikanku. Aku meneliti pakaianku, jika ada yang pelik. Kebetulan di tempat kerjaku ada sesi bergambar untuk majlis persaraan salah seorang sahabatku.
Penampilanku mengikut tema majlis. Kebaya songket berwarna merah dan tudung sedondon. Bagiku tiada yang aneh. Mungkin dia tertarik dengan warna terang yang kupakai. Atau mungkin mainan perasaanku sahaja. Aku membiarkannya tanpa mensyaki sesuatu.
Ketika di kaunter bayaran, kelibat tersebut tidak kelihatan lagi. Selesai urusan, aku tergesa-gesa ingin pulang. Bimbang terperangkap dalam kesesakan jalan raya, lebih-lebih lagi jika hujan lebat.
Aku cukup rimas jika terperangkap di jalan raya. Paling menakutkan jika hujan lebat disertai panahan kilat. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini, hujan lebat disertai ribut pada setiap waktu petang. Rasa ingin cepat-cepat sampai ke rumah.
Ketika kuberjalan menuju ke tempat letak kereta, dapat kurasakan ada seseorang sedang mengekoriku. Hatiku berdebar-debar. Aku percepatkan langkah.
Aku memberanikan diri untuk berpaling, ternyata tiada sesiapa pun. Menarik nafas lega sedalam-dalamnya. Mungkin itu hanya khayalanku sahaja. Keadaan yang sunyi diikuti perasaan ingin cepat pulang.
Ketika kubuka pintu kereta, sekali lagi kurasa ada seseorang di belakangku. Terasa dekat denganku. Dadaku mula berombak-ombak. Perasaan takut menyelubungiku. Aku beristighfar beberapa kali. Kuatkan semangat. Aku segera berpaling.
Benar sangkaanku, seorang lelaki terpacak di hadapanku. Aku cuba menenangkan perasaan sendiri.
Kupandang wajahnya, dia segera menundukkan wajahnya sambil memandang ke lantai. Aku sempat melihat garis-garis kedut di dahinya. Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 70-an. Berkulit sawo matang. Berbaju lusuh, berkopiah putih dan berkasut getah warna hitam.
Aku yakin dialah yang asyik memandangku ketika di dalam pasar raya. Aku menyantuni dengan salam. Dia diam membisu. Dia mengangkat wajahnya lalu matanya tepat memandangku. Aku jadi menggelabah.
“Pak cik dari mana dan hendak ke mana?” tanyaku walaupun ada getar di hujung suara.
“Entah!” jawabnya terpinga-pinga. Aku bingung seketika. Di saat itu juga aku bermain dengan perasaan.
‘Jangan-jangan lelaki ini scammer yang cuba memanupulasikanku. Zaman sekarang bermacam-macam cara orang hendak menipu. Jangan mudah percaya. Baik aku selamatkan diri sebelum perkara tidak elok berlaku.’
Sepantas kilat, dia mengacukan pisau di leherku. Aku panik. Akupun cuba menjerit sekuat-kuat hati. Suaraku tidak kedengaran. Aku meronta-ronta minta dilepaskan. Tiada seorang pun datang membantuku. Terbayang wajah suami dan anak tersayang. Kurasa nyawa pasti melayang di tangan lelaki itu. Macam babak dalam drama televisyen yang selalu kutonton.
‘Ah, itu hanya imaginasiku! Aku masih selamat. Syukur ya Allah.’
Cepat-cepat aku masuk ke dalam kereta. Ingin segera meninggalkan lelaki dan pasar raya itu. Tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Kedengaran suara yang sangat kukenali.
“Nurin, apa khabar nak? Kenapa dah lama tak balik kampung?” mendayu suaranya. Menahan sebak.
“Khabar baik ayah, maafkan Nurin. Nanti hujung minggu ni Nurin balik ya!” balasku.
“Jangan lupa janji tau, tak sabar ayah nak peluk Noah cucu kesayangan ayah.” Kata ayah berhemah.
Aku tersentak seketika. Berkali-kali aku menyalahkan diri sendiri. Alpa dengan insan yang banyak berkorban. Sejak emak meninggal dunia, aku jarang balik menjenguknya di kampung. Kesibukan bekerja di kota raya sangat membataskan waktu.
Tidak sepatutnya aku membiarkan rindu ayah ranum ditelan waktu. Baru kusedar kasih ayah sangat mendalam. Tentu ayah kesunyian. Aku rindukan ayah, seorang yang peramah dan sentiasa menitipkan nasihat berguna.
“Hidup ini jangan sombong. Kalau kita ada rezeki lebih, tolong orang susah. Allah akan lipatgandakan lagi rezeki. Kalau kita memudahkan urusan orang, Allah akan memudahkan urusan kita. Ingat, selalu bersangka baik dengan orang.”
Aku teringat lelaki yang masih tidak tahu arah hendak dituju. Segera aku berpatah balik mencarinya. Dia sudah hilang. Mungkin merajuk atau sengaja menyembunyikan diri.
‘Adakah tadi aku bermimpi atau sekadar khayalan?’ bentak hatiku.
Aku cuba mencari di sekeliling tempat letak kereta. Bertanya kepada orang sekeliling namun tiada siapa melihat kelibatnya. Aku hampir putus asa.
Tiba-tiba aku terdengar esakan di sebalik sebatang tiang. Aku menghampirinya. Dia menundukkan wajahnya yang kusut. Sesekali menyapu air mata. Dia menekan perut seperti menahan lapar. Simpatiku melimpah.
Rasa bersalah membelenggu diri. Mengapa aku terlalu cepat bersangka buruk. Aku seharusnya bersangka baik. Tidak rugi menolong orang yang dalam kesempitan.
“Pak cik nak balik ke rumah pakcik yang asal, tolong hantar pak cik balik, nak,” rayunya.
“Bagaimana pak cik boleh berada kat sini?” tukasku kehairanan.
“Pagi tadi anak lelaki bongsu pak cik hantar ke sini. Dia suruh pak cik tunggu dan berjanji akan datang semula. Tapi sampai sekarang tak muncul-muncul.”
“Kalau begitu, ikut saya ke balai polis buat laporan.” Tegasku
“Tak nak, tak nak pergi balai polis, nanti polis temukan dengan anak pak cik. Pak cik tak nak balik rumah dia lagi, pak cik nak balik rumah pak cik!” pekiknya.
Aku terkesima. Bingung untuk menyelesaikan masalahnya.
Di luar bangunan pasar raya, kelihatan hujan sudah mula turun. Aku semakin gusar. Memikirkan kesukaran perjalanan pulang nanti. Lebih membingungkan bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah lelaki tersebut.
Tiba-tiba dia mengeluarkan kertas berwarna biru. Dia menghulurkannya kepadaku. Tiket bas ke selatan tanah air. Hasil semakan, memang benar tarikh dan masa yang tercatat di tiket tersebut. Waktu berlepas adalah pukul 8 malam. Jam di tangan ketika itu pukul 5 petang.
Aku bertanya pengawal keselamatan di situ. Menurutnya lelaki itu dari awal pagi lagi sudah terpacak di pintu pasar raya. Bila ditanya diam membisu. Apabila pintu pasar raya mula dibuka, dia merayau-rayau, tidak tahu arah hendak dituju.
Pihak pasar raya telah beberapa kali membuat pengumuman tentang lelaki tersebut tetapi hampa. Tiada siapa datang menjemputnya. Sehinggalah dia tertidur di bilik penyimpanan barang.
Setelah tersedar dari tidur, dia seakan kebingungan. Mencari-cari seseorang. Kadangkala menangis sendirian. Memanggil nama seseorang tetapi tidak jelas sebutannya. Dia tidak tahu kepada siapa hendak mengadu.
Orang ramai yang melihatnya menyangka dia tidak siuman. Pengawal keselamatan terpaksa meletakkan dia di pintu luar pasar raya. Pihak berkenaan berharap dapat ditemui pewarisnya sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.
Aku membawa lelaki itu ke sebuah kedai makan berdekatan. Dia memang kelaparan. Tatkala makanan terhidang, dia memakannya dengan lahap kerana sehari suntuk menahan kelaparan. Diteguk minuman dengan gelojoh. Aku benar-benar kasihan melihat keadaannya yang demikian.
Terkenang wajah ayahku di kampung. Aku selalu memasak makanan kegemarannya sayur lemak pucuk paku dan ikan goreng kunyit. Ayah akan makan dengan selera dan selalu memuji kesedapan masakanku. Ayah berdegil tidak mahu tinggal dengannku di bandar. Dia tetap ingin tinggal di kampung. Dia begitu sayangkan rumah kenangan bersama arwah ibu.
“Pak cik dah kenyang?” tanyaku selepas melihatnya bersandar sambil tersenyum.
“Alhamdulillah, terima kasih nak. Alangkah eloknya jika pak cik punya anak seperti kamu,” ujarnya seakan ingin memulakan cerita.
Dia juga kehilangan isteri tercinta. Dibawa oleh anak bongsunya tinggal di bandar. Anak dan menantunya bekerjaya dan sentiasa sibuk, tiada masa untuk melayannya sepenuh masa. Dia kesepian di rumah banglo dua tingkat.
Wajah yang mula ceria berubah menjadi cemas seketika. Dipandang kiri dan kanan. Tidak tahu apa yang hendak diluahkan lagi. Dia tidak mampu bercerita lebih lanjut, biarlah disimpan segala yang terbuku di jiwanya.
“Mana Aman? Kenapa dia tak datang sini?” terpacul soalan tersebut secara mengejut.
“Oh, Aman sibuk kerja sampai lupa aku, dia tak kisah pun pasal aku!”
“Kau tak payah datanglah Aman, aku boleh jaga diri sendiri.”
Dia berjalan mundar -mandir. Sesekali menjeling ke arahku.
“Zizah, lihatlah perangai anak kita yang paling kita sayang, yang kita terlalu manja-manjakan.”
Sesekali dia mengetuk kepala, seolah-olah cuba mengingati sesuatu.
Aku hanya mendengar luahannya dan memerhati gelagatnya.
Akupun tidak mendesaknya untuk menceritakan perkara yang sebenar. Melihat keadaannya yang tidak petah mengingati segala peristiwa, berkemungkinan nyanyuk. Perasaan marahku kepada Aman membuak-buak walaupun tidak mengenalinya. Tergamak dia meninggalkan ayahnya sendirian di situ. Di mana nilai kasih sayang seorang anak terhadap ayah. Tiada lagi rasa belas ihsan di hatinya. Aku tidak pasti kenapa Aman bertindak demikian. Ternyata banyak rahsia yang tidak aku ketahui, mungkin dia mempunyai sebab tertentu yang sukar kujangka.
“Pak cik ada surat cinta daripada Zizah.”
Aku sungguh terkejut tetapi cuba menenangkan situasi. Dia menghulurkan sekeping kertas putih berbentuk nota.
“Sesiapa yang menjumpai ayah saya, tolong hantar balik kampung. Biar abang dan kakak yang jaga.”
Aku membacanya dengan perasaan yang bercampur baur. Geram, marah dan sedih. Renyuk nota tersebut dalam genggamanku. Terasa remuk di jiwaku. Aku menghantarnya ke stesen bas seperti yang tertera di tiket. Aku ingin pastikan dia selamat tiba ke destinasi yang sebenar. Aku berharap kehidupannya akan lebih tenang di kampung.
“Pak cik, sampai di sini sahaja pertemuan kita. Lebih kurang 2 jam lagi bas akan sampai. Pak cik boleh solat Maghrib dahulu. Jaga diri baik-baik,” kata akhirku buatnya.
Dia memandangku dengan sayu. Kulihat matanya berkaca. Aku menyeka air mata. Walaupun tidak sampai hati meninggalkannya, aku tiada cara lain. Aku pasti dia akan berbahagia dengan cara hidup di kampung halamannya.
Hujan semakin lebat. Aku menghulurkan payung untuknya tetapi ditolak. Segera dia menutup pintu kereta. Tiba-tiba dia berlari di tengah hujan sambil menjerit.
“Aman, Aman sayang ayah tak? Ayah sayang Aman!”
Aku tergumam. Hilang kata-kata. Tidak sanggup kuhadapi jika ia berlaku ke atas ayahku.
Keretaku terus meluncur meninggalkan adegan air mata. Dalam lebat hujan mengiringi kepedihan hatiku. Air mataku semakin lebat membasahi pipi.
‘Ayah, Nurin rindu ayah, Nurin tak kan biarkan ayah kesunyian lagi. Nurin akan menjaga ayah hingga ke akhir hayat. Ayah tak akan jauh dari Nurin lagi. Kasih ayah sepanjang masa.’ – MINGGUAN MALAYSIA
Seorang lelaki di pasar raya
- Oleh Safura Azzahraa
- 1 Januari 2023, 3:23 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Melakar harapan masa depan anak berkeperluan khas
24 Disember 2024, 9:00 am
Kewangan Islam berpotensi bangunkan ekonomi negara
24 Disember 2024, 9:00 am
Emir ubah persepsi terhadap pempengaruh
24 Disember 2024, 9:00 am