Suasana gerimis akibat hujan lebat malam tadi menyebabkan daun-daun pokok kayu masih basah di sepanjang lorong ke dusun durian. Keadaan sekeliling masih berbalam-balam hanya kelihatan kerdipan cahaya lampu dari hujung kampung berdekatan.
Dalam kesamaran itu kelihatan sosok tua terbongkok-bongkok di perdu pokok. Mengutip durian yang galak gugur pada malam hari. Pak Aji tersenyum puas, kerana dia sudah dapat membaca siapa yang suka isi durian ini dan durian itu dalam kalangan anak-cucunya.
Sesudah mengolah hasil kutipan ke dalam bakul besar, enjin motosikal Yamaha merah memecah keheningan meninggalkan dusun durian. Begitulah rutin harian Pak Aji bila tiba musim durian.
“Wah! Kau Upai, sedaplah kau sekarang. Dah boleh makan Raja Musang versi kampung. Kau balinglah dekat aku di bawah ini, aku pun teringin juga hendak makan buah sedap yang menjadi sebutan ramai,” tegur Sondol.
“Kau makan ajelah durian muda atau durian yang dah busuk tu, itupun dah cukup baik,” kata Upai kepada Sondol.
“Semenjak Pak Aji tak ada, bunyi das tembakan dari senapang patahnya sudah tidak kedengaran lagi. Aku, yang pandai melompat ini pun boleh jatuh ke tanah juga apabila das tembakan itu hampir mengena,”jelas Upai.
“Kau bertuah sebab di atas, golongan kayangan. Kau boleh pilih yang sedap dan yang elok-elok. Kau boleh pilih durian kunyit, durian kucing tidur, durian tembaga dan durian jantung. Kau lempar ke bawah buah yang kau tak suka setelah ditebuk. Durian di tebuk tupai.”
“Kadang-kadang tu, aku hanya dapat makan bijinya sahaja. Golongan macam aku ni makan apa sahaja yang ada,” rungut Sang Sondol.
Kebiasaannya Pak Aji akan menghirup teh panas sambil menikmati pisang goreng di pondok kayu itu . Matanya melilau sahaja meninjau keadaan sekeliling.
Waktu petang bakul besar di atas motor itu akan penuh dengan durian. Durian itu bukan hanya dusun di hilir kampung tetapi terdapat juga dari dusun hulu sungai. Setiap pagi Pak Aji akan pergi ke setiap lima buah dusun yang dimilikinya.
“Semenjak pemergian Pak Aji enam bulan lepas, dusun sudah menebal dengan semak samun. Peluru sesat dari senapang patahnya sudah tidak mengena musuh tanaman. Sebab itu aku bermaharajalela di atas ini,” berkata Upai.
“Kau pun apa kurangnya, Sondol. Aku tengok berderet sanak sudara kau datang menyondol dan mengorek lubang dari celah-celah pagar dawai itu, kemudian menyusup beramai-ramai. Habis cempedak gugur kau belasah. Tak cukup dengan itu, sanak saudara kau mengorek anak-anak pokok yang baru ditanam,” panjang lebar Upai mengomel.
“ Betul itu Upai. Pagar dawai itu sekarang sudah mula kendur. Pancangnya dah longgar, mudah sahaja kami menyusup dari bawah. Tetapi bukan keluarga aku sahaja yang menyondol. Ada juga yang tidak mengenal dosa pahala. Mengambil buah tanpa kebenaran.”
“Aku agak, mereka jual dan hasilnya disuap ke anak isteri. Agaknya kerana dusun Aji ini sahaja yang boleh untuk cari makan. Kalau dusun lain, sudah dipasang dengan pagar elektrik.”
“Ya lah, aku berisiko dekat atas ni. Banyak bahaya yang datang. Jadi aku kenalah makan sedap sikit. Kalau matipun berbaloi. Kau ini pun, bersyukur dengan apa yang ada. Jangan tamak. Musim durian ini, ramai yang hilang pedoman. Tamak, bergaduh, bermasam muka, hasad dan macam-macam lagi,” syarah Upai.
“Betul kata kau Upai. Setidak-tidaknya kita masih tolong-menolong antara satu sama lain. Kalau kau jatuh tidaklah sakit badan kerana jatuh atas tanah yang telah kami gemburkan hasil kerja korek-mengorek.”
“ Kau masih ingat Upai, suatu masa dahulu, ketika si raja buah ini menggila lebatnya. Dekat pondok itulah sanak saudara Pak Aji berkumpul mengupas durian untuk dijadikan lempuk durian,” Sondol menyambung cerita.
“Pada masa inilah, anak-anak dan saudara mara Pak Aji terdekat dapat bertukar cerita dan bertanya khabar sambil menikmati keenakan buah kesukaan ramai ini sekali gus mengeratkan lagi silaturahim antara satu sama lain.
“Sememangnya, inilah keunikan durian yang mempunyai nilai dan aura sangat eksklusif bukan hanya kerana keenakannya tetapi paling penting peranannya dalam penyatuan masyarakat.”
“Bau hangit durian itulah membangkitkan keinginan Mak Aja untuk mengacau lempuk durian. Maka bergotong-royonglah mereka mengupas durian untuk ambil isinya. Isi buah dari buah yang elok diasingkan untuk dibuat lempuk. Buah yang busuk atau isi yang tidak elok diasingkan untuk dibuat tempoyak.
“Mak, tak payahlah susah-susah. Nanti Sham minta Liza masakkan lempuk durian. Guna sahaja periuk tekanan yang baru beli itu, 20 minit sahaja sudah siap. Rasanya sama sahaja dengan lempuk yang mak buat.”
“Hish! Mana pernah dibuat orang masak lempuk sepuluh dua puluh minit. Lempuk, jiwanya gotong-royong, kesatuan dan kecekalan. Makan beramai-ramai, lambang kecekalan jiwa, bina ukhuwah dan persaudaraan. Mengaminkan bersama-sama keberkatannya.” Mak Aja berkhutbah petang tu.
“Kalau buat guna periuk tekanan, jiwa kepahlawannya hilang. Tidak perlu mendayung guna sudip panjang, tidak ada api semangat yang mengeluarkan asap kecekalan yang akan menerobos muka dan lubang hidung, titis peluh tak keluar. Itu yang menjadikan anak-anak sekarang lembik, manja dan tak sihat. Biarlah emak usahakan dengan mak long dan mak su kamu,” Mak bersuara seolah merajuk.
“Itulah antara perbualan yang aku dengar antara Mak Aja dan anaknya Sham ketika mereka di pondok. Upai, kau dengar ke apa yang aku cakap ini,” Sondol menyapa.
“Aku kekenyangan ni, tapi aku dengar. Aku terkenangkan gulai tempoyak Mak Aja ketika mereka berkelah di pondok itu. Kecur air liur aku dengan bau tempoyak masak Mak Aja. Kau nak dengar sejarah tempoyak?”
“Sejarah tempoyak ada diriwayatkan dalam Hikayat Abdullah iaitu sebagai makanan sehari-hari penduduk Terengganu. Ketika Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi berkunjung ke Terengganu sekitar tahun 1836, ia mengatakan bahawa salah satu makanan kegemaran penduduk setempat adalah tempoyak.
“Berdasarkan sejarah yang ada dalam Hikayat Abdullah, tempoyak merupakan makanan khas rumpun bangsa Melayu, iaitu suku bangsa Melayu di Malaysia dan Indonesia yang terdapat di Sumatera dan Kalimantan,” cerita Upai seperti guru sejarah.
“Wah! Hebatnya kau Upai. Dari mana kau tahu?”
“ Mestilah Sondol. Kalau rajin membaca, kita boleh mengembara ke merata tempat walaupun kita hanya duduk dalam bilik kecil.
“ Tapi kalau aku, keharuman nasi pulut Mak Aja masih segar dalam ingatan.”
“Nasi pulut yang ditanak dan diarung dengan santan segar yang diperah dari nyiur yang dikukur sendiri. Nasi pulut ini adalah bekalan ketika Mak Aja dan anak-anak menunggu durian luruh.”
“Menunggu hasil kutipan durian yang dikutip oleh Pak Aji membuatkan hati tidak sabar untuk makanan tersebut. Bau yang kuat dan isinya berwarna kuning amat menyelerakan ditambah pula dimakan bersama pulut tanak tadi.”
“Campuran santan berlemak, pulut tanak dan durian kuning yang diramas-ramas dapat melunakkan suasana tegang. Merungkai yang tersimpul dengan ikatan kasih sayang yang disuap ke mulut. Ibarat kesatuan hati antara anak-anak dan orang tua. Pulut yang melekit menjadi simbol eratnya ikatan antara ahli keluarga.” Sondol berfalsafah.
Dari angin sejuk waktu pagi sehinggalah angin gemuruh mencelah tengah hari, Upai dan Sondol masih lagi raya membawang.
“Mengapa pula kau kelihatan sugul, Upai?”
“Semalam, aku mengintai dan mencuri dengar perbualan dua orang dari atas pokok. Aku terdengar mereka bercakap mengenai tawar menawar harga tanah. Katanya, mahu bangunkan tempat ini menjadi kawasan perumahan.”
“Tanah ini akan dijual kepada pengusaha tanah oleh anak Pak Aji yang tinggal di kota metropolitan. Mereka sibuk dan tidak dapat mengusahakan dusun ini.”
Pastinya selepas akad jual beli diterima, akan ada traktor yang menggondol tanah, rantai besi dengan rakus akan menebang pokok-pokok kayu yang ada. Tersungkurlah kau durian kampung, durian tembaga. Tidurlah kau kucing tidur. Bukan itu sahaja, keturunan kita juga akan terkena tempiasnya.”
“Di mana lagi untuk aku ajar anak-anak aku melompat dari dahan ke dahan, jika yang ada hanya bumbung metal deck . Kepandaian tupai melompat akan pupus dari kamus peribahasa.”
“Betul tu Upai. Semalam aku dengar, kera banyak yang mati ditembak oleh manusia yang tidak berhati perut. Anak-anak kecil dalam dakapan ibu kera menangis kebingungan kerana tempat bergantung sudah tiada. Kita dikatakan menceroboh kawasan. Sedangkan habitat kita diganggu gugat demi pembangunan.”
“Tidakkah mereka lebih bijak menilai tentang apa yang telah berlaku kerana angkara Zionis di luar sana. Nasib yang sama akan menimpa generasi kita nanti, Upai.” Sondol bersuara sambil matanya berkaca.
“Ke mana kita hendak pergi? Rimba semula jadi sebagai tempat tinggal dan tempat mencari makan berceracak dengan besi dan simen konkrit. Ada juga hutan ditebang dan ditanam dengan Raja Musang. Kau tahu? Di mana ada Raja Musang, di situlah ada misteri.”
“Apa maksudnya?” tanya Upai.
“Kau perhatikan, kadang-kadang berlaku bencana alam secara tak semena-mena adalah kerana ada ladang Raja Musang di situ.”
“Berhati-hati bercakap Sondol, nanti ke dalam tempat kau. Sondol, kau juga pergilah berhijrah ke kawasan lain. Pesanlah juga kepada kawan-kawan kita yang lain seperti kera, murai dan lain-lain. Bukan hanya rezeki kita yang berkurang, tetapi rezeki anak cucu Pak Aji dan Mak Aja juga akan menerima tempiasnya jika mereka tidak seia dan sekata.”
Mungkin tiada lagi pulut tanak bersama haruman pandan. Tiada lempuk yang dimasak dengan kasih sayang berasaskan ukhuwah dan kerjasama. Akan hilang juga jiwa kepahlawanan dan falsafahnya akan tenggelam bersama periuk tekanan moden yang hanya masak di hujung jari.
Semerbak bau lempuk hanya di ruang lingkup rumah sahaja. Jiran-jiran tidak dapat lagi merasa auranya. Rasa tempoyak yang enak, yang diceritakan dalam hikayat hanya dijumpai di restoran-restoran yang mana harganya melangit.
Balang-balang tempoyak tidak lagi ada di rumah-rumah. Mahu merasai tempoyak segar sudah tiada lagi kerana diamnya kaku dalam peti sejuk yang berbulan lama.
Bukannya kami menolak kemajuan dan pemodenan. Tetapi, hayatilah peribahasa, kecil sama dicicah, besar sama dilapah. Kami hanya memakan sisa daripada lebihan makanan manusia yang suka melakukan pembaziran.
Makhluk seperti kami tidak berkira tentang makan. Asal perut dapat diisi untuk hari ini sudah memadai.
Pada esok harinya, kami cari lagi. Tetapi manusia perlu berhati-hati dalam usaha mencari rezeki dan mengejar kemajuan.
Dalam mengejar kemodenan jangan lupa akan permasalahan makhluk lain. Pengekalan adab resam dan budaya perlu diambil kira kerana ianya mengandungi falsafah bernilai. Ambil iktibar dari setiap kejadian yang Maha Pencipta agar menjadi hamba-Nya yang bersyukur. – Mingguan Malaysia
Pulut tanak, nyiur kukur
- Oleh NORLISA KASTURI
- 8 Januari 2023, 4:31 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am