Pak Nik Senik tiba-tiba sakit. Dia tidak dapat tidur siang dan malam. Seluruh tubuhnya tidak boleh disentuh. Dia dalam keadaan panas pedih. Dia tidak boleh makan dan minum. Tidur terasa sakit. Berdiri terasa sakit. Bercakap pun sepatah dua sahaja. Menganga mulut pun sakit.
Muka Pak Nik Senik menjadi cengkung. Wajahnya berubah menjadi pucat lesi. Dia langsung tidak bertenaga. Dia kehilangan kekuatan. Dia hanya mampu bertongkat. Dia hanya berharap air susu seteguk dua sahaja.
Seminggu sebelum Pak Nik Senik jatuh sakit dia naik ke bukit. Itu adalah rutin pekerjaan Pak Nik Senik, mencari madu lebah di Bukit Saji dan Bukit Garu. Selepas membawa balik tuaian madu lebah yang banyak, tidak semena-mena tubuh Pak Nik Senik berubah menjadi panas dan seluruh tubuhnya, urat dan tulang temulang menjadi sengal.
Seluruh keluarga berasa hairan. Hairan dengan penyakit yang singgah di tubuh Pak Nik Senik. Tidak tahu sebab musabab. Tidak tahu dari mana puncanya. Mat Jali Jijah, rakan kongsi pencari madu yang bersama-sama naik ke bukit juga hairan. Hairan dengan penyakit yang menimpa Pak Nik Senik.
“Masa kami di atas bukit, Pak Nik Nampak sihat. Dia boleh memanjat pokok untuk mengambil madu. Boleh menebas semak di banir pokok,” jelas Mat Jali.
Penjelasan Mat Jali itu semakin membimbangkan keluarga Pak Nik Senik, terutama isterinya Mok Nik Besah. Nik Amir anak sulungnya juga turut merasa bimbang. Bimbang sesuatu yang tidak diingini menimpa Pak Nik Senik. Beberapa kali dipujuk ayahnya untuk dibawa ke klinik kerajaan atau klinik swasta untuk mengetahui sebab sebenar yang menimpa Pak Nik Senik. Tetapi Pak Nik Senik menolak. Puas Nik Amir memujuk, tapi pujukannya hanya sia-sia. Ayahnya menolak mentah-mentah.
Mok Nik Besah juga memujuk, tetapi pujukan Mok Nik Besah dibantah keras oleh Pak Nik Senik.
“Aku tidak sakit apa-apa. Kaki tangan aku tidak patah. Aku tak cedera di mana-mana, buat apa nak bawa aku ke klinik. Lebih baik bawa aku ke bomoh.”
Mok Nik Besah hanya senyap. Dia tidak berani membantah lagi. Dia hanya akan mengikut kemahuan suaminya yang sememangnya keras dan tegas. Dia tahu benar perangai suaminya. Hidup berumah tangga lebih 30 tahun telah banyak dia pelajari perangai Pak Nik Senik. Kehendaknya tidak boleh dibantah. Arahannya tidak boleh dicanggah. Kata-katanya adalah pemutus. Tidak ada tolak-ansur.
Akhirnya Mok Nik Besah dan Nik Amir akur dengan kehendak Pak Nik Senik. Penyakitnya hanya boleh disembuh dengan berbomoh. Akhirnya Pak Nik Senik dibawa menemui bomoh Koya Kuak Kemabong. Bomoh Koya terkenal dengan perubatan menyembuhkan penyakit bawaan dari hutan.
“Tubuh Pak Nik Senik ini tersangat panas. Untuk meredakan kepanasannya, tolong carikan tujuh jenis akar kayu. Tujuh jenis akar kayu itu perlu diambil ketika matahari jatuh dan masuknya waktu Maghrib. Jangan lupa ketika mahu mengerat akar itu perlu berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhamad SAW.” Itulah pesan bomoh Koya Kuak Kemabong.
Nik Amir angguk. Mok Nik Besah pun angguk. Mereka sanggup mengikuti segala arahan bomoh Koya. Payah pun tidak mengapa, asalkan Pak Nik Senik sembuh dari penyakit yang sedang dia hidapi.
Pada petang Jumaat, Nik Amir, Mok Nik Besah, Nik Halik, Pak Da Jeman, Rusok, Kenading dan Nik Basir berhimpun. Mereka akan turun serentak dari rumah menuju ke tempat-tempat pokok yang telah dinamakan oleh bomoh Koya. Akar-akar tersebut mesti dikerat ketika matahari jatuh dan masuknya waktu Maghrib.
Nik Amir meminta emaknya mengambil akar pokok serai samak yang hanya berada di belakang rumah. Dia sendiri akan pergi mengambil akar sagu yang terletak agak jauh dihujung bendang manakala yang lain akan mengambil akar pokok pinang, akar pokok gabus, akar pokok celagi, akar pokok cermai dan akar pokok kekabu yang tumbuh tidak jauh dari kawasan rumah.
Kesemua tujuh jenis akar itu dibawa ke rumah bomoh Koya di Kampung Kuak Kemabong. Setelah dibersihkan, tujuh jenis akar itu dimasuk dan direndam seketika di dalam tempayan tanah. Bomoh Koya kemudian mengambil air itu dan memandikan Pak Nik Senik.
Air satu tempayan itu dijirus ke seluruh tubuh Pak Nik Senik. Pak Nik Senik terketar-ketar kesejukan.
“Insya-Allah malam ini Pak Nik dapat tidur dengan lena. Kepanasan tubuhnya telah banyak turun. Demamnya juga sudah mulai kebah. Esok atau lusa Pak Nik akan beransur pulih seperti biasa,” jelas Bomoh Koya ketika Mok Nik Besah menghulurkan sekeping wang kertas ke tangannya. Masuk hari ketiga setelah dimandikan dengan air rendaman tujuh akar pokok terpilih, keadaan Pak Nik Senik tidak berubah. Malah fizikalnya semakin tidak bermaya. Dia terus tidak makan dan minum. Hanya matanya sahaja berkelip kelip lesu merayu simpati.
“Cari bomoh lain,” kata-kata itu tersebul dari mulut Pak Nik Senik. Suaranya lemah tidak bermaya.
Mok Nik Besah akur. Dituruti permintaan suaminya. Permintaan itu umpama arahan bagi Mok Nik Besah. Usaha merisik dan mencari bomoh yang terbaik diteruskan oleh Mok Nik dan anak-beranak. Mereka kemudian ditemukankan dengan dukun Semek di Pusu 40. Seorang perempuan separuh umur yang juga seorang bidan. Mok Nik Besah dan Nik Amir pun bertanya khabar. Antara syarat yang dukun Semek mahu, mereka anak beranak kena menyediakan air yang diambil dari tujuh telaga di tujuh madrasah.
Hasrat dukun Semek ditunai. Mereka anak beranak kemudian mengambil air di tujuh telaga di madrasah Simpang Tiga Pohol Stol, telaga Madrasah Kuala Demak, telaga Madrasah Tanjung Gambir, telaga Madrasah Hulu Temin, telaga Madrasah Gertak Hilir, telaga Madrasah Batas Pulai dan air dari telaga Madrasah Lembah Kuntum.
Tujuh botol air tersebut dibawa ke rumah dukun Semek. Kali ini Pak Nik Senik tidak ikut bersama, kerana keadaannya semakin uzur. Seperti cara bomoh Koya, dukun Semek mahukan air tersebut digunakan untuk memandikan Pak Nik Senik.
Begitulah caranya. Pak Nik Senik dimandikan dengan air dari tujuh telaga di tujuh madrasah. Segala arahan dukun Semek diikuti. Tetapi yang pastinya Pak Nik Senik tidak berubah. Sakitnya tidak sembuh-sembuh. Sakitnya semakin kuat. Demamnya semakin melarat. Tubuhnya semakin panas. Keadaan tubuhnya semakin susut. Kebimbangan keluarga semakin memuncak. Orang kampung, sahabat handai dan ahli keluarga, siang dan malam tidak putus-putus menziarahi Pak Nik Senik.
Tubuh yang dahulu sasa dan kuat mendaki bukit dan memanjat pokok, kini telah bertukar menjadi lemah. Tubuk Pak Nik Senik kini tinggal kulit dan tulang sahaja. Dia hanya terbaring di atas tikar. Semua yang datang menziarah Pak Nik Senik melahirkan rasa kehairanan. Semua semacam tidak percaya dengan apa yang sedang mereka lihat. Timbul pelbagai persoalan. Timbul pelbagai telahan.
Apakah Pak Nik Senik terkena buatan orang? Apakah Pak Nik Senik terkena teguran semasa dalam hutan ketika mencari madu di Bukit Saji dan Bukit Garu? Tetapi bagi Nik Amir, dia tidak mempercayai semua itu. Ayahnya tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa. Ayahnya tidak pernah berdendam dengan sesiapa. Ayahnya sudah puluhan tahun masuk dan keluar hutan mencari madu. Kerja yang ayahnya lakukan adalah halal. Dia tidak merampas hak milik sesiapa. Tidak ada sebab yang boleh dikaitkan dengan semua itu.
Atas alasan semua itu, Nik Amir dan emaknya membuat keputusan. Kali ini mereka akan berkeras. Mereka akan bertegas untuk membawa Pak Nik Senik ke hospital. Mereka tidak akan membiarkan lagi Pak Nik Senik terus tersiksa sakit. Mereka tidak akan membiarkan Pak Nik Senik menjadi semakin tenat.
“Amir nak bawa ayah ke Hospital Besar Bandar. Amir harap ayah bersetuju. Dukun dan bomoh kampung sudah tidak mampu menyembuhkan penyakit ayah,” minta Nik Amir dengan cukup berhati-hati.
“Harap abang setuju. Saya kasihan tengukkan abang dalam keadaan lemah,” sambung Mok Nik Besah.
Pak Nik Senik hanya angguk. Matanya merenung kesayuan. Mok Nik Besah yang sekian lama bermuram durja mula mengukir senyum. Mahu dipeluk suaminya sekuat mungkin saat itu, tetapi Mok Nik Besah sedar, tubuh Pak Nik Senik masih sakit dan tidak boleh disentuh.
Petang itu juga ambulans Hospital Besar Bandar membawa Pak Nik Senik ke Unit Kecemasan dan Trauma. Mok Nik Besah dan Nik Amir turut bersama atas ambulans. Orang kampung melihat peristiwa itu dengan penuh kehairanan, kerana mereka tahu selama ini Pak Nik Senik memang tidak mahu dibawa ke hospital. Mereka semua sedang berdoa, terutama Mat Jali Jijah rakan pencari madu lebah Pak Nik Senik. Masing-masing menyimpan harapan tinggi, mudah-mudahan Pak Nik Senik kembali diberi kesembuhan sedia kala.
Petugas bilik Kecemasan dan Trauma sudah sedia menanti saat ambulans yang membawa Pak Nik Senik sampai di pintu masuk wad. Pak Nik Senik diusung turun. Dia ditolak masuk. Semasa di bilik kecemasan zon merah, dua doktor dan dua jururawat kelihatan sedang memberi rawatan awal. Botol air digantung sebelum jarum kecil dicocok ke pergelangan tangan Pak Nik Senik.
Nik Amir memerhati semua itu termasuk ketika ayahnya ditolak masuk ke bilik x-ray. Beberapa ketika, ayahnya kembali dibawa keluar bersama sampul berwarna koko yang mengandungi beberapa keping filem x-ray.
Lama juga Nik Amir dan emaknya berada di ruang menunggu, sebelum Nik Amir di panggil masuk. Setelah duduk berhadapan dengan seorang doktor perempuan yang masih muda, hati Nik Amir mula berdebar-debar. Perkhabaran apakah nanti yang akan diberitahu oleh doktor itu. Penyakit apakah yang di alami ayahnya? Terukkah penyakit yang dialami Pak Nik Senik?
“Encik ni…?
“Saya Nik Amir, anak kepada Nik Senik doktor.”
“Begini. Ayah encik sebenarnya tidak mengalami penyakit kronik. Kami telah membuat pemeriksaan awal dengan memasukkan air untuk meredakan suhu badannya yang tinggi. Kami juga telah telah memberi suntikan antibiotik.”
“Kenapa antibiotik?”
“Sebenarnya telinga ayah encik dimasukki sejenis kutu babi, selalu disebut mempiras. Kami sudah membuangnya. Kalau kes ini dirawat lebih awal, keadaan telinga ayah awak tidaklah sampai membengkak dan bernanah. Kesan dari bengkak dan menanah itulah seluruh tubuhnya sakit.”
Nik Amir menepuk dahi. Dia tersengeh dan mengeleng kepala. Dua ekor kutu babi yang berada dalam plastik di meja doktor itu berulang kali disentuhnya. Warnanya hitam kemerahan.
“Kami akan tempatkan ayah awak di wad untuk mempastikan bengkak telinganya surut dan sembuh sepenuhnya. Kes ini bahaya jika tidak dirawat dengan betul, kerana akibatnya boleh membuat sesorang itu hilang deria dengar.”
Nik Amir bangun dari kerusi. Dengan senyum paling manis, dia mengucapkan terima kasih kepada doktor Amirah. Sebaik sahaja keluar dari bilik kecemasan, emaknya, adiknya dan saudara mara menerpa ke arah Nik Amir.
“Ayah selamat, tetapi terpaksa masuk wad,”kata Nik Amir.
“Masuk wad?” Mok Nik Besah terkaku.
Nik Amir tersenyum. – MINGGUAN MALAYSIA
Penyakit bawaan dari bukit
- Oleh Mukhtar Mustafa
- 29 Januari 2023, 4:13 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selamat hari lahir Kartini
14 Januari 2024, 5:37 pm
Buku yang hilang
31 Disember 2023, 6:05 pm
Pemain silap mata lupa silap matanya
17 Disember 2023, 4:34 pm