SUDAH tiada lagi drama bersiri bercorak aksi yang menunjukkan kelincahan pelakon bersilat sebagaimana cerita Pendekar Kundur dan Keris Hitam Bersepuh Emas. Kedua-duanya berjaya mencetuskan fenomena pada masa itu selepas memaparkan seni silat Melayu pada zaman 1990-an.
Gelanggang silat banyak dibuka dan kanak-kanak ternanti-nanti di depan kaca televisyen untuk menonton dua drama ini. Pengaruh dan minat terhadap silat juga bertambah meluas pada masa itu sehinggakan ada kanak-kanak yang turut ‘bersilat’ semasa menonton drama bersiri ini.
Tetapi itu cerita dahulu. Zaman sekarang drama bersiri lebih banyak yang ‘hampeh’ kata orang sekarang. Mujur ada filem seperti Geran dan Mat Kilau yang dapat menghidupkan kembali semangat seni mempertahankan diri ini.
Bagi bekas juara silat dunia yang juga pelakon, Ruzaidi Abdul Rahman, faktor utama tiadanya karya berbentuk sedemikian disebabkan peruntukan bajet untuk penerbit dan stesen televisyen.
“Kalau drama epik berunsurkan silat, kos banyak kerana ia melibatkan kostum, prop dan lokasinya yang lebih rumit. Penerbit sudah tentu perlu keluarkan duit. Stesen televisyen dalam masa sama bayar harga lama.
“Itu belum lagi cakap soal slot siaran. Mereka tidak mahu cerita purba dan persilatan. Jadi ini secara tidak langsung menghalang penerbit keluarkan drama bersiri sedemikian, “ katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ruzaidi atau lebih dikenali Wak Didi berkata, filem berunsur persilatan juga sukar mendapat tempat dalam kalangan majoriti rakyat di negara ini.
“Kita boleh tengok contoh filem Geran. Filem ini berjaya di peringkat antarabangsa. Tetapi di pasaran, sukar untuk dapatkan balik keuntungan.
“Di samping itu, ada juga penulis skrip atau pengarah yang cuba membentangkan kertas kerja atau skrip cerita silat. Tapi ia kosong. Ini pun menjadi masalah juga,” terangnya.
Ketika ditanya berkenaan kebolehan pelakon dalam ilmu bersilat, Ruzaidi berkata, ada yang mempunyai asas seni bela diri, namun bukanlah pengamal sehingga mampu diterapkan sebagai falsafah dalam seni lakonan.
“Di Malaysia banyak pelakon yang hanya ada asas. Contoh, dulu saya belajar silat A atau karate. Tapi itu dulu. Sekarang bagaimana?
“Kalau di Hong Kong pelakon mereka memang pengamal seni mempertahankan diri dan terlibat dalam pertandingan. Sehingga sekarang pun mereka pengamal dan menjadi guru,” jelasnya.
Ruzaidi yang merupakan juara silat dunia bergiat aktif dalam bidang seni dan pernah berlakon dalam beberapa filem dan drama antaranya Kelisa, Keris Hitam Bersepuh Emas dan Khurafat.
Sementara itu bagi Ebby Yus, cerita persilatan agak ditinggalkan kerana ada pihak beranggapan ia sudah ketinggalan zaman.
“Persilatan bersangkut dengan budaya. Apabila tiada ruang, penerbit tidak berani mahu buat filem seperti ini. Saya sendiri pernah cuba tapi suram. Mereka anggap cerita purba sudah berakhir zamannya atau tidak boleh jual,” katanya.
Ebby yang juga pengamal seni silat berkata, silat dan orang Melayu sememangnya tidak boleh dipisahkan.
“Kalau tidak menjadi pelakon pun, orang Melayu harus belajar silat sejak turun temurun. Kita perlu ingat silat itu Melayu dan Melayu itu silat.
“Falsafah silat ini kalau nak diikutkan, gerak badan kita setiap hari adalah seni silat. Cuma nak letakkan gerak itu di mana kita tak tahu. Sebab itu, setiap orang Melayu perlu belajar silat,” jelasnya. – Mingguan Malaysia
Ketandusan drama persilatan: Di mana silapnya?
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 29 Januari 2023, 2:53 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am