Indai Abau, tarian Iban yang jarang dipertontonkan - Utusan Malaysia

Indai Abau, tarian Iban yang jarang dipertontonkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA tidak pernah melihat atau mendengar nama Indai Abau. Apa yang saya tahu kalau ditanya mengenai masyarakat Iban hanyalah Hari Gawai, tarian Ngajat atau tradisi Ngayau.
Selain itu, saya hanya mengetahui pahlawan Rentap, Sarawak Rangers dan pepatah ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ (Selagi hidup selagi berjuang) apabila memperkatakan mengenai masyarakat Iban.
Namun, kesempatan melihat dan mengetahui lebih dekat tarian Indai Abau semasa Festival Seni Hidup anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) baru-baru ini membuka mata saya untuk mengenali persembahan tersebut dengan lebih dekat.
Tarian yang amat jarang dipertontonkan ini sebenarnya mempunyai cerita dan maksud tersendiri sebagaimana tarian adat yang lain.
Menurut salah seorang penari, Conie Anak Eli, tarian ini dahulunya dipersembahkan ketika majlis perkahwinan terlarang melibatkan masyarakat Iban.
“Perkahwinan terlarang maksudnya perkahwinan antara saudara mara dan ia sememangnya tidak boleh dielakkan. Contohnya, antara sepupu.
“Kalau perkahwinan yang tidak boleh dihalang, kami orang Iban akan buat satu ritual tolak bala supaya tidak berlaku apa-apa. Selain itu, kita juga mahu pasangan tersebut tidak terlampau fikirkan bahawa ia perkahwinan terlarang.Selain itu kita juga mahu alihkan pandangan pengunjung yang datang,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Selain dipersembahkan pada majlis perkahwinan, tarian ini turut dipersembahkan ketika ritual perubatan tradisional.
Tambah Conie, tarian ini dalam masa sama juga dipersembahkan bagi tujuan menakut-nakutkan kanak-kanak ketika ritual perubatan diadakan.
“Untuk versi yang kami persembahkan, ia telah diolah dan disesuaikan kerana Indai Abau sebenarnya bukanlah tarian.
“Ia hanya sosok yang muncul ketika ritual perubatan diadakan sama ada membabitkan watak jahat atau baik.Namun begitu, kalau dalam majlis lain kami melihat ia hanya sebagai hiburan,” jelasnya.
Tarian Indai Abau dipersembahkan dalam Festival Seni Hidup anjuran JKKN sebelum ini dengan dimainkan kumpulan Ajat Pencak.
Kumpulan ini ditubuhkan pada 2015 oleh Albet Jarau yang aktif dalam seni mempertahankan diri Iban dikenali sebagai kuntau.
Indai Abau kini diuruskan Conie dan Jeremiah Anak Albert sebagai tenaga pengajar.
Dalam pada itu, Conie berkata, Indai Abau juga telah dimasukkan elemen kuntau yang merupakan salah satu seni mempertahankan diri masyarakat Iban.
“Selain itu, bagi penari pula, mereka mengenakan pakaian seperti baju guni atau sarong dan turut mengenakan topeng yang mempunyai karakter serta nama masing-masing.
“ Ada topeng yang digunakan lebih menonjolkan muka manusia ketika ketawa, sedih, gembira dan marah,” ujarnya.
Mingguan Malaysia turut difahamkan setiap topeng mempunyai nama seperti Ujai untuk topeng yang memaparkan watak gembira, Lenjai pula nama untuk watak tersenyum manakala untuk topeng yang berperwatakan ketawa pula dinamakan Undai Bilai.
Setiap persembahan Indai Abau turut diiringi dengan alat muzik yang dinamakan gendang pencak. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya