Dia nak ikut - Utusan Malaysia

Dia nak ikut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah seminggu Peah kembali ke Rahmatullah. Arwah Peah meninggal dunia sebab menghidap penyakit kanser tulang. Peah hanya mengetahui dirinya ditimpa penyakit yang amat ditakuti itu ialah enam bulan yang lalu. Dan paling mengejutkan Peah bahawa penyakit kanser tulang Peah telah berada pada tahap empat. Peah tidak mampu berkata apa-apa ketika doktor memberitahu jangka hayat Peah hanya tinggal kira-kira enam bulan sahaja.
Suami arwah Peah dan tiga anak perempuannya reda dengan ketentuan takdir yang menimpa mereka. Fakri menerima hakikat kehilangan isterinya. Biarpun pada hari kematian isterinya, Fakri meraung-raung menangis bagai orang kehilangan akal. Akhirnya Fakri sedar bahawa perbuatannya itu ditegah oleh agama.
Anak-anak Fakri juga meraung-raung menangis kehilangan ibu tersayang. Apatah lagi ketiga-tiga anak-anak perempuannya amat rapat dan akrab dengan arwah isterinya. Yang sulong, Sofia berusia 18 tahun. Baru tamat tingkatan lima. Sedang tunggu tawaran belajar di institusi pengajian tinggi. Yang tengah, Amira berusia 16 tahun. Masih belajar dalam tingkatan empat. Yang bongsu, Liyana berusia 14 tahun. Masih belajar dalam tingkatan dua.
Ketika van jenazah bergerak menuju ke tanah perkuburan, Sofia, Amira dan Liyana berpelukan menangis meratapi kehilangan ibu. Fakri mententeramkan ketiga-tiga anaknya. Saudara mara yang melihat gelagat anak-anak Fakri, turut merasa sebak dan ada yang teresak-esak menahan tangisan.
Sudah seminggu Fakri kehilangan isterinya. Dia masih lagi berasa sedih kerana isterinya pergi secara tiba-tiba. Penyakit yang dihidapi isterinya telah meragut nyawa isterinya. Namun Fakri reda kerana penyakit itu hanyalah penyebab. Sedangkan mati itu telah ditentukan qada dan qadarnya.
Anak-anak Fakri masih terkejut dengan kehilangan ibunya. Selama ini Sofia, Amira dan Liyana terlalu akrab dengan ibu. Apatah lagi selepas habis waktu sekolah, Sofia, Amira dan Liyana selalu membantu ibu berniaga di warung makan yang diusahakan ibu. Bantuan ketiga-ketiga anaknya di warung makan, sedikit banyak melancarkan perniagaan warung makan yang diusahakan mereka berdua.
Fakri dan Peah membuka warung makan berdekatan dengan balai polis daerah. Fakri tahu isterinya Peah memang pandai memasak. Tidak hairanlah warung makannya menjadi tumpuan para pekerja kilang di sekitar daerah itu termasuk anggota polis dari balai polis. Pukul 1.30 tengah hari hingga pukul 2 petang adalah waktu puncak pelanggan mengunjungi warung makannya. Malah warung makannya turut dikunjungi pelanggan dari luar daerah kerana telah diviralkan oleh netizen di media sosial.
Di samping isterinya Peah menjadi tukang masak di warung makannya, isterinya turut dibantu oleh adik isterinya yang bongsu bernama Mazni. Ketiga-tiga anak perempuannya memanggil Maksu. Kerajinan Mazni bekerja di warung makan Kaklongnya menjadikan Peah sangat menyayangi adiknya sehingga Peah mengajak Mazni tinggal di rumahnya.
Anak-anak Peah, Sofia, Amira dan Liyana amat rapat dan akrab dengan Maksu yang sentiasa mengambil berat tentang hal ehwal anak-anak buahnya. Mazni begitu cekap bekerja di warung makan Peah. Mazni cepat belajar daripada kakaknya Peah yang mengajarnya tentang resepi masakan yang dijual di warung makan Peah.
Mazni juga menangis meraung-raung ketika kakaknya Peah menghembuskan nafas yang terakhir. Mazni turut berada di sisi Peah saat Peah sedang nazak. Mazni merangkul tubuh Peah erat-erat bila dilihat kakaknya Peah telah kaku tidak bernyawa. Mazni menangis semahu-mahunya.
Mazni pulang ke kampung setelah dua hari kematian Peah. Mazni tidak boleh lagi tinggal serumah dengan Fakri. Biarpun anak-anaknya terlalu rapat dengan Mazni, dan anak-anaknya telah menganggap Mazni seperti ibu kandungnya, Mazni terpaksa berpisah dengan Sofia, Amira dan Liyana. Mazni tidak orang sekeliling memandang serong terhadap Fakri dan anak-anaknya.
Sejak ketiadaan Mazni di rumahnya, Fakri perasan perubahan ketiga-tiga anak perempuannya. Wajah Sofia, Amira dan Liyana seperti kemurungan dan tidak ceria. Adakah kerana kehilangan ibunya yang telah meninggal dunia. Selera makan anak-anaknya tidak seperti selalu. Fakri mula risau perubahan anak-anaknya. Dia risau akan menjejas kesihatan anak-anaknya.
Suatu hari ketika Fakri sedang makan dengan anak-anaknya di rumah, Sofia anak sulungnya mengemukakan satu pertanyaan.
“Walid, kenapa Maksu tidak tinggal bersama kita lagi? Sebab Umi dah tak adakah?”
“Ye, betul,” jawab Fakri tenang.
“Walid ajaklah Maksu tinggal di rumah kita. Sofia dengan adik-adik rindu sangat pada Maksu,” ujar Sofia sambil menyatakan sesuatu yang sudah diduga oleh Fakri.
“Hishhh! Mana boleh Maksu tinggal dengan kita. Maksu tidak ada apa-apa hubungan dengan walid. Dulu Maksu tinggal dengan kita sebab kakaknya ada sebagai isteri walid,” beritahu Fakri menjelaskan kepada anak-anaknya.
“Tapi ayah, kami dah menganggap Maksu seperti ibu kandung sendiri. Maksu terlalu baik dengan kami. Maksu menjaga kami seperti anak sendiri,” sampuk Amira menyatakan isi hatinya.
“Ye, betul cakap Kak Mira tu, walid. Sejak Maksu balik kampung, Yana rasa sunyi sangat. Yana terbayang-bayang layanan Maksu yang mesra terhadap kami bertiga, walid. Maksu sayang sangat pada kami!” pintas Liyana menambah kata-kata Amira.
“Tak boleh! Agama melarang yang bukan muhrim tinggal bersama walid. Walid faham perasaan Sofia, Amira dan Liyana. Maksu memang seorang yang baik menjaga anak-anak walid. Perangai Maksu saling tak tumpah seperti umi,” kata Fakri menerangkan kepada anak-anaknya.
“Tapi walid boleh berkahwin dengan Maksu kan? Kata orang, ganti tikar. Tak salah kan walid? Sofia sanggup terima Maksu sebagai ibu ganti. Betul kan Ira, Yana?” sampuk Sofia sambil mengemukakan satu cadangan yang benar-benar menyentap jantung Fakri.
“Ye, betul. Saya setuju dengan cadangan Kakpia, walid. Perangai Maksu sebiji perangai umi, walid. Memang elok sangat walid berkahwin dengan Maksu,” kata Amira menyokong cadangan Sofia. Liyana mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju.
Fakri terpaku tanpa kata-kata. Dia mengakui kebenaran hujah anak-anaknya. Memang benar dia boleh berkahwin dengan Mazni. Tetapi mahukah Mazni menerima dia sebagai suami? Adakah Mazni suka kepada Fakri?
“Baiklah, walid terima pandangan dan cadangan anak-anak walid. Demi kebaikan dan masa depan anak-anak walid, insya-Allah walid akan usahakan. Cuma walid hendak pastikan, adakah Maksu suka pada walid? Adakah Maksu sudi menerima walid menjadi suaminya?” ujar Fakri dengan suara perlahan.
“Insya-Allah, walid. Maksu akan terima lamaran walid. Sepanjang Maksu tinggal di sini, Pia perasan Maksu suka pada walid,” kata Sofia sambil ketawa. Amira dan Liyana turut ketawa.
Fakri sungguh terkesan dengan cadangan anak-anaknya yang inginkan Mazni menjadi isterinya dan ibu ganti kepada anak-anaknya. Namun kemahuan anak-anaknya itu tidak semudah hendak ditunaikan. Apatah lagi melibatkan perasaan manusia yang belum dapat dibaca isi hatinya.
Fakri tidak tahu bagaimana ingin memulakan kemahuan anak-anaknya. Kini sudah hampir dua bulan Peah pergi ke negeri abadi. Adakah Fakri perlu menghubungi Mazni menyatakan hasrat hatinya. Atau adakah Fakri perlu menghubungi bekas bapa mertuanya menceritakan kehendak anak-anaknya yang mahukan Mazni menjadi ibu ganti mereka. Dan Fakri bertekad keesokan hari dia akan menelefon bekas bapa mertuanya.
Malam itu ketika Fakri duduk bersantai bersama anak-anak di ruang tamu, telefon bimbitnya berbunyi. Tertera di skrin nama bekas bapa mertuanya. Fakri pantas menjawab dengan memasang pembesar suara supaya anak-anaknya turut mendengar suara atuknya.
“Fakri! Fakri! Ayah ni!,”
“Iya, ayah! Saya dengar ni! Ada apa, ayah?”
“Ayah nak beritahu ni…Ayah nak beritahu Mazni dah tak ada. Baru saja meninggal dunia,”
“Innalillah! Meninggal sebab apa ayah?”
“Dah sebulan Mazni sakit!”
“Ayah tak beritahu saya pun!”
“Ayah dah bawa pergi hospital. Doktor kata tak ada sakit apa-apa.”
“Habis tu, Mazni meninggal sebab apa, ayah?”
“Sejak kebelakangan ini, Mazni selalu cakap yang dia rindu sangat pada arwah kak longnya, Peah. Mazni kata dia nak ikut arwah ke sana!”
“Allahuakbar! Insya-Allah, saya dan anak-anak akan balik ke kampung malam ini juga, ayah!”
Fakri diam seketika. Matanya melorot ke arah anak-anaknya. Sofia, Amira dan Liyana bangun menghampiri Fakri. Masing-masing terkedu memandang ayahnya. Serentak tangisan bergema memenuhi ruang rumah. Fakri memeluk ketiga-tiga anaknya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya