Terang bulan di cucur atap - Utusan Malaysia

Terang bulan di cucur atap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Harapan itu sunyi
Tiada berperhentian
Seperti pungguk yang bertenggek
Di ranting setia
Setiap purnama merindu
Bulannya
Harapan itu hukuman seumur hidup
Perit onarnya

Ligat jari kurus Fatimah menari-menari di atas sekeping kertas kosong yang hampir usang. Ralit menukilkan bait-bait puisi itu umpama mengait benang-benang harapan di hatinya. Tidak semena-mena ilham datang menderu-deru entah dari mana. Mungkin dari titis-titis hujan kecil di luar tingkap, ketika itu. Atau mungkin juga kerana terang bulan yang diintai dari cucur atap rumahnya, lewat malam tadi.
“Fatimah! Fatimah!”
Teriakan nama itu menyentak Fatimah. Kuat dan perit di telinga Fatimah sehingga tercampak pensel 2B yang tinggal separuh itu dari genggaman saat mejanya diketuk berkali-kali dengan pembaris panjang kayu. Tiba-tiba terpacul Cikgu Sofia di hadapannya. Terbeliak mata Cikgu Sofia merenung Fatimah.
“Siti Fatimah! Berdiri kamu. Apa yang kamu tulis? Bawa kertas itu ke hadapan kelas. Sekarang…”
Fatimah hanya mengikut. Menggenggam rapat kertas yang sempat direnyuknya itu. Nahas lagi aku, kata hatinya. Melangkah longlai. Entah apa pula hukuman Cikgu Sofia kali ini. Itu bukan kali pertama dia dipanggil ke hadapan. Tebal muka hanya Tuhan sahaja yang tahu. Pekikan Cikgu Sofia itu disambut dengan riuh rendah kelasnya. Penuh dengan ketawa. Semacam Pesta Pulau Pinang.
“Sekarang cikgu mahu kamu baca apa yang kamu tulis itu Siti Fatimah. Baca kuat-kuat. Satu kelas mahu dengar,” jerit Cikgu Sofia. Gemanya barangkali berterbangan di seluruh SMK Kuala Litok itu. Fatimah hanya diam. Tertunduk.
“Fatimah baca!” pekik Cikgu Sofia.
“Harapan itu sssunyii…” bergetar-getar suara Fatimah. Termengkelan kata-katanya. Langsung tidak diangkat mukanya dari tadi. Malu mahu menatap wajah rakan-rakan sekelasnya. Takut mahu merenung amarah gurunya itu.
“Oh! Kamu tulis sajak? Ini kelas Sastera atau Biologi, Siti Fatimah? Jawab,” bulat lagi mata Cikgu Sofia. Fatimah berterusan diam. Baju dan tudung putihnya sudah kuyup dengan peluh. Fatimah hanya memejam rapat matanya. Pekikan Cikgu Sofia itu menjadikan jantungnya hilang rentak biasa.
“Sudah, bagi cikgu kertas itu. Cikgu mahu kamu berdiri di koridor sampai kelas ini habis. Cikgu bagi amaran kalau kamu berterusan tidak mahu fokus dalam kelas, cikgu akan denda kamu lebih berat.”
Longlai Fatimah menghulurkan kertas itu berat hati mahu dilepaskan. Longlai kakinya melangkah. Itu bukan kali pertama dia didenda sebegitu. Minggu lepas selepas ditangkap tertidur dalam kelas Matematik Tambahan, di koridor itu juga dia tercegat. Dua jam.
“Pelajar yang lain buka buku latihan muka surat 70, Kimia Dalam Sel. Selesaikan nanti cikgu kutip. Berapa kali cikgu mahu pesan fokus dalam kelas. Tingkatan Empat bukan tahun kamu berbulan madu ya,” bebel Cikgu Sofia
Sudah 10 tahun Cikgu Sofia, wanita separuh umur itu ditugaskan di SMK Kuala Litok. Semakin lama semakin sayang wanita ini kepada pelajar sekolah itu. Garang memang garang tetapi itulah caranya mengajar yang menjadikan 30 daripada 100 pelajarnya memperoleh A dalam subjek Biologi pada SPM tahun lepas.
Sekali sekala Cikgu Sofia menoleh ke arah luar memandang Fatimah di koridor. Sayu pun ada tetapi hatinya terlalu geram. Pantang pelajarnya tidak fokus dalam kelas. Fatimah antara pelajarnya yang cemerlang ketika PT3, namun dia kecewa entah kenapa sikapnya pelajar itu berubah menjadi degil dan tidak mendengar kata lagi.
Kringggg! Loceng sekolah memecah kesunyian SMK Kuala Litok itu menanda waktu pulang sudah tiba.
“Siapkan kerja yang cikgu bagi itu. Esok cikgu kutip. Pastikan siap atau cikgu denda.”
“Baik! Cikguuuuuuu. Terima kasih cikguuuuuu,” sahut pelajarnya.
Cikgu Sofia juga bingkas bangun keluar dari kelas itu tidak sepatah perkataan ditinggalkan kepada Fatimah yang masih berdiri di luar kelas itu. Menoleh pun tidak. Fatimah masih tunduk. Malu. Malu memandang kawan-kawannya yang lain. Malu kerana pasti mereka akan terus mengejek. Sengaja dibiarkan mereka dahulu meninggalkan kelas itu.
Tiba-tiba hatinya menjadi dingin seperti angin petang bertiup bersama gerimis di luar ketika itu. Saat masuk kembali ke kelas itu matanya tertinjau-tinjau ke meja gurunya. Mencari kertas puisinya tadi. Kehampaan.
Bulan yang satu
Hati yang rindu
Ku bentang renyuk harapan
Pada jari jemari takdir
Luluh.
Fatimah mula menitipkan lagi rasa hatinya. Tetapi kali ini bait-bait itu kekal di hatinya kerana di situ sahaja yang memahami dan menghargai dirinya. Hatinya sendiri.  Kejemuan hatinya pada takdir perit yang silih berganti.
Keesokannya hari, Cikgu Sofia kembali ke Kelas 4 Armada itu lagi seawal loceng pertama sekolah berbunyi. Pertama-tama matanya ditujukan ke meja Fatimah.
Kosong.
Dia tidak mengendahkan itu. Keesokannya, tempat duduk Fatimah kosong lagi.
“Fatimah, tidak datang sekolah hari ini?” tanya Cikgu Sofia.
“Tak datang cikgu,” jawab pelajar lain.
Dua, tiga hari selepas itu tempat duduk Fatimah masih kosong. Hatinya tiba-tiba jadi tidak keruan. Minggu depan ada peperiksaan. Usai kelas tamat hari itu, Cikgu Sofia kembali ke bilik guru dengan hati geram. Geram dengan sikap Fatimah yang ponteng sekolah lagi. Dia nekad mahu bertanyakan kepada guru kelas Fatimah nanti. Memasuki bilik guru itu kedengaran di hujung sudut rakan-rakannya rancak bersembang. Bagai sekumpulan lebah mengerumuni bunga.
“Oh! Cikgu-cikgu bergosip apa nih?” celahnya melulu ke arah mereka.
“Ada pelajar kita, JKM sudah ambil. Bapa dia kena tahan. Haruan makan anak,” bisik Cikgu Laila.
“Ya! Allah. Siapa cikgu? Tak ada hati perut langsung. Geram pula rasanya.”
“Fatimah! Cikgu Sofia! Fatimah Kelas 4 Armada.”
Terduduk Cikgu Sofia. Perasaan marah tadi tiba-tiba berganti cemas, bimbang dan keliru. Segala-galanya berkecamuk. Wanita itu kembali ke tempatnya. Diam kaku. Dipejam matanya rapat-rapat. Wajah sayu Fatimah muncul di celah-celah gelap gelita itu.
Dicapai kertas renyuk yang dirampas daripada Fatimah hari itu. Air matanya tidak tertahan-tahan lagi
“Cikgu! Mengelamun apa, teringat orang jauh ya?” Bahu Cikgu Sofia ditepuk dari belakang.
“Ustazah… tak ada apalah,” Cikgu Sofia mengesat air matanya. Entah kenapa hati sayu. Sudah lebih lima tahun dia meninggalkan profesionnya sebagai pendidik. Separuh daripada tempoh itu, Cikgu Sofia membawa diri ke sebuah pondok yang jauh dari kota. Meninggalkan semua urusan dunia kerana pada usia yang tersisa, dia hanya mahu mendekatkan diri dengan Tuhan.
Itu lebih baik daripada bersendirian di rumah besar yang kosong setelah anak-anak juga meninggalkannya dan sibuk dengan kehidupan masing-masing. Tiada siapa untuknya di situ, kerana lelaki yang diimpikan untuk menghabiskan sisa-sisa hidup bersama saat itu juga mengkhianati takliknya.
Tetapi Cikgu Sofia reda kerana itu catatan tertulis di luh mahfuz untuknya. Ditinggalkan jauh-jauh dari pandangan malah hatinya tanpa mahu berkesam-kesam dengan kenangan perit di hujung usia itu. Tiada lagi duniawi bagi Cikgu Sofia ketika hatinya berdekam dengan kesunyian.
“Nah! Bungkusan saya ambil dari pejabat tadi. Orang jauh nampaknya,” ceria nada Ustazah Aisyah penyelia pondok itu.
Bagaikan kanak-kanak kecil yang baru mendapat hadiah ulangtahun, rakus tangan Cikgu Sofia mengoyak bungkusan itu. Dikeluarkan sekeping poskad tertera gambar Big Ben. Dibaca dengan teliti isinya.
Ke hadapan guru kesayanganku,
Terima kasih atas segalanya. Selagi nyawa dikandung badan jasa cikgu akan saya kenang.
Bakal MD kesayanganmu
Siti Fatimah
ICL, UK.
Hati Cikgu Sofia sebak lagi. Dia tidak pernah meninggalkan Fatimah walaupun di saat gadis sunti itu bersendirian di rumah kebajikan kerana disisih oleh keluarga. Termasuk ibu kandung di atas musibah yang diciptakan oleh darah dagingnya sendiri.
Cikgu Sofia satu-satunya talian hidup Fatimah. Memberi dorongan malah mengorbankan wang ringgit demi anak gadis itu. Mengingatkan Fatimah tentang Tuhan dan hikmah dalam musibah. Air mata yang menitis sejak saat itu adalah air mata Cikgu Sofia yang penuh kegembiraan. Penuh kesyukuran betapa kekuasaan Tuhan mengatasi segalanya. Sungguh indah harga sabar.
Dikeluarkan sehelai selen­dang yang dibalut indah da­lam kotak bungkusan itu. Dite­mukan sekeping gambar. Kali ini hatinya benar-benar rindu.
Memperkenalkan, Inayah Zara Sofia.
Tertulis nama indah itu di belakang gambar tersebut. Ditatap lama. Wajah Fatimah yang sudah menginjak dewasa dan semakin cantik. Bayi itu secantik ibunya. Lelaki di sisinya juga kacak.
Wanita itu kembali merenung ke luar kamarnya. Bulan penuh di langit kelihatan sayup-sayup dari cucur atap rumbia pondok itu. Indah, bisik hatinya. Dia pernah memarahi Fatimah kerana buta hati tentang puisinya. Pernah menjadi dungu kerana tidak mahu memahami kata hati Fatimah. Namun pada puncak malam itu, Cikgu Sofia pula yang menggantikan Fatimah merindui bulannya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya