Seni dan Budaya: Di Mana Kau? - Utusan Malaysia

Seni dan Budaya: Di Mana Kau?

Tok Dalang muda, Aqflerudzar Rizq Mohd. Sulhie melakukan persembahan Wayang Kulit di Yayayan Hasanah, di Shah Alam pada September 2021. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Tidak ada Perdana Menteri negara ini yang saya percaya lebih memahami makna dan peranan kebudayaan dan kesenian selain daripada YAB Datuk Seri sendiri. Saya juga percaya minat dan kecenderungan Datuk Seri terhadap kebudayaan, kesenian dan sastera bukan secara berpura-pura, tetapi jujur dan tulen.
Tradisi kebudayaan dan kesenian kita dalam krisis. Kita bukan kurang budayawan dan seniman. Kita kurang dukungan pemerintah dan naungan pihak swasta. Pimpinan politik kita rata-rata buta budaya dan seni. Pentadbir kita bukan pengurus budaya (cultural managers) seperti sepatutnya. Maka itu seni budaya tidak secukupnya terbela.
Sekurang-kurangnya sastera dan sasterawan punya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tetapi seni dan budaya tiada beribu dan berbapa. Sebelum ini sekurang-kurangnya ada kementerian yang di dalam nama rasminya tercatat ‘kesenian dan kebudayaan’ walaupun ditulis bersekali pelancongan.
Maka itu wujudlah sedikit sebanyak perhatian diberikan pada apa yang didefinisikan oleh para birokrat sebagai ‘kesenian dan kebudayaan’. Malangnya, bahagian yang membabitkan kesenian dan kebudayaan dalam kementerian itu jelas dipencilkan dengan biaya terlalu sedikit. Keutamaan kementerian berkenaan tentunya untuk membuat promosi besar-besaran bagi menarik pelancong yang khabarnya membawa masuk RM50 bilion setahun.
Saya secara peribadi banyak kali menegur tidak mungkin berlaku keserasian di antara pelancongan dengan kesenian dan kebudayaan. Ini bukan bermakna pelancongan tiada kaitan dengan kebudayaan dan kesenian. Malah kita boleh belajar dari Bali di Indonesia tentang bagaimana pulau itu ‘menjual’ seni budaya sebagai tarikan utama pelancong selain keindahan alam sekitarnya.
Tetapi dalam Kabinet Datuk Seri entah mengapa kesenian dan kebudayaan itu hilang begitu sahaja. Yang tinggal hanya pelancongan. Maka para seniman dan budayawan bertanya, seni dan budaya, di mana sebenarnya? Apakah fungsinya diagih-agihkan pada kementerian lain, yang mungkin oleh penelaah budaya dan penggiat seni, terlepas pandang?
Budayawan dan seniman amat faham keutamaan untuk memaju negara, menangani isu kemiskinan dan kenaikan kos hidup serta usaha menarik pelaburan asing pada masa ini. Tetapi janganlah abaikan budaya dan seni. Hakikatnya, selama ini terlalu banyak korban pada kebudayaan dan kesenian atas alasan agama, politik, kewangan, entah apa lagi.
Datuk Seri lebih maklum wujudnya pemahaman sempit tentang kebudayaan dan kesenian yang telah membunuh sekian banyak tradisi pengucapan seni budaya anak bangsa. Tidak ada gunanya kita menangisi hilangnya seni persembahan makyung, wayang kulit, menora, juga mulai terhapusnya kuda kepang, ketoprak, wang wong, wayang geduk dan entah apa lagi.
Seni dan budaya menjadi korban pertama apabila orang politik menjaja agama untuk membuktikan tahap keislaman mereka. Penyataan seni jadi bisu, beku malah ada mati terus. Dialog cerdik tentang kesenian juga ada kalanya ditakuti. Penggiat seni merasa diri terlalu kecil dan tidak dihargai.
Semasa hayatnya saya menemui novelis tersohor Indonesia, Pak Prameodya Ananta Toer. Saya minta pandangan jujur beliau tentang perbezaan di antara pembinaan jati diri bangsa Indonesia dan bangsa Malaysia. Secara bergurau kata beliau, orang Indonesia lambat maju ke hadapan oleh sebab mereka membawa bagej budayanya dengan setia sedangkan orang Malaysia maju terus dengan meruntun akar budi budaya mereka.
Hari ini saya percaya dengan pandangan itu. Kita maju dengan simbol binaan batu, kemajuan ekonomi dan kemewahan peribadi. Indonesia mengambil masa menyaingi kita oleh sebab mereka membawa sekali jiwa dan nurani dalam melangkah ke hadapan. Tidak hairanlah mereka meletakkan ‘pendidikan’ dan ‘kebudayaan’ sebagai nama sebuah kementerian. Sekian lama mereka punyai ‘Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan’ walaupun akhir-akhir ini ditambah menjadi Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi Republik Indonesia.
Mereka mahu mempertahankan ‘nalar publik’ (public mindset) yang betul dalam konteks pembinaan anak bangsa yang patriotik, faham sejarah, berbahasa sama dan memahami seni budaya. Itulah tunjang patriotisme mereka. Oleh itu, teras pembinaan negara bangsa mereka patut kita cemburi.
Pembabitan saya secara langsung dalam seni dan budaya selama lebih 50 tahun mengajar saya bahawa cakerawala seni budaya semakin mengecil. Kecilnya bukan sahaja dari perhatian dan dukungan tetapi kecil wibawa dan wacananya.
Dan saya tahu kehidupan malang dilalui oleh banyak budayawan dan seniman. Juga kekecewaan untuk melihat sumbangan mereka dihargai negara. Malah kita menghentikan Anugerah Seni Negara sejak sekian lama, satu-satunya penghormatan tertinggi untuk budayawan dan seniman kita.
Saya teringat hasrat Allahyarhamah Kak Khatijah Awang untuk mementaskan makyung secara besar-besaran dan autentik. Saya memahami kekecewaan Dalang Dollah Baju Merah yang kehebatan seni wayang kulitnya hanya terbatas di Kelantan. Saya merasakan rintihan Allahyarham Rahman B, doyen bangsawan yang mahu mementaskan bangsawan sebelum akhir ayatnya. Kesemua hajat mereka tidak kesampaian.
Dan saya lebih memahami masa­lah seniman teater, mu­zik dan lainnya yang harus berde­pan badai kealpaan dan sikap tidak peduli biro­krat selain kurangnya soko­ngan dan pembiayaan swas­ta untuk mendukung ke­giatan mereka. Seniman sedang marah-marah dan kecewa. Kita tahu keupayaan seniman kita, dari yang di jalanan termasuk buskers dan kumpulan teater. Mereka boleh! Tetapi kita juga tahu bagaimana pentas-pentas seni utama tidak mungkin dapat diisi. Panggung Anniversari di Taman Botani Perdana menjadi gajah putih. Istana Budaya hanya menjadi binaan gah yang digunakan setahun entah beberapa kali.
Tanyalah berapa banyak kali digunakan panggung-panggung utama di Kuala Lumpur, dari Balai Budaya Tun Syed Nasir dan Auditorium DBP serta Stor Teater DBP. Juga sekian banyak panggung serta ruang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur , selain pentas eksperimen di menara gading. Bilakah Kuala Lumpur benar-benar menjadi kota seni dan budaya?
Saya faham jawaban birokratiknya adalah memang ada jabatan memberikan sokongan, dana dan bantuan. Tetapi aktivis seni tahu bantuan tidak datang secara mudah. Dana tersorok di antara sekian banyak jabatan dan institusi serta tabung yang bukan sahaja sukar ditelusuri tetapi pentadbirnya bersikap kurang membantu.
Lebih buruk lagi berlaku pertindihan kuasa di antara kementerian, misalnya di Kementerian Komunikasi dan Mutimedia (sekarang Kementerian Komunikasi Digital) dengan Kementerian Sains, Teknokogi dan Inovasi (sekarang Kementerian Sains dan Teknologi) dan juga Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (sekarang Kementerian Pelancongan). Ini masalah legasi yang belum selesai.
Saya juga percaya Datuk Seri mengerti tentang penting dan besarnya industri kandungan kreatif hari ini. Ini merupakan industri berbilion ringgit. Ia melonjakkan banyak negara ke persada baharu ekonomi seperti terjadi pada Korea Selatan. Teknologi dan inovasi mencorakkan landskap kesenian dan kebudayaan semasa. Dunia hiburan berubah dengan dinamika yang dimungkinkan oleh inovasi dalam dunia industri kandungan kreatif.Semua itu berlaku oleh sebab strategi pemerintah yang betul, eko-sistem yang kondusif dan dana sokongan berpatutan. Ia memerlukan perancangan strategik jangka panjang.
Akhir kalam, ingatlah bahasa jiwa bangsa. Seni budaya akar jati diri negara bangsa. Jangan kita lupakan perlunya membina citra bangsa demi kesepaduan pelbagai budaya di negara ini. Keanekaragaman budaya adalah kekuatan dalam negara majmuk. Akal budi dan Kebijaksanaan sesuatu bangsa bermula daripada tradisi seni dan budaya yang subur. Datuk Seri Perdana Menteri tentu lebih faham tentang itu.

Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau juga aktivis seni selain penulis kreatif dan kolumnis. Buku beliau Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad diterbitkan oleh DBP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya