Selepas Hang Tuah membunuh Hang Too Ah, seperti lazimnya kerana terlalu gembira, baginda sultan menghadiahinya sebuah pulau berdekatan dengan muara sungai Melaka.
“Beta mahu menyerahkan tugas sebagai Datuk Bendahari, menggantikan Hang Too Ah yang keparat dan penipu itu,” sultan mengharap dan menyerahkan semula Keris Taming Sari.
Hang Tuah tersenyum memandang wajah Sultan Mahmud Syah. Pengurusan berbendaharaan adalah pemegang khazanah dan harta kerajaan, pengatur perbelanjaan dan bertanggungjawab dalam hal ehwal kewangan dan pendapatan negara. Melaka memang memerlukan tenaga yang besar bagi menguatkan semula perbendaharaan yang dicerobohi. Banyak khazanah kerajaan yang diambil dan dijual Hang Too Ah.
“Ampun Tuanku, patik sudah terlalu tua untuk memegang jawatan itu,” katanya mengaku akan kelemahannya.
“Beta percaya Datuk Paduka Raja Orang Kaya Laksamana, masih boleh menguruskan perbendaharaan negara, kerana ia sangat penting, memerlukan orang yang taat setianya tidak berbelah bagi.” Sambil-sambil itu baginda menjeling Tuan Puteri Gunung Ledang yang berdiri di sisi Hang Tuah.
“Baiklah patik akan fikirkan, Tuanku,” kata Hang Tuah. Sebelum beredar, baginda sempat berbisik kepada Hang Tuah, yang baginda sangat tertawan dengan kecantikan Tuan Puteri Gunung Ledang itu.
Hang Tuah masih ingat, itulah harinya dia terlalu malu terhadap dirinya sendiri. Tidak pernah mengecewakan kehendak rajanya. Kali pertama dia gagal. Dalam usianya delapan puluhan, sendi kakinya terasa longlai untuk memanjat Gunung Ledang, yang suatu masa dahulu, pernah menjadi tempat dia berulang alik menemui gurunya Adi Putera dan kekasihnya Melor.
Tun Mamat membawa khabar Puteri Gunung Ledang mengenakan syarat pembinaan jambatan emas dan perak dari Melaka ke Gunung Ledang. Tuah tersenyum sinis mendengarnya. Sambil menyerahkan Keris Taming Sari “sampaikan salamku kepada sultan.”
“Tetapi Orang Kaya Laksamana?”
“Jangan khuatir, aku sangat sedih kerana menghampakan kehendak sultan. Aku berjanji suatu masa nanti, Puteri Gunung Ledang itu akan kuserahkan kepada baginda, seperti Permaisuri Tun Teja.”
Sultan Mahmud menerima berita yang sangat memilukannya itu. Seandainya Tuah tidak mampu memenuhi kehendaknya, seharusnya dia pulang sahaja ke istana.
“Beta ingin menemuinya,” kata baginda tangkas. Tun Mamat membawa rombongan diraja ke tempat persinggahan Hang Tuah.
“Laksmana sudah berpindah ke tempat lain, Tuanku,” ujar penghulu permukiman di kaki Gunung Ledang itu. Hang Tuah mengetahui kehadiran sultan itu, tetapi dia minta penghulu merahsiakan keberadaannya.
Bagaimanapun Hang Tuah sedar, apa yang terjadi sepanjang kehilangannya dahulu. Pelbagai cerita yang sampai kepadanya. Antaranya apabila Puteri Gunung Ledang secara berkias-kias menolak peminangan itu. Dengan menyamar sebagai seorang nenek bongkok, menyampaikan syarat tujuh hantaran Puteri Gunung Ledang iaitu “Jambatan emas dari istana Melaka hingga ke puncak Gunung Ledang; jambatan perak dari puncak Gunung Ledang ke istana Melaka; tujuh dulang hati nyamuk; tujuh dulang hati kuman; tujuh tempayan air mata anak dara; tujuh tempayan air pinang muda dan semangkuk darah Raja Muda Melaka.”
Baginda mengerahkan seluruh rakyat, menyediakan tuntutan supaya dapat memperisterikan Puteri Gunung Ledang itu. Tanpa menghiraukan kehidupan rakyat Melaka yang tertindas dan huru-hara, apabila rakyat dikerah membina jambatan emas dan perak, sehingga seluruh emas dan perak milik kerajaan dilebur. Tidak cukup dengan harta kerajaan, emas dan perak rakyat pula turut dirampas. Begitulah juga para gadis seluruh Melaka, dikerah berkurung dalam istana dan dipaksa menangis manakala rakyat lainnya dititahkan, mendapatkan pinang muda untuk diperah airnya, walhal pinang muda tidak pernah berair. Semua hantaran berjaya disediakan, kecuali satu iaitu semangkuk darah Raja Muda Melaka, iaitu Raja Ahmad. Adalah sangat zalim membunuh anak sendiri.
Sultan Mahmud Syah sedar, baginda adalah putera kepada Almarhum Sultan Alauddin Riayat Syah, yang terkenal sangat adil, tegas dan berjiwa rakyat. Meskipun menaiki takhta ketika usia 15 tahun, dan memerintah sekitar lebih 10 tahun, Melaka terus membina pelabuhan besar dan menjadi pusat Islam sedunia, seperti yang dilakar oleh nenekandanya Sultan Mansur Syah, yang membina sebuah masjid agam di kaki Bukit Melaka. Bagaimanapun, baginda ditunjangi oleh kecerdikan Tun Perak selaku Bendahara, dan Hang Tuah yang masih muda selaku laksamana yang mengurus perairan Melaka.
Selepas 10 tahun sultan Mahmud memerintah, baginda kehilangan tonggak kekuatan negara, apabila Tun Perak pulang ke negeri abadi. Meski sepupu Tun Perak, Tun Mutahir menggantikannya, dan terkenal menjadi bendahara paling berkuasa tetapi kehebatan Tun Perak tidak dapat dikalahkannya.
Kata sahibul hikayat, baginda sultan sangat asyik teringatkan kepada Hang Tuah, bukannya hal pemerintahan Melaka, tetapi setiap malam baginda bermimpikan Tuan Puteri Gunung Ledang.
“Bawalah Puteri Gunung Ledang ke istana beta,” Titah baginda kepada Hang Tuah
“Titah tuanku patik junjung di atas jemala patik”.
Menurut Tun Sri Lanang lagi, meski pun Hang Tuah berkata demikian, jauh di dalam hatinya rasa cemas. Tugasnya menemui Puteri Gunung Ledang bukanlah senang, dengan segala tenaga keuzuran dan ketuaannya, dia terpaksa memanjat Gunung Ledang yang curam itu.
“Kita harap Tuan Puteri, bersedia berkahwin dengan baginda,” kata Hang Tuah memohon ehsan belas.
“Sultan berkahwin bukannya kerana cinta cuma hendak menunjukkan pada raja-raja lainnya, baginda ada kekuasaan luar biasa.” Ujar puteri itu. Hang Tuah memandang wajah puteri yang sangat jelita itu. Sesungguhnya kecantikannya adalah bayangan bidadari di syurga. Tutur katanya bagaikan batu-batu permata yang terurai.
“Kita takut, baginda akan gila merana, ” rayu Tuah.
“Bagaimana di malam pengantin pertama, aku menjelma menjadi nenek kebayan?” Puteri Gunung Ledang semacam bergurau.
“Baginda tetap akan mahu meniduri Tuan Puteri,” ujar Hang Tuah sungguh-sungguh.
Tuan Puteri Gunung Ledang tersenyum.
Ketika itulah, tiba-tiba heboh rakyat di kota Melaka. Sebanyak 18 kapal perang daripada Angkatan Diraja Portugal muncul di muara sungai Melaka. Mereka mendarat dengan pakaian tentera, berjalan sederap dan serentak bagaikan barisan lasykar ke medan perang. Orang Melaka mengenali bangsa Benggali yang bertubuh besar tinggi, berkulit hitam daripada India. Tetapi kali ini mereka melihat sama besar tingginya, bezanya berkulit putih, lalu mereka menggelarnya sebagai Benggali Putih.
Sultan Mahmud Syah membenarkan dan menyambut kedatangan Angkatan Diraja Portugal yang dipimpin oleh Diego Lopez de Sequiera itu. Melaka bagaikan merasa terhormat, semacam mendapat pengiktirafan dari negara Eropah, yang pertama kalinya menjejaki kakinya di istana Melaka.
Bendahara Tun Mutahir tidak senang dengan sikap sultan membenarkan gerombolan Portugis itu berniaga di Melaka. Apatah lagi pedagang Arab, yang menjadi sahabatnya menceritakan Portugis, ini bukan sahaja musuh agama, tetapi hendak menguasai perniagaan di rantau Timur Asia. Akhirnya Sultan Mahmud menitahkan supaya semua orang Portugis dipenjarakan. Berlaku pergaduhan. Ramai Portugis terbunuh, dan ada terselamat termasuk Diego Lopez de Sequiera melarikan diri sampai ke Goa India.
Dalam pada itu, Si Kitol dan Mendeliar memainkan fitnah yang menyatakan Tun Mutahir mengumpul kekayaan yang diberikan oleh pedagang Arab, bercita-cita hendak menjatuhkan Sultan Melaka.
Dengan amarahnya, baginda menyerahkan keris kuasanya kepada Tun Sura dan Tun Setia menjatuhkan hukuman bunuh kepada semua keluarga Tun Mutahir, anaknya Tun Tahir, Tun Hasan dan menantunya Tun Ali, hanya Tun Fatimah yang tidak dibunuh. Pembunuhan itu juga sebagai pembayar hutang Tun Mutahir yang mengahwinkan Tun Fatimah dengan Tun Ali tanpa memperlihatkan anaknya itu kepada baginda.
Ternyata Tun Fatimah sangat cantik. Dia mewarisi kejelitaan Tun Kudu, neneknya. Sultan Mahmud Syah tergila-gila bayang. Bolehkah baginda memenangi hati Tun Fatimah, yang suami dan ayahnya telah dibunuhnya itu?
Hang Tuah mendengar berita pembunuhan dan kegilaan Sultan Mahmud terhadap Tun Fatimah itu. Timbul rasa duka. Selama ini, sudahlah menanggung rasa uzur dan lemah segala sendinya, dia berusaha dengan segala daya tenaganya berulang alik menaiki dan memanjat gunung Ledang itu.
Bukannya senang untuk menawan hati Tun Puteri Gunung Ledang. Sama sukarnya bertarung untuk memenangi hati Tun Teja. Suatu ketika dia difitnah, atas nasihat Tun Perak membawa dirinya ke Pahang. Menyamar dan merendah diri kepada Bendahara Seri Buana iaitu ayahanda kepada Tun Teja dan Tun Jenal, adinda Tun Teja.
Pada mulanya Tun Teja menolak pelawaan perhubungan dengan Hang Tuah, namun setelah diberi ubat guna-guna melalui Dang Ratna, inang pengasuh Tun Teja, dia jatuh cinta kepada pahlawan itu, walhal Tun Teja telah bertunang dengan Megat Panji Alam, anak raja Terengganu.
Begitulah, secara halus Tuan Puteri Gunung Ledang juga sama dengan Tun Teja, terkena ubat-ubat Hang Tuah. Dan, kini Tuan Puteri Gunung Ledang pula yang tergila-gilakan Sultan Mahmud Syah.
Perkhabaran tentang Sultan Mahmud yang jatuh hati dan hendak berkahwin dengan Tun Fatimah, membuat Hang Tuah gundah gulana. Bagaimanakah kini perasaan baginda terhadap Tuan Puteri Gunung Ledang? Seandai sultan melupakan Tuan Puteri Gunung Ledang, akan sia-sia segala usahanya selama ini. Dia menghabiskan seluruh masanya menguruskan dan memujuk perasaan Tuan Puteri Gunung Ledang itu.
Dengan segala susah payahnya, melawan segala keuzurannya, Hang Tuah pergi ke kota Melaka. Dia ingin memastikan perasaan sultan terhadap Puteri Gunung Ledang itu.
Alangkah terperanjat di jalanan yang menuju gerbang kota Melaka, terhampar permaidani merah dan rakyat berkumpul merayakan perkahwinan baginda Sultan Mahmud Syah dengan Tun Fatimah.
Bagaimanakah caranya mengkhabarkan berita itu kepada Puteri Gunung Ledang yang sudah memesan baju perkahwinan daripada ratu Bunian gunung Titiwangsa?
Itulah masa dan detiknya angkatan perang diketuai oleh wizurai Raja Portugis di Goa, Alfonso d’ Albuquerque sampai ke perairan Melaka. Ternyata pengusiran dan pembunuhan di pesisir Melaka terdahulu, memberi sebab Portugis menyerang Melaka.
Pada subuh hari, askar Portugis memulakan serangannya, mendarat di utara dan selatan bandar Melaka. Tentera Melaka telah membedil dan membunuh ramai orang Portugis, tetapi ternyata kekuatan Benggali Putih itu lebih jauh kuat dan tersusun.
Sewaktu Alfonso d’ Albuquerque memijak bumi Melaka, dia sangat terperanjat di hadapannya berdiri seorang pahlawan Melayu.
“Aku akan bunuh kau, hey ketua Benggali Putih,” jerit pahlawan Melayu itu sambil menghunus keris tiga lok Taming Sarinya.
Dengan cepat Benggali Putih itu memetik picu istinggar yang berlaras panjang berhulu pendek itu, membedek ke arah tubuh Hang Tuah. Namun bagai kilat, tangan Puteri Gunung Ledang menolak Hang Tuah hingga jatuh, kemudian menariknya kuat dan berlari ke arah Gunung Ledang.
“Terima kasih, “ ujar Hang Tuah didapatinya dia sudah berada di istana Gunung Ledang.
“Rakyat di sini, mahu Datuk Paduka Raja Orang Kaya Laksamana menjadi raja di Gunung Ledang ini,” kata Puteri Gunung Ledang penuh mengharap. Kemudian menyambung dengan jujur, “hamba menyintaimu Tuah.” – MINGGUAN MALAYSIA
Cintanya Tuah
- Oleh Mana Sikana
- 4 Disember 2022, 4:32 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am