Bukan hanya warisan, tekat benang emas jana pendapatan lumayan - Utusan Malaysia

Bukan hanya warisan, tekat benang emas jana pendapatan lumayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT kepada kemasan jahitan emas pada tepak sirih, tidak ramai yang tahu bagaimana ia dilakukan. Setiap jahitan yang mempunyai motif tersendiri ini bukan mudah untuk menyulamnya kerana ia memerlukan cara kerja yang agak rumit.
Bagaimanapun, seni tekat yang begitu popular di Perak ini, kian dipandang sepi dan semakin dilupakan. Terdapat pelbagai faktor atas ‘kehilangan’ ini, selain mungkin disebabkan kurangnya pendedahan kepada generasi muda.
Ini diakui oleh pembuat dan pereka tekat, Nor Faizatol Fazleha Mohd. Rasdi yang mewarisi ilmu menekat daripada ibunya.
Ceritanya, seni tekat yang dihasilkan dengan menyulam benang emas boleh memperoleh pendapatan lumayan.
Dia yang mempunyai beberapa pekerja separuh masa dalam kalangan suri rumah berkata, pendapatan mereka adakalanya mencecah RM3,000 sehingga RM5,000 sebulan bergantung kepada tempahan. Malah, katanya, ramai pelanggannya terdiri daripada pihak istana, pembesar dan pemimpin serta tokoh perniagaan terkenal.
“Cuma tidak ramai mahu mempelajari seni ini. Biasanya kalau kita buat kelas hanya 10 orang datang. Itu pun hanya dua orang yang betul-betul menguasai. Namun, ia masih belum cukup untuk bergelar pakar kerana memerlukan latihan berterusan,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Seni tekat benang emas mempunyai beberapa motif seperti geometri, awan larat, flora dan fauna. Terdapat perbezaan antara tekat timbul dan tekat gubah. Untuk tekat timbul benang emas digunakan manakala tekat gubah pula menggunakan manik sebagai hiasan tambahan.
Dia berkata, selain digunakan dalam majlis tertentu, tekat benang emas kini melalui inovasi dan dijadikan hiasan pada kasut, beg dan cadar dengan corak moden. Inovasi ini, penting bagi menarik golongan muda mengekalkan seni warisan itu di negara ini.
Mengenai jenis benang, katanya, seni tekat ini menggunakan benang khas diimport dari Jerman dan berkualiti tinggi serta mampu bertahan ratusan tahun.
Selain dijadikan sumber pendapatan, anak jati Kuala Kangsar ini berkata, seni tekat itu juga telah membawanya melawat ke beberapa negara seperti United Kingdom, Singapura dan Indonesia.
Tambahnya, bagi yang mahu mempelajari ilmu tekat, mereka perlu ada kesabaran tinggi dan sentiasa berlatih.
“Kraftangan Malaysia biasanya mengadakan latihan selama tiga bulan untuk seni ini,” jelasnya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya