“Aku tidak akan pindah, aku tak akan pindah,” jerit Pak Ngah Napi. Suaranya nyaring membelah hujan yang sedang lebat.
“Kamu semua nak pindah, pindahlah. Hidup mati aku di rumah ini. Apa nak jadi, jadilah. Aku akan tanggung sendiri.”
Pak Ngah Napi mengharungi air separas paha dan naik ke atas rumah meninggalkan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat yang sedang membelah air banjir membawa isterinya Mak Ngah Limah dan anak bongsunya Zulipah ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi.
Dia memang nekad tidak akan berpindah. Dia bukan manusia yang keras kepala. Tetapi Pak Ngah Napi enggan berpindah kerana banyak perkara yang sedang difikirkan. Banyak perkara yang dia sayangkan. Dia sayang hendak tinggalkan rumah. Dia sayang hendak tinggalkan perahu. Dia sayang hendak tinggalkan ternakannya yang berada di Bukit Saji.
Jika dia berpindah ke pusat pemindahan banjir, siapa yang akan menjaga rumah? Siapa yang akan menjaga semua barangan di atas rumah? Siapa pula yang akan menjenguk lembu kerbaunya yang berada di Bukit Saji?
Jika dia berada di rumah, pagi dan petang dia boleh berkayuh perahu ke Bukit Saji. Dia boleh melihat lembu kerbaunya. Boleh menjaga keselamatannya. Boleh memberi rumput yang telah banyak dia cerut. Dia boleh nyalakan unggun api demi menjaga keselamatan ternakannya itu.
Kalau berada di pusat pemindahan banjir di Sekolah Gual Tinggi, bagaimana dia akan ke Bukit Saji. Sudahlah tempat itu amat jauh, tidak ada sesiapa pun yang akan membawa dia ke sana. Dia tidak boleh menggunakan bot tentera atau bot bomba. Mereka tentunya mempunyai tugasan lain yang lebih penting.
Jika dia tinggalkan rumah, banyak benda yang akan hilang. Pernah terjadi pada musim banjir sebelum ini, peralatan dalam rumah dicuri orang. Pinggan mangkuk dan periuk belanga habis dicuri. Apa lagi perahu pun akan dicuri. Paling tidak pun tikar dan sejadah pun turut dicuri.
Bot pancung dari negera jiran akan masuk ke sini dengan mudah. Bila air sudah penuh, sempadan sudah tidak ada. Sungai yang memisahkan dua negera telah menjadi lautan. Imigresen dan kastam sudah tidak ada. Kompleks pemeriksaan pun turut ditutup kerana digenangi air. Kerana itulah kegiatan mencuri akan bermaharajalela. Kerana kesemua itulah Pak Ngah Napi benar-benar tidak mahu pergi ke pusat pemindahan banjir.
Biarlah semua orang lain berpindah, namun Pak Ngah Napi tidak akan berbuat begitu. Dia tidak akan tinggalkan Kampung Seberang Tersang. Kampung Seberang Tersang adalah kampung kelahirannya.
Dia tidak akan tinggalkan rumah. Rumah ini rumah pusaka. Rumah peninggalan ibu bapanya. Betapa susahnya ibu bapa membina rumah ini. Biarpun rumah ini sudah usang, tapi tiang tembusu masih kukuh berdiri. Dinding masih kuat. Gelegar yang diperbuat daripada kayu cengal masih tersusun rapi. Pak Ngah Napi sayangkan rumah ini. Dia sayang sungguh-sungguh.
Air semakin naik. Kini sudah mula mencecah lantai. Pak Ngah Napi masuk ke ruang dapur. Tiang rumah yang diperbuat daripada kayu tembusu mula bergegar menahan rempuhan air. Tiga tempayan tanah yang berada di jemuran bahagian bawah mula berapungan dan berlaga antara satu sama lain.
Pak Ngah Napi mengambil beras di dalam geluk dan disalin ke dalam periuk yang sudah berada di atas ran sementara yang dibuat untuk menyimpan barangan semasa banjir. Semua periuk belanga serta pinggan mangkuk sudah pun disusun di atas ran. Pak Ngah Napi yakin kesemua barangan itu akan selamat dan tidak tenggelam.
Semua pakaian telah diisi ke dalam guni dan di susun di atas perahu. Selagi rumah pusaka itu berdiri teguh, pasti dia akan selamat. Pasti dia tidak akan berpindah.
Di luar hujan semakin lebat. Sigai yang diperbuat daripada buluh betong masih tersandar di tiang seri. Beberapa tempat yang bocor Pak Ngah Napi sudah sulat menggunakan upih pinang.
Bila air melepasi lantai rumah, Pak Ngah Napi mengambil keputusan untuk turun dan menaiki perahu yang tertambat di turus dinding. Dia berhajat mahu ke Bukit Saji untuk melihat lembunya yang ditambat sejak petang semalam. Lembu kerbau perlu diberikan rumput yang telah dicerut. Tetapi hasratnya itu tiba-tiba tertangguh. Dia teringatkan beberapa utas pukat yang ditahan di Baruh Tengah. Dia berhajat mengangkat pukat tersebut, kalau-kalau ada ikan puyu dan haruan yang terkena dan boleh dijadikan lauk.
Dia mula berkayuh menuju Baruh Tengah. Alangkah terkejutnya Pak Ngah Napi melihat di mana kawasan pukatnya ditahan. Usahkan pukat, kayu pancang pukat setinggi berdiri pun tidak nampak. Semua telah tenggelam. Dua utas pukat awah dan pukat sipat telah hilang dari pandangan matanya. Mungkin hanyut entah ke mana dibawa arus.
Pak Ngah Napi kemudian mengubah haluan. Haluan perahunya berpusing ke arah Bukit Saji. Dia ingin pergi melihat lembu serta kerbaunya di Bukit Saji. Tetapi Pak Ngah Napi tidak berani merentas sungai yang sedang mengalir deras. Air sungai bukan saja laju seperti air terjun, malah beralun seperti lautan. Dia gagal mengawal perahu, dan dia berpatah balik semula ke rumah.
Air di atas gelegar rumah sudah mencecah betis. Perahu yang diperbuat dari batang nangka sebesar pemeluk itu ditambat ke tiang seri rumah. Punggungnya dilabuhkan ke dalam perahu dan dia tersandar di tiang seri.
Sambil mengeluarkan air yang bertakung di dalam perahu, dia tiba-tiba teringatkan kepada lembu dan kerbaunya di Bukit Saji. Bagaimana dengan lapan ekor lembu dan tiga ekor kerbaunya? Selamatkah semuanya?
Jika Bukit Saji tenggelam, lembu dan kerbaunya juga akan turut tenggelam. Jika kesemuanya tenggelam, lembu kerbaunya akan hanyut dibawa arus.
Pak Ngah Napi mengeluh panjang. Air semakin naik. Alunnya semakin besar dan kerap. Dalam keadaan itulah dia tiba-tiba teringat pada kata-kata isterinya Mak Ngah Limah dan anak bongsunya Zulipah sebelum menaiki bot pagi tadi.
“Walau bagaimanapun abang kena pindah. Ikut laluan bot bomba ini. Bawalah bersama apa yang patut, selagi muat di dalam perahu itu.”
“Ayah pindah segera. Jumpa kami di sekolah,” suara Zulipah masih terngiang-ngiang dan tenggelam dalam deruan enjin bot berkuasa tinggi itu.
Pak Ngah Napi mencelup tangan ke dalam air dan beberapa kali meraup ke muka. Dia merasa segar seketika. Tapi tiba-tiba dia teringat kata-kata anggota bomba yang memindahkan anak isterinya tadi. “Banjir tahun ini diramalkan besar pak cik. Lebih besar dari tahun lepas. Hujan pula dijangka turun dengan lebat tanpa henti dalam tempoh dua tiga hari ini. Angin pula dijangka bertiup kencang.”
“Saya nasihatkan pak cik cepat-cepat berpindah sebelum air melimpah kampung.”
Pak Ngah Napi menggaru-garu kepala. Dia turun dari perahu. Air di atas gelegar rumah mencecah paha. Airnya terasa sejuk dan dingin. Pak Ngah Napi ingat kembali petua orang tua-tua, jika air banjir terasa dingin dan berubah warna, banjir besar akan berlaku.
Pak Ngah Napi memerhati ke luar rumah. Air semakin deras seperti peluru sedang merempuh dinding rumah. Pak Ngah Napi melompat naik semula ke atas perahu. Dia mula berkayuh keluar dari dalam ruang rumah. Angin semakin kuat. Air semakin banyak. Kampung Tersang telah bertukar menjadi lautan. Yang Pak Ngah Napi nampak saat ini adalah bumbung rumah dan pucuk kayu dan pucuk sagu.
Rumah pusaka mula bergoyang-goyang. Pak Ngah Napi berkayuh semula mendekati rumah. Dia tidak mampu lagi menyelamat barangan di dalam rumah. Dia juga tidak mampu lagi menyelamatkan rumah pusaka yang sangat dia sayangi itu. Satu persatu periuk belanga hanyut dibawa air. Satu persatu barangan di atas rumah hanyut dan tenggelam. Almari kayu bersama bantal dan kain-kain turut hanyut. Ran tempat menyimpan beras dan pinggan mangkuk juga hanyut.
Kemudian dinding rumah yang diperbuat daripada buluh tertanggal sekeping demi sekeping dari tiang rumah. Pak Ngah Napi melihat semua kejadian itu dengan penuh pilu. Akhirnya rumah pusaka tinggalan ayah ibunya ranap dibawa arus dan tenggelam tidak timbul-timbul lagi. Pak Ngah Napi memerhatinya sehingga dia tidak nampak apa-apa lagi, kecuali atap sagu tenggelam timbul dibawa arus.
Dia berada seperti di tengah lautan. Dia sedang berkayuh menokah air. Dia berusaha menstabilkan perahu, tapi air semakin deras. Perahunya melucur laju tanpa boleh dikawal lagi. Dia tidak dapat berpaut di mana-mana lagi, kecuali berharap perahunya hanyut menuju pucuk sagu. Ketika itu hanya pucuk sagu yang dapat disambar oleh anak matanya. Keinginanya tinggi untuk berpaut di situ. Tetapi semua itu hanya satu harapan. Perahunya tidak pun melalui kawasan itu. Perahunya hanyut ke arah lain.
Saat itulah tiba-tiba bayangan wajah isterinya Mak Ngah Limah dan anak bongsunya Zulipah datang menerpa. Dia tiba-tiba teringin sangat ke pusat pemindahan. Tetapi dia telah kehilangan arah. Arah manakah pusat pemindahan itu? Masih adakah pusat pemindahan itu? Mampukah dia ke situ dalam keadaan air yang laju ini? Fikirannya sedang berpusar laju seperti air yang sedang menghanyutkan perahunya.
Kampung Seberang Tersang telah tiada. Ladang-ladang getah dan sawit pun telah tiada. Tanah bendang seluas mata memandang pun telah tiada. Segala harta telah tiada. Apa yang ada ketika ini hanya air banjir umpama lautan luas, deras dan berombak. Yang ada kini adalah langit yang hitam pekat, hujan yang mencurah-curah dan angin yang berhembus kencang.
Apa yang ada bersama Pak Ngah Napi kini, adalah doa dan harapan yang amat tipis. – Mingguan Malaysia
Air, doa dan harapan
- Oleh Mukhtar Mustafa
- 18 Disember 2022, 3:33 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Pahang belum muktamad harga air beli dari Terengganu
6 Disember 2024, 3:30 pm
Kualiti air 86 sungai di Pahang tahap 1 hingga 3
2 Disember 2024, 2:12 pm
Mendapan mungkin punca Tasik Raban surut
24 Oktober 2024, 8:19 am