Pengundi dari sel - Utusan Malaysia

Pengundi dari sel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memang, Datuk Moha menyedari langkahnya sumbang. Dia tidak sepatutnya melakukan kesilapan yang dia sendiri mengetahui akibatnya. Manakan tidak, seminggu sebelum tarikh akhir pengisytiharan pendapatan, dia meramahi kunjungan PU Mus.
“Kami dari Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim Ikhlas, Datuk,” PU Mus memulakan perbualan. Datuk Moha yang memang terkenal dengan sikap dermawannya itu sudah dapat menduga tujuan kedatangannya. Dipendekkan cerita, beliau bersedia menyumbangkan peruntukan yang dirahsiakan jumlahnya untuk dana pembinaan bangunan tambahan.
“Alhamdulillah, semoga Allah memurahkan rezeki, memanjangkan usia dan memberi kesihatan kepada datuk dan keluarga,” doa syukur PU Mus disambut dengan lafaz ‘amin’ oleh Datuk Moha sambil meraup muka. Masih terngiang-ngiang lagi nasihat dan tazkirah ringkas PU Mus sebelum meninggalkan kamarnya hari itu. Betapa wang yang disumbangkan oleh Datuk Moha itu akan menjadi amal jariah yang bakal membantunya di akhirat nanti.
“Apabila manusia mati nanti Datuk, terputuslah segala amalan kita kecuali tiga. Salah satu di antaranya inilah infak dan amal jariah. Juga jangan lupa membayar cukai dan zakat yang diwajibkan,” titip PU.
Datuk Moha terima ingatan ikhlas PU Mus dengan tawaduk. Sesungguhnya dia pun bukan jahil sangat bab agama ini kerana tamat darjah empat sekolah agama di Johor dah kira arif hukum-hakam. Kitab Muta’al Badrin telah dikhataminya.
Datuk tahu segalanya walaupun hatinya sentap juga dengan lafaz akhir PU itu. Beliau sedar kesilapannya menurut hawa nafsu. Datuk silap dengan melarikan diri daripada menunaikan hak kepada negara.
“Setelah meneliti hujah-hujah pihak pendakwa dan peguambela defendan, di bawah peruntukan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 114(1) Lembaga Hasil Dalam Negeri, maka mahkamah yang bersidang pada hari ini, menjatuhi kamu hukuman penjara selama 3 tahun dan denda sejumlah RM10, 000.”
Begitu justifikasi prosiding mahkamah berikutan saman pemula yang dilakukan oleh pihak pendakwa, empat bulan lalu. Sahlah, akhirnya barisan panel tiga hakim yang bersidang telah membuat keputusan tepat tanpa prejudis. Dia masih beruntung kerana tidak dikenakan hukuman maksimum.
OKT Moha, tunduk memandang jubin kamar mahkamah yang licin berkilat. Tidak berdecit sebisik aksara pun dari artikulasi suaranya. Biarpun Datin Kama, dua orang anaknya dan kedua mentuanya berpelukan menangis hiba, Datuk Moha langsung tidak bereaksi untuk menyeruak.
Delegasi peguam daripada kedua-dua pihak bersurai dan menyelesaikan urusan pasca perbicaraan masing-masing. Kelihatan peguambela Datuk Moha mendekatinya sebelum dipandu masuk oleh petugas mahkamah. Dia hanya menurut sahaja dirinya diperlakukan oleh sesiapa pun ketika itu. Hatinya benar-benar pasrah kerana apa yang terjadi hari ini seakan telah diduganya. Dia tidak berhasrat membuat rayuan walaupun nanti peguamnya akan membuat permohonan. Derai tangisan Datin Kama dan kaum keluarga yang lain hilang begitu sahaja dari capaian pendengaran.
Marcapada, banyak kes individu yang menjalankan perniagaan memanipulasi kedudukan kewangan. Mereka tidak mengisytiharkan pendapatan atau memalsukan dokumen perniagaan agar tidak dapat dikesan oleh pihak berwajib.
Sepasukan pegawai daripada pelbagai agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis menggeledah premis perniagaan Datuk Moha. Beberapa pegawai disoal-siasat dan bahan bukti diangkut ke pejabat LHDN. Pucat lesi muka datuk yang mempunyai reputasi baik di samping bebas isu kriminal dan delinkuensi personaliti selama ini.

II
Berita gempar! Alangkah malunya ikonik yang selama ini muncul di khalayak dengan prestij dan imej yang bersih, digari pihak polis. Netizen medsos dan alam maya turut mengenali beliau sebagai ikon usahawan Melayu yang dermawan. Namun tiada siapapun mengetahui helahnya melepaskan diri dari melunaskan kewajipan.
Seluruh warganet kaget apabila semua akhbar arus perdana digital memaparkan cerita sama persis sebagai ‘kepala berita’. Seorang ahli perniagaan tersohor dan pegawainya diheret ke mahkamah atas alasan gagal menjelaskan cukai pendapatan.
‘Pemilik Syarikat Kosmetik dan bakal YB kena cekup LHDN.’ Demikian calar yang sekelip mata sahaja menjadi tular. Rata-rata membicarakan isu tersebut sama ada di media cetak, media maya mahupun media alternatif lain. Siapa yang tidak kenal Datuk Moha yang memiliki penampilan dan aura disenangi ramai itu. Sering dilihat dalam majlis-majlis kebajikan menghulurkan sumbangan kemanusiaan.
Malah, nama yang disebut-sebut bakal jadi calon pada PRU akan datang yang sedang meningkat naik itu, tiba-tiba runtuh. Dalam kecoh riuh orang membuat persiapan mendepani PRU yang mula bertiup sejak setahun itu, dia ditimpa musibah tersebut.
Imej yang mencanak tinggi, pantas pula merudum sepi. Nama hebat yang besar, sekelip mata bisa tercemar. Landskap kerjayanya yang ternukil indah dalam kanvas kehidupan, tiba-tiba terconteng dengan tinta arang kehitaman.
Dikhabarkan pucuk pimpinan parti telah memetik namanya sebagai antara bakal calon kerusi parlimen. Bukan senang hendak naik nama dalam perebutan orang parti yang ingin bertanding dalam pilihan raya itu. Apa lagi Datuk Moha yang dikira orang baharu juga dalam kancah politik tanah air.
Beliau memang telah dirisik oleh pucuk pimpinan untuk menyertai parti mereka kerana kedudukan kewangan yang kukuh, reputasi perniagaan di samping namanya yang menjadi aset untuk memenangi hati pengundi. Pendirianya yang selama ini pro pemerintah juga memudahkannya meraih tempat.

III
Pagi itu, lapangan luas di tapak rumah kebajikan anak-anak yatim, meriah dengan kenderaan. Dari yang ringan kepada jentera berat. Puluhan kereta mewah, sederhana pun biasa-biasa tersadai mencari parkir yang tidak dikhaskan. Ribuan manusia seakan ada majlis perdana menyambut kedatangan PM atau forum Perdana Ehwal Islam dengan panel tersohor sedang berlintas langsung.
Sebentar, juruacara mengumumkan ketibaan Yang Berhormat ikonik tempatan untuk melakukan perasmian bangunan baharu tersebut. Usai ucapan perdana, VVIP dibawa ke tapak perasmian dengan menaiki jentolak yang telah dipanaskan enjinnya. Perlahan-lahan jentolak dipandu meratakan sebuah kawasan berpasir. Gimik menandakan tuntaslah sudah kerja-kerja kontraktor yang membina asrama itu.
Kemudian beliau menyingkap cindai sutera dan menandatangani plak peringatan. Di balik cindai sutera itu tertulis, “ Perasmian bangunan tambahan Rumah Anak-anak Yatim Ikhlas.” Sementara di bawah plak itu pula tercatat frasa ‘Penyumbang utama: Datuk Moha.’
Bergenang air matanya apabila dikhabarkan oleh Datin Kama tentang apa yang berlaku di lokasi itu. Kunjungan isterinya itu membawa perkhabaran yang tidak pernah diduganya. Dan setitis demi setitis air mata keinsafan berjurai di lapangan pipi yang mula berkedut. Kedut yang tidak bisa lagi dipertahankan atau dirawat biar dengan Jus Tahan Tua keluaran syarikatnya sekalipun.
Datuk Moha melangut memandang kekosongan di hadapannya. Sementara menanti hari-hari berakhir hukumannya, beliau menghabiskan masa dengan muhasabah diri dan berzikir.
Suara dan persona PU Muz masih berbalam di logamaya. Entah, dia pun tidak pasti apakah kedudukan wang yang didermakan kepada ustaz tersebut. Bagaimanakah anak-anak yatim membesar dengan hasil wang yang didermakannya. Pelbagai persoalan membelit mindanya.
Yang pasti, PU Muz tidak pertikai pun bab wang sumbangannya itu. Malah mereka terus juga mendoakan kesejahteraannya. Terasa benar di ruang katarsisnya, betapa Tuhan masih adil dan dia yakin akan terus adil menghakimi umatnya.
Segunung penyesalan seakan menghempap kepalanya yang separa berumput. Suara-suara kutukan dan cercaan yang entah datang dari mana bertubi-tubi menghujani tebingan gegendang. Dia seakan betah meladeni segala macam kata-kata tersebut, menerima segala bentuk tohmah itu dengan tenang. Dia pasrah bahawa dirinya kini memang naif dan naqis.

IV
“Datuk, ada tetamu hendak jumpa,” pengawal bertugas menggugah lamunannya. Datuk paling ke belakang, dia lipat sejadah usang lalu sampir atas ampaian dawai tepi dinding kumal. Suara-suara azan dari lapangan imaginasi mula hilang dari cuping telinga.
Hari ini hari kelepasan untuk saudara-mara menziarah banduan. Datuk, seperti juga banduan lain dibenarkan beramah mesra bersama tetamu. Sayunya hati pertama kali mendengar lagu-lagu nostalgia runut telefon yang berkumandang dari lokasi asing begitu.
Dari kejauhan, dia lihat sepanduk dan gegantung parti yang bakal bertanding pada PRU kali ini berkibar-kibar di puncak tiang. Dia dapat rasakan kemeriahan penyokong di luar sana. Juak-juak dan macai-macai parti yang selalu lebih kuah daripada sudu pasti akan menonjolkan diri kayak sang hero. Mereka tentu akan dapat habuan daripada YB sekiranya menang kerusi nanti.
Esok lusa berakhir tempoh berkempen sebelum pembuangan undi. Tentu jentera parti habis-habisan cuba memenangi hati pengundi, namun datuk terasa semakin kehilangan meriah itu. Dia ingat wajah-wajah yang selalu bersamanya ketika diajak berkempen pada satu PRK DUN beberapa minggu sebelum dia dicekup. Terasa detik dia dinobatkan sebagai YB kian hampir. Namun kini igauan itu bagaikan sebuah utopia.
Wajah-wajah penyokongnya mulai hilang dan sekonyong-konyong rias gemulah ibu bapa renta menggangti imej utama memenuhi retina. Wajah yang telah langsai melaksanakan tugas dan amanahnya secara jaya. Tapi dia khianati amanah tersebut. Dia yang terbabas daripada rel yang telah mereka bina penuh aturan. Titis lagi air matanya.
Tatkala dia mahu berjalan keluar ke mandala pertemuan, terpandang akan wajah PU Muz dan beberapa ustaz lagi. Mereka telah sedia menanti di gapura lapangan berjeriji kemas dengan senyuman menyimbahi wajah.
Mereka membimbit tenor, serajuk buahan dan tasbih kayu koka dari pusat kebajikan. Datuk Moha terkesima. Masih jua ada insan mulia datang mengunjungi manusia hina ini, desis nubarinya. Jiwanya mengeras untuk menahan kesedihan. Namun ia gagal juga apabila tangan-tangan mulus itu menyalaminya satu persatu. Spontan pula PU Muz meletakkan untaian tasbih, buah tangan yang dibawanya di atas telapak tangannya. Beberapa soalan dan jawapan bertukar-tukar seketika. Kelihatan mesra keduanya hingga rona wajah Datuk Moha kelihatan membunga.
Di luar, para pengundi mula memuktamadkan siapakah calon yang akan dipangkah. Parti manakah yanag akan diberi amanah menerajui negara buat lima tahun mendatang. Suasana meriah dan penuh warna-warni panji-panji, sepanduk, kain semutar dan pelbagai lagi menjadi panorama dominan.
Datuk Moha masih runduk melayan PU Muz dan beberapa lagi ustaz rumah kebajikan. Mereka juga bakal membuang undi nanti. Ya, hari penentuan kerajaan baru akan dibentuk. Dan dari mandala sel itu, jika Datuk Moha diberi taraf kelayakan untuk mengundi, dia akan memangkah calon berwatak PU Muz. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya