Kelantan sangat unik kerana asimilasi budaya yang tidak ada di tempat lain terutamanya hubungan rapat antara kaum Melayu, Cina, India dan Siam. Kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negeri Cik Siti Wan Kembang ini menjadikan ia negeri yang mempunyai adat pelbagai yang sering menarik perhatian ramai.
Justeru dalam mengangkat kepelbagaian ini, bidang kesusasteranlah yang sering menjadi penyatuan kepada perpaduan bangsa ini.
Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Kelantan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) menganjurkan Malam Puisi Malaysia (MPM), bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah air.
MPM yang bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama adalah program untuk memupuk perpaduan kaum melalui platform sastera dan budaya.
Ia menggabungkan acara kesenian dan sastera yang disertai oleh pelbagai kaum dan peringkat umur.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, Datuk Md. Anizam Ab Rahman semasa merasmikan acara tersebut berkata, walaupun negara telah lama mencapai kemerdekaan, peranan dan tugas kesusasteraan belum lagi selesai malah berterusan memainkan peranan besar dan penting kepada masyarakat, bangsa, dan agama.
Bahkan katanya, ia juga punya tugas untuk diangkat di peringkat globalisasi.
“Kita hendaklah melihat bahawa kesusasteraan adalah elemen yang cukup bijak, di sebalik segala penceritaan, pengucapan suara dan getaran emosi yang mampu secara halus menerapkan segala kesedaran pemikiran kepada masyarakat,” kata beliau.
Tambahnya, melalui program MPM ini, apa yang disaksikan dan hayati adalah sebahagian daripada manifestasi minda, wajah, suara dan emosi kesusasteraan.
Malah, sastera adalah kombinasi pelbagai wadah, wajah dan suara, daripada beberapa unsur seni budaya, untuk dihayati secara mudah tetapi berkesan.
“Saya turut berasa bangga kerana manifestasi MPM ini dapat menghala pada aspirasi perpaduan, muhibah dan keharmonian.
“Program ini tentunya dapat menggambarkan bahawa seni dan sastera itu dapat mengeratkan perpaduan dan silaturrahim dalam Keluarga Malaysia,” tambah Md. Anizam.
Program yang diadakan pada 10 September lalu di Institut Pendidikan Guru Kota Bharu (IPGKKB) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) dan Kelab Bahasa Melayu IPG (KEBAYU) itu melibatkan penyertaan yang ramai iaitu 180 pengiat sastera di pelosok negeri dan dihadiri hampir seribu penonton.
Mereka ini menyaksikan persembahan deklamasi puisi, nanyian lagu puisi yang digabungkan dengan muzik tradisional, tarian tradisional dan nyanyian.
Barisan pembaca puisi ialah Md. Anizam sendiri, Datuk A. Aziz Deraman, Penerima SEA Write Award 2021, Rosli K. Matari, Dr. Mohd. Rozi Ismail, Dr. Rose Arif, Siti Nur Fatihah Fatihah Zainal Abidin, Zainul Amin Mat Zain dan Aminuddin Mamat.
Turut serta pendeklamator cilik Nurul Aimy Insyirah Muhamad, Bani A. Zaini, Wee Soo Lian, Nor Riza Razali, Faridah Abdullah, Kartunis Pak Rossem, Nurul Athirah Azman, Ng Wei Hong, Kwon Yen Qi, J. Tharani dan Nur Natasya Yakup.
Persembahan kesenian yang mengisi acara MPM pada malam itu adalah Gendang Cina 24 Musim dari SMK Chung Hwa, Gendang India Kuala Krai, dan Gedombak Panjang Siam Wakaf Bharu.
Turut mewarnai malam itu, adalah persembhan silat dari Silat Kampung Tok Sadang, permainan rebana dari Rebana Mangkuk Tanah Merah, dan nyanyian patriotik serta lagu daerah oleh KB Buskers dan Ezani Daud.
PENULIS ialah Ketua 1 GEMA