Panas matahari cukup luar biasa. Membahang sampai ke dalam rumah. Kesuma menjulurkan kepala di luar tingkap. Kelibat Mawar anaknya masih belum kelihatan. Sudah menjelang pukul dua petang. Mawar masih belum pulang dari sekolah.
Kesuma mula rasa gelisah. Selalunya waktu-waktu begini, Mawar sudah berada di rumah. Kalau tidak silap ingatannya, pagi tadi Mawar beritahu hari ini tidak ada sebarang aktiviti di sekolah. Kesuma mententeramkan perasaan. Dia tidak mahu berfikir yang bukan-bukan. Dia memandang lagi ke luar rumah.
Mata Kesuma meliar memandang di persekitaran luar rumah. Di halaman rumahnya ada sebuah pangkin panjang yang digunakan untuk menjemur ikan masin. Itulah sebahagian mata pencarian keluarganya. Suaminya seorang nelayan tradisi. Jika ada ikan-ikan yang tidak laku dibeli orang, Kesuma menjadikannya ikan masin atau ikan jeruk. Ikan masin buatan Kesuma sering dicari orang di sekitar kampungnya. Malah ikan masin Kesuma turut dicari orang luar dari kampung berdekatan.
Mawar adalah satu-satunya anak tunggal Kesuma dengan suaminya Sopian. Bersekolah dalam tingkatan tiga. Setiap pagi Mawar akan berjalan kaki ke perhentian bas yang jaraknya 200 meter dari rumah. Di situ Mawar menunggu bas sekolah.
Suaminya Sopian selepas solat Subuh akan keluar ke laut mencari rezeki. Sopian akan pulang ke rumah selepas dua tiga hari berada di laut. Begitulah rutin suaminya. Hanya apabila tiba musim tengkujuh, suaminya tidak pergi ke laut menangkap ikan. Ketika inilah Sopian menguruskan pelbagai perkara termasuk membantu Kesuma. Namun kebiasaannya Sopian menyelenggara bot miliknya dan memperbaiki jaring-jaring pukat yang koyak.
Sejak berumah tangga dengan Sopian, Kesuma telah masak benar dengan tingkah laku suaminya. Dialah yang menguruskan hal ehwal rumah tangga sepanjang ketiadaan suaminya termasuk menjaga anak tunggalnya, Mawar.
Kesuma memandang semula ke luar rumah. Dari jauh berbalam-balam dia nampak satu sosok tubuh sedang berjalan. Semakin lama semakin dekat sosok tubuh itu menghampiri rumahnya. Jelas bahawa sosok tubuh itu adalah anaknya Mawar. Dari jauh Kesuma nampak Mawar tersenyum memandangnya.
“Lambat Mawar sampai rumah hari ini? Mawar pergi mana?” soal Kesuma sebaik sahaja Mawar tercegat di hadapannya.
“Hari ini Pengetua buat perjumpaan dengan semua murid di dewan. Tu yang lambat keluar. Emak tak perlu risaulah. Mawar kan dah ada depan emak ni” ujar Mawar tersengeh.
“Manalah emak tak risau. Buah hati emak seorang ni. Pergi tukar baju. Lepas itu makan,” saran Kesuma kepada Mawar.
Mawar tidak bergerak. Masih tercegat. Senyuman Mawar semakin lebar.
“Aik! Kenapa tersengeh-sengeh ni? Macam ada apa-apa je” terka Kesuma.
“Selamat hari jadi, emak!” lafaz Mawar. Spontan tangannya memeluk Kesuma. Kesuma tergamam. Kemudian tangan Mawar menyeluk ke dalam beg sekolah. Dia mengeluarkan sekuntum bunga ros berwarna merah.
“Ini hadiah untuk emak. Tanda kasih sayang Mawar pada emak. Mawar sayang emak” kata Mawar sambil memeluk Kesuma dengan erat. Kesuma menyambut bunga ros merah pemberian anaknya. Mawar melepaskan pelukan. Kesuma terkesima melihat bunga ros yang cantik.
Sewaktu Kesuma mengangkat kepala ingin melihat Mawar, anaknya tidak ada di hadapannya. Kesuma memandang-mandang di sekelilingnya tetapi Mawar anaknya tidak ada di situ. Hati Kesuma berdebar-debar. Begitu pantas Mawar hilang dari pandangannya. Tangan Kesuma masih memegang bunga ros merah pemberian Mawar.
“Mawar! Mawar! Mawar!” Kesuma berteriak memanggil nama anaknya. Malah suara Kesuma semakin kuat berteriak.
“Mawar! Mawar! Mawar!”
Tiba-tiba Kesuma menyedari dia sedang duduk di atas kerusi. Dia membuka matanya luas-luas. Kesuma tertidur di kerusi ketika menunggu anaknya Mawar pulang dari sekolah. Dan dia terjaga oleh mimpi Mawar pulang dari sekolah.
Kesuma menjeling jam dinding. Jarum jam menunjukkan pukul dua petang. Mawar masih belum pulang dari sekolah. Kesuma mula rasa tidak sedap hati. Namun dia mententeramkan perasaannya supaya tidak berfikir yang bukan-bukan.
Kesuma bangun dari kerusi menuju ke biliknya. Dia ingin menunaikan solat Zohor. Kesuma masih mamai kerana tertidur sebentar tadi. Fikirannya masih terbayang mimpinya tadi.
Kesuma masuk ke bilik air mengambil wuduk. Setelah lengkap memakai telekung, Kesuma menunaikan kewajipannya mengadap Ilahi. Usai solat Kesuma berdoa memohon anaknya Mawar dilindungi Allah Azzawajalla.
Kesuma menuju ke dapur. Masakan tengah hari telah lama disiapkannya. Namun Kesuma masih belum menjamah masakannya. Kebiasaannya dia menunggu Mawar pulang dari sekolah. Kesuma akan makan bersama-sama Mawar.
Kesuma memandang jam di dinding. Sudah hampir pukul tiga. Mawar masih belum pulang. Kesuma sudah mula merasa lapar. Dia mesti makan juga. Jika tidak, dia akan mula merasa pening kepala kerana perut kosong.
Biarpun perut Kesuma benar-benar terasa lapar, tetapi suapannya begitu perlahan. Kunyahannya sangat lambat. Selera makannya bagaikan tersekat di kerongkong. Jarum jam begitu pantas berjalan. Semakin menghampiri empat petang. Wajah Mawar masih belum terpacul lagi.
Kesuma berharap suaminya Sopian pulang ke rumah hari ini. Sudah tiga hari suaminya ke laut. Sepatutnya Sopian balik hari ini. Selalunya suaminya pergi ke laut tidak melebihi tiga hari. Jam di dinding sudah melepasi angka lima. Mawar anaknya masih belum nampak batang hidung. Kerisauan Kesuma tidak dapat dibendung lagi. Suaminya Sopian perlu mengetahui tentang anaknya Mawar.
Kesuma sudah mula mencongak-congak. Jika suaminya Sopian masih belum pulang ke rumah menjelang Maghrib, Kesuma akan pergi ke rumah Tok Penghulu membuat aduan tentang anaknya Mawar. Mata Kesuma menoleh kepada jam di dinding. Semakin menghampiri enam petang. Kelibat Mawar masih belum muncul-muncul.
Kesuma beristiqfar ketika menyedari dia belum menunaikan solat Asar. Segera dia menuju ke bilik air. Kesuma keluar tergesa-gesa menuju ke biliknya ingin menunaikan solat Asar. Sewaktu Kesuma selesai menunaikan solat, dia terdengar suara memberi salam. Kesuma cepat-cepat bangun menuju ke pintu. Demi dilihat Sopian terpacul di muka pintu, Kesuma terus berlari mendapatkan suaminya.
“Eh? Kenapa ni Kesuma? Macam dikejar hantu je!” kata Sopian apabila melihat isterinya Kesuma seperti ketakutan.
“Anak kita Mawar, Bang! Anak kita, Bang!” laung Kesuma.
“Kenapa dengan Mawar?” tanya Sopian dengan nada terkejut.
“Mawar masih belum balik dari sekolah, Bang! Ni dah dekat nak Maghrib. Selalu dia tak macam ni, Bang!” laung Kesuma. Nada suaranya serak seperti hendak menangis.
“Bawa bertenang, Ma. Mungkin Mawar ada aktiviti di sekolah!” ujar Sopian menenangkan isterinya Kesuma.
“Tapi Bang, pagi tadi Mawar bagi tau dia tak ada aktiviti hari ni. Ini yang merisaukan saya, Bang” suara Kesuma tersekat-sekat.
Sopian terdiam. Hatinya mula rasa tidak sedap. Mata Sopian memandang jam dinding. Hampir pukul tujuh petang. Mawar tidak pernah selambat begini.
“Ma tunggu di rumah. Abang nak pergi tengok Mawar di sekolah. Ma bawak bersabar” kata Sopian memujuk Kesuma.
Sopian menghidupkan enjin motosikalnya. Sopian meluncur laju menunggang motosikal menuju ke sekolah anaknya Mawar. Kesuma memandang suaminya hingga hilang dari pandangan. Jantung Kesuma berdegup kencang. Dadanya berdebar-debar. Hatinya resah tidak menentu. Kenapa Mawar masih belum sampai ke rumah. Dia bertanya dirinya sendiri yang pasti tiada jawapannya.
Hampir 20 minit Sopian pergi. Kesuma menunggu dengan gelisah. Kemudian dia terdengar bunyi enjin motosikal di luar rumah. Kesuma bergegas ke muka pintu. Sopian suaminya telah kembali ke rumah. Tetapi Mawar tidak ada bersama suaminya. Debar dada Kesuma semakin kencang.
“Anak kita tak ada di sekolah. Abang tanya pengawal. Dia kata Mawar dah keluar dari sekolah tengah hari tadi. Abang cari di sekitar berdekatan sekolah. Mawar tak ada” beritahu Sopian. Wajah Sopian nampak cemas.
“Macam mana ni, Bang? Saya dah tak sedap hati ni. Apa yang harus kita buat, Bang?” kata Kesuma. Dia sudah mula teresak-esak hendak menangis.
“Ni dah masuk Maghrib. Kita solat dulu. Lepas solat, kita pergi rumah Tok Penghulu. Lepas tu kita buat laporan polis. Ma bawa bersabar” cadang Sopian sambil menenangkan Kesuma.
Usai menunaikan solat Maghrib, Sopian dan Kesuma bergegas ke rumah Tok Penghulu yang tidak jauh dari rumah mereka. Tok Penghulu terperanjat mendengar berita yang disampaikan Sopian dan Kesuma. Tok Penghulu menawarkan dirinya menghantar Sopian dan Kesuma dengan keretanya ke balai polis membuat laporan.
Di balai polis, Sopian dan Kesuma menceritakan apa yang berlaku terhadap anaknya Mawar yang tidak pulang ke rumah sejak tengah hari tadi. Sopian turut memberitahu pengawal di sekolah nampak Mawar keluar dari sekolah pada waktu tengah hari. Polis mencatat segala butiran yang diberitahu Sopian.
Selesai membuat laporan, Sopian dan Kesuma diarahkan pulang ke rumah. Pihak polis telah berjanji akan mencari Mawar pada malam itu juga. Kemudian Tok Penghulu menghantar Sopian dan Kesuma pulang ke rumah. Ketika meninggalkan rumah Sopian dan Kesuma,Tok Penghulu turut berjanji akan meminta orang-orang kampung mencari Mawar.
Malam itu Sopian dan Kesuma tidak ada selera makan. Tekak Sopian dan Kesuma tidak lalu menelan nasi dan lauk. Malam itu Sopian dan Kesuma tidak mampu melelapkan mata. Jiwa Sopian dan Kesuma terganggu dan tertekan. Hingga ke pagi Sopian dan Kesuma tidak dapat melelapkan mata.
Keesokkan pagi ketika Sopian dan Kesuma duduk di meja makan, sebuah kereta peronda polis terpacul di hadapan rumah. Sopian dan Kesuma bergegas ke pintu. Dari dalam kereta, keluar dua anggota polis lelaki.
“Assalamualaikum Encik Sopian” ujar salah seorang anggota polis.
“Waalaikummussalam, Encik. Macam mana dengan anak saya? Dah jumpa ke?” jawab Sopian kemudian terus mengajukan pertanyaan.
“Kami datang ini nak beritahu tentang anak Encik Sopian,”
“Dah jumpa ke anak saya, Encik?” sampuk Kesuma tidak sabar. Sopian menenangkan Kesuma.
“Begini, Encik Sopian. Kami telah menemui anak Encik Sopian, si Mawar” beritahu anggota polis dengan nada perlahan.
“Di mana Encik jumpa anak saya tu?” teriak Kesuma dengan suara yang tinggi.
“Saya harap Encik Sopian dengan Puan Kesuma bersabar ye. Kami jumpa di dalam belukar tidak jauh dari perhentian bas berhampiran sekolah. Kami guna anjing pengesan. Sekarang kami ingin bawa Encik Sopian dan Puan Kesuma ke hospital untuk membuat pengecaman mayat” nada suara anggota polis itu bagaikan tersangkut-sangkut.
Kesuma terjelepuk di sisi Sopian. Dia meraung tanpa silu. Bunga ros merah pemberian Mawar di dalam mimpi terpancar di dalam matanya. Kesuma menangis teresak-esak. Tubuh Sopian menggigil dan perlahan-lahan melorot jatuh di muka pintu. – Mingguan Malaysia
Sekuntum Ros Merah
- Oleh ZAINAL ABDUL KADIR
- 4 September 2022, 7:51 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selamat hari lahir Kartini
14 Januari 2024, 5:37 pm
Buku yang hilang
31 Disember 2023, 6:05 pm
Pemain silap mata lupa silap matanya
17 Disember 2023, 4:34 pm