Pelajar sekolah semarakkan dunia kesusasteraan tanah air - Utusan Malaysia

Pelajar sekolah semarakkan dunia kesusasteraan tanah air

Antara peserta penulisan cerpen pelbagai kategori yang gembira dengan kemenangan masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USAHA Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melahirkan lebih ramai penulis dan pengkarya dalam kalangan penulis muda pelbagai bidang termasuk genre cerpen bagi menyemarakkan lagi dunia sastera tanah air sememangnya langkah yang amat baik, dalam mengangkat peranan dan martabat kesusasteraan dalam masyarakat.
Ia bukan sahaja mendapat sambutan daripada golongan peminat sastera tetapi juga pihak sekolah, ibu bapa, guru dan para penulis muda yang berkobar-kobar mahu mengasah bakat kreatif mereka apabila setiap negeri diminta menghantar karya pelajar sekolah menengah genre cerpen untuk dipertandingkan.
Sektor Pendidikan Islam (SPI) KPM telah menerajui usaha yang diberi nama Kem Daie Pena Muda (KDPM) peringkat kebangsaan ini yang menampilkan sebanyak 334 peserta dengan karya cerpen masing-masing yang berunsur nasihat dan agama.
Tema ‘Saat pena melakar, dakwah turut mekar’ dipilih bagi menyemarakkan kreativiti penulisan ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai penulis termasuk di bidang dakwah sesuai dengan menyahut seruan kerajaan bagi membentuk insan berakhlak dan bermoral tinggi terutama dalam kalangan remaja.
Pengerusi KDPM Noriah Haron berkata, seramai 334 peserta dengan cerpen mereka masing-masing berjaya dikumpulkan dari seluruh negara bagi dipertandingkan mutu karya penulisan mereka tahun ini.
“Kementerian mulakan usaha penulisan kreatif ini sejak 2017 lagi sehingga 2019 tetapi tidak diterbitkan dalam bentuk antologi bercetak kerana menghadapi beberapa kekangan.
“Bagaimanapun, mulai 2020 sehingga tahun ini, kita sudah menerbitkan 11 antologi daripada karya mereka iaitu masing-masing lima tahun ini dan tahun lepas.
“Tahun lepas, seramai 318 penulis muda diketengahkan bakat mereka dan sebanyak 318 cerpen mereka dibukukan ke dalam lima antologi berlainan tajuk yang dipilih berdasarkan mutu dan nilai tajuk,” katanya pada majlis penutupan kem itu di sebuah hotel di Ipoh, baru-baru ini.
Lima antologi cerpen itu berjudul Merombak Jiwa, Mengintai Jannah, Sinar Di Hujung Kegelapan, Teman Kiriman Tuhan dan Jurnal Hitam yang baru diterbit dan dilancarkan pada majlis itu kerana menghadapi beberapa kekangan termasuk pandemik Covid-19.
Katanya lagi, sehingga kini seramai 812 penulis muda berjaya dilahirkan dalam kalangan pelajar sekolah menengah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Kita tidak menjangka sambutan amat menggalakkan dalam kalangan penulis muda daripada pelajar sekolah ini dan mereka didapati sangat berbakat. Malah, sebahagiannya seperti sudah menjadi penulis mapan kerana mempamerkan penulisan yang bermutu,” katanya.
Program ini dibantu oleh jurulatih utama di samping melantik seramai 15 pengarang (editor) yang berpengalaman dari Perak kerana negeri itu menjadi tuan rumah pada tahun ini.
Beliau memberitahu, Kementerian Pendidikan berhasrat melahirkan ramai penulis muda yang menulis tentang keagamaan dan dakwah kerana sasaran utama adalah untuk mendidik generasi muda menjadi insan rabbani dan berakhlak mulia.
“Kami yakin, penulis muda ini mampu memainkan peranan bagi mendidik khususnya kepada rakan sebaya dengan berkesan melalui penulisan yang menarik lewat karya kreatif mereka,” katanya.
Tahun ini, sebanyak 334 cerpen lagi berjaya dikum­pulkan menjadi lima antologi cerpen.
Antologi 1 berjudul Seindah Ham­paran Takdir dengan 64 cerpen, antologi 2: Cinta Nan Abadi (69), antologi 3: Jalan Pulang (69), antologi 4: Hijrah Terindah (69) dan antologi 5: Takdir Awan Biru (63).
Semua antologi itu akan diterbitkan tidak lama lagi kerana ia baru siap disunting oleh pengarang yang dilantik dalam kalangan guru berpengalaman di bidang sastera dan bahasa bagi memantapkan lagi mutu hasil karya peserta berkenaan.
Sementara itu, pada majlis penutupan kem yang dihadiri para penulis cerpen dari seluruh negara itu, pemenang dari kategori karya terbaik dan persembahan karya terbaik lelaki dan perempuan turut diumumkan.
Kategori karya terbaik lelaki menobatkan Muhamad Adib Naufal Saiful Rizal dari Kuala Lumpur dengan cerpennya berjudul Mentari Christchurch sebagai johan manakala johan perempuan kategori sama dimenangi Nur ‘Aqilah Abdullah dengan cerpennya Srikandi Kasih.
Naib johan karya terbaik lelaki pula Abdul Muhaimin Mohd. Zawawi dari Selangor dengan cerpen Melakar Pelangi Indah dan ketiga Mohamad Shahril Syazwan Mohd. Shafie dari Johor (Abah dan Sebatang Rotan). Naib johan perempuan pula Yasmin Nadhirah Mohd. Fitri dari Terengganu (Khat dan Dia) dan ketiga Nurmusyirah Nafisah Muhammad dari Perak (Kun Fayakun).
Sementara kategori persembahan karya terbaik lelaki menobatkan Muhammad Adam Haziq Muhamad Rafiz dari Terengganu dengan cerpennya Lamunan Hijrah sebagai johan manakala Saidatul Iqmar Suhaimi dari Selangor dengan cerpennya Kau Ilhamku johan kategori perempuan.
Naib johan lelaki pula Muhammad Aiman Najmi Azmi Helmi dari Selangor dengan cerpen Angah dan ketiga Adib Khalis Juzaili dari Perlis (Kasih Sayang Menemani). Naib johan perempuan pula Hanin Nur Fatiha Hasrulnizam dari Kedah (Bahagia Buat Sa’ida) dan ketiga Aysha Umyra Ibrahim dari Pahang (Padah Bicara).
Bagi kategori Anugerah Khas Juri lelaki pula disandang oleh Sharil Muhamad Amin dari Sabah dan kategori perempuan oleh Safiah Maisarah Jaafar dari Perak. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya