TIDAK pasti sama ada syair masih mendapat tempat atau tidak dalam kalangan masyarakat di negara ini terutama bagi golongan muda.
Manakan tidak, salah satu genre puisi ini seolah-olah ‘sepi’ tanpa dapat dipastikan sama ada ia terus didendangkan atau sebaliknya.
Jika ada pun mungkin hanya melibatkan kajian dan penyelidikan daripada agensi atau institusi pendidikan tinggi tanpa melibatkan pelajar sekolah.
Namun, bagi Pensyarah Jabatan Bahasa melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) Prof. Madya Dr. Indirawati Zahid, untuk menyatakan bahawa syair semakin kurang diminati tidak tepat dan ia sebenarnya mempunyai peminat tersendiri.
Malah katanya, aktiviti generasi muda yang berminat dengan syair ini tidak diuar-uarkan secara meluas di akhbar.
“Aktiviti mereka di platform media sosial sama ada individu dan kumpulan tertentu aktif sekali apabila sering mengadakan perbincangan serta berkongsi dendangan syair.
“Ia bukan sahaja melibatkan penyair dalam negara tetapi melibatkan penyair Indonesia. Kumpulan ini turut mengadakan webinar berkaitan syair Melayu dan mendapat sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN),” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Mengulas berkenaan dokumentasi syair, Indirawati berkata, proses penyelidikan pertama telah dilakukan Dr. Harun Mat Piah dalam kajiannya berkaitan puisi Melayu tradisional pada 1981.
Namun katanya, sebelum ada penyelidikan tersebut, terdapat kajian dan dokumentasi dilaksanakan mengikut kesesuaian semasa pada masa itu.
“Mungkin dokumentasi ini tidak tersebar luas, ditemui atau dikongsi ramai. Oleh itu dapat dikatakan bahawa perkembangan dan dokumetasi syair sebenarnya telah lama ada sama ada bertulis, rakaman audio dan persembahan dendangan syair dalam acara tertentu,” katanya.
Tambah Indirawati, menerusi bengkel yang diadakan turut mencetuskan minat pensyarah UM membuat penyelidikan berkaitan syair termasuk berkaitan lagu dan melodi yang diterima pakai peminat.
“Secara spesifik, kajian ini memfokuskan sisi berbeza penyelidikan dan dokumentasi yang ada sebelum ini pada aspek prosodi (syair dan muzikologi) iaitu melodi syair yang dinotasikan.
Terapi minda
“Penotasian melodi syair dan variasinya bertujuan agar melodi syair ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang dan mampu dimainkan semula dengan peralatan muzik ya
ng sesuai oleh sesiapa sahaja walau di mana sahaja mereka berada, sama ada di dalam atau di luar negara,” jelasnya.
Susulan daripada penyelidikan tersebut, Indirawati berkata, banyak karya dan dendangan syair yang kurang diketengahkan sebelum ini berjaya dikongsikan secara meluas.
“Nama-nama seperti Cikgu Halim (penulis syair moden berkaitan negeri Kedah), Tenas Effendi, penulis syair Nasib Melayu (Pekan Baru, Riau Indonesia) dan ramai lagi berjaya dikumpulkan untuk berkongsi pandangan, dendangan dan variasi melodi yang diketahui untuk dianalisis penyelidik dari UM.
“Hasilnya, pasukan penyelidik UM berjaya mengumpulkan lebih dari 100 versi melodi syair yang diyakini berpunca daripada enam versi utama. Pasukan penyelidik UM telah menerbitkan buku (koleksi artikel) dan prosiding syair,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Indirawati turut mencadangkan beberapa langkah untuk menjaga dan memelihara karya berbentuk syair di negara ini.
“Pertandingan mendendangkan syair Melayu peringkat kebangsaan dan nasional perlu diadakan bagi memperkukuh penyebaran serta minat sedia ada dalam kalangan generasi muda.
“Selain itu, JKKN juga boleh mempertimbangkan untuk menyelitkan dendangan syair dalam aktiviti mempromosi kebudayaan negara di luar negara pada masa depan. Ini kerana melodi syair yang dimiliki ternyata menjadi halwa telinga dan terapi minda kepada pendengarnya dengan dendangan suara yang merdu pengiat syair diperkukuh dengan susunan melodinya yang menarik,” ujarnya.
Indirawati turut berharap agar puisi Melayu tradisional ditekankan dalam mata pelajaran bahasa Melayu secara seimbang.
Menurutnya, ini bererti pengajaran dan pembelajaran puisi Melayu tradisional tidak sahaja diajarkan secara teoritis sebaliknya secara praktikal. – MINGGUAN MALAYSIA