Catatan buat Mikael@Merdeka - Utusan Malaysia

Catatan buat Mikael@Merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERNGIANG-NGIANG di cupingku bicara Pak Rajab beberapa hari lepas: “Tanah ini lambang anak bangsa kita nak. Obor perjuangan yang telah menumpahkan darah yang serupa dalam jasad kita. Jika kau kasihinya, urusilah dan belailah ia dengan segala keupayaan yang ada. Selamat dan martabatkanlah nusa ini dengan titis darah yang mengalir dalam urat di tubuhmu.”
Kael,
Sebelum berangkat ke ibu kota dua hari lepas, aku mencari-cari kesempatan untuk bertemu denganmu, namun seperti ada faktor yang menghalang. Aku tahu, kau begitu kesuntukan masa dengan urusan di desa kita. Aku doakan hasrat dan impianmu untuk membina monumen merdeka di simpang masuk ke desa kita akan dapat direalisasikan.
Bagiku, cuma sedikit rasa terkilan kerana hanya sekali dijemput sebagai AJK yang dilantik dalam mesyuarat Sambutan Kemerdekaan bagi Desa Tasik Berangan dan seluruh kampung lain di bawah mukim Bukit Tandak. Dua tiga kali perjumpaan selepasnya, namaku tidak lagi tersenarai. Barangkali lantikkan aku dibatalkan.
“Pak Ngah fikir, betul juga cadangan Raef tu…” Kata Pak Ngah Sidek sebaik aku bersuara tentang situasi di pelosok desa mutakhir ini yang begitu gawat dengan tindak-tanduk tersendiri penghuni. Merekah dengan entiti nafsi-nafsi, retak dengan komplikasi kata-kata dan pedoman yang taksub didukungi.
Kael,
Aku tidak sekali-kali menolak cadanganmu untuk membina monumen merdeka itu, kerana ada waktunya kita lebih mampu berwatak sedar tatkala melihat arca yang menjadi lambang pembebasan mutlak bangsa kita.
Namun melihat banyak kes kemalangan anak-anak muda yang merempit, kes-kes kecurian yang cukup rapat dengan pil khayal dan dadah, di hujung desa pula ada desas desus sekelompok manusia Islam terlibat dengan ajaran tidak lurus kerana kekangan fahaman yang mengelirukan.
Perselisihan kata dari fahaman politik berbeza pula seakan telah lama berakar dalam minda jiwa sebahagian besar penghuni desa kita.
Aku begitu terkilan Kael. Pada waktu kita sedang bermusyawarah mengabadikan obor diri pasca merdeka, kita masih terjepit dengan kerenah anak bangsa sendiri yang masih tergari!.
“ Saya khuatir, segala tersurat ini membuat kita menjadi lemah, tentunya kita tidak sanggup berkorban yang suatu penghinaan hidup sebegini…” ujarku dalam mesyuarat tempoh hari.
“Kita ketepikan dulu soal itu, kita dah tak banyak masa, tinggal dua bulan sahaja lagi. Peruntukkan pun sudah diluluskan. Itu hak masing-masing. Kalau nak dibanteras semua kita tidak ada ruang masa untuk menghargai kemerdekaan negara yang tiada nilainya ini.” Sambungmu.
Kael, aku tidak nafikan ramai anak muda seusia kita yang memiliki bakat dan potensi. Tapi ia tidak mencukupi kerana kita memerlukan kuasa, posisi dan transisi yang betul untuk mencipta idealisme diri. Sampai bila kita harus hidup dalam keadaan curiga mencurigai? Insan yang sakit, cacat dan tua dianggap sebagai bahan terbuang?
Aku bukannya beremosi Kael, jauh sekali menjadi oportunis. Sesuai dengan nama keduamu sebagai ‘MERDEKA’, amat lagi bertepatan dengan tanggungjawab besarmu menerajui desa dan mukim, maka fikirku kau harus memulakannya sekarang Kael.Siapalah aku untuk menunjuk pandu akal tuntasmu, apatah lagi untuk menjejaki bijak atur tindakanmu sebagai pemegang teraju desa Tasik Berangan dan seluruh mukim Bukit Tandak ini. Aku cukup sedar Kael, aku kini adalah insan kurang upaya yang hanya mampu melontar secebis idea untuk dipertimbangkan, selebihnya bukanlah kemampuanku lagi.
“Kael, kau jangan pinggirkan pendapat Raef tu. Dia walaupun begitu keadaannya, dia pernah bekerja dengan syarikat besar di pelantar minyak..” Kata pak Ngah Sidek, bapa saudaramu pada satu malam di rumahnya.
“Alah, itu dulu Pak Ngah, sekarang dah kena berhenti…”
“ Dia berhenti bukan dipecat Kael, kecederaan dia kaki sewaktu bertugas di pelantar menyebabkan dia mengalami cacat kekal. Dia masih diperlukan, tapi dia yang menawarkan diri untuk berhenti dan pulang ke kampung. Pak Ngah rasa dia punya perancangan tersendiri. Kamu seharusnya mendampingi dia.” Sambung Pak Ngah Sidek.
Aku bukan ingin mendabik dada Kael. Aku tahu, aku bukanlah ilmuan yang boleh meluah idea bernas bagi membantumu mentadbir sebuah mukim yang luas perseginya ini. Namun, sekadar berkongsi buah fikiran. Apa yang dimusyawarahkan pada setiap kali mesyuarat sepatutnya kita kembangkan. Lihat dari pelbagai sudut akan risiko dan impaknya. Tangguhkan mana yang difikirkan tidak perlu disegerakan, di samping sebatikan idea yang bernas untuk cuba dilaksanakan.
Sedikit masa dulu, jawatankuasa penduduk kampung Seberang Baruh pernah mencadangkan pembinaan sebuah mini litar di sebuah kawasan lapang untuk memberi peluang kepada ramai anak-anak muda yang suka berlumba motor. Apa salahnya kita beri mereka peluang untuk beraksi di tempat yang betul, dari terus menjadi pemerhati mereka yang terkorban dan parah kerana gejala merempit di jalan-jalan utama.
Kenapa permohonan mereka tidak diberi perhatian? Kau miliki pengaruh untuk dibawa permintaan mereka itu kepada pihak atasan.
“Jangan cuba berlagak bijak Raef. Selalunya orang yang gemar melompat dalam gelap, tidak akan tahu ke mana kakinya akan mendarat!” Bisikmu ke telingaku dalam nada yang agak kasar. Asap rokok yang disedut kau hembuskan dengan deras.
“Kael, aku mohon maaf. Aku tidak berhak mencampuri urusan pentadbiran kau sebagai Penyelia, tapi aku juga adalah sebahagian dari penghuni Desa Tasik Berangan, dan juga anak mukim Bukit Tandak. Rasanya tidak salah untuk aku cetuskan buah fikiran.” Kataku, mempertahankan prinsip.
“Kau berada di tengah laut bertahun-tahun. Balik ke kampung pun setelah jadi tak sempurna macam sekarang, bertongkat ke sana-sini. Raef, kau tak tahu banyak pendekatan yang telah diambil sesuai dengan aspirasi penduduk mukim. Aku dah masak dengan kerenah orang kita ni. Menangkap puyuh sambil rebah dan menangkap burung sambil berlari dah lama jadi permainan kami yang mengurus mukim ini.” Balasmu, mencabar diri ini.
Tak mengapalah Kael, kau berhak dalam banyak perkara. Cuma, rasa terkilan ini agak menebal bila banyak cadangan dari penduduk mukim yang kau tolak mentah-mentah. Katamu, sebuah fail lengkap berisi cadangan projek dan program serta anggaran bajet akan diangkat kepada pihak berwajib untuk diteliti. Tapi malangnya, ia tidak pernah diedarkan kepada ahli jawatankuasa untuk dilihat dan didiskusikan. Kenapa begitu rahsia sekali Kael?
Aku cukup sedih apabila kau dengan sengaja turut mengheret Pak Rajab dalam hal ini. Dia bukan saja veteran politik, tetapi juga anak kepada arwah Tok Sidi, orang yang mula-mula membuka desa Tasik Berangan ini.
Pak Rajab padaku seperti kancil Kael. Pada masa sama, dia juga seperti singa ditakuti haiwan lincah itu. Dia bagai memiliki segenggam keunggulan, di mana suaranya dapat menukarkan api menjadi bara dan debu sejuk.
Aku tahu kemarahanmu mula berputik tatkala Aku dan Pak Rajab mengusulkan permasalahan anak-anak muda di beberapa kampung di mukim Bukit Tandak yang kian gawat dengan kes-kes penagihan dadah dan pil khayal. Sebenarnya cadangan Pak Rajab cukup aku hormati.
“Raef, pelbagai kekangan berbentuk peraturan, nilai-nilai dan arahan diletakkan di bahu anak-anak muda ini, kita. Bila mereka gagal menurut kayu pengukur yang ditetapkan, mereka dipandang rendah dan dihina. Pandangan, cemuhan dan ejekkan sebeginilah yang mungkin menyebabkan mereka mudah dipengaruhi dadah untuk membebaskan diri dari tekanan dan kekangan dalam hidup mereka.” Kata Pak Rajab. Aku sekadar mengangguk, mengiyakan.
“Penagih dadah ini sama macam penjenayah Pak Rajab, sampah…” Tambahmu dalam satu majlis bual bicara hujung minggu di anjung balai raya lebih sebulan lepas.
“Mereka tu pesakit dan bukannya penjenayah. Analogi penyakit ketagihan yang mereka hadapi adalah seperti penyakit kronik yang lain., Agama kita menegaskan bahawa semua jenis penyakit boleh disembuhkan.
Aku terkesima seketika saat kau menghambur kata-kata kesat kepada anak-anak muda yang kau jemput ke majlis yang sama pada sebelah petangnya. Pihak JKKK kampung masing-masing yang berjaya memujuk anak-anak muda yang dianggap liar untuk turut sama di majlis ramah mesra tersebut turut terkejut dan terkedu dengan tindakan agresifmu itu.
Kael,
Tugas untuk mengubah nasib ke arah lebih baik perlu dilakukan dengan tekun. Tugas ini bukan mudah, banyak halangan akan ditempuhi. Namun, mereka perlu diberi keyakinan bahawa usaha mereka akan berhasil kerana tiada siapa yang akan mengubah nasib mereka melainkan diri mereka sendiri.
Satu lagi Kael, pelbagai fahaman berkaitan Islam liberal juga semacam bertunas dalam kalangan penghuni desa yang tinggal jauh terpencil. Mereka cepat menerima banyak jalan mudah dalam agama, kerana tidak ada kefahaman dan tunjuk ajar yang diberi. Segala disyariatkan agama, cuba diubahsuai, ditafsirkan mengikut fahaman sendiri, puncanya hanya satu iaitu cetek dan ketandusan ilmu.
Kael,
Kita perlu lebih tawaduk. Merendah diri dalam apa saja pendekatan adalah nilai-nilai kebaikan yang dianjurkan agama. Ia akan bersifat kekal dalam apa jua situasi pun. Manusia berkualiti pada pandangan agama ialah mereka yang mengerti dan memahami hakikat dan fungsi kemanusiaannya.
Kau memiliki kekuatan mental dan fizikal Kael. Lebih tebal dan tinggi dari diri ini. Kau mampu membina kemajuan dan peradaban bagi ‘memerdekakan’ desa Tasik Berangan khasnya, dan seluruh kampung di bawah mukim Bukit Tandak amnya.
Aku berjanji dengan diri ini Kael, sebaik pulang dari menamatkan pengajian di bidang Falsafah Sains Politik nanti di Australia nanti, ingin benar aku rangkumkan kekuatan untuk membantumu membangunkan desa kelahiran kita. Itu pun jika kau masih sudi menerima kehadiran diriku ini nanti.
Selepas desa dan mukim kita telah ‘bebas’ dan merdeka dari pelbagai unsur dan ancaman yang selama ini membebani pundak seluruh penghuni, nantinya kita akan segera membina MONUMEN kejayaan sebagai lambang kemerdekaan dan pembebasan yang boleh kita julang.
Salam ukhwah, Sahabatmu, Raef Anaqi. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya