Sidang media kelahiran ke-55 - Utusan Malaysia

Sidang media kelahiran ke-55

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBUTAN hari lahir ke-55 kali ini akan menjadi sedikit luar biasa. Atau mungkin mengejutkan banyak pihak. Mereka yang memaksa Dato Jamal pada hari bersejarah itu. Pastinya suatu yang tidak diduga oleh sahabat-sahabatnya apatah lagi isterinya, Datin Sakinah. Kehidupan ini tidak semestinya selari sepanjang hayat, itu kata seorang ahli falsafah di dalam sebuah buku yang pernah dibacanya. Perlu ada paradigma. Dengan kata mudah dalam istilah agama, kita perlu berhijrah! Watak itu akan menjadi lebih hidup !
Ada waktunya perlu ada paradigma, kata sahabat lamanya Ustaz Suhaimi, rakan sekolah menengah agamanya. Hijrah daripada kekalutan kepada kestabilan.
Datin Sakinah mesti faham pendirian yang diambil ini. Perubahan yang dilakukan sudah difikirkan semasak-masaknya seperti seorang pembakar lemang yang yakin isi di dalam batang buluh itu yang disandarkan kepada bara api itu sudah boleh dimakan.
Pada zaman ini, Sakinah sepatutnya memahami sepak terajang kehidupan. Perahu baru yang suaminya ikhtiarkan menjanjikan sesuatu yang indah. Sekiranya Datuk Jamal diminta menaiki perahu baru sebagai pengemudi, Sakinah mesti menjadi pengapit atau pengayuh yang aktif. Sakinah kena tahu perahu baru itu lebih laju dan ada perancangan kemas untuk berlumba di sungai manapun.
Dato Mahmud sepatutnya sudah lama meninggalkan jawatan itu. Dia bukan pilihan rakyat dalam pilihan umum. Sejahtera tidak memilih usahawan kelas A itu, tetapi melihat Jamal aktivis yang yang bergerak di sana-sini untuk dipertaruhkan. Dia menang bergaya. Dan kerana kerjanya cemerlang, dia dianugerahkan Dato. Sakinah tumpang tuahnya.
Tetapi selepas dua penggal diadakan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Sejahtera Bahagian, Mahmud masih berdegil enggan beri laluan kepada orang pilihan rakyat memimpin Sejahtera. Macam ada dendam di dalam diri lelaki berusia 76 tahun itu terhadap Dato baru dari Kampung Daulat.
Akhir-akhir ini, dia sudah dikhabarkan ada usaha supaya namanya dikeluarkan dalam pilihan rakyat akan datang. Kalau sahih cerita itu, sememangnya sifat jahat dan dengki itu perlu ditentang.
Datin Sakinah yang lurus bendul itu bukan tahu sangat sepak terajang orang Sejahtera ini. Ketika Ketua Sayap Srikandi melantiknya sebagai setiausaha baru menggantikan Salmah yang uzur, gembiranya macam lanun melarikan kapal minyak.
Memang Datuk Jamal tidak memberitahu sesiapa dalam masa tiga minggu perbincangan dua hala itu. Dua hari lepas, perbincangan itu muktamad. Dua hari lepas jugalah, dia memberitahu Datin Sakinah hasratnya mahu menyambut ulangtahun kelahirannya ke-55 dengan meriah.
“Kali ini abang ada penaja,” itu katanya kepada Datin Sakinah. Siapakah penaja sambutan hari kelahiran ke-55 bukan penting. Tetapi acara sampingan majlis itulah yang akan menukar landskap perjuangannya daripada tidak berhala tuju kepada sebenar-benar tulen. Mujur pula isterinya yang banyak mulut itu tidak bertanya banyak. Mungkin iringan adanya penaja, dia sendiri akan dihadiahkan sesuatu yang pernah disebut beberapa kali sebelum itu tetapi tertunda.
Ramai jemputan akan hadir. Yang pasti Datuk Sahak dan beberapa orang kuatnya dari semua cabang akan hadir. “Berapa orang yang abang jemput?” tanya isterinya gembira apabila dijanjikan tambahan seutas gelang tangan dari Kedai Emas Berlian Sentosa.
Datuk Jamal menunjukkan lima batang jari. “Ingatkan seratus, “ balas Datin Sakinah. “Apa salahnya kalau sampai seratus. Ruang rumah kita ini boleh menampung mereka.”
“ Abang, Dato Mahmud sama Datin Nora datang? ”
Memang sejak dulu, jika apa-apa majlis di rumahnya, keduanya itu menjadi tetamu istimewa. Ketua sepatutnya diberi keutamaan. Tetapi untuk majlis kali ini, mereka sangat tidak diperlukan.
“Mereka tak ada di sini. Abang sudah hubungi. Mereka makan angin. Dengar cerita ke Bandung.” Dato Jamal mula belajar berhelah. Rasanya helah itu sangat kemas. Datin Sakinah takkan menelefon kalau Datin Nora berada di luar negara.
Esoknya, Dato Jamal meminta pembantunya Pak Junid, menjemput ramai pihak media. Jemput mereka atas nama majlis bersantai bersama pengamal media. Dan selepas makan-makan, dia akan mengadap media. Dia mahu semua media memaparkan apa yang diperkatakan pada hari itu.
Tiba-tiba Dato Sahak menelefon. Dada Dato Jamal disintak kegelabahan apabila ditanya jumlah yang akan ikut bersamanya.
“Kalau boleh kita adakan majlis penyerahan borang keahlian sekali. Agaknya 50 orang? Jangan kurang daripada itu Dato,” katanya.
Dato Jamal merenggangkan telefon dari telinganya. Ia bukan persoalan mudah untuk dipecahkan. Hanya Pak Junid seorang tahu. Dia sudah berpesan kepada pembantu khas itu supaya merahsiakan acara pertemuan itu. Ketika rundingan dibuat, mereka tidak menyebut hal itu. Bermakna hal itu tidak berbangkit. Dato Jamal merapatkan semula telefon.
“Maaf Dato, paradigma saya dirahsiakan. Biar saya seorang dulu.” Dato Jamal mendengar keluhan panjang di hujung telefonnya. Dia tahu Dato Sahak dipeluk kekecewaan.
“Ini gimik Dato. Banyak nama dalam daftar. No. IC pun ada sekali. Pilih rawak saja. Tetapi mesti ada. Petang nanti, orang saya hantar 100 borang. Kalau boleh 100 pengikut.”
Mengapa mesti berbohong sampai begitu sekali? Dia terus mematikan telefon. Rasanya Pak Junid, bilal Surau kampungnya itu tidak bersedia dengan kerja sebegitu. Kahar, bekas calon Belia Sejahtera yang tewas kepada Bakar Beris barangkali boleh diharap. Pemuda panas baran itu memang dalam perancangan Dato Jamal untuk bersama di dalam wadah baharunya itu.
Datin Sakinah muncul kembali dari dapur.
“Kalau panggil ramai jemputan, takkan Puan Shamsiah, ketua saya tak dijemput. Sabri, Ketua Julang Berkeris juga tidak tahu menahu. Abang jemput siapa sebenarnya? “
Telefon di telinga kanan untuk memanggil Kahar terlucut dari tangannya. Sergahan Datin Sakinah itu meragut perancangannya dengan Bakar Beris. Datin Sakinah bercekak pinggang berdiri di depannya.
“Urusan menjemput tetamu itu abang serahkan kepada Pak Junid. Mungkin dia belum hubungi mereka.”
Datin Sakinah menurunkan kedua tangannya dari pinggang.
“ Ok, kalau macam itu, biar saya jemput. Saya jemput 20 orang di luar kiraan jemputan abang,” katanya terus ke dapur semula. Dato Jamal terduduk di sofa. Betisnya tegang. Sah, isterinya itu akan mengajak rakan di dalam Sejahtera. Sudah pasti Dato Sahak menolak majlis dengan adanya penyertaan orang luar.
“Orang Sejahtera tidak boleh hadir, kecuali pengikut Dato yang setia,” itu kata Dato Sahak sebelum mereka beredar dari bilik kecil Hotel Cempaka.
Harga sambutan hari ulang tahun kelahiran ke-55 Dato sangat mahal. Sama sekali tidak boleh dirosakkan dengan apa yang kita rancang.”
Berkali-kali Dato Sahak berpesan supaya Datin Sakinah tidak boleh diberitahu sehingga 11.30 pagi. Jam 10 pagi, semua tetamu dijamu makanan. Jam 11, mereka akan menjemput media. Draf pernyataan akhbar yang akan dibacakan Dato Jamal disediakan pembantu khas Dato Sahak. Baca apa yang disediakan, tidak boleh tokok tambah. Itu pesan Dato Sahak. Seterusnya acara disambung kepada penyerahan borang keahlian bekas pengikut Sejahtera daripada Dato Jamal kepada Dato Sahak.
Itu perancangan awal sebelum mengetahui adanya gangguan daripada isterinya itu. Jika Datin Sakinah dan 20 pengikutnya mengamuk, membantah majlis itu, apakah akan berlaku seperti tersurat?
Dato Jamal bergegas mencari isterinya. Masih di dapur menyediakan lauk-pauk tengah hari.
“Nah, kata penaja, mereka tidak mahu penyertaan orang perempuan. Dia cadangkan majlis bersama perempuan akan dibuat di hotel minggu berikutnya. Setuju?”
“Siapa penaja abang ini ? Boleh saya tahu?” Tergaman beberapa detik. Perlukan rekaan cerita baru. Mujurlah otaknya laju.
“Dato Kamal, sahabat lama abang,” lancar Dato Jamal menyebutnya. Tiba-tiba nama itu muncul dari kepalanya. Singgah dalam kesiksaan melepaskan diri. Dato Kamal, sahabat dari Perak itu sudah lima tahun arwah kerana sakit barah hati selepas enam tahun tidak lagi dipilih sebagai MP.
“Tapi dia tak dapat bersama. Sahabatnya urus.”
“Di hotel pun dia taja?” Abanglah pula.” Datin Sakinah senyum. “Kalau macam itu boleh saya jemput lebih ramai rakan Sejahtera,” katanya.
“Terpulang. Nah pilihlah menunya nanti.”
Dato Jamal berjalan ke beranda, melepaskan lega yang terkumpul di kepalanya. Terasa benar beban berfikirnya sudah longgar. Tadi Kahar menelefon, borang siap diisi.
“Dato jangan persoal nama-nama yang saya dapat.”
“Kahar, yang penting semua borang lengkap diisi. Dari senarai mana diambil tidak penting,” balasnya, melegakan anak muda penarik kereta itu.
“Jumpa saya di restoran lepas Asar,” katanya. Memang budak ini boleh diharap. Akan ada ganjaran setimpal dengan kerja kerasnya itu. Tentunya kalau diharapkan Pak Junid, dia akan mendapat malu besar.
Dato Jamal duduk di kerusi sandar kayu sambil melunjurkan kaki. Bola matanya menangkap kuntum-kuntum bunga alamanda di sisi pagar yang ditanam bersama Datin Sakinah beberapa tahun lalu. Dato Sahak tentu suka bunga kuning diraja begitu.
Beberapa minit sebelum jam 10 pagi, beberapa kereta memasuki halaman rumah Dato Jamal. Pak Junid berdiri di pintu pagar dan Kahar mengatur kedudukan kenderaan. Datin Sakinah melihat tetamu di beranda.
“Ramai juga orang Sejahtera datang tu.” Katanya menjeling suaminya yang gelisah.
Dato Jamal mencari Pak Junid. Pak Junid tergesa-gesa ke beranda.
“Awak jemput siapa?”
“Senarai yang Dato berikan. Orang Dato juga.”
“Senarai aku bagi itu lain.” Pak Junid dipanggil lagi. “ Saya tak nak jadi pengkhianat. Semua anak saya berjaya kerana sumbangan Sejahtera. Pecatlah saya kerana tidak setia.”
Pak Junid menjemput petugas media yang datang serentak. Sejurus dia merapati Datin Sakinah. “ Dato jemput media. Nak umum tinggalkan Sejahtera. Saya tak campur.”
Datin Sakinah memburu suaminya yang segera menemui wartawan.
“Sila masuk, hidangan sambutan kelahiran Dato ke-55 sudah tersedia,” Datin Sakinah berteriak.
Sejurus beberapa kereta lagi masuk ke pekarangan. Kahar sudah sedia menempatkan lima kereta itu. Sebaik melihat Dato Sahak orang kuat Marba diiringi sahabatnya keluar dari kereta, Datin Sakinah meluru ke pintu.
Dato Sahak tertahan di pintu. Datin Sakinah lebih mendahului suaminya, berdiri di depan ketua Marba. Bersuara bagai seorang penjual ubat di jalanan.
“Kalau Dato mahu buat penggambaran di rumah ini, elok gunakan pokok bunga alamanda tanaman suami saya sebagai latar. Bawa suami saya berlakon di sana. Kalau Dato nak ajak saya sekali, maaf. Saya bukan pelakon yang Dato kehendaki. Saya seorang isteri yang setia dengan perjuangan, Dato.”
Dato Sahak menarik tangan Dato Jamal dan merentapnya sebelum mengajak pemandunya ke kereta. Wakil media terpinga-pinga. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya