Pemujaan - Utusan Malaysia

Pemujaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Satu
MALAM itu kami berbincang di kafe Puspa yang tidak jauh dari Pantai Cenang. Telah lama kami merancang mahu ke Pantai Cenang itu tetapi rancangan ini tidak menjadi kenyataan.
Pihak kerajaan mengadakan projek rintisnya gelembung pelancongan pertengahan September tahun lalu. Saya, Jemi, Jeman dan Sahak mengambil kesempatan bagi menjayakan impian kami yang terpendam selama.
“Sebelum pergi, elok kita ziarah pusara Tun Jana Khatib,” ujar saya.
“Kenapa pula?” soal Jemi.
“Memperingati peristiwa Tanjung Pagar dilanggar todak,” balas saya.
“Aku rasa elok juga kita ziarahi pusaranya, sebelum kita bertolak ke chalet Pantai Cenang itu,” tingkah Sahak.
“Kita menghadiahkan gemulah tu membaca surah al-fatihah, mendoakan supaya rohnya ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” jelas saya.
“Malam itu setelah aku menikmati kopi di kafe Puspa itu, aku ada bermimpi Tun Jana Khatib, Tanjung Pagar dilanggar todak, kau macam mana? Ada tak bermimpi seperti aku?” tanya saya. Jemi, Jeman dan Sahak menggelengkan kepala.

Dua
Pulau ini mempunyai tujuh pantai perkelahan yang terkenal. Pantai-pantai ini ialah Pantai Cenang (pasir pantainya yang halus), Pantai Tanjung Rhu (kecantikan alam semula jadinya) dan Pantai Pasir Hitam (pantai terbentuk dari beberapa paduan mineral seperti turmalin, ilmenit, zirkon dengan sebatian batu granit) menimbulkan luaran fizikal yang kelihatan hitam.
Lain-lain pantai yang terkenal di Pulau Langkawi adalah Pantai Teluk Yu, Pantai Kok, Pantai Datai dan Pantai Tengah. Langkah yang diambil kerajaan amat dialu-alukan kerana tidak mahu ‘mengurung’ terlalu lama orang ramai dengan PKP dan menimbulkan kesan psikologi dalam masyarakat.
Ketika mereka bersantai dengan keluarga masing-masing dan ada pula yang sedang mandi manda, tiba-tiba langit mendung. Hujan rintik-rintik gugur dari langit petang itu ke air laut.
Ombak laut mulai pasang dan orang ramai mulai perasan makhluk hitam yang bergerak-gerak dan menampakkan dirinya ke permukaan air. Makhluk itu tenggelam timbul dan kelihatan berkawan-kawan. Sesekali makhluk ini menampakkan jongornya yang tajam itu.
“Lari…lari…lari…cepat kembali ke pantai,” jerit mereka yang nampak perubahan itu. Tangan mereka melambai-lambai serta jeritan yang menjadi suasana pantai riuh rendah.
“Todak sudah menggila, todak sudah mengamuk,” jerit yang lain. Mereka yang sedang bermandi-manda dan berada di persisiran pantai saling bertolak-tolakan untuk menyelamatkan diri. Ada yang kembali ke kereta untuk menyembunyikan diri.
Namun, ada yang menganggapnya seperti bahan gurauan. Ada yang sedang mandi-manda masih lagi lewat kembali ke pantai seolah-olah sayang mahu melepaskan keseronokan yang mereka alami bersama pasangan masing-masing. .
Bilangannya todak semakin bertambah dan ada mulai menerjah ke arah orang ramai yang sedang berkerumun di persisiran pantai. Jeritan orang ramai di Pantai Cenang semakin menjadi-jadi.
“Tolong-tolong,todak mengamuk, todak mengamuk,” jerit orang ramai.
Bilangan yang cedera terkena tusukan jongor todak semakin bertambah. Jongor todak menusuk pada bahagian betis, punggung, peha, perut dan lalu rebah ke pasir dalam keadaan ‘meminta nyawa’.
Ada pula kelihatan perut yang terburai. Keadaan menjadi huru-hara di Pantai Cenang itu.
“Sejarah todak menyerang Singapura berulang semula di Langkawi,” pekik mereka.
Hujan dari langit mencurah-curah ke dada pasir Pantai Cenang berbaur dengan titisan darah dan selepas dua jam kemudian keadaan laut menjadi tenang dan kelibat todak tidak lagi kelihatan.

Tiga
“Entah kenapa pulang dari ke laut…aku nampak banyak sangat ikan todak…banyak yang mabuk,” ujar Pak Tam, ayah kepada Jemi.
“Kalau di sungai, mudah kita mengagakkan apa puncanya, tentu perbuatan mereka yang nakal, mencurahkan tuba ke dalam sungai menyebabkan banyak ikan mabuk,ini pula laut susah kita nak mengagakkannya,” tingkah Pak Kasim.
“Agaknya di dasar laut itu ada berlaku sesuatu,” jelas Pak Kasim, ayah Jeman.
“Mana kau tahu di bahagian dasar Laut China Selatan ada berlaku sesuatu, kau bukan penyelam ke dasar laut itu,” sanggah Pak Ali, ayah kepada Sahak.
Bapak datang mendekati mereka bertiga bertanyakan minuman. Pak Tam mendongak menusuk pandangannya pada Bapak.
“Hidangkanlah pisang nipah dengan pisang nangka tu,perut kami pun sedang lapar ni,” celah Pak Tam.
“Minumannya apa?” tanya Bapak. “Buatlah kami semuanya kopi panas, hidangkan sekali goreng pisang yang baru goreng tu,” balas Pak Tam.
Setiap kali mereka pulang dari laut, mereka akan membawa hasil tangkapan ke jeti Tanjung. Di situlah mereka yang mahu mendapat ikan segar dari laut dengan harga yang lebih rendah dari harga di pasar.
Kali ini, mereka bertiga mengerutu pulang dari menangkap ikan kerana hasil berkurangan disebabkan kumpulan ikan todak yang mabuk itu.
“Mungkin betul cakap Pak Ali, berlakunya pergeseran pada kerak bumi. Bila sudah bergeseran tentu timbulnya bahang, ini menyumbang ikan todak menganggu manusia,” terang Pak Tam.
“Apa-apa makhluk pun,kalau sudah berasa diri terancam ia akan menyerang sesiapa pun, itu yang kita nak elakkan,” sampuk Pak Kasim.
“Eloklah rasanya kita mengambil tindakan yang berhati-hati,” ujar Pak Ali.
“Betul juga cakap Pak Kasim, rumah kita itu berhampiran pantai, manalah ikan todak mabuk muncul dari laut datang menyerang kita?” jelas Pak Tam.
“Ada jumpa tak Tun Jana Khatib,dia tu imam…juga ulama dalam Kampung Gelam, biasanya orang yang dekat Tuhan disayangi Tuhan mudah berhubung dengan Tuhan,” ujar Bapak.
Tun Jana Khatib merupakan seorang yang alim dalam agama yang berasal dari negeri Pasai.

Empat
Serangan ikan todak di persisiran pantai Tanjung Pagar dan mengakibatkan pengunjung yang datang berkelah dan bermandi-manda ramai terkorban.
Cadangan dari Nadim supaya pihak Sultan menggunakan batang-batang pisang pagar sepanjang pantai itu menjadikan jongor melekat pada batang pisang itu.
Perkara ini sampai ke pengetahuan Sultan dan menitahkan Bendahara supaya menyuruh rakyat mempertahankan serangan ikan todak itu menggunakan betis manusia.
Disebabkan jongor ikan todak yang tajam itu menembus ke dalam daging peha dan mendatang bisa yang kuat, ramai rakyat jelata yang mengadui kesakitan dan mati di tempat kejadian.Sultan Singapura menyifatkan angkara serangan todak di tanjung itu adalah berpunca tindakan baginda yang telah membunuh Tun Jana Khatib.
Segalanya berpunca apabila Tun Jana Khatib melintasi kawasan istana dan menghampiri serta menyentuh sebatang pokok pinang. Dengan kuasa Tuhan,tiba-tiba pokok pinang itu terbelah dua dan pohonnya rebah ke tanah.
Kejadian ini diperhatikan oleh permaisuri sultan yang beranggapan kuasa yang ada pada Tun Jana Khatib mengalahkan kuasa yang ada pada Sultan dan permaisuri itu telah melaporkan perkara ini kepada baginda Sultan.
Sebaik-baik sahaja mendapat perkhabaran ini, Tun Jana Khatib ditangkap dan dihukum bunuh di Tanjung Pagar. Ketika jenazah Tun Jana Khatib dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan, tiba-tiba jenazah hilang begitu sahaja. Ini mengakibatkan mereka yang sedang mengusung jenazah Tun Jana Khatib berasa terkejut.
Peristiwa yang pelik ini diikuti dengan berlakunya ribut petir dan mengemparkan seluruh penduduk Tanjung Pagar. Orang ramai melarikan diri dan menyelamatkan diri mereka. Mereka juga pergi ke tempat hukuman bunuh Tun Jana Khatib dan mendapati darah Tun Jana Khatib telah bertukar menjadi batu.
Selang beberapa waktu, terbit pula cerita yang menggemparkan penduduk Langkawi melihatkan jenazah Tun Jana Khatib kelihatan terbaring di tepian pantai itu.
Peristiwa itu dimaklumkan oleh Mohsen dan rakan-rakannya lain, Jemi, Jeman dan Sahak ketika berkunjung ke majlis perkahwinan Mahsuri dengan Wan Derus
“Lebih baik kita kebumikan jenazah mengikut ajaran agama yang betul,” ujar seorang penduduk. Hasil permuafakatan penduduk di situ membawa jenazah Tun ke tanah perkuburan ke Makam Purba di Langkawi
Pagi itu apabila usai melakukan solat Subuh berjemaah di chalet Berahim, kami membincangkan mimpi kami itu. Tetapi, masing-masing sukar untuk mempercayai mimpi itu dan menganggapkan ia mainan tidur dan tiada kaitan dengan ziarah ke pusara Tun Jana Khatib kelmarin.

Lima
Lewat petang itu, saya mendapat panggilan dari Encik Razak, Ketua Biro Negeri Akhbar Tunas Perdana. Saya adalah ‘stringer’ pada akhbar itu. “Kau tolong ‘cover’ berita ini,” ujar Encik Razak.
“Berita apa, Encik Razak?” soal saya. “Ada orang puja nombor ekor di pusara Tun Jana Khatib,” ujar Encik Razak.
“Baiklah,Encik Razak, I will do the best,” balas saya.
Malam itu saya, Jemi, Jeman dan Sahak bergerak selepas Isyak menuju ke pusara Tun Jana Khatib itu. Lebih kurang jam 12.00 malam, ada tiga orang berpakaian hitam menuju ke pusara Tun Jana Khatib.
Mereka bersila di depan pusara itu mengeluarkan tepak bara. Mereka menghidupkan tepak bara itu dengan arang dan menaburkan serbuk kemenyan di atasnya. Asap berkepul-kepul naik ke atas dan ada kain kuning diikat pada kepala batu nisan itu. Saya telah
Mereka memuja roh Tun Jana Khatib supaya dapat memberi empat nombor ekor yang tepat kepada mereka melalui mimpi.
“Tolonglah roh gemulah, aku memang amat terdesak memerlukan wang, minggu depan majlis perkahwinan aku dengan Laila, aku tiada wang membiayai majlis itu,” rayu seorang pemuda di depan lilin.
Mendengarkan rayuan itu, kami juga berasa sedih. Tetapi perbuatan mereka tidak boleh dibiarkan. Ia adalah syirik dan dilarang agama. Saya telah meminta Jeman dan Sahak berjumpa dengan ketua kampung. Saya dan Jemi berada di tempat kejadian.
‘Pihak Agama Islam Pulau Langkawi mengambil langkah wajar dan menghalang orang ramai yang didalangi pihak tertentu menjadikan pusara Tun Jana Khatib sebagai pemujaan untuk perbuatan haram seperti judi ekor atau dijadikan keramat’ begitu keratan akhbar Tunas Perdana esoknya .- Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya