MASIH ramai lagikah dalam kalangan kita yang masih meminati pementasan teater? Jika dilihat sambutan seni teater di negara ini, ia mungkin tidak sehebat di United Kingdom (UK) atau Amerika Syarikat (AS).
Namun di sebalik kesuraman pementasan teater, masih ada golongan yang kekal mengangkat salah satu daripada cabang seni ini.
Paling menarik, tema yang diangkat Kelab Teater ASAR memartabatkan Adat Perpatih yang begitu terkenal di Negeri Sembilan.
Apa yang membanggakan, kelab teater ASAR turut membariskan pelakon cilik bagi mengasah bakat untuk berkecimpung dalam bidang ini.
Menurut Pengasasnya, Prof. Madya Dr. Ahmad Rashidi Hasan, beliau mengangkat Adat Perpatih untuk memastikan ia terus dikenali dan menyampaikan maklumat sebenar dan bukan hanya dilihat sebagai bahan lawak semata-mata.
“Paling penting apabila saya tengok ada pihak luar melihat Adat Perpatih sebagai bahan lawak.
“Sebab itu, saya angkat Adat Perpatih dengan memilih satu sudut yang serius. Ia menjadi soal kepimpinan yang bukan diwarisi atau digilirkan. Ada susur galur tersendiri. Ada berlaku perebutan kuasa. Itu antara konflik yang saya angkat dalam teater termasuk Tanjong ,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Kelab Teater Asar ditubuhkan pada 2019. Bagaimanapun, ahli kelab ini ada yang aktif sejak lebih 20 tahun lalu menerusi teater seperti Si Bongkok Tanjung Puteri; Kerusi; Uda dan Dara serta Kerbau.
Terbaharu, Kelab Teater ASAR akan mengadakan pementasan teater bertajuk Tanjong di Istana Budaya pada September nanti.
Karya yang berdurasi 120 minit ini disusun dalam 13 adegan dengan dibarisi 72 pelakon. Teater ini turut dijayakan 32 pelakon muda yang terdiri daripada siswa, murid sekolah dan kanak-kanak.
Cerita latar berlaku pada tahun 1700 dan Tanjong adalah sebuah luak kecil di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Ahmad Rashidi yang juga pengarah teater Tanjong berkata, beliau melihat teater satu ketika dahulu tidak dimasyarakatkan dan tidak menyeluruh.
“Kalau ada pun, hanya mereka di Jabatan Kebudayaan. Saya cuba untuk memasyaratkannya dan saya mula dengan anak-anak sekolah untuk berteater.
“Bagaimanapun, kini mereka sudah ada yang menuntut di universiti. Selain itu, saya turut bekerjasama dengan institusi lain antaranya Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi membantu pencarian bakat-bakat baharu,” jelasnya.
Ahmad Rashidi ketika diminta mengulas nasib graduan teater berkata, ada terus menghilang sebaik menamatkan pengajian.
“Profesion teater masih belum menjamin kerjaya. Ia memerlukan kekentalan dan kekuatan semangat untuk terus bergiat dalam bidang ini. Perkembangan teater di Malaysia ada tetapi agak perlahan. Kurang mendapat sambutan khalayak dan penggiat teater harus benar-benar berjuang jika ingin melihat teater terus mendapat sambutan dan maju.
“Untuk menjamin masa depan, graduan teater harus bersandar kepada kerjaya lain seperti berniaga, menjadi pendidik atau pekerjaan yang boleh menampung kehidupan,” jelasnya. _ Mingguan Malaysia
Pementasan teater terus hidup
- Oleh Mohama Hafiz Yusoff Bakri
- 3 Julai 2022, 4:03 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Carlo Rino Group sasar berkembang di Asia Tenggara
23 Disember 2024, 8:12 am
Pelajar diugut jika lapor salah laku pensyarah
23 Disember 2024, 8:01 am
TVET pemangkin transformasi sosioekonomi kaum India
23 Disember 2024, 8:00 am