Lelaki semutar hitam - Utusan Malaysia

Lelaki semutar hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika matahari menanjak langit timur perlahan-lahan, dia berdiri tegap menghadap tubuhnya ke arah bola api yang garang itu. Mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu. Barangkali menyusun mentera hulubalang berkacuh panglima. Atau barangkali juga membangkitkan ayunan ayat asal keturunan haluan hulubalangnya. Dia meraup cahaya matahari tajam itu kemudian menyumbatnya ke dalam lorong pandangannya.
Lama dia berdiri begitu kemudian membongkokkan sedikit tubuhnya, mendepakan kedua-dua belah lengan seolah-olah sedang mengepung angin lalu menangkupkan kedua-dua telapak tangan itu di hujung laman matanya sambil kaki kanan dilunjurkan ke hadapan. Kaki kiri terus imbangi tubuh sasanya. Mulutnya terus menyusun mengatur isi istighfar.
Tangan kiri istiqamah di tulang rusuk kanan manakala tangan kanan dilepaskan ke belakang, kemudian siku kanan dibengkokkan seperti tangan wayang kulit Lat Juna, lalu melintasi kepala sebelum ditarik kembali melepasi telapak tangan kiri. Kaki kanan juga dilunjurkan ke belakang dan diimbangi dengan kaki kiri. Tapak hulubalang mula dipamerkan satu persatu dan bunga pendekar sudah mekar dalam dada, kiri dan kanan.
Kain semutar hitam, lambang kepahlawanannya dikemaskan di kepalanya. Baju hitam berleher bulat setia membaluti tubuhnya. Keris tiga lok sudah berada di pinggangnya. Marahnya sudah tidak mampu disekat lagi. Bengisnya sudah tidak upaya ditahal sesiapa.
Kenapa sawah padi yang menjadi rumah rezeki orang kampung itu mesti diserahkan kepada bajingan bertopi kelabu? Kenapa sungai yang jernih dan dihuni ribuan haiwan sungai itu mesti jadikan pusaka bajingan?
Cis! Dia mencabut mata keris yang baru sahaja diperlimaukan dengan limau purut 21 biji. Dia membaling keris itu tinggi menebuk langit. Keris itu berpusing di udara. Ligat dan ligat! Sambil mengeluarkan bunyi menggerunkan. Dengan kuda-kuda yang padu, dia menunggu keris itu tertikam dan terjunam ke bumi. Dia mendepakan tangannya. Keris itu terjunam laju dan dia berguling lalu menangkap hulu keris berulu gading pekaka itu, sebelum matanya menikam perut bumi berbatu.
Aku tidak akan biarkan sawah itu menjadi kepunyaanmuuu! Sawah itu pusaka moyangku. Kami usahakannya secara bergotong-royong. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing! Berkapuh hati bersatu niat! Kami orang berbangsa, bukan golongan tidak berbahasa! Siapa kamu hendak merampas jelapang rezeki kami? Aku anak hulubalang, bertitih pahlawan.
Bermata tajam persis seligi batang nibung dia merenungi keris yang berada di tangaannya itu. Muncul dalam gerupuh bengisnya, berngiang-ngiang di cuping telinganya. Keris lembing ulaman kami! Panah badik nasi air kami! Kerana kamu kami semua susah. Pokok kayu kayan, kami yang tanam. Kenapa kamu menyusahkan kami? Aku lelaki bersemutar hitam! Tidak akan biarkan seinci bumi pusaka ini menjadi milik kamu.
Dia terus melunjurkan kakinya. Berpusing ligat di atas hujung tumit yang keras seperti kayu cengal itu, dia pantas menikam angin puluhan kali. Kiri kanan, belakang depan, tikaman itu dipersembahkan dengan jitu pengalaman. Gagah dan bersemangat! Ada tikaman Hang Tuah dalam tangan kanan. Ada tikaman Dato’ Maharajalela dalam tangan kiri. Ada libasan Mat Kilau dalam kaki kanan. Libasan Tok Gajah, Tok Janggut dalam kaki kiri. Ada juga langkah harimau daripada lelaki sembilan siulan.
Silat selek dan silat sekebun dipersembahkan dengan sebaik mungkin. Kain semutar hitam yang terkumpul di puncak kepalanya dikemaskan dan tidak dibenarkan tercelurai begitu sahaja. Semutar itu semutar perjuangan.
“Tanah sawah dan sungai ini hak kami! Kamu tiada hak merampasnya!” kemarahan itu terkumpul di dalam dirinya. Dia terus meluncurkan mata keris. Tepat menusuk masuk ke perut batang pisang kelat jambi.
Ditarik mata keris yang menebuk batang pisang. Di sapu dengan kapuhan jari hantu dengan ibu jari, mata yang beraura hulubalang silam dan cukup berbisa itu. Daripada besi yang ditemui di dalam perut telaga di pelepah bukit, daripada jari dan tangan tukang tersohor Wan Ali, keris itu dibentuk sekacak pemiliknya. Direnung tilik mata keris itu. Lenggok lok-loknya menyerbu seru mempertahankan tanah air. Deru pahlawan menusuk lagi ke dalam tubuhnya berkapuh dengan semangat hulubalang.
“Berani kau nak tentang lelaki bertopi kelabu?” Ada kebimbangan dalam diri sahabat.
“Kau takut?” soal dia.
Sahabat mendiamkan diri.
“Kalau semuanya takut siapa yang berani?” dia mengajukan lagi pertanyaan.
Sahabat membaling keluhan.
“Kita baka hulubalang, sahabat. Keturunan pahlawan.” Dia mula membangkitkan asal keturunan.
“Aku tahu,” jawab sahabat.
“Habis apa yang kau tak tahu?” Dia mencari kepastian.
“Mereka ada senapang. Kita hanya ada…”
“Keris lembing dan panah?” sambung dia. Sahabat tunduk.
“Ada kalanya buluh runcing boleh tewaskan lelaki bersenapang,” dia jujur berikan semangat.
“Jadi kau tetap tentang mereka?” Sahabat ingin tahu.
“Hulubalang selalu buat keputusan tepat!” jawab dia.
Sahabat mengeluh. Sesekali dia membaling pandangan ke arah sawah yang luas terbentang di hadapan. Di situ kasih tertumpah.
Di situ kasih sayang dan ukhuwah orang kampung terukir indah dan di sawah itu jugalah gubuk rezeki anak-anak kampung berhati waja. Dan hari ini, tanah sawah itu bakal dirampas! Pusaka itu bakal menjadi milik petualang!
“Kalau kita tidak mampu lakukan apa-apa, melihat sahaja perlakuan mereka terhadap kita bererti kita membenarkan kejahatan bermaharajalela dalam desa kita. Kita semua akan berputih mata, melihat baloh padi kita dirampas!” Dia mula mencerlung tajam ke arah sahabat yang berhati lalang.
“Aku tahu, tapi…”
“Dulu kau berani!” kata dia. “Kau pernah menentang mereka dengan anak badik. Kilik golok tapir berhulu batang nibung,”sambungnya lagi. “Tapi sekarang kau jadi penakut! Diam macam tikus jatuh dalam timba beras!”
Sahabat diam lagi. Keluhannya dihamburkan ke hadapan.
“Sudahlah. Kalau kau takut tentang mereka, mereka akan berani tentang kita!” itu kata dia dalam ulit nada bengis. “Buat apa belajar bersilat kalau pertahankan yang silap!”
Sahabat terus dilitupi gebar gundah. Sesekali dia merenung tilik langit yang berastakona cantik. Kemudian dia menyedut lagi ketampanan keris tiga lok yang berada di tangannya itu.
“Aku tetap dengan pohon pendirian. Seteguh cengal di atas alur! Sungai dan sawah tu hak kita semua! Kepunyaan tok nenek kita dan aku tidak rela pusaka itu direbut paksa! Ingat! Kita ada kampung ada bangsa dan bahasa,” ujar dia lagi, menyusun dan membilang mentera semangat berkacuh hulubalang yang rimbun di dalam dada.
Sahabat diam. Dia seperti terjerut oleh langkah sumbangnya itu.
“Sahabat, tok nenek kita adalah pahlawan. Apakah kamu tidak malu tanjak pahlawan itu dipakai oleh orang lain?” tanya dia lagi. “Sepatutnya kau warisi tanjak itu, sama seperti aku mewarisi semutar hitam.”
Lama melakar kisah, menumbuk ketumbar kenangan, menyobek tauladan, akhirnya sahabat berkata, “selagi angin tidak berhenti bertiup, selagi kedengaran lengkingan daun-daun bersentuhan juring, selama burung-burung terus bernyanyi, selagi itulah perjuanganku tidak surut!”
Tiba-tiba itu yang dinyatakan sahabat. Roh perjuangan mempertahankan sungai dan tanah sawah kembali menjulang di dalam alur dadanya.
Dia menghulurkan sebilah keris berpamor sungai mengiringi pamor ganggang hanyut, berhulu gading bertatah permata hijau di pendokok, kepada sahabat yang tiba-tiba mengarai turun menyeru deru hulubalang ke dalam jiwa.
“Inilah pusaka kita. Ingat! Tanah sawah dan sungai itu hak kita! Pusaka ibu bapa kita yang diamanahkan kepada kita untuk menjaganya!” Dan itu yang dia suarkan ke anjung dada sahabat.
“Ayuh!” Sahabat terus diterpa olengan semangat.
Mereka bersalaman. Tanpa membuang masa kedua-dua sahabat melompati denai dan menunggu di dalam semak persimpangan.
Khabar mengatakan hari ini lelaki bertopi kelabu akan menunjuk taring mereka, mendesak orang kampung menyerahkan tanah sawah dan sungai sebatang itu. Dan hari ini juga dia sudah sebatikan seluruh pamur di mata keris yang berada di pinggangnya itu.
Semutar hitam dikemaskan di kepala. Mata keris sudah panas di dalam sarung. Buah persilatan juga sudah menunggu untuk direlaikan.
“Ingat isitqamah kita!” ujar dia. Sahabat mengangguk. Mereka menanti lagi di dalam semak.
Penantian mereka berakhir. Muncul tali barut dengan lelaki bertopi kelabu. Terbuhul megah di wajah mereka. Ada terakol di pinggang lelaki bertopi kelabu itu. Dia dengan sahabat melompat ke hadapan lelaki bertopi kelabu.
“Baik kamu semua balik kalau jahat tujuan kamu ke mari!” dan dia mula membuka mulutnya. Sahabat memegang hulu keris.
“Cis!” tali barut bersuara. “Kamu patut dihukum kerana tidak hormati tuan kami!”
“Hormati apa?! Ini tanah lahir kami! Sawah dan sungai itu kepunyaan kami!”
“Tangkap dia!” Arahan daripada lelaki bertopi kelabu dikeluarkan kepada tali barutnya.
“Selangkah kamu melangkah, keris berpamur sungai bertindan ganggang hanyut ini akan menebuk perut jahat kamu!” Dia mula meniup mentera semangat ke dalam dirinya. Semutar hitamnya dijamah beberapa kali.
“Tangkap dia! Jangan takut!” lelaki bertopi kelabu mengeluarkan lagi arahannya.
“Jangan melangkah! Darah hulubalangku tak mampu kamu tahal!” dan sahabat memancung arahan daripada lelaki bertopi kelabu.
Pergelutan terjadi. Sepak menyepak, tikam menikam berlangsung dalam suasana cepat dan tangkas. Lelaki bersemutar hitam mengarai turun seluruh ilmu hulubalangnya.
Begitu juga dengan sahabat. Seluruh kepandaian dituntut dengan gemulah Pak Ngah Bohim dipersembahkan. Dan lelaki bertopi kelabu menarik pistol tangannya lalu menghalakan ke arah dia dengan sahabat.
Keris di tangan lelaki bersemutar hitam sepantas kilat dibaling, ligat berpusing, menebuk perut lelaki bertopi kelabu. Dia rebah bersama darah dengki yang mengalir di dada desa berbangsa. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya