'Kami bukan budak-budak nakal' - Utusan Malaysia

‘Kami bukan budak-budak nakal’

ABDUL Rashid Abdul Rahman bersama karyanya yang mempunyai identiti sendiri bagi membezakan hasil kerjanya dengan artis lain. - AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DULU banyak pandangan negatif dilontarkan terhadap karya mural dan grafiti.

Rata-rata menyifatkan lukisan ini yang banyak di bangunan lama atau di bawah jambatan hanyalah karya budak-budak nakal yang suka menconteng dan merosakkan harta awam.

Namun, lukisan mural dan grafiti kini semakin mendapat tempat dan perhatian termasuk di ibu negara. Contohnya, di bangunan berhampiran River of Life, Masjid Jamek yang secara tidak langsung menjadikan kawasan berkenaan nampak lebih menarik.

Tanpa perlu merubah struktur bangunan, lukisan mural dan grafiti hakikatnya menjadi ‘penyelamat’ bagi menghidupkan suasana di kawasan tersebut.

Malah, apa yang paling penting, lukisan ini sebenarnya turut dijadikan daya tarikan untuk orang datang ke situ dan bergambar.

Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan ini, ada individu penting yang dilupakan atau kurang ditonjolkan.

Bagi Abdul Rashid Abdul Rahman, 38, apa yang mendukacitakan, pelukis mural dianaktirikan dan kurang diberi ruang untuk mereka berkarya.

“Kita faham di mana-mana tempat dan negara pun ada kekangannya terutama dari sudut penggunaan ruang atau birokrasi. Itu realiti yang perlu dihadapi. Cuma kami sangat berharap supaya ada banyak pihak tampil beri kami peluang untuk ketengahkan bakat.

“Kami bukannya budak-budak nakal, sebaliknya kami mahu berkarya dan paling penting kita boleh tonjolkan identiti, budaya dan nilai seni kepada masyarakat di negara luar.

“Sebab apa? Kerana mereka tidak tahu kami juga turut membawa elemen budaya dalam masyarakat kita ke tempat luar,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Seni mural dan seni grafiti semakin popular sebagai kaedah menyampaikan idea dan ekspresi diri dengan menggunakan bahan seperti warna, cat minyak, akrilik dan warna semburan di dinding persekitaran oleh artis visual.

Terdapat perbezaan antara kedua-duanya ini iaitu seni mural menggunakan imej manakala grafiti menggunakan perkataan.

Tambah Abdul Rashid, dia sendiri pernah menerima maklum balas yang positif ketika di Hong Kong semasa menyertai satu pertandingan dan pameran di sana.

“Saya bawakan elemen lagu Bangau oh! Bangau dalam lukisan saya. Masyarakat luar teruja sebab ia merupakan kali pertama mereka melihat elemen tersebut.

“Mereka kata inilah yang mereka mahukan. Begitu juga apabila kita bawa orang luar mereka akan tunjukkan apa yang mereka ada. Jadi di situ ada kelainanlah,” ujarnya.

Abdul Rashid sebelum ini berkhidmat di salah sebuah syarikat animasi terkenal membuat keputusan berhenti kerja dan memberi fokus selepas melihat potensi yang ada pada bidang ini.

Dalam pada itu, dia berkata, artis mural dan grafiti juga perlu menonjol diri serta tahu membawa diri sekiranya berhajat untuk lebih serius dalam salah satu cabang seni ini.

“Selagi orang tidak nampak hasil kerja kita mereka tidak akan tahu. Apa yang dilihat mungkin sekadar bahan contengan di dinding sahaja.

“Bila mereka lihat kerja kita, baru mereka tahu dan menjadi lebih terbuka serta menganggap ini bukan kerja yang main-main,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya