Berubahlah Melati! - Utusan Malaysia

Berubahlah Melati!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gara-gara air mata perempuanmu, nama kampung kita meletus. Melati, Melati…
Paling teruk diasak hamburan, Tuk Empat Firdaus. Dituduh makan elaun buta. Dilabel tidak pandai buat kerja. Dicap gagal mentadbir kampung. Kutukan dan kritikan dia kulum. Faham-fahamlah bagaimana tatakerja warganet di papan kekunci. Jemari ligat meronggeng. Yang dia itu hendak tunjuk pandai. Yang dia ini mahu kelihatan hebat. Orang kampung pun tidak pasal-pasal dijentik sama.
Kau tahu Melati, betapa resahnya aku tatkala memilih dan membelek barangan di pasar raya bandar sana sehari selepas letusan air matamu itu. Diri ibarat orang salah. Seakan semua mata memusat ke arahku termasuklah pekerja-pekerja asing kelahiran Bangladesh dan Myanmar di situ. Bunyilah kedengaran lucu tetapi begitulah bayangan naluri.
Ada kau kesah gejolakku waktu itu? Atau amarah jiran tetangga lain? Bertuahlah kalau ya. Kau mana peduli jika kampung ini mendapat nama buruk.
Di kepalaku melintas sesuatu yang jahat, entah-entah kau bertepuk tangan atau melompat kegembiraan. Orang kampung memang kurang mesra, begitu menurutmu.
Wujud tetapi terpinggir. Ada namun sebenarnya lebih baik kalau tiada. Seluruh kampung seperti seia sekata memulaukan seisi keluargamu. Pemikiran kaulah sedemikian rupa. Pernah kau suarakan rasa terkilan tidak lama dahulu. Mana ada Melati. Betulkanlah salah tanggapanmu.
Lupakah, rumah pusaka yang kau duduki itu pernah dibaik pulih orang kampung atas alasan kemiskinan. Aku yang memberi cadangan kepada Firdaus supaya seluruh warga desa bermuafakat menyumbang wang dan tenaga demi kemanusiaan. Lupa, terlupa atau sengaja buat-buat lupa?
Setahun nan lalu, kau dan kejutanmu mengundang persepsi negatif. Aku masih ingat dan akan tetap mengingati. Bukan berdendam atau mengungkit. Kesannya amat padu.
Pada suatu petang, di hadapan rumah peninggalan datukmu, sebuah kereta mewah rosak secara tiba-tiba. Pemiliknya seorang dermawan dan presiden sebuah pertubuhan sosial yang terkenal. Juga berpengaruh besar di media sosial.
Video kau satu keluarga dan rumah usang yang ditimbuni bahan-bahan terbuang, disifatkan tidak ubah seperti reban ayam oleh warga media sosial bertebaran pantas. Kau pun berdrama, merintih-rintih, mengadu dan meluahkan segala yang kau tanggung bertahun-tahun lamanya. Yang buruk-buruk terhenyak di pundak kami. Satu Malaysia mati-mati percaya. Bahawa kau sesungguhnya warganegara yang dilupakan dan disisih kerana kedaifan.
Kisahmu naik mencanak. Melompat laman ke laman. Melangkau bibir ke bibir. Tidak hanya ketua kampung, JKKK, imam, bilal, siak pun dihentam pengkritik. Aduhai Melati…
“Mak Cik, boleh kutip pucuk ubi?”
Di hadapan, berdiri seorang dara sunti. Di tangan kiri mencebek plastik berisi kangkung yang separa penuh. Berbalik kepada pertanyaan, besarlah juga harapan andai dia beroleh keizinan untuk memenuhi plastik dengan pucuk ubi pula. Dapat kubaca dalam renung mata yang redup. Tampang kusam dan kulit berkeratang. Kukira mandi sudah lama tidak bergonyoh sabun. Pakaiannya membuatkan dadaku sempit. Baju ungu lusuh, rabak sedikit di hujung. Celana pula hijau senteng. Persalinan yang bukan untuk usianya. Tubuh kurus kering itulah yang membolehkan dia sarung tanpa masalah.
Berfesyen dan bergaya, pilihan bukan di tangan gadis kecil ini. Apa ada, itulah yang dia sambar. Selipar Jepun besar sebelah. Mujur saja warnanya sama. Bukan niat meremehkan kedaifan. Cuma kedaifanmu Melati bagai sengaja dipilih.
“Kalau tak boleh tak apalah. Yang ini pun cukup untuk tengah hari.” Dahlia berubah hampa. Suara berkalang sebak. Mungkin dia merasakan permintaan itu ibarat diberi betis berkehendakkan paha pula. Walhal aku hanyut dalam rentetan onar ibunya. Diri sedikit terpukul kerana leka memuktamadkan jawapan.
“Boleh. Maaf ya, mak cik kurang sihat. Kepala pening. Sebab itu mamai-mamai sikit.”
Aku berdalih, mengunyah keterlanjuran. Dalam situasi sebegini, menelan kebenaran itu lebih baik. Ambillah apa jua mahumu. Segala yang melata di situ, pungutlah selagi mampu. Buat mengisi perut untuk sehari lagi. Semuanya percuma Dahlia. Lalu si gadis kecil menyusup semula ke dalam kebun di tepi halaman. Girangnya dia. Tangan laju memetik sayur pilihan.
Ingatan meraban semula. Tahukah betapa aku terkilan dengan sikapmu setahun lalu. Oh ya, kau tidak sempat tahu pun sebenarnya. Sebab tiga hari kemudian, kau terpacak di muka pintu rumah.
Aku takkan pernah melupakan hari itu. Tanpa berbasa-basi, kau terus mengucapkan selamat tinggal. Renung, senyum dan perkataanmu sinis. Ada sebuah syurga yang lengkap serba-serbi. Tinggal cuci kaki dan masuk sahaja. Lancar sekali penjelasanmu. Ringkas lagi padat. Seakan panas untuk berlama-lama, kau terus heret anak kecilmu dan keluar dari kampung ini. Apa hakku untuk menahan. Keputusan sudah bulat.
Kami yang tertinggal sebu mengenyam caci. Seminggu lamanya Firdaus meminggirkan dunia luar. Akaun muka buku haram dijenguk. Tiada akhbar senaskhah dua seperti kebiasaan. Dia juga enggan menonton berita di televisyen. Dia jadi fobia. Masuk hari kelapan, rakan-rakan sejawatan bertamu ke rumah. Tidak ketinggalan Tuk Penghulu Idris.
Datang mereka bukan biasa-biasa. Bukan juga dengan tangan kosong. Dikelek bersama kata-kata semangat dan sokongan. Berdegar-dengar nasihat mereka supaya Firdaus melupuskan segera kisahmu. Anak buah yang sejenis dengan kau wujud di setiap kampung sekurang-kurangnya seorang, semua mengakui. Tidak segan-silu menagih simpati. Lebih teruk jadi malas berusaha. Tegar memilih kemiskinan agar dibantu dan terus dibantu.
Melati, kesempitan hidup itu pilihan. Begitulah pendapat orang. Memang betul pun. Ramai yang berjaya membolosi kelongsong sengsara. Kalaupun tidak kaya, sekurang-kurangnya tidak juga susah. Mengapa kau bukan salah seorang daripadanya? Kita baru menjengah 40-an. Usia di pandangan semua, getir dan cabaran baru bermula.
Kau dan suamimu sihat anggota tubuh. Kenapa enggan berikhtiar meletakkan kehidupan kalian ke aras lebih sempurna. Ini tidak. Pekerjaan suamimu tidak tentu. Ada getah peninggalan, menorehnya culas. Alasan, harga tidak sebanding kudrat. Dijanjikan pekerjaan, bulan kedua Kadir buat hal. Skrip lama pun berulang.
Tahu-tahu suamimu menerjah kebun orang kampung untuk mendapatkan makanan. Atau menjual hasil titik peluh mereka demi wang. Ya Melati. Kami tahu kegiatan tidak sihat suamimu. Sebab itulah kau sekeluarga jauh daripada masyarakat. Kadir, lelaki yang kau agung-agungkan suatu ketika dahulu itulah puncanya.
Pertolongan sebagaimana lagi yang kau mahu? Sumbangan apa mampu menyendal lidahmu daripada terus bersungut dan menceceh yang bukan-bukan. Bantuan persekolahan dan bantuan asnaf daripada pihak berwajib, semua kau terima. Bantuan yang muncul kala ketibaan Ramadan dan Syawal, kau tidak pernah terkecuali. Bantuan orang perseorangan, kau sentiasa masuk senarai.
Dalam sebulan ini, setelah lama kami aman daripada kisah-kisah kau dan Kadir, perkhabaran tentang keluarga kalian pecah lagi. Sangkaan kami yang kehidupan kau sempurna di sana rupa-rupanya jauh panggang dari api.
Kau sekeluarga dihalau dari rumah sewa kerana bayaran sudah berbulan-bulan tertunggak. Segalanya menjadi kelat. Seperti yang diramal banyak orang, pekerjaan sebagai pengawal keselamatan yang dicari dermawan itu tidak kekal lama. Janji Kadir untuk tekun bekerja hanya tinggal janji. Ramalan itu benar belaka apabila dua hari lepas kau kembali menjadi warga kampung ini.
Benarlah juga telahan semua, kalian berdua terus-terusan mengharapkan bantuan daripada dermawan itu sehingga akhirnya tidak dipedulikan lagi. Kau mungkin terlupa, banyak lagi fakir yang perlu ditolong.
Kau dilupakan perlahan-lahan. Sudahnya semua barang kelengkapan yang ada, Kadir jual satu-persatu buat menampung hidup.
Satu tempikan mencuri tumpuan. Daripada Dahlia ke Naim, nun di seberang jalan. Naim kelihatan membentak. Kaki kiri dan kanan dihentak berulang kali. Tangan yang sedang kau genggam direntap. Apalah yang membuatkan remaja lelaki itu naik angin.
Tidak cukup yang sulung, si bongsu ikut buat perangai. Merengek-rengek di dukungan entah apa kemahuan. Kau sendiri pun jadi serba tidak kena.
Gayanya seperti kau tiga beranak mahu menuju ke mari. Apa lagi, aku pun berpaling ke dalam rumah. Mataku jatuh ke sudut yang dikhususkan oleh Firdaus untuk menjalankan amanah sebagai ketua kampung.
Tiga hari lepas tersusun tinggi kampit-kampit beras sumbangan wakil rakyat bersebelah meja kerja. Semuanya untuk diagihkan kepada asnaf dan orang tua.
Hari ini tidak kelihatan sekampit pun. Pasti sudah selamat disampaikan kepada tuan punya yang berkelayakan. Jika masih ada, salah satunya pasti akan menjadi kepunyaanmu. Setiap kali datang, kau pula akan terjenguk-jenguk ke dalam rumah. Kau pun pandai juga. Masa Firdaus keluar, terjengul muka. Bab itu aku cukup faham. Kau mahu sangat bukan, ambillah.
Memang kau cukup peka dalam hal-hal sebegini. Rumah pun bukan jauh. Nampak kalau ada sumbangan masuk. Yang bukan hak kau pun tanpa malu-malu minta.
Bila Firdaus kata nama tidak masuk senarai, bising sepelaung. Tentulah, kalau bantuan untuk veteran ATM dan balu contohnya, apa kena-mengena denganmu.
Satu seretan nyaring disusuli dentuman menggegar perdu jantung. Kulihat Dahlia mencampak plastik berisi sayuran lalu berkejar ke jalan. Di seberang sana, kau berteriak bagai nak gila. Mataku mencari punca kekalutan. Akhirnya pandangan jatuh ke tubuh Naim yang terbaring kaku tidak jauh dari lori bermuatan simen. Beberapa pelanggan dari warung kopi berdekatan mula mengerumun. Di antara mereka terselit Firdaus.
Aku berjalan pantas menyertai lain. Situasi di lokasi kemalangan bertambah cemas. Tatkala Firdaus menutup tubuh Naim dengan sehelai kain, tangisan kau bak hujan. Suara kau menyebut-nyebut namanya laksana guntur meruntun perasaan. Sekali ini tangisanmu adalah benar.
“Abang Naim tunggu di syurga.” Di sisi, suaraku larut dalam pekat esakan Dahlia. Aku lupa segala kejengkelan atau apa juga kelakuan kau yang menjelekkan selama ini. Aku ikut bersedih. Membayangkan diriku di tempatmu, seorang ibu yang kehilangan anak.
Jenazah Naim disempurnakan malam itu juga. Lihatlah Melati sedarlah Kadir, kami tidak seburuk kalian fikir. Kami hadir sebagai Muslim yang menyayangi saudara seagama.
Naim yang istimewa, sering dijadikan alasan kala meminta-minta. Tanggungjawab anak syurga itu telah selesai.
Dengan elaun sebagai pemegang kad OKU masalah pembelajaran, dia menanggung kau sekeluarga selama usia. Di sisi pusara Naim, rinai-rinai jernih meresapi tanah nan merah. Pilu yang amat dalam. Melati, berubahlah. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya