Tasbih dari ayah - Utusan Malaysia

Tasbih dari ayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seharian berada di pangkalan tidak membuatkan Meon jemu walau sesaat. Burung-burung camar terbang rendah dan sesekali hinggap di atas kayu-kayu pangkalan yang reput. Meon tidak peduli walau apa pun terjadi. Pernah Meon diminta duduk di dalam hujung warung kopi Pak Hassan, namun Meon berkeras tidak mahu meninggalkan pangkalan itu. Orang kampung bukan mahu menyibuk tetapi gusar sesekali melihat Meon yang duduk berteleku di atas kayu reput di pangkalan. Takut-takut dihempas ombak laut yang mengganas apabila musim tengkujuh tiba.
Pangkalan itu satu-satunya tempat untuk Meon meluah rasa rindunya yang tidak tertahan. Redup mata Meon membilang sampan yang pulang.
“Meon, mari sini. Minum kopi dengan Pak Hussin. Mari”, Pak Hussin seorang lelaki separuh abad yang peramah dan mengambil berat. Kerja menjadi siak masjid menjadikan Pak Hussin lebih banyak memerhati dan memahami segala yang berlaku. Pak Hussin tidak sedikit pun berkecil hati dengan perangai Meon.
“Eh! Kurang ajar betul Meon tu. Boleh tak hormatkan orang tua,” Halim mendengus marah. Pemuda kampung yang terkenal dengan jolokan Halim Bara itu memang sebegitu sikapnya. Mudah marah dan melenting. Suaranya berapi-api kalau bercakap. Tidak boleh silap sedikit pasti penumbuk menyinggah muka. Pak Hussin bangun memaut bahu Halim membuatkan Halim menoleh. Renik peluh merintik di wajahnya. Misainya melenting menambahkan bengis di wajahnya yang berparut.
“Sudahlah Halim. Biarkan dia. Biarkan dia melampiaskan rindu yang tak tertahan itu. Siapa kita hendak menghalangnya?” Pak Hussin membetulkan kopiah putih di atas kepala.
“Saya bukan apa Pak Hussin, membara hati saya ini kalau dengan perangai budak ini” Halim mendengus kuat.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, Halim,” Pak Hussin mengangkat cawan kopi dan menghirup perlahan-lahan. Aroma kopi ‘O’ panas itu mengalir memberi satu perasaan menyenangkan. Halim terdiam seketika mendengar kata Pak Hussin.
“Minggu depan masjid adakan program gotong-royong. Boleh kamu datang bawa kawan-kawan kamu, Halim? Ingat nak baiki siling dalam masjid yang terkopak itu,” Pak Hussin menoleh.
“Eh! Boleh, boleh sangat Pak Hussin. Ini kan Halim. Jangan risau saya akan usahakan,” Halim mendabik dada.
“Alhamdulillah, bagus-bagus. Lepas gotong-royong, kita ada sedikit kenduri.”
Mata Halim bersinar. “Kenduri? Elok sangat itu,” bibir Halim senyum meleret membayangkan masakan kenduri. Lama benar dia tidak makan percuma. Apabila dijemput kenduri, boleh juga jimat duit poket. Halim mengangguk.
“Lepas solat Jumaat ya, Halim”, Pak Hussin mengingatkan Halim.
“Hari Jumaat?” Mata Halim terbuntang.
“Kenapa Halim? Kamu ada nak pergi kenduri mana-mana ke?” Soalan Pak Hussin membuatkan Halim termangu seketika. Pantas dia menggeleng kepalanya.
Halim berfikir sejenak. Hari Jumaat merupakan hari yang sangat penting bagi Halim. Dia dan beberapa rakannya sudah merancang untuk berkonvoi motosikal ke Cameron Highland, Pahang. Nampak gayanya, program itu terpaksa ditunda. Hendak menolak dia merasa malu. Sebentar tadi bukan main lagi dia berjanji.
Usai menunaikan solat Jumaat, Imam Jusoh mengetuai bacaan tahlil dan Yasin bagi memberkati kenduri kesyukuran kerana anak perempuan Haji Rashid sudah selamat melahirkan bayi lelaki setelah beberapa hari terlewat dari tarikh jangkaan bersalin.
Suasana kenduri kesyukuran tersebut agak meriah. Jemaah masjid masing-masing menjamu selera dengan makanan yang disediakan. Pelbagai jenis juadah yang menjadi hidangan kenduri kesyukuran itu.
Meon sudah selesai membasuh tangan dan bergerak untuk mengambil bubur pulut hitam yang berada di hujung meja. Halim yang melihat cepat-cepat bangun menghampiri.
“Kau nak makan apa lagi Meon? Aku tengok kau tadi dah banyak sangat makan,” Halim mengambil mangkuk plastik di tangan Meon.
“Meon nak makan bubur,” Meon memandang Halim.
“Tadi kan kau dah makan. Aku nampaklah,” kata Halim sinis.
Meon mundar-mandir di hadapan bubur pulut hitam dan berkali-kali memandang Halim. Bibirnya menjuih. Pandangan matanya tajam memandang Halim. Meon tidak pernah gentar walau sedikit pun memandang wajah Halim. Jelas terpancar di wajah Meon yang dia tidak berpuas hati dengan tindakan Halim tidak memberinya mencedok bubur pulut hitam itu. Perlahan-lahan Meon menjauh dan melangkah keluar dari pekarangan masjid. Halim yang melihat dari jauh tertawa di dalam hati.
Langkah kaki Meon membawanya ke pangkalan. Dia duduk dan menyandar tubuh ke tiang kayu usang. Hari ini Meon sangat sunyi. Tiada kedengaran bunyi enjin sampan yang pulang. Setiap Jumaat, nelayan tidak ke laut bagi menghormati Jumaat dan juga hari untuk mereka beristirahat bersama keluarga. Meon membuang pandang melihat ombak beralun. Sesekali juga terasa kayu-kayu berkeriut menahan gelora ombak yang datang. Ada kayu yang sudah ditelan ombak laut yang datang. Sudah banyak paku yang tertanggal dari tiang dan dibiarkan jatuh bertaburan di atas lantai. Paku yang tertanggal semuanya sudah berkarat.
Hati Meon sentiasa merindukan seseorang. Sekian lama Meon menunggu tanpa jemu. Menanti dengan pasti. Meon suka bauan air laut yang hamis. Masin yang melekit. Biarpun memedihkan luka-luka di kaki dan lututnya, Meon tidak peduli. Semua luka itu akan hilang. Namun luka di hati Meon entah bila akan terubat.
Riuh rendah Kampung Sungai Yan dengan berita kehilangan Meon. Selipar Meon masih elok berada di atas lantai pangkalan, namun Meon tidak kelihatan di mana-mana. Puas dicari di seluruh kawasan kampung, namun hampa.
Bantuan daripada polis, JPAM dan bomba digunakan, namun masih menemui jalan buntu. Pelbagai khabar angin berlegar di seluruh kampung tersebut. Meon jatuh ditarik hantu laut. Khidmat pengamal perubatan juga digunakan mencari Meon namun semuanya tidak menampakkan hasil.
Sudah seminggu berlalu, Mak Timah masih bersedih menangisi kehilangan Meon. Biarpun Meon akalnya tidak sempurna, namun Mak Timah tahu, Meon tidak akan membuat perkara dilarang agama.
Mak Timah bertegas dengan beberapa penduduk kampung yang mengatakan Meon terjun laut kerana kemurungan. Tidak! Tidak sesekali Mak Timah mempercayai kata-kata mereka yang cuba melemahkan semangat keibuannya.
“Meon itu anak istimewa. Anugerah Allah SWT kepada saya. Tidak pernah membawa masalah kepada saya. Dia juga tidak mengganggu orang lain. Tetapi, kadang-kadang orang lain yang mengganggunya.” Sebak suara Mak Timah.
Ekor matanya melirik ke arah Halim yang menongkat dagu di hujung beranda. Halim melarikan wajah. Dia tahu kata-kata Mak Timah itu ditujukan kepadanya. Pasti Meon mengadu kepada Mak Timah tentang tindakannya melarang Meon mengambil bubur pulut hitam di masjid minggu lepas. Sehari selepas kejadian itu Meon dikhabarkan hilang.
Kawasan rumah Imam Jusoh dipenuhi penduduk kampung. Ada yang bersimpati dengan nasib Mak Timah dan ada pula tidak kisah. Sudahlah kehilangan suami beberapa tahun lalu. Sekarang nasib Mak Timah berduka lara lagi apabila Meon satu-satunya anak tunggal menghilang entah ke mana. Apalah nasib bagi wanita lemah yang hidup sebatang kara sepertinya. Hilang tempat bergantung harap dan tempat mencurah kasih. Air mata Mak Timah tidak tertahan-tahan. Esakan Mak Timah membuatkan beberapa jiran turut menangis.
Imam Jusoh sendiri tersentuh hati. Sebak melihat Mak Timah sebegitu. Masih terbayang di wajahnya, beberapa hari lalu, Meon datang ke masjid menyusun selipar jemaah yang datang solat Asar di masjid. Belum sempat menegur, Meon sudah meninggalkan pekarangan masjid dan berjalan menuju ke pangkalan. Itulah kali terakhir Imam Jusoh melihat Meon.
Seluruh penduduk kampung mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat bagi meminta petunjuk kehilangan Meon. Kehilangan tanpa jejak itu menimbulkan tanda tanya yang besar terhadap orang kampung dan juga polis. Tidak ada petanda menunjukkan Meon diculik dan dibawa keluar dari kampung. Semuanya kabur.
Hampir dua bulan berlalu, kehilangan Meon sudah semakin dilupakan. Masing-masing meneruskan kehidupan seharian mereka. Petang itu, ombak laut bergelora dan menghempas kuat ke pantai. Nelayan kampung yang sudah bersiap untuk turun ke laut membatalkan niat mereka apabila melihat keadaan cuaca yang tidak begitu baik. Langit kelihatan mendung dan angin bertiup kencang. Hujan lebat disertai dengan kilat yang menyambar. Masing-masing duduk berdiam diri di dalam rumah. Mak Timah memeluk bantal dan menyandar tubuh ke dinding. Air matanya laju menuruni pipi. Kesunyian yang melanda menambahkan rasa sebak di dada Mak Timah.
“Mak..Mak..” terasa lembut bahu Mak Timah disentuh seseorang. Mak Timah membuka matanya perlahan dan melihat empunya diri yang berdiri di hadapannya. Mak Timah menerpa bangun dan memeluk erat tubuh itu. Bergegar tubuh Mak Timah mengongoi bagai anak kecil yang kehilangan ibu. Begitulah Mak Timah ketika itu. Perlahan-lahan Mak Timah memandang wajah di hadapannya. Dia mengelus rambut dan mengelus wajah yang dirindui selama ini.
“Kenapa tinggalkan mak, Meon?” Air mata Mak Timah mengalir lagi. Meon hanya menyeka air mata yang mengalir di pipi Mak Timah.
“Meon pergi ke mana selama ini? Semua orang kata Meon takkan kembali lagi. Tetapi mak tak. Mak percaya, Meon akan balik juga suatu hari nanti. Kan, anak mak dah balik,” suara Mak Timah berubah ceria.
“Meon lapar? Meon nak makan? Biar mak masak masakan kesukaan Meon. Bubur pulut hitam, ya,” Mak Timah bingkas bangun namun lembut tangan Meon menahan Mak Timah. Tindakan Meon membuat Mak Timah tersentak. Lama Meon memandang Mak Timah. Kemudian, Meon meletakkan sesuatu ke dalam genggaman tangan kanan Mak Timah. Perlahan-lahan Mak Timah membuka genggaman tangannya dan memandang ke arah Meon semula yang masih mendiamkan diri lama.
“Ayah bagi untuk mak. Meon sayang ayah. Meon sayang mak,” suara Meon kedengaran semakin menjauh. Mak Timah menggapai ingin memegang tubuh Meon namun tidak tercapai. Pandangan Mak Timah semakin lama semakin kabur dan akhirnya menghilang.
“Meon!” Teriak Mak Timah sebaik sahaja terjaga dari tidurnya. Masih terasa kehangatan tasbih mutiara hitam di dalam genggaman tangan kanannya. Allah hu akhbar! Tasbih itu masih berada di dalam genggaman tangan kanannya. Walaupun pertemuan itu hanya sementara, Mak Timah reda dengan segala yang menimpa.
Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada-Nya jua kita kembali. (Al-Baqarah: 155-156) – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya