LAMA benar dia di situ. Dia sudah duduk di kerusi itu sejak daripada selepas Subuh. Kemudian dia bersarapan lempeng kelapa yang disediakan oleh isterinya dengan kopi O panas kurang gula. Kemudian dia duduk di situ semula dengan memegang sebatang pen dan beberapa helai kertas putih bersaiz A4 terdampar atas meja kayu berwarna hitam panjang sedepa. Sesekali pen itu digoyang-goyangkan. Sesekali dia merenung dinding batu di hadapannya sambil berkeluh-kesah.
Sejak dua bulan lepas dia sudah mula membaca buku “Persediaan Menulis Cerpen”, kemudian buku “Memahami Gaya Bahasa”, malah yang terbaharu dia baru sahaja habis membaca buku “Memupuk Bakat & Minat Penulisan Kreatif”. Banyak lagi buku panduan menulis cerpen yang semuanya sudah berhabuk tersusun di rak buku.
“Aduhai Rizal, Rizal…, kenapalah kau buang masa baca buku-buku itu semua! Bukankah kau dah pandai mengarang, mengarang sahajalah terus!” Dia teringat suara rakan penulis yang bertanya khabar melalui telefon bimbit. Bertanya apa yang dia buat setelah bersara wajib atau diwajibkan bersara kerana umur genap 60 tahun.
Memang dia pernah jadi pengarang suatu masa dahulu, tapi itu terlalu lama dulu. Tidak kurang 15 tahun ketika cerpen terakhirnya tersiar dalam majalah Perawan. Itu pun mujur dia ternampak cerpennya tersiar ketika membelek-belek majalah itu di kedai alat tulis. Jika tidak, bukan sahaja honorarium tak dapat, cerpen sendiri tersiar pun tidak tahu.
Dia terus mengetuk-ngetuk mata pen atas kertas. Apakah yang harus dia tulis? Dia benar-benar kekeringan ilham. Benar-benar ketandusan idea untuk dicurah atas kertas putih yang terdampar atas meja.
Memang benar dia pernah menghasilkan beberapa belas cerpen yang tersiar dalam beberapa wadah penerbitan. Itu 20 hingga 30 tahun dulu. Semasa dia muda dan ada stamina. Sesekali apabila membacanya semula, dia seperti tidak percaya boleh menulis karya seindah itu. Cukup segala ramuan intrinsik dan ekstrinsiknya. Cukup lengkap dengan ilmu bantunya, terutama tentang flora dan fauna. Itu suatu masa dahulu, dan telah menjadi sejarah kerana ada bukti bertulis. Telah menjadi nostalgia untuk dikenang sendirian.
Dia memerhati rak-rak buku di ruang tamu rumahnya. Ada tiga rak buku sebesar enam kaki tinggi empat kaki lebar. Setiap satu rak buku yang diperbuat daripada kayu chipboard itu ada 12 petak. Tiga petak khas untuk piala dan medal yang dimenangi dalam pelbagai pertandingan sukan.
Dia pandai main bola sepak, badminton, ping-pong, dan bola tampar, tapi dia lebih tumpukan catur. Untuk cermerlang dalam sukan catur, waktu malam mesti diguna untuk membaca dan menghayati buku-buku catur. Antaranya Logical Chess; Move by Move oleh Irving Chernev atau buku Encyclopedia of Chess Wisdom oleh Eric Schiller. Justeru, mana ada masa untuk baca buku sastera?
Dia berkeluh-kesah lagi. Rasa menyesal abaikan bidang penulisan hingga berbelas tahun mula menusuk-nusuk hatinya. Bukan tiada rakan penulis yang sesekali bertanya khabar dan apa karya terbaharu. Dia ingin menulis semula, ingin menjadi pengarang seperti dahulu, tapi kenapa ilham tidak kunjung datang?
Status ‘Yang Bersara’ bermakna kehilangan hak untuk bermain mewakili organisasi. Dia boleh sahaja berjogging berkeliling taman tasik berdekatan untuk keluarkan peluh, tapi berapa minit sangat dia sanggup. Berjalan laju hingga 10,000 langkah adalah lebih baik untuk kesihatan. Untuk pegang cangkul pun tiada maknanya kerana tiada tanah di kejiranan rumah teres ini. Apa yang boleh diusahakan sekarang hanyalah pegang pen melakar aksara menjadi sebuah wacana sastera dalam genre cerpen yang pernah diceburi.
Dia ingin karyanya tersiar dalam akhbar perdana sebagai petanda bahawa dia masih hidup dalam dunia kesusasteraan. Dua bulan lepas dia terbaca satu artikel dalam akhbar Mingguan tentang penyair Nor Aini Muhammad muncul kembali setelah 30 tahun berdiam diri. Ah, kalau pengarang lain boleh kembali selepas begitu lama, tak kan dia yang baru 15 tahun tak boleh!
Masalahnya bagaimana dia nak menulis jika tiada ilham? Dia tidak mahu jatidiri sebagai pengarang jadi seperti pepohon yang layu yang hidup atas tanah yang gersang. Dia mahu jadi seperti pokok sena yang hijau, tinggi dan rendang. Sesekali terserlah bunganya yang berwarna kuning penuh di hujung dahan dan penuh bertaburan atas aspal. Pernah beberapa kali dia lalu di jalan hujung taman dengan menunggang motosikal ketika angin bertiup kuat, dia dihujani bunga-bunga sena yang berguguran.
Lalu dia harus bagaimana? Tidak adakah jalan singkat? Mindanya mula menerawang memikirkan sesuatu.
Kalau dia baca lebih kurang 50 cerpen yang tersiar dalam akhbar Mingguan, tentu dia boleh ceduk sana sikit sini sikit dan gabungkan menjadi sebuah cerpen yang hebat, terlintas pemikiran begitu tiba-tiba.
Ah, tidak boleh! Tidak boleh!! Itu ciplak namanya. Baharu beberapa minggu ini ada tulisan Syed Mohd. Zakir yang menyentuh tentang kegiatan plagiat. Plagiat adalah perbuatan tidak bermoral.
Nisah Haron seorang penulis berkelulusan peguam dah banyak kali menulis dalam akhbar dan majalah tentang ciplak perbuatan tidak beretika. Makna kata, plagiat memang tidak bagus dan mesti dielakkan. Pendek kata ‘sesuatu itu’ memang tidak patut difikirkan.
Dia menghembus nafas dengan kuat. Nak tulis perkataan pertama pun susah, inikan pula nak tulis hingga lima atau enam muka surat!?
Lama hidup banyak dirasa, jauh berjalan banyak pemandangan, itulah yang sering dikata orang. Dah klise, tapi hakikatnya benar. Setelah 60 tahun hidup hingga rambut pun banyak yang putih, tak kan tak ada langsung pengalaman yang yang boleh digarap dalam sebuah cerpen? Tulis tentang pengalamannya yang selalu memancing ikan? Di mana konfliknya?
Ah, kalau Lim Swee Tin boleh tulis tentang ikan Tapah dan Baharuddin Kahar boleh tulis cerpen tentang Kelah Sisik Merah, tak kan dia tidak boleh tulis cerpen tentang ikan. Dia pun ada juga pengalaman terpijak sengat ikan duri hingga tembus sengat yang bentuknya seperti gergaji itu dalam tapak kakinya. Dia mengusap-usap janggut sejemput yang berwarna putih. Nak mula dari mana? Siapa watak protagonis dan watak antagonisnya? Pening juga jadi penulis ini. Tak pasal-pasal kena berfikir menghening cipta. Kalau pergi jogging dekat taman tasik lagi senang, badan pun sihat.
Proses berfikirnya terganggu apabila isterinya, Zanariah lalu di depan meja sambil mencekak setimbun pakaian daripada mesin basuh. Menuju ke tempat dawai keluli terentang antara besi jeriji tingkap cermin nako dengan besi pagar, lalu pakaian itu disidai pada ampaian.
Ah, perempuan! Kata orang, di belakang seorang lelaki yang berjaya terdapat seorang perempuan. Benarkah?Bukankah di belakang seorang lelaki yang gagal pun terdapat seorang perempuan.
Satu daripada sepuluh sebab dia berhenti daripada menulis cerpen, berpunca daripada isterinyalah. Kalau dia gunakan nama Siti Nurhaliza atau Nelofa sebagai watak sampingan, tentu isterinya akan tuduh dia ada hati pada orang itu. Pada hal itu cuma watak rekaan sahaja. Kalau betul pun apa salahnya, bukan boleh kahwin pun.
Dia tersenyum kelat. Misi mustahilnya untuk mengarang tidak boleh diketahui oleh isterinya. Gunakan pen dan kertas untuk mengarang amat berbahaya. Lagi pun buang masa dan tenaga sahaja buat dua kali kerja. Dia mencapai beg berhabuk berisi komputer riba yang terletak di sebelah gerobok pakaian. Turut dikeluarkan ialah charger dan tetikus. Memasangnya setiap kali nak guna memang remeh, sebab itu dia lebih suka stail lama, guna pen dan kertas. Pasang komputer pun belum tentu dapat ilham.
Dia terganggu lagi apabila isterinya lalu depan meja. Di tangannya ada plastik sampah. Kemudian terdengar bunyi sampah dihumban ke dalam tong dan bunyi tong sampah ditutup.
Dia rasa selesa kali ini. Dia duduk berhampiran dan membelakangi dinding. Oleh itu hanya dia sorang yang boleh nampak skrin komputer. Jika isterinya yang sebaya umur, lalu-lalang depan meja itu pun, isterinya tidak akan nampak apa yang dibuatnya.
Kali ini dia bertekad bulat untuk kembali menjadi pengarang. Dia tidak akan beritahu isterinya bahawa dia sedang menulis cerpen. Dia tidak akan beritahu isterinya bahawa dia sudah pos cerpennya kepada penerbit. Dia tidak akan beritahu isterinya apabila nanti cerpennya tersiar dalam surat khabar.
Andainya dia pergi dahulu, dan tiada lagi di maya pada ini, kemudian isterinya terjumpa cerpen-cerpen tulisannya daripada dalam fail yang tersorok, itu lantaklah sana. Masalahnya sekarang dia ketandusan ilham. Mata penanya sudah tumpul.
Kali ini dia tak nak tulis cerita yang bersifat peribadi atau lingkaran setempat. Dia nak tulis gagasan yang berat-berat yang bersifat universal. Bersifat nasional sekurang-kurangnya. Antara isu yang menonjol sekarang adalah harga minyak RON97 telah cecah RM4.70 seliter. Bekalan ayam terputus beberapa hari. Namun cerita apa yang nak dikaitkan dengan itu semua.
Ilham? Tiba-tiba dia teringat bahawa llham itu kurniaan Allah Azza Wajala. Orang nak belajar, orang nak berucap di khalayak ramai pun baca doa.
Malah semasa dia nak bertanding catur dulu pun dia baca doa – “Ya Allah, ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan lindungilah aku dari kejahatan nafsuku”, Ini kan pula nak mengarang cerpen! Doa itu senjata Mukmin. Dia berharap dalam beberapa hari lagi siaplah sebuah karya tulisannya sendiri. Komputer riba terasa panas sebab terpasang lama. – Mingguan Malaysia
Pengarang tak menjadi
- Oleh ABDUL RAHMAN SOKRAN
- 5 Jun 2022, 4:37 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Tags: Pengarang tak menjadi
BERITA BERKAITAN
Selangor ke separuh akhir Piala Cabaran
23 Disember 2024, 12:03 am
Piala Malaysia: Sri Pahang ke separuh akhir
22 Disember 2024, 11:06 pm
Bukan semua suka berpakaian seksi
22 Disember 2024, 10:00 pm