ORANGNYA bersahaja, santai dan sesekali suka melawak. Setiap patah perkataan yang dituturkan juga halus sebagaimana setiap baris puisi hasil karya ciptaanya.
Bagi peminat sastera, nama Raja Ahmad Aminullah bukanlah asing. Beliau merupakan penyair, penulis dan budayawan menghasilkan karya-karya berkualiti.
Antara puisi dihasilkan adalah Menyarung Jiwa dan diterbitkan secara dwi bahasa dengan judul Soulship.
Beliau turut menulis buku antaranya Nuansa Nusantara, Minda Tertawan dan Percakapan Dengan Raja Ahmad Aminullah: Kesetiaan Pada Idea. Terbaharu, Raja Ahmad menghasilkan sebuah lagi karya bertajuk Genta Telah Berbunyi: Masa Untuk Generasi Baharu.
Jika diteliti daripada tajuk, buku ini adalah curahan rasa penulis yang turut mewakili banyak pihak terutama generasi muda terhadap sistem pemerintahan sedia ada negara ini.
Sembilan perkataan ‘pedas’ di awal bab pertama juga sedikit sebanyak menjadi rumusan awal kepada keseluruhan buku baharu yang diketengahkan dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 ini. Perkataan seperti mual, muak, jemu, bosan, pecah amanah dan sebagainya digunakan penulis untuk menceritakan tentang sistem pemerintahan kerajaan dari dulu sehingga kini.
Bagaimanapun sembilan perkataan awal itu bukanlah menggambarkan keseluruhan 13 bab dalam buku sebagai sebuah naskhah berbentuk kritikan semata-mata.
Sebaliknya buku ini turut menceritakan polisi dan dasar kerajaan yang banyak membantu ke arah proses pembangunan sebelum ini, sekalig us dapat menjadi rujukan. Di samping itu, penulis dalam masa sama turut memberi hujah tersendiri berhubung isu memartabatkan bangsa yang sebelum ini seringkali diratib ahli politik.
Ketika saya berjumpa dengan Raja Ahmad baru-baru ini, beliau mempunyai sebab tersendiri mengapa karya tersebut dihasilkan.
“Inilah masanya untuk generasi baharu memimpin.Finland ada empat pemimpin muda yang ketika dilantik berusia awal 30-an. Tiada pun perang. Jadi mengapa kita tidak percaya kepada orang muda? Itu belum lagi melihat kepada beberapa negara lain.
“Tambahan pula, Perdana Menteri ketiga Tun Hussein Onn pernah melantik empat pemimpin muda yang pada ketika itu berusia lingkungan awal 30-an dan elok sahaja tanpa berlaku apa-apa kekacauan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Buku setebal 84 muka surat terbitan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) Gerak Budaya itu turut memuatkan sajak yang menyentuh mengenai peremajaan sistem sedia ada.
Raja Ahmad ketika ditanya mengenai Kesusasteraan Melayu dalam kalangan generasi muda pada masa kini berkata, lebih banyak karya dan penulis dilahirkan zaman sekarang. Selain itu, ramai mula menunjukkan minat terhadap bahan Kesusasteraan Melayu di samping kelahiran pembaca-pembaca tegar.
“Kesedaran terhadap Kesusasteraan Melayu semakin berkembang, namun bersegmen. Dalam kalangan orang muda, ada yang ghairah kepada penulisan atau kelahiran pembacanya.
“Apabila saya ke pesta buku di tempat lain, begitu penuh anak muda. Ini menandakan kesusasteraan itu tidak mati. Cuma generasi baharu mencari format yang lebih segar,” ujarnya.
Tambah Raja Ahmad, untuk mempromosikan Kesusasteraan Melayu di institusi pendidikan, kerajaan perlu menggabungkan karya lama dan kontemporari seperti Usman Awang dan seangkatan sebagai bahan rujukan. – Mingguan Malaysia
Kesusasteraan Melayu belum mati
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 12 Jun 2022, 4:21 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selangor ke separuh akhir Piala Cabaran
23 Disember 2024, 12:03 am
Piala Malaysia: Sri Pahang ke separuh akhir
22 Disember 2024, 11:06 pm
Bukan semua suka berpakaian seksi
22 Disember 2024, 10:00 pm