Zapin terkandung langkah, semangat pencak silat - Utusan Malaysia

Zapin terkandung langkah, semangat pencak silat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Zapin sejenis seni tari tradisional yang sinonim dengan masyarakat Johor. Menurut penggiat dan aktivis zapin, Mohd. Seth Hamzah, 61, dari sudut bahasa, zapin dalam bahasa Arab membawa erti langkah kaki.
Beliau yang juga Pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berkata, kemasukan zapin ke tanah Melayu kemudian menyaksikan proses silang budaya, apabila diserapkan elemen-elemen persilatan dalam zapin.
“Perkataan zapin berasal daripada al-zaffan iaitu gerak kaki. Mengikut sejarah, tarian ini asalnya tarian hiburan di istana. Ia dipercayai dibawa dari Hadramaut, Yaman Selatan oleh pedagang Arab pada sekitar kurun ke-13.
“Adalah dipercayai oleh sebilangan pengkaji, bahawa kehadirannya bertujuan digunakan sebagai amalan berzikir, untuk menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

LANGKAH SILAT
Terdapat gerak langkah silat dalam tarian zapin, khususnya beberapa pergerakan yang simbolik sebagai langkah dalam pencak silat termasuk pergerakan tapak empat.
“Selain kaya dengan falsafah kesantunan dan kekayaan budaya orang Melayu, zapin di Tanah Melayu juga lazimnya menggunakan pergerakan tapak empat. Pergerakan sebegini lazim digunakan dalam seni bela diri orang kita, iaitu pencak silat.
“Rentak hayunan langkah kaki penari zapin biasanya dikira mengikut turutan angka dua, tiga, empat, enam, tujuh dan lapan. Kalau perasan, tiada hayunan langkah satu dan lima, kerana ia merujuk kepada hanya satu Tuhan Yang Maha Esa, iaitu Allah SWt manakala tiada lima hayunan langkah pula, kerana angka itu simbolik kepada lima rukun Islam,” kata Mohd. Seth.
Hal ini, jelasnya menjadi bukti gagasan pemikiran orang Melayu yang sarat pengertian, falsafah dan simbol-simbol kerohanian.
“Di sini jelas mempamerkan ketinggian daya fikir orang kita dahulu kala, dalam pada berhibur masih menyulami keseronokan itu dengan ilham dan falsafah tertentu yang sarat unsur kerohanian,” terangnya.

STRUKTUR
Katanya, secara tradisi zapin ditarikan oleh golongan lelaki sahaja dan setelah ia mula berkembang luas, tarian ini ditarikan secara berpasangan.
“Struktur utama persembahan zapin, khususnya zapin Melayu ada tiga. Ini termasuk taksim, ragam serta kopak, dan wainab.
“Muzik lagu yang mengiringi tarian zapin terdiri daripada lagu Lancang Kuning, Naan Sidi, Ya Salam, Zapin Budi, Zapin Pekan, Ya Ladan dan banyak lagi,” katanya.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata secara kelaziman, penari akan mengenakan busana baju Melayu teluk belanga dikancing dengan butang emas ataupun suasa, selain juga diserikan dengan kain sampin, seluar dan songkok.
“Penari wanita juga berbaju kurung Teluk Belanga dan sampin dagang luar. Mereka juga lazimnya bersanggul atau bertudung, yang diserikan dengan aksesori rantai emas,” jelasnya.

PERKEMBANGAN
Mohd. Seth yang turut mendedikasi hidup untuk membuat kajian serta dokumentasi seri warisan Melayu ini, berkata bahawa selain Johor, zapin turut berkembang merentas negeri, dan berpasak kuat di Pahang, Sabah, Sarawak, Kelantan malah Terengganu.
“Namun, asal usulnya adalah di Johor, dan ini tidak menghairankan susulan peranan Sungai Muar yang dahulu kala berfungsi sebagai pintu perdagangan maritim utama bagi memudahkan pedagang Arab masuk berdagang di Tanah Melayu,” katanya.
Dari hal itu, katanya di Johor terdapat pelbagai jenis zapin berbeza.
“Di setiap kampung, ada tarian zapin dengan gerak langkah masing-masing. Oleh itu, sempena nama kampung-kampung itulah zapin diberi nama, misalnya Zapin Tenglu, Zapin Pekajang, Zapin Seri Bunian malah di Parit Mastar, ada tarian zapin yang dinamakan Zapin Parit Mastar,” katanya.

MEMUGAR
WARISAN BUDAYA
Ujar Mohd. Seth, antara usaha yang dirintis pihak Aswara bagi memugar dan melestarikan warisan budaya Melayu ini, termasuk mengendalikan pelbagai bengkel dan festival untuk memperkenalkan zapin ke segenap peringkat.
“Antara pencapaian paling unggul adalah satu festival peringkat ASEAN yang dirintis Aswara pada tahun lepas (2021). Ia dikenali sebagai Main Zapin Aswara 2021, dianjurkan secara maya.
“Festival itu disertai banyak negara di ASEAN, dan tujuannya untuk memperkasa silang budaya serantau dengan berpaksi kepada warisan Nusantara ini, iaitu zapin.
“Antara yang menyertai adalah wakil dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura serta Thailand. Ia menjadi platform menghimpunkan ahli akademik, penggiat dan aktivis serta para pelajar dari berbilang negara untuk menyelami budaya warisan ini,” katanya menamatkan bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya