Aku amat yakin dan pasti, dialah orangnya. Untuk kedua kalinya aku cuba mencuri pandang dari celah-celah cermin kaca butik, menyisip dengan ekor mata. Hatiku cuba kuyakinkan sekali lagi.
“Ye, betul. Betul. Memang dialah orangnya”. Telahan hati ku kejapkan, semakin jitu setelah berkali-kali meraguinya. Kali ini aku benar-benar pasti.
Hampir 15 tahun susuk tubuh itu hilang dari pandanganku. Kini muncul kembali bersama sebuah kenangan indah yang masih melekat di benakku. Waktu itu aku masih di sekolah rendah. Medan tempat aku mula bertatih dan mengenali erti dunia persekolahan.
Saiful namaku. Kawan-kawanku memanggil aku Epol. Susuk yang kulihat tadi ialah guru kesayanganku, Cikgu Masnizah. Seorang Guru Pemulihan. Tegas, bengis namun terselit kemuliaan dan kemurahan hati dalam mendidik kami anak-anak pelajar di Kelas Pemulihan di sekolah. Insan yang banyak mengajar aku mengenal erti huruf dan seterusnya membaca serta menulis.
Aku mengaku sesungguhnya, perangai dan tingkah lakuku amat nakal sewaktu itu. Malah kadangkala biadab dan tidak menyenangkan semua pihak, terutamanya Cikgu Mas. Itulah nama popular yang sering meniti di bibir warga sekolah kami.
Aku sememangnya seorang murid yang bebal dan nakal, malah sedikit lembam dalam pembelajaran. Antara sebab itulah aku diserahkan kepada Cikgu Mas. Selepas menjalani beberapa sesi ujian khas, aku ditempatkan bersama-sama murid yang slow learner atau lembam. Sikap malas dan tidak minat belajar merupakan musuh utama dalam diriku. Sering tidak ke sekolah dan suka ponteng kelas adalah tabiat lazimku.
Minat untuk belajar mula tercetus apabila pertama kali masuk ke kelas Cikgu Mas. Terus terang aku katakan bahawa aku amat tertarik dengan penampilan serta gaya percakapan Cikgu Mas.
Malah sesekali aku tersenyum sendirian seolah-olah seperti orang mabuk cinta pandang pertama. Gila, dan tak masuk akal bila memikirkan perkara sebegitu memandangkan aku baru berumur sembilan tahun ketika itu.
Dari sikap malas belajar, akhirnya bertukar gelisah jika tidak dapat masuk ke kelas Cikgu Mas. Wajahnya yang anggun, bergincu merah serta berbusana baju kurung dan kadangkala berkebaya moden. Semenjak hari itu, aku tidak lekang memerhatikan gerak-geri cikgu kesayanganku itu. Cikgu Mas memang lain daripada yang lain. Sedikit demi sedikit aku mula kagum serta meminati dirinya.
“Ingat murid-murid. Tidak ada gunanya jika kamu beli handphone mahal-mahal sedangkan nak membaca tak pandai, nak menulis pun tak reti. Sebab itu, cikgu mahu kamu semua belajar rajin-rajin.” pesan Cikgu Mas lembut pada suatu pagi.
Masing-masing mengangguk, termasuk aku yang sememangnya tidak tahu membaca dan menulis sebelum ini. Aku amat bersyukur kerana dikurniakan seorang guru yang bertanggungjawab dalam mendidik kami.
Kami dicabar membuktikan kemampuan untuk berdikari dan bersaing dengan pelajar-pelajar lain yang bukan dari kelas pemulihan. Lantaran kami sering diperlekehkan kerana disebabkan ada dalam kalangan kami buta huruf dan tidak tahu membaca langsung. Namun setelah dididik dengan kaedah dan teknik khas oleh Cikgu Mas, kami semakin berharapan muncul sebagai pelajar cemerlang suatu hari nanti.
Bermula dari tidak tahu membaca, akhirnya berjaya mendapat markah terbaik semasa peperiksaan. Meskipun sudah beberapa kali membuktikan bahawa tidak ada muridnya yang gagal semasa peperiksaan UPSR, namun ia tidak dipandang oleh pihak pentadbir sekolah.
Mereka lebih ghairah dengan keputusan pelajar yang sememangnya berada di dalam kelas di hadapan. Waima sebelum kehadiran Cikgu Mas ke sekolah itu, tidak seorang pun pelajar dari Kelas Pemulihan lulus. Namun itu tidak mematahkan semangat Cikgu Mas terus mencurahkan bakti dan ilmunya kepada pelajar seperti aku.
“Kenapa dengan kamu ni Saiful. Cikgu tengok sejak tadi lagi perhatikan Cikgu. Kamu ada masalah ke?” Tegur Cikgu Mas mengusik sambil melewati di hadapanku. Sebenarnya aku tidak sedar Cikgu Mas juga perasan tentang kelakuanku yang asyik memerhatikannya.
“Er..er.. tak ada cikgu. Tak ada apa-apa cikgu.” Aku tersengih sambil buat muka bodoh. Cikgu Mas hanya tersenyum lantas berlalu.
Selain senyuman di sebalik gincu merahnya, ada beberapa perkara unik pada diri Cikgu Mas. Cara berpakaiannya sering kutunggu setiap hari persekolahan. Pakaiannya bertemakan warna. Jika hari ini memakai baju berwarna merah, maka kasut dan beg tangannya juga akan merah. Begitulah sebaliknya.
Pendek kata, setiap hari itulah rutin utamaku bila datang ke sekolah. Sengaja aku datang awal untuk curi-curi intai dari hujung bangunan sekolah ke arah pintu pagar utama, menunggu ketibaan cikgu kesayanganku itu.
“Hari ini cikgu nak adakan kuiz. Sesiapa yang berjaya jawab, cikgu hadiahkan gula-gula ini. Mahu tak.” Belum pun habis suara Cikgu Mas, semua murid menjawab.
Suara aku yang paling kuat sekali. Aku lihat ada sebungkus gula-gula pelbagai jenis di atas meja cikgu. Akulah murid yang paling bersemangat hendak menjawab. Meski pun Cikgu Mas bengis dan tegas namun ada kelembutan di sebalik itu semua. Dia amat penyayang dan mengambil berat terhadap kami semua.
Sesekali Cikgu Mas belanja kami di kantin bagi menghilangkan rasa bosan belajar. Perasaan teruja dan bangga membuatkan kami kian hari kian rapat dan mesra dengan Cikgu Mas. Biar pun telapak tangan kami merah dipukul dengan pembaris, menulis perkataan 100 kali, berdiri atas bangkupun kami sanggup asalkan dapat masuk kelas Cikgu Mas.
Namun, langit tidak sentiasa cerah dan indah. Hari itu kesabaran Cikgu Mas benar-benar tercabar dan tercalar. Amran, anak seorang pegawai bank ditegur dan dimarah oleh Cikgu Mas kerana datang lewat serta tidak membuat kerja sekolahnya. Dia dihukum berdiri di luar bilik darjah serta menulis 100 ayat. Amran memberontak, memaki hamun serta melemparkan kata-kata kesat kepada Cikgu Mas. Dia mengugut keras terhadap Cikgu Mas.
“Sekarang kamu boleh keluar dari kelas cikgu. Cikgu tak suka ada pelajar seperti kamu di dalam kelas ini. Sekarang keluar. Cikgu tak mahu mengajar kamu lagi.” Tegas Cikgu Mas menahan geram yang semakin sebak di dada.
Amran memalingkan mukanya penuh biadab lalu berjalan pergi meninggalkan Cikgu Mas sambil mengugut sesuatu. Aku dan pelajar lain hanya melihat sahaja apa yang berlaku. Kalau ikutkan hati, ingin kutumbuk dan ganyang saja si Amran itu. Namun aku masih ingat pesan Cikgu Mas, pelajar tidak boleh bergaduh di dan perlu menjaga disiplin.
Keesokan harinya, Amran datang bersama-sama neneknya ke sekolah. Dari arah pintu pagar utama sekolah lagi sudah kedengaran bebelan dan suara marah-marah sambil menyebut nama Cikgu Mas. Kecoh seketika dibuatnya. Mereka dibawa ke pejabat Guru Besar oleh Cikgu Osman, Penolong Kanan Pentadbiran.
Belum pun sempat melabuhkan punggungnya ke kerusi, satu ketukan kedengaran di muka pintu bilik Kelas Pemulihan itu.
“Cikgu, Guru Besar nak jumpa cikgu sekarang juga. Cikgu diminta datang segera.” Beritahu Rashid, budak pejabat masih termengah-mengah kerana berlari.
“Baik. Nanti saya datang.” Angguk Cikgu Mas, membetulkan kain tudungnya. Langkahnya diatur sambil di benaknya mencongak apa yang bakal berlaku nanti. Hatinya yakin, yang benar tetap akan benar. Mulutnya terhias selawat dan istighfar. Pintu bilik Guru Besar diketuk sopan.
“Masuk. Ini Puan Aminah, nenek kepada pelajar ini.” Amran yang berada di sebelah neneknya hanya diam. Memang sudah diagak oleh Cikgu Mas. Ia gara-gara pertengkarannya dengan Amran semalam.
“Saya mendapat aduan yang cikgu telah bertindak keterlaluan kepada Amran. Ini perkara serius. Lengannya bengkak dipukul oleh cikgu. Ini satu kesalahan besar.” Beritahu Guru Besar sambil menuding jari ke arah lengan Amran yang kelihatan membengkak dan sedikit calar.
“Subhanallah. Bukan saya yang buat Puan. Saya cuma minta dia keluar dari kelas saya kerana mencaci dan mengugut saya. Salahkah tindakan saya dengan sikap biadab begitu?” Cikgu Mas meninggikan sedikit suaranya sekali gus menjeling ke arah Amran.
“Amran beritahu saya, cikgu yang pukul dia sehingga bengkak dan lebam. Saya akan report perkara ini kepada pihak polis.” Tegas Puan Aminah cuba menyebelahi cucunya.
“Cuba ceritakan apa yang berlaku sebenarnya cikgu. Saya tidak mahu ia menjadi kes polis nanti.” Tegas Guru Besar sambil merenung ke arah mereka bertiga.
Dalam suasana kecelaruan, satu ketukan dari arah luar bilik Guru Besar tiba-tiba membelah suasana. Daun pintu terus diselak, terbuka. Seorang pelajar, Ketua Murid sedia berdiri di muka pintu.
“Maaf Puan. Saya datang nak beritahu bahawa Cikgu Mas tidak bersalah. Sebenarnya Amran berlanggar dan terjatuh dalam parit sewaktu berlumba basikal dengan Aliff dan Badrul petang semalam. Tangannya terhantuk ke birai longkang, Puan.” Cerita Riduan dengan nafas masih termengah-mengah kerana berlari setelah mendapat berita tentang Cikgu Mas.
Dia dan pelajar lain juga sayang dan menghormati Cikgu Mas meskipun tidak berada di dalam Kelas Pemulihan Khas. Maruah Cikgu Mas perlu diselamatkan.
Wajah Puan Aminah tiba-tiba berubah dan bebelannya terhenti tiba-tiba. Amran tunduk tanpa kata-kata. Cikgu Mas menarik nafas lega. Dia bersyukur kerana segalanya telah terbongkar.
“Maafkan saya cikgu kerana percayakan Amran. Saya harap cikgu sudi menerima semula cucu saya ni. Tolonglah cikgu.” Rayu Puan Aminah penuh sesal dengan tindakan dia dan cucunya itu.
“Maaf puan. Biarlah itu menjadi satu pengajaran kepadanya. Carilah guru yang lebih layak. Saya sudah berjanji pada diri saya untuk tidak mengajarnya lagi. Maafkan saya.” Balas Cikgu Mas sambil mengesat air-air jernih yang menggenangi kelopak matanya.
Kesabaran ada batasnya. Sekali terguris, parutnya akan kekal buat selama-lamanya. Namun dia terpaksa akur menerima sikap dan kerenah murid yang sedemikian.
Deruan kenderaan masih membingitkan suasana. Bahang matahari sudah mula menggigit kulit mukaku.
“Maaf puan, saya tumpang tanya. Kalau tak silap, ini Cikgu Masnizah kan, guru yang mengajar Kelas Pemulihan.” Sapa aku memberanikan diri.
“Ya, ada apa.” Wajahku diamatinya dalam-dalam. Aku terpaku, tercegat, tegak di depannya.
Iras wajah Cikgu Mas masih tetap anggun seperti 15 tahun dahulu. Susuk tubuhnya sahaja yang kelihatan sedikit gempal. Namun busananya masih seperti dahulu. Bergincu merah serta sepasang baju kurung moden, bertudung dan berkasut berwarna merah. Tahi lalat pemanis wajah masih kekal di bibir kirinya dengan sepasang lesung pipit di kiri kanan pipinya.
“Saya, Saiful, dan ini Amran cikgu. Cikgu tak kenal saya. Tentu cikgu masih ingat lagi kan.” Perkenal ku sambil menolak tubuh Amran ke depan. Cahaya kegembiraan di wajah Cikgu Mas tiba-tiba sedikit pudar bila aku menyebut nama Amran. Aku faham perasaan Cikgu Mas. Masih terguriskah hati Cikgu Mas dengan peristiwa dahulu.
“Saya minta maaf kerana sakitkan hati cikgu dulu. Saya berjanji akan ikut segala nasihat cikgu. Saya bersyukur dan menyesal dengan apa yang berlaku.” Amran mencelah dalam suara sayu. Cikgu Mas hanya diam menahan sebak bercampur terharu.
“Alhamdulillah. Berkat nasihat dan didikan cikgu, saya berjaya ke universiti dan kini bekerja di salah sebuah bank di ibu kota ini. Kebetulan pula Amran bekerja sebagai pemandu di pejabat saya. Kami bertemu dan berkawan semula.” Beritahuku penuh bangga kerana akhirnya berjumpa semula dengan insan yang amat aku hormati dan kagumi sehingga berjaya seperti hari ini.
“Syukurlah. Cikgu bangga dengan kamu berdua. Cikgu maafkan kamu Amran. Cikgu rasa bertuah kerana dapat berjumpa dengan kamu semula. Hormatilah insan yang bergelar guru. Merekalah pencorak kanvas hidup kita di masa hadapan. Indahnya lukisan itu, indahlah hidup kamu. Abadikanlah ia sebagai sebuah potret kehidupan yang dapat memberi manfaat kepada semua makhluk di dunia.”
“Terima kasih cikgu.”
“Jom cikgu belanja kamu minum di café sana.” Pelawa Cikgu Mas diikuti dengan suara ketawa kami bertiga. – Mingguan Malaysia
Merah gincu Cikgu Mas
- Oleh EZANI DAUD
- 15 Mei 2022, 4:31 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selamat hari lahir Kartini
14 Januari 2024, 5:37 pm
Buku yang hilang
31 Disember 2023, 6:05 pm
Pemain silap mata lupa silap matanya
17 Disember 2023, 4:34 pm