Ketupat tiga bucu - Utusan Malaysia

Ketupat tiga bucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

(i)
KERANA pesanan dan kemahuan Moksu Ani, seminggu sebelum 1 Ramadan lagi Poksu Koder sudah mula mengedat pucuk daun palas untuk dijadikan kulit ketupat tiga bucu.
Ketupat tiga bucu adalah hidangan tradisi dan utama pada hari raya bagi masyarakat Kelantan yang zaman silam dikenali dengan Medang Bumi, yang juga dikenali dengan Medang Gana, Kunjarakunja, Kalathana, Kilatan, K’ou-lo-tan atau K’ou-lo-’ich, Raktamrittika, Serendah Sekebun Bunga Cerang Tergayong dan Kisaran Payong.
“Berapa gantang beras pulut Maksunya hendak buat?”
Tidak ada sahutan didengar dari isterinya oleh Poksu Koder sebagai respons terhadap pertanyaannya.
Memang dalam usia yang sudah semakin lanjut dan semuanya sudah kecut, keupayaan pancaindera pendengaran isterinya semakin lemah, sama juga sepertinya.
“Cokek mokbolog keladi bawah batang, nak sama nak, kita menikah lepas mengetam.” Latah Moksu Ani bila Poksu Koder rembas berkasan daun palas ada sebesar paha, tidak jauh dari tempat dia sedang paut sila sambil tekun membuka pucuk daun palas dan dibentuk menjadi ketupat tanpa isi, ketupat kosong.
Yang sudah siap ada dalam dua bakul. Sebelum diisi dengan pulut yang diarun santan kelapa, pucuk daun palas akan dibuka dan dibentuk menjadi ketupat tanpa isi lebih awal untuk memudahkan kerja membuat ketupat. Ia akan dibuat paling lambat pun seminggu sebelum hari ketupat, iaitu sehari sebelum raya sama ada Aidilfitri mahupun Aidiladha.
“Berapa gantang pulut Maksunya hendak buat ini?” ulang tanya Poksu Koder bila pertanyaannya tadi tidak mendapat respons Moksu Ani.
“Rasanya enam gantang cukuplah.” Dia mula mengira jumlah cucunya yang dihasilkan oleh enam anaknya. Mungkin kerana dari jenis baka biak, setiap anaknya masing-masing sudah pun miliki antara tiga hingga enam anak.
Bilangan cucunya hanya kurang satu saja lagi nak cukup 30. Kalau setiap seorang makan lima biji ketupat, maknanya dia kena buat tidak kurang daripada 140 biji ketupat.
Anaknya enam dan menantunya pula enam.
Anak campur menantu sudah jadi 12. Kalau masing-masing makan lima biji, maknanya dia kena sediakan 60 biji ketupat. Nak dijamu pada jiran sekampung yang membuat kunjungan hari raya lagi.
Sepuluh hingga 30 biji tidak boleh lupa untuk disuap pada kerbau jantan yang lakinya guna untuk bajak sawah.
Menyuap ketupat pada lembu atau kerbau yang digunakan untuk kerja-kerja membajak pada pagi raya adalah antara tradisi warisan zaman berzaman. Lembu kerbau pun kena rasa nikmat yang tuannya rasa setelah tenaga kelembuan dan kekerbauannya digunakan bagi membajak sawah.
“Kalau setakat enam gantang beras pulut, ambo rasa dah cukuplah pucuk daun-daun palas yang dah ambo bawa balik ini, Moksunya.”
“Ha ah. Ambo pun rasa dah lebih dari cukup, Poksunya”
“Bukan mudah nak dapatkan pucuk daun palas sekarang ini. Semak samun makin berkurangan, sudah bertukar dengan rumah teres, semi-D, banglo. Dalam kebun-kebun getah, pokok palas ditebang buang sakat harga getah tinggi ini. Mentang-mentang banyak pitih, pokok palas pun diupah tebang buang habis. Manusia sekarang ni sudah lupa, faedah kepada manusia setiap yang tumbuh di muka bumi ini. Kalau dah tak ada pucuk daun palas, macam mana nak buat ketupat tiga bucu lagi, Paksunya?”
“Entahlah.”
“Tidak mustahil suatu ketika nanti anak cucu tak akan kenal ketupat tiga bucu lagi.”
“Sekarang ini kuih-muih moden berlambak. Tak ada ketupat pun tak apa, Moksunya.”
“Tapi raya tak ada serinya tanpa ketupat. Maknanya nanti tidak ada lagilah hari ketupat.”
“Gamaknyalah.”
“Eh, tahun ini hari ketupatnya bila?”
“Katanya, raya hari Isnin, maknanya hari ketupat hari Ahadlah”
“Ahad sehari dua ini?”
“Ha ah.”
“Dah dekat benar itu. Poksunya dah sediakan kayu api untuk rebus ketupat?”
“Dah. Moksunya tak tengok ke ambo dah tambun bawah baloh sana. Nak rebus 10 ekor gajah pun sempat masak dengan kayu-kayu api tu. Semuanya kayu getah.”
“Manisan kerek dah beli?”
“Kan Moksunya sendiri yang beli.”
“Ha ah. Poksunya dah ada simpan madu lebah kan. Si Budin anak sulung kita dan Shimah isterinya suka makan ketupat cecah madu lebah. Fe’ah dan Karimah pun suka makan ketupat cecah madu lebah.”
“Ambo dah simpan.”
“Gula pun dah ada ambo beli. Ambo nak buat ketupat manis bubuh butir kacang getek. Budak-budak tak boleh makan ketupat cicah manisan kerek yang dicairkan atau pun madu lebah, nanti bertitik atas baju raya.”
“Suka hati Moksunyalah.”

(ii)
Tiga bakul semuanya ketupat siap dibuat. Moksu Ani ligat membungkus. Poksu Koder merebus. Semalaman pasangan suami isteri warga emas itu tidak tidur gara-gara ketupat. Selepas balik dari surau bersolat sunat tasbih malam raya, Poksu Koder mula menghidupkan api bagi merebus ketupat yang dibungkus Moksu Ani sejak selepas Subuh.
Sejurus sebelum azan Subuh berkumandang, kesemua ketupat selepas direbus.
“Ambo nak ke surau. Tolong jirus air api tungge tu.”
“Ya lah. Lepas sembahyang cepat balik. Jangan lere pula.”
“Tahu lah saya.”
Dari surau berdekatan berkumandang takbir raya.
Moksu Ani mengira bakul-bakul penuh dengan ketupat. Dia tersenyum sendiri bila terbayangkan cucu-cucunya memakan ketupat dengan lahap. Anak-anak dan menantu-menantunya pun.
Dalam doa selepas solat Subuhnya, dia mohon kesejahteraan untuk anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucunya. Semuga mereka sentiasa sihat, panjang umur dan murah rezeki.
“Imam kata pukul 8 pagi nak solat sunat raya. Awak belum bersiap. Tak nak solat raya ke?” sergahan Poksu Koder membuatkan Moksu Ani yang sedang berteleku dekat bakul ketupatnya melatah seperti biasa: coket mokbolog keladi bawah batang, nak sama nak, kita menikah lepas mengetam.
Cucu sulungnya pernah ubah latahnya dari nak sama nak, kita menikah lepas mengetam dengan mokwo panggil mok, boktan tangan disepit ketam.
Cucunya memang nakal, suka mengusik dan mengejutkannya supaya melatah. Itu lima tahun dulu, sekarang entah macam mana rupanya. Mungkin sudah bermisai dan berjanggut pun.
“Mana mereka, Poksunya?”
“Sapo?”
“Anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu kita.”
Poksu Koder geleng kepala.
“Ni dah pagi raya.”
“Tau.”
“Patut hari buat ketupat lagi mereka dah sampai.”
“Sampai kalau mereka balik.”
“Jadi mereka tak baliklah?”
“Susah nak jawab Moksunya. Sudah lima kali raya puasa dan raya haji mereka tak balik”
“Raya kali ni pun Poksunya rasa mereka tak balik?”
“Anak-anak, menantu-menantu kita itu sibuk. Mereka kerja. Orang besar pula.”
“Tak kanlah raya pun kerja”
“Moksunya ingat dulu.”
“Lima tahun dulu.”
“Ha ah. Balik ke rumah ni cuma sekejap. Masing-masing pilih tidur hotel di pekan sana. Kononnya tak boleh tidur di rumah ni. Panas. Tak selesa. Nyamuk pula banyak. Takut nanti kena malaria, kena denggi dan macam-macam lagilah.”
“Anak-anak kita bukannya tak biasa berkubang dalam kubang kerbau pun.”
“Itu masa kecil dulu. Sekarang ni mereka dah jadi orang besar. Menantu-menantu kita tak usah cakaplah, mereka orang bandar. Tengok dapur kita pakai kayu api pun makanan yang awak sediakan tak mahu dijamah. Awak ingat mereka menahan muntah kerana tidak tahan bau budu dan petai di dapur kita?”
“Jadinya?”
“Ambo yakin mereka tak akan balik, Moksunya.”
“Ketupat-ketupat siapa nak makan?” Poksu Koder geleng kepala.

(iii)
Di surau ketika bersalaman dengan jiran tetangga selepas selesai solat dan khutbah sunat Aidilfitri, Moksu Ani menangis dalam hati bila ditanya anak, menantu dan cucunya ada balik raya ke tidak.
Rakan-rakan sebaya anak-anaknya yang jauh merantau ada balik dan bersalaman dengannya, bertanya khabar tentang anak-anak yang dia sendiri sudah lima tahun saling tidak bertemu mata. Macam mana anak-anak orang lain boleh balik tetapi anak-anaknya tidak boleh balik.
“Mungkin mereka lambat sampai Moksu. Jalan jem parak. Ambo pun baru sampai sejam lepas. Bertolak dari KL awal pagi. Patutnya lima ke enam jam sampailah. Tapi lebih dari 24 jam baru sampai.”
Rifin Che Mat, kira-kira anak dua pupunya cuba menenangkannya bila ada air jernih meniti di pipi berkedutnya ketika anak dua pupunya itu bertanya sama ada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucunya ada balik ke tidak.
Emak dan ayah Rifin dah meninggal dunia tapi Rifin anak beranak balik ke kampung menziarahi kubur arwah emak dan ayahnya. Seingatnya Rifin balik kampung setiap kali raya.
Kebetulan isterii Ridin orang sekampung. Emak dan ayahnya juga dah lama meninggal dunia.
“Moksu banyak ke buat ketupat?”
“Adalah juga.”
“Kami anak beranak nak ke rumah Moksu lepas ziarah kubur emak dan ayah. Nak makan ketupat. Ketupat Moksu sedap.”
“Jangan kata saja. Kena datang sungguh ke rumah Moksu.”
“Setiap kali raya pernah ke kami anak beranak tak berkunjung ke rumah Moksu?”
Sebagaiman dijanjikan, Rifin anak beranak memang datang ke rumahnya. Seronok Moksu Ani melihat kelahapan anak-anak Rifin, isteri dan Rifin makan ketupat dihidangkan.
Dengan janji akan datang lagi pada raya akan datang untuk nikmati keenakan ketupatnya dan Rifin laki bini minta maaf kerana anak-anaknya habiskan ketupat dalam jumlah yang banyak, bini Rifin hulurkan duit raya untuknya manakala Rifin pula hulurkan duit raya untuk Poksu Koder. Masing-masing dapat seratus ringgit.
Sekali lagi air mata Moksu Ani gagal dibendung. Seingatnya, ketika anak-anak dan menantu-menantunya pulang berhari raya, mereka tidak pernah pun hulurkan duit raya. Pun begitu Moksu Ani tidak pernah rasa terkilan.
Dia bukan mengharapkan mereka pulang dengan membawa duit raya untuknya dan untuk Poksu Koder tetapi yang diharapkan adalah anak-anak dan menantu-menantunya membawa pulang kemeriahan hari raya. Baginya cucu-cucunya adalah kemeriahan dan keseronokan.

(iv)
Syawal sudah pun hampir tiba ke penghujungnya.
Anak-anak, menantu-menantu dan cucu yang dinantikan kepulangannya tetap tidak muncul.
Kalau pun jalan jem parak seperti kata Ridin Che Mat anak dua pupunya, tak akanlah dari satu Syawal hingga penghujung Syawal anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucunya masih terperangkap dalam perjalanan.
Berbakul-bakul ketupat yang disediakan sudah mula keras.
“Sudahlah Moksunya. Moksunya menangis sampai air mata darah pun tak ada apa gunanya. Dalam menanti dan mengharapkan kepulangan mereka, Moksunya ibarat menunggu buah yang tidak mungkin akan gugur.”
“Anak-anak kita…”
“Masa kecil memang anak-anak kita itu adalah anak-anak kita. Bila dah besar mereka adalah bini dan laki orang.”
“Apakah kita…apakah ambo sebagai ibu salah didik anak-anak?
“Kita dah berikan mereka pendidikan. Bukan sedikit tanah yang terpaksa kita jual untuk belanja persekolahan anak-anak kita itu. Mereka semua kini jadi orang besar. Anak-anak kita bukan bodoh, bukannya tidak berpelajaran.”
“Tapi sikap mereka…”
“Sudahlah, Moksunya. Kita hiduplah cara kita”
“Jangan-jangan dalam doa pun, mereka lupa doakan agar Allah ampun dosa kita sebagai ibu bapa. Bukankah kata orang doa anak-anak untuk ibu bapa akan mustajab sebagaimana mustajabnya doa ibu bapa untuk anak-anak.”
“Entahlah.”
“Macam mana dengan ketupat berbakul-bakul itu.”
“Macam tahun-tahun lepaslah. Nampaknya terpaksalah diberikan kepada kerbau jantan ambo itu makan.”
“Ketupat untuk juadah raya anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu akhirnya jadi juadah kerbau?”
Moksu Ani berhenti menangis. Dia turut memunggah bakul ketupat untuk dibawa ke tempat kerbau.
Melihat kerbau jantan suaminya makan ketupat dengan lahap, air matanya kembali meniti di pipi. Hatinya terhiris dan pedih.
Rupanya air tangan seorang ibu lebih dihargai oleh seekor kerbau yang berotak tetapi tidak berakal berbanding anak-anaknya yang rata-rata kini jadi orang besar, seorang daripadanya bergelar Dato dan seorang lagi bergelar Tan Sri! – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya