Di rumah pelacuran - Utusan Malaysia

Di rumah pelacuran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Begitulah cerita Pak Malim yang melanggan para pelacur di kota ubudiyah itu, telah tersebar dengan cepatnya. Ia merebak secara senyap bagaikan api dalam sekam. Orang yang pertama sekali melihatnya ialah Murad. Sewaktu dia merayap-rayap ke rumah pelacuran itu ternampak sosok lelaki separuh umur yang terkenal dengan alim dan waraknya itu. Dia sungguh-sungguh tidak percaya. Mungkin pelanduk dua serupa. Tetapi bila didekati dan diamati secara cermat, tidak syak lagi dia adalah ulama Pak Malim.
“Ini cerita karut, tak masuk akal. Fitnah al-kubra namanya,” marah si Jamil.
“Betul, mata kepalaku sendiri tengok dia melanggan seorang pelacur. Kemudian pelacur itu ikut dia.” “Hah, ke mana pula?”
“Bawa ke tempat lain atau ke rumahnya.”
Malam seterusnya Jamil mengikuti Murad ke rumah pelacuran itu. Terhendap-hendap dalam gelap bagaikan sang musang masuk perigi, kerana rumah pelacuran itu agak tersembunyi. Tidak dapat dipastikan bilakah ia beroperasi di kota ubudiyah yang terkenal sebagai anjung Madinah itu.
Hanya orang tertentu sahaja tahu, ada sebuah rumah pelacuran di kota kosmopomolitan itu. Jika dipandang dari jauh rumah itu seperti biasa sahaja. Bangunannya pun sudah tua. Hanya ada sebuah denai untuk sampai ke rumah itu. Tentu sahaja ia tersembunyi daripada pengetahuan pihak berkuasa kota. Namun, ramai juga pelanggannya.
Sejurus kemudian ternampak lelaki separuh umur, memasuki rumah pelacuran itu. Agak lama juga kedua-duanya bersembunyi di rimbunan pokok di situ. Memang benar, hampir satu jam kemudian, ulama Pak Malim keluar bersama seorang pelacur.
Cerita Pak Malim melanggan pelacur hampir satu jam di rumah persembunyian, dan kemudianya membawa pelacur itu ke luar, menjadi pusat percakapan dan wacana golongan cendekiawan di kota ubudiyah itu. Tetapi tidak ada sesiapa yang mahu memecahkan secara terbuka. Justeru untuk menjaga maruahnya sebagai seorang tokoh kota yang sangat dihormati. Tiada siapa yang tidak kenal Pak Malim, satu sosok hebat, disukai oleh masyarakat, juga digeruni. Pak Malim seorang tokoh ilmuwan terkenal, bukan sahaja di kota itu, juga seluruh negeri.
Pak Malim migrasi dari kota dilanda gempa bumi. Ketika sampai di kota itu, penduduknya memberi pertolongan kepadanya.
Tidak lama kemudian kedengaran, pendatang itu membuka kedai barang harian. Layanan yang istimewa, penuh senyuman seperti yang diminta oleh Rasul Junjungan kepada ahli peniaga, di samping barangan baik dan cukup timbang caranya, mendekati keilmuan Abdul Rahman Auf, kedainya menjadi tumpuan. Barulah penduduk kota itu tahu, dia memang ahli perniagaan di negara asalnya. Dan paling mempesonakan, dia adalah persona ulama dan cukup dengan waraknya.
Bapanya ulama terkenal. Kealiman bapanya itu diturunkan kepada anaknya. Pak Malim mempelajari al-Quran sejak berusia 10 tahun. Memasuki maahad tahfiz, dan menghafaz al-Quran ketika berumur 12 tahun. Kemudian mendalami ilmu bahasa Arab dan sastera Islam, sebagai persiapan memperdalami ilmu al-Quran dan al-Hadis untuk menguasai ilmu tafsir dan ilmu tadabbur.
Ketika berusia 20 tahun, Pak Malim sudah menghafaz kitab Al-Muatta karangan Imam Malik, dan mahir dengan keilmuan Imam al-Ghazali, terutamanya Ihya Ulumuddin.Remajanya dibentuk oleh nilai keagamaan, dan menjelang dewasanya menemukan watak yang penuh tertawan dengan sinar Islami. Ada kesempatan bermusafir ke Mekah dan Madinah memperdalami ilmu al-Quran, hadis, tasyrik dan tasawuf.
Diketahui umum, keilmuannya juga sangat mendalam pada ilmu falsafah, usul al-fiqah, ilmu kalam dan tariqat. Terserlah pada wajah bersihnya kemurnian jiwanya. Tersisih daripada sifat tercela daripada melakukan perbuatan keji dan melaksanakan perjalanan suluk dan tariqat makrifatnya bagi mendapat keredaan Allah jua. Akhlaknya membayangi sifat Rasul Junjungan. Sepanjang hayatya dinaratifkan pada kecintaannya terhadap kerja-kerja amal salihat, berkebajikan kepada masyarakatnya. Kesemuanya membentuknya sebagai sebuah peribadi besar. Berapa ramai para sahabat nabi keluar Madinah untuk berdai’ sambil berniaga bagi mengisi keperluan harian. Begitu juga Pak Malim, mengekalkan sirah para sahabat itu dengan berdai’ dan memiliki gedung-gedung perniagaan di kota itu. Pak Malim membuka beberapa sekolah agama dan maahad tahfiz. Sebuah masjid tersergam agam adalah tanda kejayaan perniagaannya. Juga tanda martabat sifat kedai’annya. Di masjid itu dia menyebarkan ilmunya.
Dalam kalangan intelektual di kota itu pula menggelarnya sebagai the Greatest Muslim. Kesemuanya melambangkan penghormatan yang tersangat tinggi terhadap sosok ulama tersohor itu. Demi menghargai sumbangannya kepada masyarakat setempat, kota ubudiyah itu dikenali sebagai Kota Pak Malim.
Datuk Bandar kota itu sendiri sangat mengangumi Pak Malim, justeru jasanya yang sangat besar, menukar kegelapan langit wajah kota menjadi bercahaya dengan keimanan dan kezuhudan. Datuk Bandar sendiri seorang yang menyintai masjid, dan menggalakkan warga kotanya bersahabat dengan rumah Allah itu. Di situlah zaman berzaman tempatnya tamadun Islam dicipta.
Begitulah sebuah bintang, namanya al-Zihra, yang berkerdipan di antara jutaan bintang di langit, menjadi tumpuan para musafir di waktu malam, berkilauan mengisyaratkan perjalanan di gurun-gurun sahara. Kehidupan kota Pak Malim itu bercahaya di bawah lindungan sinar-Nya. Tetapi kini, al-Zihra telah gugur menjadi meteor dan bumi kehangusan. Para jemaah Jumaat keluar seorang demi seorang hingga dewan musalla kosong, andainya Pak Malim itu menjadi khatibnya. Mereka tidak mahu lagi mendengar ajarannya. Dan tidak mahu lagi menjadi makmumnya.
Kota suci bagai anjung Makkah al-Mukarramah dan berkilauan bagai Madinah al-Munawarrah itu, kehilangan aura dan aromanya, telah layu fauna dan floranya dan telah luntur kesyahduan dan kesufiannya. Pemegang kunci kekudusan kotanya, wajahnya bertukar menjadi hitam legam. Juga busuk dan hanyir menjijikkan di mata warga kota. Siapakah yang dapat menyangka, kota ubudiyah itu tanpa disedari dimasuki oleh ibu maksiat. Kota yang dipuja-puja dengan gelaran anjung Makkah itu, tiba-tiba disusupi oleh pelacuran dan masuknya air-air memabukkan.
“Kota Pak Malim ini mengharamkan semua bentuk maksiat itu,”
“Dia telah menukar tuhannya.”
“Sekarang hidupnya dirasukni syaitan. Tragedi bagi manusia beragama. Zindik.”
Sinar kepercayaan telah luntur sedikit demi sedikit. Tiada lagi karamah dan barakah daripada lelaki yang pernah menjadi insan misali dan sosok idola kota itu.
“Kita tangkap saja Pak Malim itu, serahkan kepada Datuk Bandar,” Jamil mencadangkan. Kerana sudah merasakan, setiap penduduk kota kosmopolitan itu, dipaliti najis dosa lelaki separuh umur itu.
Murad dan Jamil menemui Datuk Bandar. Alangkah terkejutnya Datuk Bandar, sambil menyatakan “mungkin pelanduk dua serupa!” sangkaan semua orang.
“Ini musang berbulu ayam, Datuk,” Murad menegaskan.
Pada malam itu Datuk Bandar, dengan beberapa pengawal, mengikuti Murad dan Jamil. Memastikan kebenarannya. Datuk Bandar sangat rapat dengan Pak Malim, dan berita yang disampaikan itu sangat memeranjatkannya. Tidak boleh dibayangkan oleh akal yang siuman, perkara itu boleh terjadi. Lelaki itu sememangnya manusia paling warak dan alim di kota itu.
Dengan terhendap-hendap Datuk Bandar, menyamar sebagai manusia biasa, memijak jejak Murad dan Jamil, menuju ke rumah pelacuran itu. Rasa kesal dan marah juga Datuk Bandar terhadap sindiket pelacuran itu. Selama ini dia tidak mengetahuinya. Tersangat memilukan, kerana selama ini kota itu putih bersih daripada segala maksiat.
Tidak lama mereka menunggu. Sejurus kemudian, kelihatan sebuah lembaga, yang menyerupai betul-betul dengan Pak Malim. Lelaki itu sedang berjalan menuju kenderaannya dengan diikuti seorang wanita. Tentunya wanita itu pelacur. Datuk Bandar cuba memastikan, apakah lelaki itu benar-benar Pak Malim yang warak itu? Datuk Bandar mengarahkan kenderaannya mengikuti perjalanan Pak Malim itu.
Tiba-tiba sebelum sempat kereta bergerak, kelihatan dalam samar-samar, sekumpulan lelaki mendekati kereta Pak Malim. Pak Malim dikeluarkan daripada keretanya. Antara kedengaran salah seorang lelaki itu berkata, “Kami tidak sangka, manusia paling kami hormati, paling kami harapkan dan paling kami muliakan sanggup mencemarkan agama. Berzina dengan pelacur ini.”
Dalam samar-samar itu, lelaki itu macam hendak menerangkan sesuatu. Tetapi ternyata perasaan marah, kecewa dan putus harap mengatasi segala-galanya. Kumpulan lelaki itu dengan pantasnya memukul, menendang dan membelasah Pak Malim. Semuanya menikamnya bertubi-tubi. Darah membuak-buak. Suasana menjadi kelam-kabut, pelacur itu menjerit meminta tolong.
Datuk Bandar segera memerintahkan pengawalnya membantu Pak Malim yang sudah tertiarap ke bumi. Sebaik sahaja pengawal itu tiba, kumpulan lelaki itu dengan cepat melarikan diri. Pengawal segera menelentangkan Pak Malim. Darah membuak-buak keluar daripada mulut, dadanya dan seluruh jasadnya. Pengawal itu cuba menggerak-gerakkannya, tetapi jasad Pak Malim terasa kaku. “Rasanya dia sudah mati,” katanya
Datuk Bandar mendekatinya. Dan menyentuh tubuh yang sudah kaku itu. Benarlah dan tidak syak lagi, lelaki itu Pak Malim. Orang ramai mula datang dan ingin tahu apa terjadi. Salah seorang itu berkata, “Dia adalah zindik, munafik, dia sanggup berzina dan minum minuman keras.” Suara orang ramai mendengus bagaikan kerbau kelaparan. “Angkat mayat itu, masukkan ke dalam kereta, tolong semua,” minta Datuk Bandar. Tetapi orang ramai segera berundur.
“Penzina hukumannya mati, direjam sampai mati.” Kedengaran suara orang ramai. Dan tiada siapa mahu menolong untuk mengangkat jenazah itu.
“Biar apa pun dia tetap umat Nabi Muhamaad SAW. Bawa mayat ini ke rumahnya. Di mana rumahnya?”
“Saya tahu, Datuk. Terletak di hujung kota.” Kata Jamil.
Ketika kereta hendak bergerak, tiba-tiba pelacur yang mengikuti Pak Malim itu, bersungguh-sungguh meminta supaya dia dapat turut sama ke rumahnya. Pintu dibuka dan pelacur itu masuk. Agak jauh juga perjalanannya.
Suasana malam itu terasa sungguh syahdu. Di langit tiada bulan dan bintang. Memutih bagaikan kapas terbentang. Tiba-tiba deruan angin mendesah, awan menghitam, memberat dan gugur menjadi hujan. Lebat sekali hujannya. Bagaikan terasa alam juga merasa kesedihan terhadap apa yang berlaku kepada seorang warak bernama Pak Malim itu.
Hanya kesedihan yang tiada tolok bandingnya kepada sang isteri sewaktu menerima jenazah suaminya. Tetapi wajahnya tidak merasa terkejut dengan pembunuhan itu.
Murad menceritakan peristiwa malang itu. Si isteri menangis. Tetapi kemudian dia bersuara: “Arwahnya pernah berkata, suatu masa nanti mereka akan membunuh aku. Mereka juga membenci akan jenazahku. Tetapi aku akan diselamatkan dan disolatkan oleh Datuk Bandar, juga hadir para ulama dan para wali.”
Datuk Bandar bagaikan terperanjat, lalu berkata, “Sayalah Datuk Bandar.”
Si isteri sedikit tersenyum, tanda terima kasih. Kemudian berkata, “Saya sangat mengharap, Allah memberkati dan menerimanya sebagai orang saleh dan wali Allah.”
Wali Allah? Datuk Bandar bagaikan tidak percaya, dia telah melakukan dosa besar. Masyarakat kota ini telah mengetahuinya, sebab itu dia ditikam dan dibunuh.”
“Segalanya arwah telah beritahu aku. Setiap malam dia berjaya membawa seorang pelacur ke rumah. Dia berdakwah. Semua pelacur itu menjadi manusia luar biasa.”
Si isteri menunjukkan barisan pelacur yang kini semuanya berhijab. Semua mata bagaikan terbelalak melihatnya.
“Minuman keras yang dibawanya dibuangkan ke tandas. Malam ini adalah untuk botol terakhir. Kedai arak itu akan ditutup. Arwahnya memberikan wang, supaya memberhentikan kegiatan jual arak. Begitu juga arwah tidak pernah berzina, malam ini adalah malam terakhir arwah membawa pelacur, ” sambil menunjuk pelacur yang dibawa tadi sudah memakai hijabnya.
Tergamam Datuk Bandar. Tergamam seluruh warga kota. Tergamam segala haiwan dan margastua. Tergamam api dan angin. Berita itu begitu cepat tersebar ke seluruh kota. Semua warga kota datang ke masjid, mensolatkan jenazah Pak Malim, yang berkorban segala-galanya demi agamanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya