Rambutan nan sebatang - Utusan Malaysia

Rambutan nan sebatang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sewaktu mengambil keputusan untuk menyewa di rumah ini aku tidak berfikir apa-apa. Cukuplah untuk berteduh siang dan malam bersama anak dan isteri. Biarlah, keadaan di dalam rumah sangat teruk memandangkan sudah enam bulan rumah ini terbiar lantaran penyewa sebelum ini melarikan diri. Mereka bekerja sebagai penebang pokok. Adalah dalam lima orang.
Rumah dibiarkan bersepah macam tongkang pecah. Hendak tak hendak akulah yang akan ‘mencuci tahi’. Menjadikan pondok buruk itu sebuah istana.
Aku juga terpaksa menerima hakikat menyewa di rumah yang betul-betul terletak agak tercorot dari orang kampung. Rumah terletak betul-betul di tengah antara kebun buah-buahan dan hutan rimba terbiar.
Siang aku sering berhadapan dengan monyet, biawak dan ular yang menjadi tetamu tidak diundang. Malam pula, sering kali terganggu dek kerana bunyi burung hantu dan musang menangis. Di kiri dan kanan rumah bunyi kucing bertengkar sering membingitkan telinga. Babi riuh berebut dan menyelongkar sampah yang dibuang oleh orang kampung yang tidak bertanggungjawab. Di dalam rumah tikus bermaharajalela.
Di atas bumbung pula, musang bergaduh lebih-lebih lagi ketika musim buah-buahan di kebun terbiar yang entah aku tidak tahu siapa penghuninya. Kekadang buah akan terbiar gugur menjadi baja tanah. Lagi kebun menjadi zoo adalah ketika musim wabak laparkan nyawa. Takutkan Covid-19 satu hal, terus melawan perasaan berhadapan haiwan-haiwan saban hari. Perasaan tidak puas hati bercambah dalam dada terpaksa aku telan jua.
Suatu hari, balik dari sekolah aku sangat terkejut mendapati bahagian dapur penuh dengan ratusan ulat. Segera dicapai penyapu lalu mengusir keluar ulat bulu yang memenuhi dinding dan lantai. Hari kedua sama juga keadaannya. Balik sekolah, aku akan habiskan masa selama sejam mengusir ulat yang mula merayap bebas di dalam rumah.
Aku semakin tidak tahan. Keluar melalui pintu dapur. Mencari punca datangnya ulat-ulat ini. Rupa-rupanya dahan pokok rambutan berjuntai menimpa bumbung rumah. Dengan buah yang masak ranum membuatkan bukan sekadar ulat tetapi semut hitam, tupai, dan ular juga bebas masuk ke dalam rumah.
Aku mengambil keputusan untuk menyapu daun-daun kering. Berpeluh dibuatnya. Hampir dua jam. Tidak cukup dengan itu aku membersihkan semak-samun. Menebas pokok-pokok hutan yang tumbuh meliar. Ranting kayu dikumpul dan dilonggokkan tidak jauh dari pokok rambutan tua. Aku membakar dengan niat untuk mengusir ulat dari terus mengganggu ketenteraman terutama anak-anak.
Esoknya tidak ada seekor ulat pun yang masuk ke dalam rumah. Aku gembira. Tersenyum puas. Usaha mengerjakan kebun bagaikan hak milik sendiri berbaloi.
Tiba-tiba aku terpandang selonggok daun dan ranting kering tepat berada di tepi dapur. Tingginya paras betis.
“Assalamualaikum!”
Belum sempat memikirkan apa yang berlaku, aku terkejut mendengar seseorang memberi salam. Seorang mak cik berdiri dengan muka kelat. Aku ingatkan ‘jembalang’ mana yang datang memandangkan dia langsung tidak memakai tudung. Dengan rambut uban, kerinting dan serabai, dia terus bertanya. “Siapa yang kumpul dan bakar daun-daun kering? Habis pokok rambutan jadi kecut.”
Aku sendiri jadi kecut dengan pertanyaan garang itu. Apatah lagi Mak Cik Hasnah ini memegang sebilah parang. Aku mengaku jujur.
“Saya yang bakar sampah itu. Semak sangat. Banyak haiwan…”
“Lain kali jangan pandai-pandai nak bakar. Nanti matilah pokok rambutan. Kalau nak menyewa di sini duduk sahajalah. Jangan memandai-mandai gatal tangan nak buat itu ini. Awak hanya menyewa sahajakan? Bukannya tuan rumah.” Mak Cik Hasnah seakan memberi amaran. Menampakkan gigi yang rongak kerana tidak memakai pelitup muka.
Belum sempat aku meminta maaf, perempuan berkain batik itu berlalu. Masuk ke dalam hutan dan hilang dari pandangan mata.
“Ada penghuni rupanya kebun ini. Tapi kenapa tidak diambil rambutan yang masak ranum ini.” Aku mula berfikir sambil terliur kelazatan buah rambutan.
Balik dari sekolah, sekali lagi aku terkejut apabila mendapati daun-daun rambutan kering dilonggokkan sekali lagi. Memang mak cik garang itu ingin mencipta amuk geger sekali lagi. Biarlah. Aku tidak kisah. Orang tualah katakan. Aku terus merawat luka sendiri.
Maka setiap malamlah tidur terus terganggu. Bunyi babi merengus berkeliaran mencari makanan. Kekadang bunyi pelepah atau buah kelapa jatuh menghempap bumbung bagaikan ledakan bom. Aku pula yang terkejut beruk. Mimpi indah aku sendiri dikejutkan bunyi yang tidak disangka-sangka. Bahkan makin menjadi-jadi. Aku sangat tertekan.
Apa pun, kesabaran itu penting menghadapi kerenah semua ini sebagaimana kehadiran virus tidak diundang ini juga.
Tiap kali balik dari sekolah, aku mencipta kebahagiaan sendiri. Andai letih aku akan tidur. Malamnya akan menonton televisyen dan duduk membesarkan perut sambal membilang cicak di dinding. Amat menyeksakan menyewa di tengah hutan.
“Aku tidak mahu bergaduh dengan orang kampung. Lebih-lebih lagi Mak Cik Hasnah. Itulah bahasa orang tua menegur. ”
Aku mengintai pokok rambutan tersebut. “Mak cik ini kata ada dahan mati sebab asap dan api. Tak adalah pula matinya.” Bisik ku dalam hati.
Sedang mengintai aku melihat ada sebatang galah. Aku mendongak ke atas. Beberapa tangkai rambutan telah tiada.
“Mungkin mak cik datang ambil buah ini. Tak bagi aku merasa sikit pun. Tahi hidung masin!”
Aku menuju ke dapur. Membuka tingkap. Terkejut. Di tempat longgokan daun kering penuh dengan kulit buah rambutan. Aku menahan sabar yang masih lagi bersisa. Sudahlah enak menikmati kemanisan buah. Kulit dicampak ke sini menambahkan kepahitan dalam hati.
Aku mengambil keputusan untuk menyapu dan membakar longgokan itu. Risau, malam nanti babi akan menyepahkan semuanya. Belum apa-apa aku terkejut apabila mendapati penyapu yang sering digunakan telah patah.
“Mak cik ini pendendam betul. Patah hati aku dibuatnya.” Aku geram. Sengaja mematahkan penyapu agar aku tidak membersihkan kawasan rumah lagi.
Orang tua biarlah. Lagi pun musim pandemik ini semua orang tertekan. Aku mendoakan yang baik-baik sahaja sambil mencari jawapan. Apa sebenarnya yang membelenggu. Marahkan aku sebab pokok rambutan atau apa sebenarnya.
Malam ini hujan lebat. Aku mengambil keputusan untuk mengerekot dan bermalas-malas di bawah selimut. Rindu diam dalam ketenangan. Langsung tidak dengar apa-apa. Semua haiwan yang mengganggu seakan hilang dari radar.
Namun, sebaik sahaja hujan reda, aku terdengar bunyi yang sangat kuat. Bunyinya bukan dari haiwan-haiwan yang mengacau tetapi seakan pokok tumbang. Bergegar. Membuatkan jantung aku berdebar-debar. Anak-anak menangis ketakutan.
Aku mencapai lampu suluh. Ke belakang rumah. Alangkah terkejut apabila mendapati sebatang pokok petai sebesar pemeluk tumbang. Bahkan turut terkena beberapa pokok langsat dan manggis yang sedang berbuah lebat serkah dahan. Lagi terkejut apabila mendapati batang pokok petai betul-betul menghempap pokok rambutan kesayangan Mak Cik Hasnah. Pokok tersebut tumbang. Akarnya turut terbongkas dari tanah. Aku terus terbayangkan muka Mak Cik Hasnah.
Inilah pokok yang disayanginya. Kerana pokok ini dia dimarahi. Kesalahan kecil dijadikan sedepa. Bahkan dia terlalu mengagungkan pokok rambutan yang telah pun menyembah bumi.
Aku menarik nafas. Semoga kisah tersebut terus mendamaikan ‘sengketa’ antara aku dan Mak Cik Hasnah.
Aku langsung tidak mengusik dahan pokok yang masuk ke bahagian belakang rumah. Aku biarkan bersadar begitu sahaja. Buah-buah lebat bertaburan di atas tanah. Sayang dan membazir.
“Tak adalah pula mak cik ini datang.” Aku mula bersoal jawab setiap kali memandang pokok rambutan tua tersebut.
“Cikgu, kenapa tak kutip sahaja buah yang masak merah ini?” Pak Cik Zawawi yang sedang membawa beruk masuk hutan mencari kelapa menegur.
“Tak berani saya. Nanti Mak Cik Hasnah datanglah ambil,” kataku.
“Nak ambil macam mananya cikgu. Dia masuk hospital.”
Aku terkejut. “Masuk hospital? Bila. Semalam ada dok bawah pokok rambutan.”
“Dia demam. Sesak nafas. Dihantar ke hospital malam tadi. Kena Covid?”
Aku terdiam. Covid. Makanya aku sendiri kontak rapat. Aku sendiri buntu.
“Cikgu ambil. Makan sahaja. Mak cik tu bukannya makan pun. Tapi perangai kedekut. Kalau ada orang usik dia marah. Sebab itulah dengan bekas penghuni rumah ini pun melarikan diri. Tak bayar sewa. Katanya diugut dengan parang kerana mengambil buah tanpa izin.”
“Sampai macam itu sekali?” Tanyaku.
“Ya, cikgu. Pokok rambutan yang sebatang ini dia sayang. Katanya, arwah suami yang tanam. Sebab itu sayang sangat-sangat. Tak makan pun tak apa. Asalkan pokok ini terus hidup. Banyak kenangan.”
Aku mengerti. Romantis. Patutlah dia memarahi. Macam-macam ragam manusia.
“Sebab pokok rambutan ini juga menjadi isu. Adik-beradik pula berebut kebun. Kesudahan bermasam muka. Kebun terbiar menjadi tempat babi, beruk, monyet dan segala haiwan beranak-pinak.”
Aku hanya mengangguk faham.
“Cuba cikgu tengok. Di kebun sebelah itu. Tuannya meninggal. Saudara-mara yang jaga. Balik pun setahun berapa kali. Itu pun sekejap sahaja. Musim PKP lagilah. Buah-buahan terus terbiar begitu sahaja. Itu sebab kebun menjadi sarang haiwan liar.”
Aku diam. Bermonolog sendiri. Memang setiap kali musim buah rambutan, dokong dan manggis sangat ranum. Anak-anak sangat teringin. Sering meminta buah tersebut. Aku akan ke pasar malam untuk membeli setiap kali anak meminta-minta. Hendak dipetik buah di atas pokok nanti dikatakan mencuri pula.
“Kalau cikgu nak makan buah-buah itu ambillah. Pernah arwah berpesan kepada saya satu ketika dulu. Sesiapa menyewa di sebelah kebunnya nanti ambillah makan. Sedekah.”
Aku lega. Bermakna selepas ini aku tidak hanya memandang bahkan mampu memetik.
“Berebut dengan monyetlah selepas ini.” Aku tersenyum.
Malam tersebut, ternyata tidak ada lagi bunyi-bunyian yang menakutkan. Suasana menjadi sunyi sepi. Serentak dengan itu aku menarik nafas panjang. Semoga tidur bersama keluarga lena. Malam-malam seterusnya juga tidak ada bunyi-bunyi yang menakutkan. Semak telah ditebas Haji Zawawi.
Nampaknya, aku juga sudah mampu memulihkan keadaan. Antara gangguan Covid-19 dan kisah rambutan nan sebatang ini adalah satu perkara berbeza.
Apa pun aku juga menanti dan menanti. Sambil melihat pokok rambutan yang tumbang itu aku turut mendoakan kesihatan Mak Cik Hasnah.
“Semoga baik-baik sahaja. Andai ada yang datang memarahi, aku akan cuba berlembut dan menceritakan apa yang berlaku malam hujan lebat itu.”
Fikiran aku yang terganggu. Emosi terdera. Kini semuanya berakhir. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya