Penyair wanita Nor Aini Muhammad muncul kembali dengan kumpulan sajak kedua bertajuk Mengutip Syahdu setelah hampir 30 tahun berdiam diri dari dunia puisi. Buku ini diterbitkan Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA), cetakan pertama 2022. Kumpulan puisi pertamanya bertajuk Perjalanan Mencari Kekasih diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1996.
Dalam kata pengantar (Seharum Kemuning) Mengutip Syahdu, Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman menyatakan apabila memperkatakan tentang sejarah perkembangan penyair wanita tanah air, para pengkaji tidak akan terlepas daripada menyebut nama penyair Nor Aini Muhammad.
Pemetaan sejarah kepenyairan wanita khususnya pada 1970-an, membariskan nama wanita berasal dari Terengganu ini bersama-sama sederetan nama penyair lain seperti Zurinah Hassan, Siti Zaleha Hashim, Zaiton Ajamain, Habsah Hassan, Mahaya Mohd. Yasin, Salmiah Ismail, Siti Zainon Ismail, Halimah Ahmad, Hanum Ain, Zanariah Abdul Rahman, Zaihasra dan ramai lagi.
Sepanjang penglibatan Nor Aini dalam menulis puisi, sebuah puisi bertajuk Mengerti telah diangkat sebagai penerima Hadiah Sastera Malaysia 1971 (kini dikenali sebagai Hadiah Sastera Perdana Malaysia).
Malah tokoh akademik Dr. Shafie Abu Bakar menobatkan Nor Aini sebagai Tokoh Terkemuka Penyair Moden Wanita di Terengganu.
Berdiam diri bukan bermakna kehilangan naratif kata-kata, sebaliknya dia memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga setelah kehilangan suami.
Menurut catatan Nor Aini dalam Mengutip Syahdu, hanya pada 1994, dia baru dapat mengumpulkan sajak-sajak yang bertebaran itu menjadi sebuah kumpulan sajak yang diberikan judul Perjalanan Mencari Kekasih terbitan DBP.
Selepas itu perjalanan kreatifnya terhenti. Kesibukan sebagai ibu tunggal dengan mengurus enam anak yang masih kecil dan kesengajaan menjauhkan diri daripada kesibukan bersama rakan-rakan penulis Terengganu, dia bagai berundur terus.
Apabila Nor Aini memilih tajuk kumpulan sajaknya Mengutip Syahdu, nilai estetik jelas terpancar. Unsur personifikasi yang digunakan oleh Nor Aini menjadikan buku ini ada kelainannya. Dalam hal ini, dia berjaya memikat pembaca dengan tajuk yang diciptanya.
Ini sejajar dengan pandangan Muhammad Haji Salleh bahawa penyair yang baik harus selalu memperkaya dirinya dengan perbendaharaan kata bahasanya, selalu mencari dan mencuba keupayaannya kerana puisi yang baik adalah karya asli yang baik penuh imaginasi dan merdu pula pada bunyinya.
Justeru, meneliti dan menghayati sajak Nor Aini Mengutip Syahdu di muka surat 25, ternyata unik. Sajak 13 baris itu tidak ditemui langsung frasa ‘mengutip syahdu’.
Mengapa tajuknya Mengutip Syahdu? ‘Syahdu’ itu abstrak sifatnya. Mana mungkin ‘syahdu’ itu boleh dikutip. Inilah kekuatan sajak 13 baris ini.
Amat jelas sekali Mengutip Syahdu ini adalah suatu metafora yang ingin disampaikan Nor Aini kepada pembaca. Metafora inilah yang perlu ditafsir oleh pembaca. Diperturunkan sepenuhnya sajak ‘Mengutip Syahdu’:
Apabila waktu itu
cintai-Mu sahaja
yang melangiri rasaku
bagai berada di Firdausi
mengutip gugus-gugus anggur
di taman nurani.
Izinkan aku
Kekasih
menghirup sebat
dari piala lahut
yang sepi dan kosong.
Mataku telah terlena
dan aku tidak mahu bangun lagi.
Apakah mesej yang ingin dinyatakan Nor Aini dalam sajak ini? Sajak ini perlu dibaca berulang kali untuk memahami maksud tersirat.
Berdasarkan huraian Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman, sajak Mengutip Syahdu menggambarkan penyerahan diri makhluk kepada al-Khaliq, dengan keyakinan yang penuh menyeluruh.
Ketika manusia telah mencapai tahap keredaan secara penuh dan sempurna dengan Allah Ta’ala dan tidak mempunyai suatu keluhan apa pun terhadap dirinya, lantas pada waktu itulah akan muncul rasa kecintaan peribadi kepada Tuhan.
Ini juga menepati pandangan Arbak Othman yang menyatakan bahawa puisi adalah sesuatu yang digerakkan oleh Tuhan untuk ia dicipta, justeru terdapat nilai kebenaran di dalamnya.
Dalam Mengutip Syahdu sejumlah 80 sajak yang ditulis Nor Aini memiliki pelbagai tema dan pemikiran. Malah dia turut menyampaikan kritikan sosial melalui sajak-sajak yang ditulisnya.
Antara sajak bernada kritikan sosial adalah ‘Kembara dengan Sayap Angin’. Berikut adalah sajak sepenuhnya:
Kutarik angin
menjadi perakam cerita
lalu mengibas sayapnya
menjadi hud-hud
menjengah setiap ruang.
Ketika singgah
di ranting dedaun hijau
kusapa seorang anak kecil
yang tertidur
di banir hari yang tragis
orang tuanya telah bersemadi
dihunjam Covid-19.
Aku mengepak
ke hujung tanjung
tersua serumpun keluarga
mengungsi sepiring nasi
secubit garam
di bawah cahaya pelita
yang suram dan sumbu berkurang.
Di anjung sebuah menara kota
dilingkari gemercik cahaya
suara bertingkah bersulam hingar
makanan terhidang di meja panjang
lazatnya melimpah
dialun selimut muzik dari seberang
ada kata bersulam tepuk
ketawa bertali
tanpa gundah tanpa resah.
Aku terkedu
bersama bisik angin
apakah yang bakal aku riwayatkan
apabila ditanya Maharaja?
Ini menepati pandangan Arbak Othman bahawa dalam kesusasteraan, kritikan sosial sering dianggap positif, kerana melalui pendedahan keburukan yang terjadi dalam masyarakat, pembaca dapat menikmati kebaikan moral apabila keburukan yang dilafazkan dalam puisi itu memerlukan tindakan pihak tertentu bagi mengatasi gejala buruk tersebut.
Kesimpulannya, kepengarangan Nor Aini sebagai penyair masih memiliki kekuatan naratif kata-kata yang mampu mencabar pemikiran pembaca.
Malah setiap sajak yang ditulisnya memiliki ciri-ciri sajak yang cukup berseni dan ada nilai estetika.
Justeru, tempoh Nor Aini kehilangan naratif kata-kata sedikit pun tidak menjejaskan ketajaman derianya menulis sajak-sajak yang akan menjadi wahana dan wacana khazanah sastera bangsa. – MINGGUAN MALAYSIA