SUARANYA tenggelam di sebalik kesibukan kota raya ketika menceritakan masa depan pelukis di Pasar Seni. Bagaimana tenggelam suaranya, begitulah juga nasib pelukis ‘berkampung’ di tempat yang nama terpampang perkataan seni.
Apatah lagi ketika ini dunia masih bergelut dengan penularan pandemik Covid-19 dengan rata-rata daripada kita semestinya meletakkan keperluan mengatasi kehendak.
MASA DEPAN SURAM
Bagi pelukis, Mohd. Hairul Mohd. Sin, 48, tiada jaminan bagi individu sepertinya untuk terus hidup di situ walaupun bersandar kepada sebuah tempat yang dulunya menjadi tumpuan warga kota.
Menurutnya, pada masa kini tempahan lukisan yang dihasilkan rata-rata pelukis boleh dibilang dengan jari walaupun adanya pameran atau acara berkaitan. Keadaan ini semestinya turut memberi kesan kepada jumlah pelukis pada masa kini.
“Saya masih ingat 18 tahun lalu sewaktu baru berjinak-jinak dalam bidang ini, ada lebih 20 pelukis di Pasar Seni. Tapi sekarang kurang daripada 10. Itu belum dikira lagi acara atau majlis di Pasar Seni yang agak sayu. Contohnya, sebelum ini ada festival kopi. Pengunjung memang ramai, tapi mereka datang semata-mata untuk kopi bukannya lukisan.
“Begitu juga dengan bantuan. Rasanya sikit sangat dan kami tidak dapat dana daripada sesiapa termasuk kerajaan. Yang dapat banyak bantuan pengurusan (kedai).Jika ada potongan sewa pun berapa sen sangat,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
BAKAT
Ketika diaju soalan berkenaan bakat-bakat pelukis, Mohd. Hairul berkata, banyak sebenarnya pengkarya bertaraf Leonardo da Vinci di negara ini. Malah hasil lukisan mereka halus dan punya seni tersendiri.
Namun katanya, bakat dan hasil lukisan mereka amat jarang diketengahkan atau kurang menonjol disebabkan penerimaan karya seni yang berbeza dalam kalangan rakyat di negara ini.
“Kita sebenarnya ada pelukis setaraf Leonardo da Vinci dan boleh dianggap grandmaster (mahaguru) dalam kalangan kami.
“Akan tetapi yang tahu seni di sebalik lukisan lebih-lebih lagi bersifat abstrak ini hanya peminat dan pengumpul. Dan semestinya orang yang pandai menilai dan tahu apa itu seni tidak kisah membayar berapa harga sesebuah karya dihasilkan,” ujarnya.
PELAPIS
Kata Mohd. Hairul, dia dalam masa sama tidak bimbang berkenaan pelapis kerana ada banyak individu yang mampu dihasilkan untuk menjadi pengkarya hebat.
Dia berkata, perkembangan teknologi seperti media sosial banyak membantu terutama membabitkan aspek perkongsian maklumat.
“Ada rakan dalam media sosial yang kadang-kadang mempromosikan hasil lukisan dan pada masa sama berkongsi maklumat.Jadi untuk menghasilkan pelukis baharu bukan masalah besar. Yang penting minat dan bakat.
“Bagi seseorang pelukis, bakat adalah 60 peratus dan selebihnya kemahiran yang perlu diasah setiap masa.Kalau ada bakat tapi tidak digilap, tak guna juga,” katanya.
Dia dalam masa sama turut menjelaskan antara prinsip dalam lukisan yang dikongsi dengan beberapa ‘orang lama’ sebelum ini.
“Seseorang yang mahu melukis karikatur, jika dia mempunyai asas dalam lukisan potret ia ibarat satu kelebihan dan lagi bagus,”jelasnya.
PENGHARGAAN
Akhir sekali, Mohd.Hairul turut menyifatkan penghargaan untuk golongan pelukis di negara ini masih ‘sendu’. Apa yang diharapkan adalah usaha dari kerajaan dengan memperbanyakkan tempat untuk golongan pelukis berkarya dengan kadar sewa murah.
Disamping itu, katanya, sekiranya ada peruntukan dana, ia buka perlu diberikan secara menyeluruh dengan melibatkan pelukis ‘kecil’. – MINGGUAN MALAYSIA