Kembara Seniman Jalanan bakal disambung? - Utusan Malaysia

Kembara Seniman Jalanan bakal disambung?

Tarikh 13 Mac menyaksikan perhimpunan semula barisan legenda Kembara Seniman Jalanan di ibu kota, Kuala Lumpur. - Gambar ihsan DBKL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Brader, kita mesti terus hidup.”
Itu antara dialog paling melekat dilontar Osman Tikus dalam naskah cult arahan Nasir Jani, berjudul Kembara Seniman Jalanan (KSJ) dirilis pada 1986.
Watak Osman Tikus dimainkan Pyanhabib Rahman, yang membuka filem itu dengan adegan mencopet di stesen bas ibu kota. Justeru menyaksikan Kuala Lumpur terpaksa merelakan tubuh dinodai manusia yang demi sesuap nasi, terpaksa berkompromi soal pekerti.
Bermula babak itu, barisan pelakon legenda termasuk Datuk M. Nasir, Datuk Ramli Sarip, Imuda, Amy Search dan yang lain, mula mengangkat tema demi tema yang menceritakan soal rakyat.

DI MANA KAU DUIT?
36 tahun berlalu, Kuala Lumpur sekali lagi dikunjungi barisan legenda yang melatari filem itu. Dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Siar.my, bertempat di Rumah Tangsi Kuala Lumpur, tayangan wayang pacak KSJ pada 13 Mac lalu mengubat rindu. Lebih mengujakan, watak-watak utama dijemput ke pentas berkongsi cerita.
Mingguan Malaysia yang tidak ketinggalan menghadiri jemputan turut teruja mendengar kisah mereka. Antaranya, mereka memuji pengarah Nasir Jani, kerana mencipta naratif ‘lain daripada kebiasaan’.
Kata mereka, Nasir cukup bijak membawa semangat woodstock yang disuntik elemen rebel-psychedelic ala Pink Floyd dalam KSJ. Kebetulan, era 80-an Pink Floyd dari Britain yang popular dengan lagu Money menjadi ikutan ketika itu, maka mudah KSJ menerobos minda dan jiwa penonton. Buktinya, dalam satu babak, M. Nasir mementaskan lagu beliau berjudul Duit.

DULU DAN SEKARANG
Soalnya, jika seawal 1986 filem legenda itu sudah mengangkat tema kesempitan wang, bagaimana pula sekarang? Adakah selepas 36 tahun, negara sudah berubah menjadi lebih mesra poket? Berkesempatan mendapatkan pandangan beberapa legenda KSJ, berikut jawapan mereka.

MINGGUAN MALAYSIA: KSJ ditayangkan pada 1986, waktu itu populasi Malaysia cuma 17 juta. Sekarang dengan populasi lebih 30 juta, bagaimana anda melihat survival rakyat yang semakin ramai?
M. NASIR: Saya hanya dapat bayangkan. Pandangan saya mungkin sama dengan anda.
IMUDA: Kesempitan hidup semakin menghimpit. Ini bukan saja di Malaysia, malah satu dunia berlaku pasal manusia semakin bertambah, dan keperluan juga bertambah sedangkan sumber semakin kurang. Jadi, manusia semakin terdesak untuk terus hidup dalam situasi mencabar.
ITO BLUES GANG: Memang banyak bezanya antara 1986 berbanding sekarang. Dulu saingan untuk hidup lebih mudah. Dulu mata wang kita masih kukuh. Sekarang hampir semua harga barang naik mendadak dan rakyat terpaksa kerja lebih untuk sara hidup. Kini nilai mata wang kita menurun, jenayah bertambah, malah keadaan politik kita bertukar ganti pemerintahnya.
RAMLI SARIP: Keperitan atau survival atas kekuatan masing-masing. Kita tak boleh duduk berdiam saja, kita harus keluar bekerja, berusaha dan yakin dengan apa yang kita buat. Buat yang terbaik, insya-Allah usaha kita akan berjaya. Dalam isu populasi makin bertambah, sekurang-kurangnya mereka sudah ada kesedaran. Terpulanglah, mudah-mudahan dengan kekuatan, sokongan dan keprihatinan semua pihak, insya-Allah kita akan ke arah lebih baik.
PYANHABIB: Kalaulah 7 juta daripada populasi 17 juta rakyat Malaysia menonton KSJ di panggung, makanya kami yang tidak cukup makan ketika itu, hari ini berangkali sudah miliki 7-8 kondo, dapat bikin filem yang lebih handal daripada The wolf or wall street dan panggung pun tidak bungkus! KSJ ditangani kawan-kawan remaja aktivis teater lingkungan usia bawah 30-an iaitu ketika nilai seringgit duit Malaysia masih dapat beli segelas teh dan sekeping roti canai.

MINGGUAN MALAYSIA: KSJ wajar disambung, kali ini menyingkap keadaan semasa?
M. NASIR: Segalanya mungkin.
IMUDA: Wajar, kerana keadaan semasa semakin perit bagi rakyat. Malah, isu cetak rompak juga tak berkesudahan, sekarang makin menjadi-jadi dengan teknologi baru. Lagi mudah lanun mahu curi dan buat duit dengan hasil titik peluh orang lain.
ITO BLUES GANG: Saya sangat berharap KSJ disambung. Insya-Allah, mungkin ada harapan lagi.
RAMLI SARIP: Tak mustahil, sebab jalan cerita menarik, berkisar tema yang jarang diangkat pengarah lain. Mungkin jika digabungkan dengan pelakon baru yang sesuai, dan kita kekalkan tema sama sambil disokong kematangan pelakon, mudah-mudahan ia jadi realiti.
PYANHABIB: Ya, sejak 10 tahun lepas pun, saya, Nasir Jani, Ito dan Zarul Albakri biasa bercakap akan banyak orang berharap ada filem KSJ bahagian kedua. Sesekali bertemu, ada banyak benda bermain di kepala kami. Kalau ada orang kaya kasi kami RM3-4 juta untuk KSJ kedua, saya wakili kawan-kawan tadah dua tangan ke langit tinggi. Adakah orang kaya mahu kasi kami duit untuk kami sambung KSJ? – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya