Rengekan Mei Mei masih berlarutan. Kimoi longlai di kamar tidur. Semenjak Mei Mei meragam lebih seminggu, Kimoi berendam air mata. Setiap kali Mei Mei meraung, hati Kimoi seperti disiat-siat.
Musibah apakah yang diturunkan Tuhan kepadaku ini? Kimoi tertanya-tanya mencari jawapan.
Masuk hari kelapan, Kimoi sudah tidak dapat bertahan.
“Abang, marilah kita bawa Mei Mei sekali lagi ke klinik.”
“Doktor kan dah kata, anak kita ini sihat, tidak ada apa-apa penyakit.”
“Tapi, kenapa dia menangis, bang? Kita kena ikhtiar sesuatu, bang.”
“Kalau begitu, kita cuba berubat dengan Kedam di kampung seberang.”
Keesokan pagi, Mei Mei dibawa berjumpa Kedam. Setelah memeriksa Mei Mei secara batiniah, Kedam memberitahu Mei Mei terkena buatan orang. Mengikut pengamal perubatan tradisional itu lagi, ada seorang pemuda cuba meruntuhkan rumah tangga mereka. Dia mengirim santau angin kepada Kimoi tetapi terkena Mei Mei. Bayi perempuan berusia 18 bulan itu mana mungkin boleh melawan gangguan syaitan.
Kok Seng mengetap bibir. Kimoi menahan rasa. Wajah Cau Noi mengambang di mata mereka. Setelah berbincang, Kimoi dan Kok Seng bersetuju untuk datang semula ke rumah Kedam bagi meneruskan rawatan. Kebetulan esok adalah Selasa, hari yang paling mustajab untuk berbomoh. Mereka dikehendaki membawa peralatan sendiri untuk menarik keluar santau seperti kain putih sepanjang semeter, daun keladi, sebotol besar air mineral, sembilan batang lilin, sembilan batang colok merah, sebiji mangkuk lutsinar dan sebuku benang berwarna putih.
Sekembali ke rumah, Kok Seng segera menyediakan bahan-bahan yang diminta oleh Kedam. Tidak sukar baginya untuk menyediakan bahan-bahan tersebut kerana semuanya tersedia di kedai runcitnya kecuali daun keladi.
Kok Seng menukar pakaian, mencapai sebilah pisau dan terus berjalan ke tepi sungai di belakang rumahnya untuk mengambil daun keladi. Hatinya berbunga harapan agar anak perempuan tunggalnya itu akan sembuh sepenuhnya.
Semasa ingin memotong daun keladi itu, Kok Seng teringat pesan Kedam supaya mengambil daun keladi sebanyak sembilan helai untuk digunakan selama tiga hari berturut-turut. Walaupun hanya sembilan helai daun keladi yang diperlukan, tetapi Kok Seng mengambil sebanyak 15 helai kerana bimbang kalau-kalau daun-daun itu rosak. Dia memilih daun-daun keladi yang besar, muda dan tidak berlubang. Dengan berhati-hati dia memotong daun keladi daripada batangnya. Dia memasukkan ke dalam raga dan kembali ke rumah. Selepas itu, dia mencuci bersih-bersih daun keladi itu. Daun keladi perlu dicuci bersih agar hasil rawatan lebih berkesan.
Mereka tiba tepat pukul lapan pagi. Di ruang tamu rumah Kedam, sudah terhampar sebidang tikar mengkuang dan sebiji bantal kekabu empuk. Kimoi diminta berbaring di atas tikar mengkuang itu sambil memeluk Mei Mei. Kedam menyelimutkan kedua beranak itu dengan kain putih dari hujung kepala sehingga ke hujung kaki. Mei Mei menangis kuat sambil meronta-ronta. Kimoi segera membuka butang baju dan menyusukan Mei Mei.
Melihatkan Mei Mei asyik menyusu, Kedam pun meletakkan seikat daun keladi yang berisi air mineral yang diikat dengan getah urat di atas dahi, perut dan satu lagi di pergelangan kaki Mei Mei. Kemudian, Kedam menyambung ketiga-tiga ikatan bungkusan daun keladi itu dengan benang putih.Upacara menarik santau keluar dimulakan dengan menyalakan tiga batang colok dan tiga batang lilin merah. Colok dan lilin ini diletakkan di dalam sebuah bekas tembaga bulat sebesar gelas yang berisi abu. Seterusnya, benang putih itu dilurut berulang kali dengan tangannya sambil mulut terkumat-kamit membaca mantera. Mereka penuh yakin Kedam dapat menyembuhkan penyakit Mei Mei.
Setelah setengah jam berlalu, rawatan itu pun selesai. Sepanjang tempoh tersebut, Mei Mei tidur lena di dalam pelukan ibunya. Mungkin keletihan setelah beberapa hari tidak dapat tidur. Namun tanggapan Kimoi dan Kok Seng berbeza. Mereka yakin rawatan Kedam sudah mula membuahkan hasil.
Kedam membuka ikatan daun keladi yang diletakkan di atas dahi, perut dan pergelangan kaki Mei Mei. Air di dalam bungkusan daun keladi dicurahkan ke dalam mangkuk lutsinar. Alangkah terkejutnya Kimoi dan Kok Seng apabila mendapati air mineral yang jernih sebelum ini bertukar menjadi kemerah-merahan, berminyak, bercampur dengan habuk-habuk, tahi-tahi besi dan rambut. Ini menguatkan lagi keyakinan bahawa Kedam telah berjaya menarik keluar santau angin. Kok Seng tidak teragak-agak menghulurkan wang yang banyak kepada Kedam. Mereka berjanji akan datang lagi meneruskan rawatan.
Setiap kali selepas balik daripada menjalani rawatan, keadaan Mei Mei semakin bagus. Dia kurang menangis dan tidur dengan lena di sebelah malamnya. Kebahagiaan rumah tangga Kimoi dan Kok Seng pulih kembali. Keyakinan mereka terhadap keampuhan ilmu Kedam kian meningkat. Jumlah not berwarna ungu muda yang dihulurkan seusai rawatan kedua dan ketiga kian berganda. Selepas itu, Kedam mencadangkan agar Mei Mei menjalani rawatan membuang sial pula bagi memastikan roh jahat tidak datang mengganggu Mei Mei lagi. Kimoi dan Kok Seng bersetuju. Kali ini, Kedam meminta mereka menyediakan tujuh jenis bunga yang wangi, tujuh biji limau nipis, tujuh biji limau purut juga sebatang beluru yang ditumbuk dan dicarik-carikkan. Hari yang paling sesuai untuk mandi bunga adalah pada tanggal 1 atau 15 mengikut kalendar lunar kerana tarikh ini adalah tarikh yang dianggap suci. Semua dewa-dewi akan memberkati doa pengikutnya pada tarikh-tarikh ini.
Kok Seng menyanggupi syarat-syarat tersebut. Selang beberapa hari, mereka datang semula ke rumah Kedam. Semasa mandi bunga, Mei Mei kelihatan begitu gembira. Tiada setitik air mata pun yang tumpah. Setelah selesai mandi bunga, Mei Mei dikehendaki melangkah benang mentah untuk memagar tubuhnya daripada diusik makhluk halus. Seterusnya, Mei Mei dibekalkan sebotol air tawar untuk minum dan mandi di rumah. Mei Mei juga diberikan suatu azimat yang berbentuk keris supaya jin atau syaitan tidak menghampirinya lagi. Kimoi dan Kok Seng sangat berpuas hati dengan perkhidmatan Kedam.
Sebelum pulang, Kok Seng menghulurkan beberapa keping not berwarna ungu lagi kepada Kedam. Senyuman Kedam meleret ke telinga.
Panas tidak sampai ke petang. Kedamaian yang mereka kecapi sekejap sahaja.
Penyakit misteri menyerang Mei Mei semula. Kali ini lebih teruk. Mei Mei menangis terguling-guling di atas lantai. Kimoi dan Kok Seng panik. Mereka pergi berjumpa Kedam semula. Kecewa tidak mampu diungkapkan apabila Kedam menilik dan memaklumkan bahawa musuh mereka menghantar semula santau yang telah ditarik keluar. Kononnya musuh mereka telah mendapatkan khidmat bomoh yang lebih handal daripadanya. Kedam berjanji akan menggunakan imu kebatinan dan mantera yang lebih kuat untuk melawan bomoh jahat itu. Dia mencadangkan agar Mei Mei mengulangi rawatan tarik keluar santau angin. Wajah Kok Seng berubah. Sudah banyak wang ringgitnya dilaburkan sebelum ini. Dia bertekad mengambil tindakan sendiri. Tindakan sebagai anak jantan! Dia sudah tidak dapat bersabar lagi. Wajah Cau Noi besar kecil di matanya.
Kenangan lalu datang semula. Cau Noi yang berketurunan Siam pernah cuba memikat Kimoi. Suatu ketika dahulu, Kimoi mandi berkemban di dalam sungai. Cau Noi mengintai Kimoi dari atas pokok rambutan sambil menikmati rambutan. Kulit rambutan dilemparkan ke arah Kimoi. Kimoi terkejut dan menjerit sekuat hati. Kebetulan Kok Seng lalu di situ dan ternampak Cau Noi ketawa berdekah-dekah.
“Hoi, turunlah, pengecut! Jika kau nak Kimoi, langkah mayat aku dulu,” Kok Seng mencabar Cau Noi.
Cau Noi melompat dari pokok rambutan dan cuba melarikan diri. Kok Seng mengejar Cau Noi dan mereka mula bertumbuk. Kimoi bersembunyi di sebalik titi sambil memandang cemas. Akhirnya Cau Noi yang bertubuh kecil ditewaskan oleh Kok Seng. Cau Noi lari lintang pukang. Sejak itu, hubungan Kimoi dan Kok Seng semakin rapat. Kimoi jatuh hati kepada Kok Seng kerana Kok Seng menyelamatkan dirinya daripada gangguan Cau Noi. Selain itu, Cau Noi hanya bekerja sebagai petani berbanding Kok Seng, peniaga kedai runcit. Cau Noi memang pandai menggunakan ilmu hitam. Tak dapat tengkuk, tanduk dipulas. Tak dapat Kimoi, Mei Mei dijadikan sasaran dendam.
Cau Noi sedang memasak gulai kawah daging lembu dan umbut kelapa di belakang rumahnya, ketika tiba-tiba dia ternampak Kok Seng berjalan laju menuju ke rumahnya.
“Cau Noi! Mengapa kau tak habis-habis jadi pengganggu? Dulu kau kacau Kimoi, sekarang kau kacau Mei Mei. Aku bunuh kau hari ini!”
Serentak dengan itu, Kok Seng menghayunkan parang ke arah Cau Noi. Cau Noi mengelak. Kok Seng cuba menetak Cau Noi. Cau Noi melompat, mengelilingi periuk gulai kawah yang sedang mendidih. Kain sarung Cau Noi terlondeh. Dengan berseluar pendek, seperti tidak cukup tanah, dia berlari susup sasap, melompat parit kecil, tergolek, bangun dan tidak menoleh ke belakang lagi.
“Abang! Abang!” tiba-tiba terdengar pekikan Kimoi ketika Kok Seng sedang mengejar Cau Noi. Langkah Kok Seng terhenti. Kimoi terkocoh-kocoh mendapatkan Kok Seng sambil mendukung Mei Mei. Kok Seng terkejut melihat Mei Mei yang sesak nafas, dan hidung berdarah. Kimoi menangis-nangis.
Kok Seng mengambil Mei Mei dan segera berlari menuju ke rumah. Kimoi mengikut dari belakang. Kunci kereta dicapai dan mereka bergegas ke klinik yang pernah mereka pergi dahulu. Pada masa itu, hanya nyawa Mei Mei yang menjadi taruhan.
Doktor terus memeriksa hidung Mei Mei. Alangkah terkejutnya Kok Seng dan Kimoi apabila doktor menyepit suatu objek bulat berwarna hitam berkilat sebesar biji jagung dari dalam hidung Mei Mei. “Apa itu?” soal Kimoi.
“Sejenis kutu. Orang kita panggil cengkenit. Sakit ni kalau menggigit.”
“Oh! Patutlah anak saya asyik menangis,” balas Kimoi, dengan perasaan amat lega.
Dalam perjalanan pulang, Mei Mei menyusu sehingga terlena. Kimoi menepuk-nepuk punggung Mei Mei dengan penuh kasih sayang. Tidak berapa lama kemudian, Kimoi juga terlena. Kok Seng tidak berkata apa-apa. Dia hanya memandu dan melayan perasaan. Wajah Kedam dan Cau Noi bersilih ganti dalam ingatan. Pelbagai rasa membaur. Kesal, geram, marah, bodoh, lucu. Cengkenit menjadi punca penyakit Mei Mei telah mati. Namun ada cengkenit lain dalam dirinya yang perlu dihapuskan juga.
Pagi-pagi esok dia mesti berjumpa Cau Noi untuk meminta maaf. – MINGGUAN MALAYSIA
Cengkenit
- Oleh WEE SOO LIAN
- 13 Mac 2022, 4:38 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selamat hari lahir Kartini
14 Januari 2024, 5:37 pm
Buku yang hilang
31 Disember 2023, 6:05 pm
Pemain silap mata lupa silap matanya
17 Disember 2023, 4:34 pm