Mengenali Aladin Mohamad wajar kita susuli daerah seni sajaknya. Selain dari editor akhbar yang mengangkat nama seseorang penulis, radio juga memainkan peranan sama melalui penerbit rancangan sasteranya dalam mengangkat penulis berbakat.
Saya dan Aladin turut menyumbang sajak-sajak ke Radio Melaka (RTM Melaka) melalui rancangan yang diterbitkan Puan Hebat Fatimah sekitar hujung 1970-an yang dikenali ‘Di Pinggir Selat Melaka’ . Pendahuluan rancangan itu dimulakan dengan desiran ombak hujung minggu setiap pukul 6 petang.
Sajak-sajak dari penulis Melaka dan Johor turut diulas oleh penulis veteran seperti saudara Noor SM dan Datuk Mokhtar Yassin (sekadar menyebut nama-nama yang saya ingat). RTM Melaka ada memberikan honorarium kepada penulis yang berkarya.
Bermula dari situlah, bakat seni Aladin Mohamad dalam genre kepenyairan terserlah mekar dan subur hinggalah ke hari ini.
Aladin menggunakan bahasa bersahaja dalam sajak-sajaknya dan mudah difahami pembaca dan banyak tersirat makna yang mencengkam. Aladin juga menggunakan kaedah pengulangan kata dalam sajaknya bagi tujuan penegasan yang ingin disampaikan.
Saya membuat pembahagian sajak Aladin Mohamad dalam Kumpulan Sajak Di Bawah Langit Terbuka (DBP: 2022) kepada beberapa daerah yang ada hubung kait dengan alam, kemanusiaan, semangat kebangsaan, sejarah tempatan dan lain-lain.
Mari kita kongsikan pengalamannya itu dalam sajaknya berjudul Cerita Seorang Penyair.
‘Seorang penyair begitu ghairah / Mencari sajak-sajaknya / Di lembaran akhbar mingguan / Dan majalah bulanan / Di kedai akhbar yang biasa / Dikunjungi setiap minggu/…’
Sajak Cerita Seorang Penyair adalah klise, terutamanya kepada mereka yang mengelarkan diri seorang penyair.
Saya difahamkan pihak editor menerima sejumlah sajak yang banyak saban minggu. Pemilihannya sajak perlu dilakukan dengan berhati-hati, bagi mengelakkan karya sajak yang disiarkan berbentuk plagiat.
Berikut adalah daerah seni yang mendapat sentuhan ilham Aladin dalam menghasilkan kumpulan sajak Di Bawah Langit Terbuka .
Alam:
Angin Senja, Bagaikan Api, Cerita Sungai,Bagaimana Bulan Mengambang, Dalam Suara Hujan, Angin Liar,Pokok Yang Tahu, Menjadi Hujan,Bunga Lalang,Tenggelam Bersama Mentari Senja dan banyak lagi. Imej yang digunakan bersifat personifikasi dan metafora bagi menarik sentuhan pembaca.
Kemanusiaan:
Ketawalah, Perlukan Payung, Doa Seorang Anak,Memelihara Ikatan, Bahtera Perkahwinan.
Semangat kebangsaan (nasionalisme):
Anak Malaysia, Bahasa Kita,Ketuanan Melayu, Ku terpanggil Menulis Sajak Ini,Yasser.
Sejarah tempatan;
Bandar Jasin, Buku Sejarah Negara, Anak Kampung Ayer Molek, Ziarah Melaka, Negeri Cantik Ayu.
Peribadi: Ketika terlantar di ranjang sakit, Cerita Seorang Penyair,Pintu Belakang,Tua Telah Merampas Segalanya.
Pernyataan Aladin tentang Angin Senja berkisar tentang kepahitan hidup seorang pemuda. Kepahitan yang dilalui mencabar dirinya untuk meneruskan kehidupannya.
Sajaknya Bagaikan Api bercerita tentang demonstrasi jalanan yang melibatkan cetusan perasaan marah dan benci yang boleh mendorongkan kepada keganasan.
Sajaknya ‘Ketawalah’ lebih bersifat nasihat kepada anak-anak muda supaya tidak terlalu leka dengan aktiviti tidak berfaedah. Masa lalu tidak boleh ditebus semula dan penyesalan kemudian hari sudah tidak berguna lagi.
Sajak ‘Kita Perlukan payung’ pula lebih menjurus kepada hubungan kemanusiaan, persaudaraan dan kejiranan yang saling memerlukan antara satu dengan lain semasa susah dan senang.
‘Kita sayangkan payung / Payung juga sepatutnya / Sayangkan kita…’
Dalam sajak Anak Malaysia penyair mengharapkan golongan ini menjadi pelapis pemimpin sedia ada dan meneruskan perjuangan bangsa dan negara di masa depan. Perpaduan antara kaum perlu diutamakan dalam mencapai apa jua wawasan yang direncanakan.
Sajak-sajak yang menyatakan rasa cinta kepada tanah kelahiran diungkap dalam sajak-sajak seperti Bandar Jasin, Buku Sejarah Negara, Anak Kampung Ayer Molek, Ziarah Melaka, Negeri Cantik Ayu.
Dalam sajak Ziarah Melaka, penyair mengajak pengunjung yang melawat Melaka terutamanya tempat-tempat bersejarah yang silam yang pernah dijajah oleh Portugis, Belanda dan Inggeris dan kesan-kesan peninggalannya. Sikap marah penyair kepada penjajah terungkap dalam bait-bait sajak yang berikut:
‘Penjajah adalah lanun /Penjajah adalah penyamun /Yang begitu rakus sekali memunggah /Dan mengaut penuh ghairah / Segala mahsul negeri kami/Yang begitu sekali menghisap /Dan menghirup darah / Dan air mata sekalian nenek moyang kami /Tanpa belas kasihan lagi /…’
Berlaku pengulangan dalam bait-bait sajak ini sebagai penegasan dan penekanan yang ingin disampaikan oleh penyair. Sebagai perseimbangan kedatangan penjajah ini, sudah tentunya terdapat punca-punca kedatangan penjajah ini ke Melaka.
Ia bukan hanya berlaku bukan di Melaka, tetapi berlaku juga di negeri Selat lain seperti Perak, Selangor, Negeri Sembilan berpunca daripada perebutan kuasa Sultan, fitnah memfitnah sesama sendiri dan peranan ‘gunting dalam lipatan’.
Terdapat peranan dari orang dalam yang membuka ruang penjajah bertapak hingga merobohkan Kota Melaka.
Selain itu, terdapat persoalan peribadi yang diungkap oleh Aladin dalam sajak-sajaknya seperti Tua Telah Merampas Segalanya. Usia tua diibaratkan sebatang pohon dipinggirkan kurang diberikan perhatian. Kita perhalusi sebahagian daripada bait-bait sajaknya:
‘Suasana itu kini tiada lagi / Tua telah merampas segalanya / Tak sekat itu saja / Ada yang melontar caci / Ada yang cuba menebangnya lagi / Bagaikan ia selama ini / Tak pernah berbakti / Bagaimana tak sedih hati /.’
Selain itu, terdapat imej-imej lain yang digunakan oleh Aladin Mohamad dalam sajaknya seperti ular, tebuan, tikus,musang yang diilhamkan olehnya melalui pemerhatian seorang penyair (observations). – Mingguan Malaysia
Aladin dan daerah seni sajaknya
- Oleh ISMAIL HASHIM
- 6 Mac 2022, 4:37 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
DAP Pulau Pinang gesa Ketua Pemuda UMNO minta maaf kepada Anthony
22 November 2024, 4:22 pm
Perubahan waktu bekerja tidak jejas produktiviti sektor awam – CUEPACS
22 November 2024, 4:09 pm
Cradle dan KLDX jalin kerjasama, perkenal platform pembiayaan alternatif untuk startup Malaysia.
22 November 2024, 4:03 pm