Kisah suka duka wanita adalah isu menarik yang dibawa oleh penulis Hafizah Iszahanid dalam novelnya Kuala Lumpur Di Sebalik Bulan telah memenangi hadiah utama dalam Sayembara KLWBC 2020.
Tiga penulis memenangi hadiah utama dalam sayembara tersebut iaitu Hafizah Iszahanid dengan novelnya Kuala Lumpur Di Sebalik Bulan, diikuti pula Selarik Hikayat , Amer Hmzah L.Kadir dan Menunggu Tuan Jurugan Yang Belum Pulang oleh Mahizan Husain.
Hafizah menggunakan kaedah imbas kembali dalam Kuala Lumpur Di Sebalik Bulan, Hafizah menceritakan nasib malang menimpa ketiga-tiga wanita, Pei, Ana dan Fati atas kedegilan mereka enggan menerima nasihat daripada ibu bapa masing-masing sebelum memilih calon suami.
Ibu bapa masing-masing telah menasihatkan mereka supaya berhati-hati dalam memilih pasangan hidup, tetapi nasihat tersebut diabaikan kerana dorongan perasaan cinta. Benarlah kata cerdik-pandai, cinta itu buta.
Alicia berusia setahun setengah, dibawa lari Raj Thanaselvam apabila Ah Long memburunya. Pei cuba mencari anaknya itu tetapi gagal menjumpainya dan membawa diri ke Kuala Lumpur.
Pei menjadi kurang siuman atas kehilangan anaknya itu. Pembaca dapat merasakan sikap suami Pei yang tidak bertanggungjawab ke atas isterinya.
Kisah kedua, Ana berasal dari Pariaman berhijrah ke Malaysia dan bekerja di rumah Kamal sebagai pembantu rumah. Ana melarikan diri apabila Kamal cuba mencabul kehormatannya.
Ana yang bekerja di Kelab Bunga Mawar (KBM) jatuh hati pada Hariz,suami orang. Saling jatuh hati antara mereka berdua, mendorongkan mereka mengambil keputusan bernikah dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Ainun.
Isteri Hariz, Saleha berjaya menjejak Hariz dan mengaturkan perancangan membolehkan penguat kuasa menangkap Ana yang tinggal di Malaysia tanpa memiliki permit warganegara yang sah.
Ada sebab kenapa Hafizah Iszahanid membangunkan tiga kisah yang berbeza dalam novel Kuala Lumpur Di Sebalik Bulan ini.
Di dalam bengkel penulisan novel yang diadakan secara dalam talian anjuran DBP Cawangan Sarawak tahun lalu, penulis memaklumkan bukan hanya satu watak protoganis yang menguasai sesebuah novel.
Ia boleh lebih daripada satu seperti yang dilakukan Kuala Lumpur Di Sebalik Bulan itu, asalkan mengisi teori sebuah novel dan ketebalan halaman mencapai matlamatnya. Sebab yang sebeginilah watak dalam novel tersebut mempunyai tiga watak protoganis iaitu Pei, Ana dan Fati.
Pembaca boleh melabelkan Hafizah Iszahanid seorang feminin yang menonjolkan isu-isu wanita dalam novelnya.
Mungkin, kalau bukan penulis wanita sepertinya yang membawa isu-isu ini, apakah ada penulis lelaki sudi membawanya? Seseorang wanita itu lebih maklum hal-hal berkaitan kewanitaan. Sikap suami yang meminjam wang dari Ah Long (peminjam wang berlesen) seharusnya menjadi teladan kepada suami dalam melangsaikan kelangsungan hidup.
Rumah tangga menjadi kacau bilau. Pangsapuri di siram cat, salah satu sifat tercela Ah Long dalam menuntut hutangnya. Raj yang berhutang melarikan anaknya bimbang dikesan oleh Ah Long menyebabkan Pei terus bersedih kerana tidak dapat berjumpa dengan anak kecil mereka, Alicia.
Penulis bagaikan menasihatkan kaum suami, mereka belum lagi ‘bijak’ dalam hidup bermadu ini. Ia juga memperingatkan kaum suami, bawalah berfikir waima seribu kali pun apabila mengikut gerak hati ingin mempunyai lebih daripada satu.
Hafizah Iszahanid telah mengetengahkan dua watak protoganis yang mengaitkan kehidupan wanita dan menyentuh watak Fati, merupakan watak protoganis yang terakhir dalam novelnya Kuala Lumpur Di Sebalik Bulan iaitu Fati.
Fati telah berkahwin dengan Samsir, warga Pakistan yang mengusahakan restoran makanan kampung di Kuala Lumpur. Samsir juga berjaya menguasai berbagai jenis perniagaan seperti seperti pakaian, permaidani dan tekstil di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Shah Alam.
Kejayaan Samsir mengingatkan kita kepada lesen alibaba yang dimilik segelintir kontraktor bumiputera dan kaedah yang sama digunakan oleh Samsir dengan menggunakan nama isterinya dalam mencapai matlamat perniagaannya itu.
Samsir juga didapati berbohong dan mengaku bujang sebelum berkahwin dengan Fati. Sebenarnya, Samsir sudah berkahwin dengan Hana Begum dan mempunyai tiga anak meningkat remaja dan tinggal di Pakistan.
Samsir membawa isterinya ke Malaysia tinggal bersama Fati manakala Fati, enggan bercerai kerana bimbangkan status ‘janda’.
Isu-isu yang dibawa oleh Hafizah Iszahanid padat dengan teladan dengan pengajaran wajar mendapat sentuhan pembaca dalam memurnikan jiwa. Ia juga sesuai untuk dijadikan iktibar oleh pembaca.
Apakah fenomena yang bawa oleh penulis ini boleh mendatangkan rasa takut kepada sesebuah perkahwinan atau lebih selesa hidup membujang? Tepuk dada, tanyalah selera! _ Mingguan Malaysia
Suka duka wanita dalam Kuala Lumpur Di Sebalik Bulan
- Oleh ISMAIL HASHIM
- 20 Februari 2022, 4:45 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Sup tulang dan roti Benggali
14 Mei 2023, 4:47 pm
Sayur lemak bunga durian
26 Februari 2023, 4:11 pm
Noi
11 Disember 2022, 3:31 pm