Puisi sebagai perakam sejarah - Utusan Malaysia

Puisi sebagai perakam sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila dunia dilanda wabak Covid-19, malapetaka ini tercatat dalam sejarah yang akan diingati sampai bila-bila. Sejarah akan dirakam dalam pelbagai bentuk sama ada buku, jurnal, filem, media elektronik, media akhbar dan media sosial.
Covid-19 dikesan di Wuhan, wilayah Hubei, China pada penghujung Disember 2019. Virus yang begitu cepat merebak dikesan di Malaysia pada 23 Januari 2020. Apatah lagi berita yang menakutkan seluruh penduduk dunia apabila Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan Coronavirus (Covid-19) sebagai darurat kesihatan dunia pada 31 Januari 2020.
Puisi juga tidak ketinggalan memainkan peranan sebagai perakam sejarah. Sejak sebelum merdeka sehingga selepas merdeka, ditemui puisi-puisi yang merakam pelbagai peristiwa penting.
Antaranya puisi Malaya Pasti Merdeka – Affrini Adham (kisah Tanah Melayu yang akan merdeka), Duri dan Api – Usman Awang (kisah pemogokan Utusan Melayu), dan Tangan-tangan Yang Tersembunyi – Said Zahari (kisah peristiwa 13 Mei 1969). Banyak lagi puisi yang merakam peristiwa bersejarah dalam negara, boleh ditemui dalam antologi dan kumpulan puisi.
Justeru, peristiwa Covid-19 telah menjentik emosi ramai penulis di Malaysia merakamkan puisi mengenainya. Puisi-puisi ini diterbitkan di akhbar dan majalah. Malah antologi puisi dan kumpulan puisi turut diterbitkan secara berkumpulan dan perseorangan.
Penerbit Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Penerbit UTeM) turut tersentuh dengan musibah Covid-19 ini. Sebuah kumpulan puisi khusus kandungannya tentang Covid-19 diterbitkan Penerbit UTeM pada 2020.
Langkah mendokumentasi wabak penyakit yang sangat berbahaya ini dalam bentuk puisi adalah satu usaha sangat berani. Penerbit UTeM di bawah tadbir urus sebuah universiti teknikal sudah tentu banyak menerbitkan buku berkenaan teknikal. Namun pengurusan UTeM mengambil tindakan berani dengan menerbit buku sastera sebuah buku puisi yang merakamkan kisah Covid-19. Malah usaha UTeM tidak sia-sia kerana buku puisi itu diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai Longest Covid-19 Pandemic Poem 2020’.
Buku kumpulan puisi bertajuk Merentas Gempita: Pandemik 2020 ditulis oleh penyair tersohor Dr. Lim Swee Tin. Sejumlah 57 puisi dalam buku ini menceritakan perihal Covid-19. Bermula dengan penemuan Covid-19 hinggalah keadaan kucar-kacir melanda Malaysia dan dunia, ditulis oleh Swee Tin dengan bahasa mudah difahami tetapi cukup berseni tanpa mengabaikan aspek estetika puisi.
Beliau bukan sekadar menulis puisi, tetapi menulis berdasarkan fakta dan penyelidikan. Ini dapat dikesan pada puisi-puisi yang terdapat istilah sains perubatan yang pada mulanya begitu janggal didengar tetapi kini sudah menjadi sebutan popular dunia. Contoh perkataan Covid-19. Walhal sebelum itu hanya dikenali Corona seperti dalam puisi ini:

WUHAN, CHINA,hujung Disember 2019, satu virus baharu ditemui. awas, anda hendaklah tingkatkan waspada.
kemungkinan jangkitan kelawar yang dimakan.
hidangan eksotik. Sebuah pasar basah. Entah bagaimana terjangkit ke tubuh manusia. Sudah ada kematian. Wuhan akan tenggelam kali ini di bawah timbunan mayat bergelimpangan. Belum, ya belum bernama. Sebut saja, CORONA.
(BERITA CORONA WUHAN, ms 2)

Begitu juga dengan kemunculan istilah baru dan sebutan baru daripada akronim yang dicipta. Walaupun pada mulanya rakyat Malaysia rasa janggal, tetapi menjadi biasa kemudiannya, malah menjadi bahan gurauan. Ini dapat dihayati dalam puisi berikut:

OLEH jarang
atau tak pernah terjadi
jarum-jarum panik
berceracak di mana-mana.
STAY HOME
STAY SAFE
menjadi slogan sakti bergantungan di mana-mana.
oleh jarang atau tidak pernah terjadi bunga-bunga seri terasa kehilangan embun pagi.
(PKP – MCO, ms 9)

Swee Tin turut menggunakan data dalam menulis berkenaan Covid-19. Angka kematian bersumberkan universiti terkemuka seperti dalam puisi berikut:

HARI ini telah berjuta warga dunia sedang bergelumang kematian telah lebih 185 negara sesak nafasnya mengekang jangkitan angka dan bilangan terus memuncak pada carta catatan rekod di Universiti Johns Hopkins tak henti-hentinya menjulang kita benar dikepung pandemik dahsyat kita benar sedang diasak ke pertempuran rumit dengan musuh tak terlihat!
(BENAR, KITA SEDANG, ms 14)

Setelah memasuki 2022, Covid-19 masih tidak dapat dihapuskan. Malah virus ini beranak pinak membiak ke setiap benua. Jumlah kematian yang meningkat berjuta-juta, cukup menghantui masyarakat di setiap benua. Meskipun kebanyakan puisi dalam Merentas Gempita ditulis ketika fasa pertama Covid-19 menyerang dunia, hakikatnya persoalan yang dikemukakan Swee Tin masih wujud sampai saat ini. Masyarakat dunia masih trauma dengan Covid-19. Ini dikesan dalam puisi berikut:

PELANCONG hilang destinasi perantau hilang tuju pengembara hilang sempadan kapal merapat ke pelabuhan pesawat terdampar di hangar kereta api tersadai di stesen. Bunga dilonggokkan layu sayuran dipulangkan ke bumi susu dicurahkan ke ladang.
anggur tak dipetik limau dibiar mereput epal berguguran di perdu.
kosong kamar hotel usang pasport di bagasi terdiam pantai peranginan.
untuk seketika kebingitan tak lagi terlantun ke angkasa untuk seketika awan mewarnakan putihnya yang sebenar untuk seketika udara membebaskan bersihnya yang sediakala
Pandemik ini, benarlah kali ini hadirnya menyantunkan kembali manusiawi.
(DI LINGKUNGAN PANDEMIK, ms 43)

Biarpun hampir tiga tahun Covid-19 belum reda malah melonjak kembali, Swee Tin menulis sebuah puisi yang menyimpan doa dan harapan bahawa virus ini akan hilang di dunia ini. Harapan itu dapat dikesan dalam puisi berikut:

LANGIT kita
masih kelabu
pun bimbang
tetap membumbung.

bila mentari
cerah kembali
dan hujan rahmat
membasahi bumi.

marilah bersama
impikan lazuardi
satukan harapan
lebur keresahan.

pelangi pasti
akan terbit lagi
tunggu sehingga esok
Tuhan hanya menguji.
(TUNGGULAH SEHINGGA ESOK, ms 67)

Kesimpulannya, buku puisi Merentas Gempita adalah satu catatan sejarah yang amat berharga dalam khazanah negara. Buku ini akan menjadi sumber rujukan pada masa akan datang bahawa Covid-19 bukan sahaja didokumentasi dalam jurnal perubatan, tetapi turut dirakam sebagai bahan sejarah dalam bentuk puisi. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya