Setiapkali aku pulang ke rumah pusaka, ayah akan mengeluarkan senaskah kitab nipis sambil membaca dengan khusyuk di beranda rumah. Mulut ayah mula terkumat kamit setiapkali menyebut beberapa kalimah yang sukar difahami. Ayah agak kurang lancar apabila membaca di dalam tulisan rumi berbanding tulisan jawi. Namun, kerana minat yang mendalam terhadap amalan membaca apa-apa sahaja bahan bacaan yang diberikan, ayah akan berusaha menyudahkan bacaan walaupun terpaksa bersengkang mata.
Petang minggu itu, kulihat dahi ayah berkerut cuba memahami beberapa istilah yang agak janggal pada naskah kecil bertaip kemas itu. Perkataan-perkataan pinjaman yang sukar difahami cuba dihadam betul-betul agar tidak tersalah sebut.
Selepas puas membelek dari satu halaman ke satu halaman, ayah meletakkan kembali naskah kecil itu di atas lantai lalu memandang tepat ke arahku dengan pandangan luar biasa.
“Apa yang ayah baca itu?”
Tanyaku sambil membetulkan kaki yang masih lenguh-lenguh selepas seharian memandu di atas jalan raya. Kuurut bahagian betis yang terasa sengal dan sakit. Ayah berdehem seketika sebelum merenung mataku dalam-dalam.
“Kitab pilihan raya, Bad. Pak Dollah yang berikan pada ayah masa minum kat warung Che Munah pagi tadi.”
Ayah bersuara perlahan sebelum menyambung kembali pembacaannya. Aku hanya mengangguk perlahan selepas mengetahui bahan bacaan di hadapan ayah.
“Orang muda hari ini panggil buku manifesto, ayah. Di dalamnya terkandung janji-janji ahli politik sekiranya menang dalam pilihan raya nanti.”
Ayah berpaling sambil tersenyum. Kemudian, bersuara dengan tenang.
“Ayah rasa pilihan raya kali ini memang sengit. Semua parti politik sudah mengeluarkan kitab manifesto ini dengan pelbagai janji dan harapan indah.”
Ayah memberi pendapat sebelum meletakkan kembali buku nipis itu di atas lantai.
“Pilihan raya tak pernah tak sengit, ayah. Persaingan politik di mana-mana pun sentiasa mencabar. Sebab itulah parti politik sudah awal-awal lagi mengeluarkan kitab manifesto ini. Mereka mahu rakyat yang akan mengundi sudah mengetahui lebih awal segala dasar parti yang diperjuangkan.”
Ayah menghela nafas seketika.
“Tak semua janji pilihan raya dapat dilaksanakan. Banyak kekangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi.”
Kata ayah ikhlas.
“Tapi, rakyat mahu setiap janji itu ditepati. Jika tidak ditunaikan itu berbohong namanya. Sekarang ini semua perkara sudah boleh dikongsikan dalam media sosial.
“Rakyat boleh tahu yang mana satu ahli politik yang betul-betul bertugas untuk masyarakat dan yang mana satu ahli politik yang sekadar berjanji sahaja.”
Ujarku bersuara.
Perbualan kami terhenti seketika apabila petang redup itu ayah mengajak aku turun ke bawah untuk melihat tanaman yang ditanamnya di belakang rumah. Kami sama-sama menyusuri anak tangga kayu dengan berhati-hati. Sebaik menjejakkan kaki di atas tanah, ayah menjenguk tempayan lama yang berisi air di tepi tangga.
Tempayan yang berusia lebih puluhan tahun itu sudah lama terletak di situ semenjak aku masih kanak-kanak lagi. Kata ayah, tempayan itu mempunyai nostalgia terindah ketika bersama arwah ibu lagi.
“Nanti kalau kamu nak balik Kuala Lumpur, kutiplah halia, lengkuas, sawi, bayam, lada dan limau kasturi yang ayah tanam. Sejak emak kamu tiada, ayah sedekahkan sahaja tanaman itu kepada jiran tetangga kita.”
Ayah melangkah perlahan menyusuri laluan kecil yang berumput tebal. Aku sekadar menyusuri dari belakang sambil mata melilau melihat tanam-tanaman yang melebat di belakang rumah.
Rajin sungguh ayah mengusahakan tanaman sayur di kawasan lapang belakang rumah meskipun usia ayah sudah melebihi tujuh puluh tahun.
“Harga barangan pun semakin naik. Nanti tak payahlah kamu habiskan duit membeli sayur-sayuran di sana. Kutip sahaja apa yang ada di kebun kecil kita ini.Kalau ada lebih sedekahkan pada jiran tetangga.”
Pintu kayu di belakang rumah ayah buka perlahan. Seekor dua anak ayam yang jinak mendekati kaki ayah sebelum ayah menaburi dengan butir-butir jagung di tangan. Mataku menangkap reban kayu yang dipenuhi ayam, itik dan angsa yang ayah ternak.
“Rakyat semakin terbeban dengan harga barangan yang meningkat naik. Ahli politik kena fikirkan juga nasib rakyat yang hidup dalam kemiskinan dan kelaparan.”
Aku bersuara sesudah kaki melangkah memasuki kebun kecil yang dipenuhi aneka tanaman sayur dan ulam-ulaman.
“Dalam kitab manifesto ada janji parti politik untuk menurunkan harga barangan yang menjadi keperluan asas penduduk. Harga telor ayam dan sayur-sayuran tidak wajar dinaikkan hanya untuk memberi keuntungan kepada saudagar yang sudah kaya raya.”
Ayah bersuara perlahan seakan mengeluh dengan nasib yang menimpa rakyat bawahan akhir-akhir ini. Berita -berita yang ayah baca dalam surat- khabar tentang kedhaifan dan kemelaratan rakyat kelas tiga sangat mendukacitakan hati dan perasaan ayah.
“Tapi rakyat pun kena bijak berbelanja. Jangan terlalu boros hingga menyebabkan inflasi yang teruk.”
“Sebab itulah ayah sarankan tanah terbiar yang ada perlu ditanam dengan pelbagai sayur-sayuran. Kalau boleh, ternak ayam dan itik juga. Tak perlulah kita sibuk membeli telor ayam dan daging ayam yang harganya semakin naik.”
“Susah, ayah. Orang kota macam saya yang berkerjaya ini sentiasa tak cukup masa untuk bercucuk tanam.”
Aku bersuara sebaik beberapa biji cili hijau dan merah sudah ada di dalam genggaman. Ayah berpaling ke arahku dengan mata berkaca.
“Bukan tak cukup masa tetapi sikap malas nak berusaha. Itu sahaja. Macam-macam kaedah penanaman boleh diusahakan. Cuma lagi hendak atau tidak sahaja.”
Petang yang makin tua itu, selepas mengutip aneka sayur-sayuran dan ulam-ulaman di belakang rumah, aku dapat merasakan idea-idea ayah yang dikongsikan bersamaku sungguh menarik. Ayah bagaikan seorang ahli politik yang sentiasa mempunyai fikiran matang dan bijaksana.
“Ayah patut jadi ahli politik dari dulu lagi.”
Aku bersuara ketika kami sudah menjengah masuk ke dalam rumah. Ayah tersenyum tawar.
“Ayah tak minat politik. Tapi, beberapa ahli politik di peringkat daerah ini selalu datang berjumpa ayah untuk mendapatkan pandangan. Ayah sekadar memberi idea dan selebihnya terserah pada mereka yang berkedudukan.”
Malam itu, selepas makan malam ayah menyambung kembali bacaan kitab kecil itu dengan membaca beberapa perenggan di muka surat terakhir.
“Dalam politik ini kita perlu bijaksana dan berhemah. Janji-janji yang tertera dalam kitab manifesto perlu dilaksana sebelum rakyat marah dan bangkit melawan.
“Jangan sampai mengeluarkan kenyataan dangkal yang menyebabkan rakyat tertawa dan akhirnya menyelar kata-kata yang tidak rasional. Ini zaman moden yang semuanya boleh dikuasai di hujung jari.”
Aku sekadar menjadi pendengar setia. Meskipun tidak berminat dengan dunia politik, aku cuba juga untuk memberi pendapat selepas mendengar ayah berhujah.
“Ayah bersetuju setiap rakyat disogokkan dengan wang ringgit?”
Soalan dari hujung lidahku membuatkan ayah berhenti membaca. Kitab kecil itu ditutup perlahan. Ayah berpaling ke arahku.
“Wang ringgit bukan penyelesaian untuk segala masalah. Ayah lebih gembira kalau rakyat yang terhimpit tidak diberikan udang atau ikan, tetapi berikan mereka pancing, mata kail dan umpan yang terbaik sebelum ditunjukkan lubuk atau tempat yang banyak ikan. Itu cara berpolitik yang betul.”
Kata-kata ayah membuatkan aku merasa kagum. Meskipun tidak menerima pengajian ilmu politik dari mana-mana institusi pengajian tinggi, fikiran bernas ayah bagaikan seorang politikus bijaksana dan matang.
“Hutan dan belantara kita pun semakin hari semakin ditarah oleh saudagar yang entah dari mana. Habis pokok-pokok dan tumbuhan besar ditebang hingga menyebabkan kerosakan alam sekitar.”
Aku bersuara dengan nada kecewa. Ayah sekali lagi berpaling ke arahku.
“Ini satu lagi isu yang perlu diselesaikan oleh pihak atasan. Ahli politik sepatutnya kena ada usaha untuk menanam kembali pokok-pokok agar kehijauan alam dapat dikekalkan. Ia perlu dimulakan dari sekarang jika tidak mahu hutan rimba kita hilang dan rosak.”
Banyak yang kami perbualkan hingga tidak sedar yang jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Aku perlu tidur awal kerana pagi esok aku perlu segera pulang ke ibu kota. Banyak tugasan yang sedang menantiku sebagai salah seorang kakitangan di jabatan penting kerajaan.
Seawal pagi, selepas semua persiapan untuk pulang selesai, aku dikejutkan dengan pelbagai bekalan di dalam guni besar telah siap menantiku. Buah kelapa tua dan muda, pelbagai jenis sayur-sayuran, telor ayam dan telor itik serta buah-buahan kampung sudah bersedia untuk memenuhi bonet keretaku.
“Bawa balik semua ini. Nanti sedekahkan juga pada rakan-rakan kamu di pejabat. Bahan makanan ini diusahakan oleh orang yang rajin berbudi pada tanah.Bangsa kita jangan jadi pemalas. Jangan harap makan gaji sahaja.”
Kata-kata ayah bagaikan belati tajam yang menghiris hati dan perasaanku. Ayah seperti menyelar sikapku yang kerapkali mempertahankan budaya manusia kota yang inginkan kesenangan hidup dengan cara mudah.
“Nanti, bila kamu sudah bersara dari jabatan kerajaan baliklah ke kampung dan usahakan tanah pusaka ayah ini. Kambing, lembu, kerbau dan biri-biri yang ayah ternak itu lebih lumayan daripada gaji dan bonus kami bertahun-tahun.
“Kekayaan sebenar bukan kerana kereta besar dan rumah batu tetapi harta yang diwarisi dari satu keturunan ke satu keturunan tidak jatuh ke tangan bangsa lain.”
Kata-kata terakhir ayah amat menyentuh nuraniku. Kata-kata yang cukup berbekas daripada seorang lelaki kampung yang memiliki karisma kepimpinan yang hebat dan disegani ramai.
“Nanti ayah tulis kitab manifesto untuk Badrul baca. Tentu idea ayah akan diterima oleh ramai ahli politik akan datang.”
Aku salami ayah sambil memeluk erat tubuh tua itu dengan perasaan yang terbuai asyik. Sebelum kereta dihidupkan ayah letakkan kitab nipis itu di dalam keretaku.
“Kamu bacalah kitab kecil ini. Ini bukan kitab suci tetapi beberapa idea yang baik boleh diterima untuk warga kota. Ayah dah habis membaca. Orang politik juga perlu diberikan buku manfesto untuk dibaca dan difahami. Ramai ahli politik yang sudah tersalah arah dan terpesong ideologi. Mereka perlu ditunjukkan jalan betul dan tidak tersongsang arah.”
Aku senyum tanda memahami kata-kata ayah yang tersirat seribu makna. Keretaku mengaum sebelum meninggalkan pekarangan rumah pusaka ayah yang diredupi aneka pohon dan tumbuhan hijau.
Seminggu selepas itu, skrin e-melkan menerima tulisan-tulisan menarik yang dikirimkan ayah. Ayah menulis manifesto yang sungguh menarik untuk aku baca sebelum memintaku mencetak menjadi senaskah buku kecil.
“Ini manifesto politik dari ayah. Kamu berilah pada semua pemimpin kecil dan besar di ibu kota. Beritahu kepada mereka bahawa ini manifesto dari orang kampung untuk semua politikus.
“Minta mereka fahami dan laksanakan ketika dunia politik sekarang sedang berada dalam suasana kacau bilau dan penuh dengan persepsi buruk dan jelek.”
Lama aku termenung meneliti tulisan demi tulisan manifesto politik dari ayah. – MINGGUAN MALAYSIA
Manifesto politik dari ayah
- Oleh NAZRI HUSSEIN
- 13 Februari 2022, 5:08 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Mayat tanpa identiti ditemukan terapung dalam sungai
22 Disember 2024, 9:50 pm
Dua remaja sekolah buat aksi ‘sumbang’ di kubur Cina
22 Disember 2024, 9:30 pm
Konsert Rock Kapak 2, imbau memori bersama rockers ‘otai’
22 Disember 2024, 9:30 pm