Kuasa - Utusan Malaysia

Kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keluh kesah terdengar di sana sini. Suatu ketika dahulu, orang Kampung Pinang tidak berasa tertekan langsung. Kehidupan di kampung itu amat selesa. Udara nyaman dan bersih. Begitu juga sungai mengalir tenang dan airnya jernih. Orang Kampung Pinang walaupun kebanyakan bekerja sendiri, tetapi mereka tidak mengeluh, walhal pendapatan tidak begitu banyak. Cukup untuk hidup sempurna.
Mereka ada yang menanam padi, ada yang menoreh getah, ada juga berniaga kecil- kecilan. Semua bidang ada di dalam kampung itu. Walaupun orang tua tidak ramai bekerja dengan kerajaan dan menjadi ahli perniagaan besar, tetapi anak-anak mereka ada yang menjadi doktor, pensyarah, ahli korporat dan macam-macam bidang profesional lain.
Memasuki abad 2000 kehidupan orang kampung macam nafas orang sakit tenat, mencungap turun naik deras dan keras. Ini semua berpunca daripada harga barangan meningkat. Bila harga bahan api naik, barangan keperluan lain ikut naik. Adakalanya harga minyak turun, barang keperluan tidak ikut turun.
Begitu juga bila diumumkan kenaikan gaji kakitangan awam, esok barangan dah naik. Ini yang memberi tamparan hebat kepada warga kampung.
Mujur Kampung Pinang, memperoleh seorang ketua kampung yang cekap dan berwawasan. Peluang diberi, rancangan diatur dan setiap cadangan diterima dan melahirkan jalur-jalur ekonomi untuk warganya.
Pak Uda menjadi ketua kampung sejak anaknya menjadi seorang ahli korporat terkenal di Kuala Lumpur. Banyak bantuan disalurkan ke kampung sejak Pak Uda dilantik menjadi Tok Ketua.
Anak-anak kampung pun mendapat rahmat daripadanya. Kelab usahawan, persatuan penduduk, kumpulan wanita dan belia serta lain-lain bangkit dan aktif kerana mereka telah disalurkan dengan keperluan yang diharapkan.
Tok Ketua memang baik kata orang kampung dan untuk pembangunan kampung serta warganya Tok Ketua sanggup berkorban apa sahaja. Untuk menjadi seorang usahawan kecil sekalipun, memerlukan modal. Rahim yang baru habis tingkatan lima, tetapi hendak berniaga kecil-kecilan, mengadu kepada Tok Ketua kerana tidak cukup modal untuk berniaga. Dalam tempoh seminggu Rahim sudah dapat modal daripada Tok Ketua. Cukup untuk dia membuka stall burger dan menjual air tebu. Sejak itu ramai yang jumpa Tok Ketua dan mohon bantuan. Mereka pun dapat, tak banyak sikit dapat juga dan boleh memulakan perniagaan.
Tok Ketua pernah bercakap dalam satu majlis ‘Membina Usahawan Muda’. Dia mahukan anak muda kampung membina jatidiri, telus dan gigih menjayakan sesuatu usaha. Jangan jadi seperti ‘tahi ayam’ atau tidak berani genggam bara api sampai jadi arang’. Berniaga yang baik mestilah jujur. Ada konsep sedekah dan yang penting bayar zakat.
Tok ketua mahu orang Melayu yang berjaya membantu orang Melayu yang belum berjaya. Masalah pertama kata Tok Ketua, kewangan. Beri mereka duit dan bimbing mereka sampai berjaya. Pasti boleh! Keyakinan itu membuatkan usaha Tok Ketua berjaya menjadikan orang kampung bergelar usahawan kecil dan sederhana. Di Kampung Pinang, ramai yang membuka perusahaan sendiri. Perusahaan makanan, kraf, industri itu dan ini, membuka warung kecil- kecilan. Tok Ketua berbangga, seluruh anak kampung berlumba-lumba menjalankan projek sendiri.
Dalam hati Tok Ketua, kalau beginilah sikap orang Melayu, sudah lama mereka menjadi maju dan bukan satu daerah satu industri dapat diwujudkan, malah satu rumah satu industri pun boleh. Persoalannya, mengapa ini tidak berlaku kepada kampung lain atau orang Melayu? Sebabnya korporat Melayu tidak melahirkan jutaan Melayu.
Kebanyakan korporat Melayu tidak mahu kongsi kejayaan atau menjadikan anak Melayu di bawah mereka jadi jutawan. Satu korporat melahirkan sekurang-kurangnya lima jutawan. Sudah pasti ramai orang Melayu menjadi jutawan dan jutawan Melayu terus berusaha melahirkan jutawan lain. Itulah difikirkan oleh Tok Ketua. Cuma dia tidak punya wang banyak dan kuasa besar.
Yang Tok Ketua tidak begitu selesa, bila anak anak kampung sudah berjaya, banyaklah bank bank yang datang menawarkan pinjaman, agensi Kerajaan pula mengaku kerana usaha dan bimbingan mereka, menaikan papan tanda kononnya usahawan muda adalah bimbingan mereka. Tersengeh panjang Tok Ketua mengingatinya.
Sebelum ini ada bantuan kewangan dan teknikal serta barangan yang ditawarkan oleh kerajaan tidak dimanfaatkan langsung? Buktinya berapa peratus orang Melayu yang muncul sebagai usahawan berbanding perbelanjaan yang ditawarkan itu? Ini yang menjadikan Tok Ketua tidak faham, malah hairan dan berserabut memikirkannya.
Kalau benarlah setiap korporat Melayu boleh melahirkan lima anak Melayu menjadi korporat juga, dan yang lima itu, setiap seorang melahirkan lima orang lagi korporat atau jutawan, nescaya ekonomi Melayu telah lama berkembang. Kotak fikiran Tok Ketua menerawang jauh.
Tetapi ini tidak berlaku, mengapa? Bantuan yang ada tidak sampai ke golongan sasar. Pinjaman yang dipohon tidak diperoleh, mesin yang dipohon salah dan lambat sampai. Jumlah pinjaman pula tidak mencukupi dan pelbagai birokrasi menyebabkan pertumbuhan itu terbantut.
Tok Ketua tidak begitu, dia percaya pinjaman yang mencukupi, cepat, telus beserta bimbingan dengan cepat menghasilkan kejayaan. Contohnya, ramai anak kampung telah menjadi usahawan, malah ramai yang datang ke kampung itu setelah menjadi kampung contoh peringkat kebangsaan mencari formula bagaimana Tok Ketua berjaya mentadbir kampung.
Kampung Pinang, bukan seperti kampung tradisional lain. Fizikalnya sebuah kampung biasa, tetapi kelainannya banyak, memasuki kampung itu seperti memasuki taman yang segar dan indah. Rumahnya tersusun dan cantik, bersih. Warganya peramah dan mesra. Antara satu dengan lain bagaikan sebuah keluarga.
Tok Ketua berjaya membentuk sahsiah diri setiap warga Kampung Pinang sehingga mereka menjadi keluarga yang harmoni. Kegiatan ekonominya berjalan lancar dan serentak dengan pembangunan sosial penduduknya.
Di balai raya berkumpulnya muda mudi, membincangkan sesuatu dan sentiasa mencari peluang untuk memajukan diri mereka. Wanita yang berusia menjadi guru kepada yang muda dalam bidang yang mereka tahu. Di Kampung Pinang anak mudanya menjadi seorang yang pandai dan berilmu, pemudinya juga begitu. Mereka pandai pelbagai kemahiran dan ilmu agama.
Di Kampung Pinang tidak ada remaja yang menggunakan hak kebebasan ada. Tidak ada yang menjadi penagih dadah dan tidak ramai perokok, termasuk orang tuanya. Apatah lagi menjadi kutu rayau dan merempit. Pendek kata tidak ada ruang ‘malas’ di dalam kehidupan warga Kampung Pinang kerana ruang kejayaan sentiasa di hadapan mata. Mereka pula berasa malu jika tidak mencontohi mereka yang telah berjaya.
Semuanya berpunca daripada kuasa. Kata Tok Ketua. Bila kita mempunyai kuasa, bagaimana kuasa itu hendak digerakkan. Apakah ia untuk jalan yang baik atau tidak. Jika kita pilih untuk kebaikan, kebaikan yang kita dapat begitu juga sebaliknya.
Tok ketua hairan mengapa orang yang telah mempunyai kuasa tidak berjaya memberi manfaat kepada orang yang memerlukan kuasa mereka?
“Aku pun hairan, dah jadi YB pun tak tahu apa nak buat. Kuasa dah ada tapi apa yang rakyat dapat manfaat?” cetus Kudin ketika minum pagi bersama-sama Meon, Sahak, Khir, Mail dan Jamil.
Kawan-kawan yang mendengar teguran sinis Kudin Cuma menganggukkan kepala saja. Itu sudah bermakna buat Kudin kerana Kudin faham kawan-kawan sekampungnya itu setuju dengan cetusannya.
“Kita bukan minta duit pada mereka, tapi cukuplah kalau mereka menyokong usaha-usaha kita. Di kampung ni, banyak yang nak kita lakukan, termasuk kerja-kerja amal. untuk orang kampung.
“Mujurlah kita ada Tok Ketua bijaksana. Tahu sikit hal ekonomi” Celah Jamil yang selama ini mendiamkan diri.
“Kita di kampung ini boleh bersatu. Pepatah Melayu ada mengatakan bersatu teguh, bercerai roboh.” Mail pula mencelah. Mereka sama-sama mengangguk. Kebetulan meja sebelah didalam dewan itu sedang bermain dam haji. Apa yang ditawakannya mereka pun tak tahu.
Jamil sempat menjenguk ke meja sebelah kelihatan dia Tok Rasid tewas dikerjakan Udin. Udin memang terkenal sebagai jaguh dam haji, tidak mudah untuk menewaskannya.
Minggu depan Kampung Pinang akan menerima lawatan beberapa kampung dan seorang menteri yang memegang portfolio pertanian, Ini satu peluang keemasan yang boleh diambil oleh Tok Ketua untuk menaikkan industri pertanian orang kampungnya.
Anak anak kampungnya pula ramai yang terlibat dengan pertanian, Pekebun sayur, penternak kambung lembu, penternak ikan dan juga peladang. Pendek kata anak kampung Pinang memang gigih mengusahakan sesuatu.
Ubi kayu pun ditanam secara komersial, keladi pisang, dan betik. Tok Ketua tersenyum memikirkan ubi kayu, keladi betik, tak pernah cukup. Berlori hasil tersebut dikeluarkan. Ia menjadi sumber pendapatan yang baik untuk anak kampungnya juga.
Ubi, keladi yang ditanam masih tak cukup menampung keperluan industri kecil dan sederhana orang kampung. Makcik Joyah memerlukan ubi kayu dan keledek seminggu satu tan untuk menampung pengeluaran industrinya yang kadangkala terpaksa membeli dari luar. Jamil pun sudah meluaskan pajakan tanah hampir 50 ekar untuk dia menanam ubi.
Kebanyakan orang kampung sudah jauh berjaya daripada kemelut lama, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Melihat kesusahan orang kampung di tahun 60-an, menyuntik semangat Tok Ketua untuk berusaha memajukan orang kampungnya..
Kebetulan diakhir usianya dilantik menjadi Tok Ketua. Niat yang tersimpul kukuh sekian lama digunakan sebaiknya. Mujur juga ada anak-anak kampung yang berpendidikan. Dia menggunakan kesempatan itu, daripada anak-anak yang telah ke menara gading dalam bidang tertentu bergabung dengan niatnya untuk membangunkan Kampung Pinang dan menjadi contoh kepada kampung lain.
Maka hari ini terlahir sebuah kampung yang boleh memberi sumber inpirasi kepada kampung lain. Anak-anak kampung yang sudah berjaya di luar, ada waktunya dipanggil balik memberi motivasi.
Itu yang difikirkan oleh Tok Ketua sekian lama. Sehingga hari ini Kampung Pnang sudah menjadi kampung contoh dan berjaya di peringkat kebangsaan.
Satu yang sedang difikirkan oleh Tok Ketua. Bagaimana dia hendak membesarkan Kampung Pinang kerana keluasan kampung itu terhad. Dia bercadang untuk berbincang dengan Menteri Besar untuk mengambil estet bersempadan dengan kampung tersebut. Duit orang kampung yang sudah terkumpul agak banyak juga. Ini membolehkan Kampung Pinang membeli sedikit tanah untuk penempatan anak anak kampung Pinang balik kampung.
Pertemuan dengan Menteri Besar nanti hajatnya akan disampaikan. Melalui Menteri Besar juga harapannya akan tercapai. Tok Ketua tersenyum. Dia merasa puas segala cita-citanya sudah dan akan tercapai.
Di suatu pagi subuh hening, burung-burung berterbangan mencari makanan. Ketika kokok ayam masih belum reda, ibu bapa, anak sekolah dan remaja dengan tugasnya, Masjid Kampung Pinang mengumumkan berita sedih. Tok Ketua yang sangat disayangi telah pergi buat selama-lamanya. Pak Jamil orang yang selalu awal ke masjid tergamam seketika.
Dalam sendu pagi Jumaat itu, ramai terkedu dan terlihat mata masing masing berkaca.
“Tok Ketua
“Tok ketua
“Tok Ketua. Hilangnya Tok Ketua sukar dicari ganti. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya