Di sebalik pintu - Utusan Malaysia

Di sebalik pintu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

I

Tidak seperti selalu, hari ini aku melangkah dengan berhati-hati, apatah lagi bila aku terlihat selipar emak masih ada di luar pintu. Kebiasaannya waktu begini emak sudah keluar rumah untuk membawa barang jualannya. Hari ini dia belum keluar lagi. Kenapa? Tidak sihat kah? Aku perlu mendapat kepastian. Perlahan-lahan aku melangkah merapati pintu. Melalui celahan pintu, aku mengintai ke dalam rumah, ternyata emak masih berada di rumah. Dia sedang menyiang sayur di meja makan. Aku gugup sebentar. Tapi rasa mengantuk yang amat sangat menyebabkan aku terpaksa juga masuk ke dalam rumah. Perlahan-lahan aku menolak daun pintu dan melangkah masuk. Emak tunduk meneruskan kerjanya. Tidak menoleh ke kiri atau ke kanan, ataupun ke arahku yang tercegat di muka pintu.
“Mak, minggu depan kami akan membuat persembahan di rumah YB.” Aku memecah kebuntuan dengan harapan emak akan berkata sesuatu. “Kami semua akan mendapat bayaran,” Emak masih tunduk meneruskan kerjanya. “Bukannya main dengan percuma mak,” kataku lagi.
“Mak bukan pertikaikan soal bayaran. Mak hendak kamu membuat sesuatu yang boleh menyara hidup,” emak mula bersuara.
“Mak bersabarlah, apa-apa pun kena ambil masa. Kalau hari ini saya tanam serai, enam bulan lagi baru boleh dapat hasil.”
Aku cuba meyakinkan emak supaya paling kurang memberiku peluang mencuba apa yang telah aku rancang dan laksanakan.
“Kalau sudah tahu kena ambil masa, kenapa selama ini kamu membuang masa? Bertahun-tahun dah kamu macam ini, malam merayau, pagi baru balik, lepas itu tidur sampai petang,” suara emak mula meninggi.
“Tapi, emak berilah saya peluang,” jawabku.
“Memang emak sentiasa beri peluang. Tetapi buatlah kerja yang jelas boleh mendatangkan hasil. Ini kerja yang tidak menentu.
“Kamu sendiri pun tidak tahu berapa hasil yang kamu akan dapat. Kamu mesti ingat umur kamu sudah masuk 27 tahun, kamu tak boleh lagi mencuba-cuba, kamu mesti membuat sesuatu yang kamu yakin boleh berjaya,” kata emak panjang lebar.
“Saya yakin mak,” kataku perlahan.
“Keyakinan kamu itu lebih didorong oleh minat saja, bukannya berdasarkan kepada pendapatan,” jawab emak.
Kali ini aku terdiam, aku berfikir untuk mencari kata-kata sesuai untuk meyakinkan emak apa yang aku lakukan memang akan mendapat pulangan.

II
Aku amat sedih sekali, anakku Amin ini, susah sungguh untuk dibentuk. Umur sudah menjangkau 27 tahun, masih tidak mempunyai pekerjaan, tidur dari pagi, petang baru bangun.
“Amin, mak bukannya nak menghalang kamu berkawan, atau beraktiviti, tetapi kamu bekerjalah, cari duit, sekarang ini makan minum kamu pun hasil daripada kerja mak ini. Berapa sangatlah pendapatan emak dari membuat acar jeruk mentimun ini untuk menyara kehidupan kamu,” aku cuba membuatkan anakku faham.
Ku lihat Amin, menundukkan mukanya. Dengan linangan air mata aku memohon kepada Allah, semoga lembutlah hatinya untuk memahami kesedihanku.
“Amin!, kasihanilah emak. Emak bergantung harap kepada kamu. Kalau diikutkan, emak dah tak berdaya nak melakukan kerja ini. Mak sakit-sakit, dah tak lalu nak membuat acar ni lagi kemudian menggendong acar-acar ini untuk diletakkan di kedai-kedai.”
Aku masih tak puas, aku mesti mencurahkan kesedihan hati ini kepadanya, semoga Amin memahami susah payah aku mencari rezeki.
“Mak mengharapkan kamu akan menyara hidup kita sekeluarga. Biarlah mak berehat.” Aku menahan sebak “Sudah sampai masanya kamu mengambil alih tugas mencari rezeki.” Aku meluahkan kesedihanku.
“Ini pun usaha saya untuk mencari rezeki mak., bukannya saya bermain-main saja.”
“Apa yang kamu dapat bermain rebana tu. Bolehkah dengan bermain rebana kamu mampu untuk menanggung keluarga?” Soal aku.
“Insya-Allah mak. Mak bersabar sahaja. Bila kumpulan rebana ini sudah mantap, kami boleh bermain beberapa lagu, kami boleh memenuhi permintaan mereka yang mahukan persembahan rebana,” jelas Amin cuba meyakinkan aku.
“Berapa sangatlah orang yang hendak orang bermain rebana, sedangkan masa sekarang ini orang hendak makan pun susah?” Tanya aku lagi.
“Masa susah beginilah kita ambil peluang menubuhkan pasukan rebana ini. Masa ini Amin ambil peluang untuk mengumpulkan budak-budak muda untuk menyertai kumpulan ini, kerana masa susah beginilah mereka mempunyai masa untuk berkumpul dan berlatih.
“Tak lama lagi bila ekonomi sudah pulih, orang akan berlumba-lumba untuk mengadakan kenduri dan keramaian. Ketika itulah orang akan mahukan perkhidmatan kami sebagai pasukan rebana,” jelas Amin yang seperti tidak mahu kalah.
“Kamu ini berkhayal. Berpijaklah di bumi nyata. Tinggalkan dulu minat itu, sebaliknya tumpu kepada bagaimana hendak menyara hidup ini. Kalau hidup kita sudah stabil, barulah boleh lakukan apa yang kamu minat.”
“Tapi mak…”
“Tak ada tapi tapi lagi. Kamu kena bekerja, cari duit. Waktu siang adalah untuk bekerja, bukan untuk tidur. Kamu ini, sepanjang siang kamu tidur, bangun hari sudah petang.
“Malam pula kamu berjaga, kalau berjaga kerana bekerja tak apalah juga. Ini kamu isi dengan benda yang bukan-bukan. Kalau kamu kata itu minat, bila masa kamu bekerja?” Bebelku lagi.
“Permainan rebana ini bukan sekadar minat. Permainan ini adalah suatu pekerjaan,” jawab Amin yang membuatkan aku terlopong.
“Main rebana satu pekerjaan? Kamu ini waras ke? Siapakah orang yang pekerjaannya bermain rebana yang kamu ikuti ini? pintasku.

III
Aku tak tahu sama ada aku nak ketawa atau nak menangis bila mendengar Amin berkata main rebana itu satu pekerjaan. Aku meletakkan kain jahitanku di atas meja dan melangkah keluar dari bilik.
Aku duduk di atas tangga ke dapur untuk mengikuti lebih dekat apa yang emak dan Amin perkatakan di sebalik pintu. Dari dalam bilik tadi memang aku dengar perbahasan mereka. Selaku orang tua, emak memang mahukan Amin bekerja dan seterusnya menyara keluarga, tapi Amin mempertahankan aktiviti dia bermain rebana itu sebagai kerja, yang menghasilkan pendapatan.
Aku pun pening juga memikirkan, apa logiknya Amin berkata begitu.
“Beginilah Min, cuba kamu terangkan kepada akak, bagaimana kamu boleh kata bermain rebana itu sebagai suatu pekerjaan, lalu memperoleh pendapatan,” kataku.
Amin mendongak dan menoleh kepada ku.
“Sebelum saya jawab pertanyaan kakak, saya nak tanya sesuatu. Kalau kita tanam serai, umpamanya, semasa kita menanam serai itu, kita tidak ada pendapatan kan?
“Bahkan kita kena keluar duit pula. Kita kena beli benih, kena bajak tanah, baja dan racun. Hanya selepas enam bulan baru kita boleh keluar hasil dan jual. Ke mana nak dijual? Kena ikut permintaan.”
“Betul!” aku memberi respons. “Tapi sepanjang enam bulan itu kita sudah boleh menjangka hasilnya, walaupun mungkin terdedah kepada faktor yang boleh menggagalkan usaha.”
“Baik, ertinya sepanjang enam bulan kita kena keluarkan modal. Betul?
“Betul.”
“Rebana, saya tak perlu mengeluarkan modal.”
“Sekarang, kita tengok Kementerian Kebudayaan, kalau tempat kita ini Jabatan Kebudayaan, seperti terhenti pergerakannya,
“Jika kita ambil peluang ketika ini untuk menggerakkan aktiviti kebudayaan mereka mudah menyalurkan bantuan kerana kita merupakan satu-satunya aktiviti mereka.
“Mereka ada skim Perantisan, saya memohon peruntukan di bawah skim ini. Melalui kertas kerja yang saya hantar, kami layak menerima bantuan tersebut. Ini merupakan modal bagi kami. Melalui pejabat Penghulu kami telah diberi tempat untuk berlatih sementara YB kita pula menyumbang 12 biji rebana. Ini sudah cukup untuk kami memulakan aktiviti.” Amin mengemukakan hujahnya.
Aku dah mula nampak ke arah mana cara Amin berfikir.
“Saya berpegang kepada prinsip seni adalah satu profesion. Seni berperanan untuk menaikkan taraf bangsa. Itulah sebab kerajaan memberikan peruntukan kewangan sama seperti kementerian lain. Saya sebagai orang yang bertanggungjawab untuk menerima peruntukan tersebut, tidaklah boleh menganggap kerja ini sebagai kerja sampingan. Saya mesti bersungguh-sungguh. Saya percaya jika kita melakukan sesuatu kerja itu dengan serius, kita akan berjaya,” kata Amin panjang lebar dan bersemangat.
“Akak tak tahu itu semua. Cuma akak nak tanya, kamu ini mampukah untuk menyara keluarga kamu nanti. Jangan sampai bini kamu terpaksa bertungkus lumus mencari nafkah sedangkan kamu asyik bermain rebana yang tak tentu pendapatannya,” tegasku.
“Itu dulu kak, sekarang ini orang terjun dalam air pun boleh jadi jutawan!” Aku hilang kata-kata.  – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya