Waffle dan Milo - Utusan Malaysia

Waffle dan Milo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NASIBAH bergegas menuruni anak tang­­ga kampus. Dia kena pulang juga hari ini. Fikirannya sudah tidak tenteram sejak Hanif maklumkan kondisi ayah pagi tadi.
Panorama institusi di pinggir laut itu cukup mendamaikan. Namun tidak sedamai gelora yang melanda tepian pantai hatinya.
‘Ambil Grab je kot,’ desis­nya sendirian. Sejak ada perkhid­matan e-hailing itu, ramai juga pelajar yang menggunakannya. Lebih pantas dan mudah. Untuk hal-hal kecemasan seperti itu, perkhidmatan tersebut banyak mem­bantu
Tambang Grab mahal sedikit daripada bas biasa. Namun da­lam hal ini, itu semua jadi nombor dua. Dia mahu cepat tengok ayah. Abangnya, Hanif tentu kekalutan dengan kerja hakiki sedia ada. Mana hendak buka kedai, jaga adik-adik dan sebagainya. Itu Nasibah amat arif kerana telah mengalaminya sebelum itu.
Pengalaman mengurusi ibu hingga akhir hayatnya menjadikan Nasibah amat sinonim dengan simfoni lara. Keluarganya memang tidak lekang daripada ujian getir. Terlalu banyak jika mahu dihitung dengan jemari. Pun itu tidak pula menjadi asbab untuknya kecewa. Hidup ini perjuangan dan perjuangan perlu cabaran!
Selepas berurusan dalam talian, dia bergegas pula memohon surat kebenaran warden. Biasanya Grab akan menunggu di pintu pagar utama. Perkhidmatan Grab ini cepat sahaja sampainya, tidak perlu tunggu lama. Betul perkiraannya, melepasi sahaja pintu keluar kampus, kenderaan Grab sedia menanti. Senyum seulas dihadiahkan pemandu yang masih kelihatan remaja amat itu. Barangkali baharu sahaja lepas sekolah, getus hatinya. Melihat dia menyedut air, teringat Nasibah kepada Milo ais dan waffle di meja yang tidak sempat dijamah. Bergeluk air liurnya melintasi terowong.
Kira-kira sejam sahaja Nasi­bah tiba di lokasi. Dia terus ke hospital. Rasa rindu memecut. Keinginan untuk menatap wajah ayah membuak-buak dalam hatinya. Bayangan papan wajah kedut ayah berbalam di paparan minda. Sayu hatinya mengenangkan peristiwa yang pernah dialaminya ketika gemulah ibu dahulu.
“Bagaimana keadaan ayah, bang?” selepas menyalami Hanif, Nasibah mulakan soalan. Hanif tidak terus menjawab. Dia kalih pandangan ke katil Pak Kudin. Nasibah tidak tunggu lama jawapan abangnya. Dia rapati ayahnya yang pegun. Doktor merehatkannya untuk memberi ruang kepada organ-organ dalaman istirahat dan berfungsi normal.
“Dia tak boleh diganggu buat masa ini, jantung ayah masih lemah,” Hanif ulas lembut melihat adiknya cuba membelai-belai tangan Pak Kudin tanpa respons. Kadang-kadang lebih baik juga begitu, tidaklah ayah meronta-ronta atau minta yang bukan-bukan, desis hati Hanif. Dia sudah mangli dengan kerenah orang sakit. Kalau dalam keadaan sedar, banyak pula yang hendak dilakukan.
Dua tiga hari Hanif tidak cukup tidur. Semua urusan ayah – berak kencing, makan-minum dan lain-lain diladeninya. Apabila ayah dibius begitu, baharulah dia dapat rehat. Boleh juga dia tinggalkan ayah di hospital untuk menjenguk warung dan adik-adiknya.
Ini ujian yang terpaksa dihadapinya. Tuhan tidak akan menjadikan sesuatu itu sia-sia. Hanya hamba-hamba-Nya yang terpilih sahaja dapat ujian seperti itu, Hanif muhasabah.
“Tak apalah, abang balik dulu. Biar Iba tunggu ayah pula.” Usul Nasibah. Hanif akur sahaja. Teringat dia akan barang-barang yang akan dibeli untuk jualan di warung. Sejak ayah sakit ini, dialah jadi galang ganti menjaga semuanya.
“Baiklah. Abang tengok adik-adik dulu. Nak beli barang untuk warung sikit. Kalau ada apa-apa Iba beritahu cepat,” pesan Hanif. Di rumah, Nita dan Iman sedang menanti. Nita sudah boleh diharap untuk menjaga rumah sepanjang ketiadaan abang sulungnya yang sedang menunggu lamaran pekerjaan tetap itu. Pun begitu, Hanif kena pantau juga keadaan mereka.
Sebelum meninggalkan ruang, dia kucup dahi ayah yang pucat lesi. Segugus doa berpuput di graha nubari. Di kiri-kanan katil, masih ramai pesakit lain yang bermacam ragam.
Sesekali difikirkan kesusahan yang dialami mereka, masih bersyukur juga dia kerana ada dalam kalangan pesakit lebih menderita daripada ayah. Katil hujung sana, Mak Leha pesakit kencing manis yang dipotong kakinya, hidup sebatang kara, tiada siapa menziarahinya. Cuma pernah dilihat pegawai JKM bertanya khabar.
Selang dua katil daripada Pak Kudin pula Uncle Nathan- mengalami lelah melampau dan sakit tua. Dia hanya ditemani isteri yang juga sesekali batuk-batuk. Menurut ceritanya, mereka ada ramai anak tetapi tidak seorang pun datang menjenguk.
***
Seperti biasa Hanif bertemankan kapcai lama ayah untuk ke mana-mana. Dia telah lulus lesen dan bebas memandu kenderaan itu. Sebelum itu, bimbang juga dia hendak lajak sampai ke bandar. Setakat ke warung dan balik ke rumah itu bolehlah.
Ayahnya pun tidak galakkan Hanif menunggang motosikal hingga ke bandar. Hanif tahu limitasi laluannya. Dia tahu mana betul mana salah, tetapi dalam keadaan terpaksa membuatkannya sesekali gunakan juga kemudahan tersebut. Kini, dia rasa lega kerana halangan itu dapat diatasi. Hasil berjimat pinjaman PTPTN, dapatlah dia kumpul duit dapatkan lesen.
Laluan trafik petang itu agak sibuk, maklumlah masa balik kerja. Jarak dari hospital ke rumahnya tidaklah jauh sangat. Letih bersengkang mata malam menjaga ayahnya masih terasa juga. Sesekali matanya berpinar menentang pancaran cahaya suria petang yang masih galak itu. Bahan-bahan keperluan warung telah dibelinya. Susu cair, kismis, pewarna dan beberapa lagi bahan untuk ABC terletak molek dalam raga kapcai tua itu. Pencicah keropok lekor juga ada dalam senarai ramuan diperlukan.
Itu barang-barang yang Mak Cik Ton titipkan menerusi pesanan gajet. Mak Cik Ton ambil prakarsa membantu Hanif dan keluarganya men­­jalankan kerja-kerja di warung. Syukur benar Ha­nif dengan ringan tulang jirannya itu. Bukan sahaja baik tutur katanya bahkan prihatin dengan nasib mereka sekeluarga.
Dahulu, ketika gemulah ibu masih ada, mereka memang bersahabat baik. Ke mana sahaja ibu pergi mesti Mak Cik Ton sertai. Ibarat isi dengan kukulah gamaknya hubungan mereka berdua. Alhamdulillah, ukhuwah itu berterusaan biarpun kini ibu telah pergi tidak kembali lagi. Ralit pula Hanif melayan memori ketika ibunya masih ada dahulu. Kenangan lama memang mengusik jiwa.
Hujan renyai-renyai mulai turun. Kian lebat tapi tidak mengganggu perjalanan kenderaan. Sejalur bianglala petang bergelung cantik di celahan awan. Lama sudah fenomena alam seperti itu tidak kelihatan. Musim panas yang berpanjangan sejak dua tiga bulan itu membuatkan kedatangan hujan itu seakan rahmat kepada umat.
Keadaan laluan mulai basah dan licin. Manik-manik air hujan berbintik di atas aspal yang meruap hasil berlaku tindak balas sejatan alam. Hanif mengambil selekoh akhir sebelum menuju ke jalan hala ke warungnya. Tanpa dia sedar, sebuah kereta Kancil dipandu agak laju memintas.
Kedatangan kereta yang secara tiba-tiba itu membuatkan kawalannya terganggu dan terlanggar bahagian belakang. Hanif terguling dua tiga kali di atas jalan sebelum motor yang ditunggang menghempapnya pula. Bunyi brek kenderaan spontan menjerit memenangi deruan trafik.
Serentak itu orang ramai yang segera memberhentikan kenderaan, bergegas pula mendapatkan mangsa yang terbaring berlumuran darah. Segera pula mereka mengalihkannya ke birai jalan, sambil beberapa lagi mengawal lalu-lintas. Kereta Kancil yang terlibat dalam kemalangan tersebut dilihat terus memecut meninggalkan lapangan.
Tin susu, kismis dan bahan-bahan yang dibawa Hanif tadi bertaburan di atas jalan. Cecair susu bercampur dengan merah darah menyimbah jalan yang sedia dibasahi gerimis petang. Laluan trafik tergendala seketika, memberi izin laluan kepada bantuan kecemasan.
Beberapa minit kemudian, kedengaran jeritan siren ambulans dan kereta polis ke tempat kejadian. Sekali lagi suasana gawat berlangsung betul-betul di selekoh masuk ke jalan warung Pak Kudin. Bunyi hingar yang memecah rintik gerimis petang itu segera pula menarik perhatian pengunjung warung. Dua tiga orang remaja pantas pula sampai menapak ke sana.
“Hanif kemalangan! Hanif, anak Pak Kudin ‘accident’!” suara seseorang yang melihat kejadian di selekoh hadapan tadi. Suara yang menyentap keriuhan suasana. Perlahan-lahan aliran lalu-lintas kembali pulih setelah mangsa dibawa ke pusat rawatan.

***
Unit Kecemasan Hospital Besar Chukai menjadi tumpuan lagi. Keadaan sekitar samar-samar ketika cindai senja mula berkhemah dan kasur malam pula menjengah. Sebuah ambulans mendarat betul-betul di depan pintu unit itu. Dua tiga orang kakitangan paramedik membantu mengangkat jasad seseorang.
Suasana senja yang kelam bertambah kalut dengan pelbagai agenda yang wajar dilakukan. Beberapa pengunjung kelihatan bergegas keluar dari wad usai melawat saudara mereka. Ada pula kakitangan hospital yang baru masuk mengganti rutin tugas rakan sekerja. Laungan azan pula baru lenyap dari siaran, memanggil beberapa orang yang mendiami lapangan premis itu bergerak pula ke surau berhampiran.
Nasibah keluar untuk menunaikan tuntutan ubudiah sambil mencari bekalan makanan malam, maklumlah dari tengah hari perutnya tidak diisi. Keadaan ayah yang masih ‘tidur’ diambil peluang untuk urusan ibadah. Usai solat, dia duduk di kerusi tepi laluan yang tidak berapa jauh dari Unit Kecemasan Hospital.
Sekeping ‘waffle strawberi’ dan air Milo panas kegemaran cukup untuknya mengalas perut. Dia cicip secubit waffle masih hangat. Keadaan galau di pintu Unit Kecemasan tidak mengganggunya menikmati penganan itu dan merehatkan fikiran sejenak. Dia sudah biasa dengan situasi tersebut. Masuk kali ini sudah tiga kali dia ulang-alik ke hospital dalam keadaan cemas begitu. Mula dengan sakit ibu yang membawa kewafatannya, kini diikuti ayah pula.
Namun tiba-tiba pandangan matanya terusik tatkala melihat sosok tubuh yang lazim pada pandangannya. Ya, kelibat lelaki, pengunjung tetap warungnya dilihat kalut mengambil barang dari ambulans. Kemudian masuk bersama pegawai peru­ba­tan ke wad kecemasan. Nasibah bingkas menapak ke arah pintu. Ambulans pantas pula bergerak mengalih tempat parkir. “Eh, abang, buat apa di sini?” Nasibah lontar soalan kepada pria di kaunter pendaftaran.
Lelaki itu seakan sengaja melengahkan masa memberi jawapan. Wajahnya terfana. Senyum tawar sahaja diutus sebagai proksi jawapan sambil sengaja bertanya sesuatu kepada pegawai kaunter.
“Abang kenapa ini?” Nasibah yang licik itu mula mengesyaki sesuatu.
“Bertenang, Iba…” dia masih berjeda. Beg galas dibawanya cuba disorokkan dari pandangan orang. Emosi Nasibah mula meronta. Bergejolak bagai deru ombak yang muncul secara tiba-tiba di muara. Seorang doktor keluar dari bilik bertanda Zon Merah.
“Doktor, bagaimana keadaannya?” Pertanyaan yang membuatkan air muka Nasibah tambah pucat. Dia dapat meneka apa yang disembunyikan lewat terpandang beg galas lusuh itu.
“Abang Hanif ke?” Air mata sudah berderai di pipi Iba. Membuatkan pegawai perubatan itu beralih pandang pula kepadanya. Lelaki tadi tunduk memaku renung ke mozek lantai hospital.
“Ya, Allah!”
Nasibah rebah. Air Milo dan lebihan waffle yang mula mencair berderai ke lantai. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya