Bubar - Utusan Malaysia

Bubar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cerpen

YB Datuk Sahak termenung di hadapan monitor. Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibubar. Pengumuman rasmi telah dibuat dalam sidang media oleh Menteri Besar petang tadi. Sepantas kilat, berita tersebut merebak di media sosial. Zaman teknologi ini, berita tersebar begitu pantas menyusup ke segenap daerah. Waima yang tinggal di hutan-hutan dan gunung ganang, pun akan dapat berita itu dalam beberapa saat sahaja.
Sejak desas-desus berita itu berlegar-legar sekitar malam tadi, YB Datuk Sahak sudah merasa badannya mula panas-panas seolah-olah diserang demam. Sejak malam tadi telefon bimbitnya bertalu-talu dimasuki pertanyaan. Semua bertanya soalan sama. Soalan yang sukar hendak dijawab, apatah lagi soalan itu menjadikan pandangan YB Datuk Sahak berpinar-pinar dan kepalanya pening-pening lalat.
YB Datuk Sahak sudah menjangkakan perkara itu akan berlaku. Sejak perkara itu ditimbulkan dalam Mesyuarat Exco kerajaan negeri, semua bahagian parti mula bergolak. Semua bahagian sudah mula mencanangkan nama-nama calon yang layak bertanding. Masing-masing sudah mula lobi melobi di peringkat tertinggi.
Tempoh penamaan calon dan hari mengundi biasanya diadakan dalam tempoh 60 hari. Dalam tempoh seminggu atau dua minggu akan datang, setiap parti mencalonkan nama calon yang akan bertanding. Pertanyaan inilah yang berpusu-pusu memasuki telefon bimbitnya. Adakah YB Datuk Sahak akan bertanding pada pilihan raya DUN negeri pada kali ini?
YB Datuk Sahak sedar umurnya kini 69 tahun. Semacam menjadi satu wabak, kebanyakan parti politik mula diterajui tokoh-tokoh muda yang berkaliber.
Dan kebanyakan calon YB, setiap parti mengemukakan pemimpin-pemimpin muda untuk bertanding dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil.
Malah, ada beberapa pihak dengan berani dan lantang, menyuruh tokoh-tokoh politik yang sudah berada di usia senja ini supaya mengundurkan diri daripada arena politik. Kelantangan orang muda ini benar-benar menyakitkan hati YB Datuk Sahak. Nampak sangat orang muda ini tidak mengenang jasa tokoh-tokoh politik yang bersusah payah berjuang menjadikan negara ini bebas dan merdeka.
YB Datuk Sahak benar-benar tercabar dengan perubahan yang berlaku pada parti-parti politik. Peluangnya untuk bertanding dan mengekalkan status YB adalah amat tipis sekali. Transformasi yang sedang melanda parti-parti politik perdana, turut melampias ke partinya dan menggugat kedudukannya sebagai YB.
Lapan penggal dia memegang jawatan YB. Setiap kali pilihan raya, YB Datuk Sahak menang dengan majoriti besar. Pengundi DUN kawasannya begitu setia kepadanya. Jumlah undian yang diperolehnya tetap sama malah bertambah setiap penggal dengan jumlah pengundi baru.
YB Datuk Sahak yakin pengaruhnya di kawasan ADUNnya masih kuat dan pengikutnya masih setia dengannya.
Namanya masih disebut-sebut sebagai YB yang prihatin dan cakna. Kawasan ADUNnya mengalami banyak perubahan sama ada dari segi pembangunan infrastruktur atau prasarana.
Pengangkutan, pendidikan, kesihatan, malah kawasan ADUNnya telah dibekalkan kuasa elektrik termasuk di kampung-kampung yang jauh ke dalam hutan dan bukit bukau.
YB Datuk Sahak sentiasa menjaga dan bertanggungjawab terhadap kawasan ADUNnya. Dari mula dia bergelar YB, banyak perkara yang telah dipelajari. Banyak pengalaman menjadikan dia semakin matang.
Malah YB Datuk Sahak sudah masak dengan sepak terajang dunia politik. Biarpun tiga penggal kebelakangan ini DUN negerinya telah dikuasai dan diperintah oleh parti pembangkang, dia tetap menjalankan amanahnya sebagai seorang YB. Dia masih memenangi ADUNnya dengan majoriti besar. Pihak lawannya masih belum dapat mempengaruhi para pengundi kawasan ADUNnya. Bermacam-macam strategi yang dilakukan oleh lawannnya, namun pengundi masih setia kepadanya.
YB Datuk Sahak mula merasai sesuatu akan berlaku pada kerusi ADUNnya apabila transformasi dalaman berlaku kepada partinya. Pengaruh media sosial begitu cepat meresap dan mempengaruhi pemikiran setiap ahli parti. Mereka mendesak supaya orang muda diberi ruang dan peluang dalam barisan kepimpinan parti.
Orang-muda ini turut mendesak diberi peluang bertanding pada pilihan raya.
Malah ada golongan pemuda ini yang berani dan agresif, membuat demonstrasi di jalanan mendesak parti-parti politik melaksanakan transformasi kepimpinan kerana mereka berpendapat sudah sampai masanya otai-otai politik mengundur diri dan memberi peluang kepada golongan muda memimpin negara.
Beberapa hari sebelum pembubaran DUN Negeri, YB Datuk Sahak telah berjumpa ketua parti di sebuah restoran kopitiam. Pertemuan itu adalah atas kehendak ketua parti. Pertemuan empat mata itu memang benar-benar mendebarkan perasaan YB Datuk Sahak. Pertemuan itu diadakan kira-kira pukul sembilan malam.
“Sahak, kita terpaksa akur dengan perubahan dalam parti sekarang ini,” kata ketua parti bahagiannya.
“Tapi, Dato’ Seri. Calon orang muda ini akan tewas dalam pilihan raya. Mereka ini masih belajar dunia politik. Baru nak bertatih. Mereka masih mentah dan tidak dikenali oleh pengundi. Maknanya parti kita akan kehilangan kerusi yang selama ini dikuasai parti kita. Apakah kepimpinan tertinggi tidak takut kehilangan kerusi yang menjadi milik parti kita, Dato’ Seri?” YB Datuk Sahak menyatakan kebimbangan transformasi yang sedang melanda politik negara.
“Parti tidak akan mencalonkan orang muda yang tidak ada pengalaman dalam politik. Parti hanya meletak calon berwibawa dalam semua aspek. Kelulusan akademik, penglibatan dalam masyarakat, auranya dalam kalangan pengundi. Malah paling penting calon yang berintegriti. Itu semua akan diambil kira,” kata ketua parti sambil menghirup kopi latte.
“Dato’ Seri, saya faham saya ini tidak berpendidikan tinggi. Tapi kenapa selama lapan penggal saya jadi ADUN, pengundi boleh terima kepimpinan saya. Itu bermakna saya telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik,” jelas YB Datuk Sahak mempertahankan dirinya.
“Sahak, saya memang akui kecemerlangan Sahak menjadi ADUN selama berpenggal-penggal. Jarang ada orang yang dapat mengekalkan prestasi macam Sahak. Silap hari bulan, sepenggal sahaja dapat jadi YB. Lepas itu lenyap entah ke mana,” ketua parti berhenti menarik nafas kemudian menyambung lagi.
“Malah masa Sahak dilantik jadi Exco kerajaan negeri, banyak perkara yang Sahak telah buat untuk kemajuan negeri khususnya portfolio yang Sahak pegang. Saya sendiri menyukai Sahak sebagai YB yang mesra rakyat dan merendah diri,” akui ketua parti dengan jujur.
“Habis itu kenapa nama saya disingkirkan daripada senarai calon ADUN, Dato’ Seri? Sudah terang lagi bersuluh. Parti kita akan kalah jika orang muda diletakkan bertanding di ADUN saya, Dato’ Seri!” suara YB Datuk Sahak agak tinggi nadanya.
“Saya mengerti apa yang Sahak cakapkan itu. Tapi ini arahan daripada kepimpinan tertinggi. Mereka ingin mencari pelapis kepimpinan dalam parti. Maka, inilah masanya, Sahak.
“Lagi satu Sahak, saya tidak mahu parti bahagian kita menderhaka kepada keputusan yang telah dibuat oleh kepimpinan tertinggi. Nanti Tan Sri memandang serong kewibawaan saya sebagai ketua parti bahagian,” kata ketua parti memberi jawaban.
“Tapi kenapa saya yang menjadi mangsa? Jadi kambing hitam? Dato’ Seri boleh tengok dengan mata yang terang kan. Sedangkan di peringkat kepimpinan tertinggi, rata-rata ramai yang seusia dengan saya. Kenapa mereka tidak mengundurkan diri? Beri peluang kepada yang muda menggantikan mereka menjadi pelapis kepimpinan?” ujar YB Datuk Sahak terus terang kemudian menyambung lagi.
“Dato’ Seri sendiri, kenapa tidak mahu mengundurkan diri? Sedangkan umur Dato’ Seri pun sudah 74 tahun. Kenapa?” suara YB Datuk Sahak semakin tinggi nadanya. Ketua parti menyedari perubahan suara YB Datuk Sahak.
Ketika mulut ketua parti seakan-akan bergerak-gerak ingin berkata-kata, telefon bimbit ketua parti berbunyi nyaring melodinya.
“Assalamualaikum Tan Sri. Ya, saya ini. Apa? Ada hal penting! Baik, saya datang sekarang!” Ketua parti mematikan telefon bimbitnya kemudian menoleh kepada YB Datuk Sahak.
“Saya minta maaf, Sahak. Saya terpaksa beredar sekarang. Tan Sri panggil saya. Ada hal mustahak,” ujar ketua parti meninggalkan YB Datuk Sahak yang masih terkebil-kebil kebingungan.
YB Datuk Sahak masih termenung di hadapan monitor. Apakah masih ada harapan namanya dicalonkan semula dalam pilihan raya DUN Negeri.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi tanda ada mesej masuk. Dia terus membuka untuk membacanya.
Mesej itu dihantar oleh kepimpinan tertinggi parti. Jelas terpapar di skrin telefon senarai nama-nama calon yang akan bertanding dalam pilihan raya DUN Negeri yang telah dibubarkan petang tadi.
Nama-nama yang disenaraikan telah dipilih dan mendapat restu daripada kepimpinan tertinggi parti. YB Datuk Sahak membaca satu persatu nama-nama tersebut sambil mencari namanya sendiri.
Sebaik selesai membaca, mata YB Datuk Sahak berpinar-pinar. Namanya tiada dalam senarai. Sah, dia kini tidak lagi bergelar YB.
“Allahuakbar!” ucap YB Datuk Sahak.
DUN Negeri bukan sahaja telah dibubarkan gara-gara situasi politik sekarang ini. Malah nama YB Datuk Sahak turut dibubarkan daripada senarai calon-calon yang akan bertanding pada pilihan raya DUN Negeri pada kali ini gara-gara transformasi kepimpinan dalam parti.
YB Datuk Sahak memandang monitor dengan wajah sugul. Tanpa dipaksa, air mata seorang lelaki tumpah di pipi. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya